Thursday 29 January 2009

Gerakan untuk Bahasa

Yuss rasa terpanggil untuk menulis berkaitan dengan artikel dalam Harakahdaily semalam berkenaan dengan pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang akan diadakan di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang Sabtu ini (31 Januari 2009).

Penulisan hari ini adalah susulan daripada artikel Yuss sebelumnya (P.P.S.M.I) yang mendapat komen2 memberangsangkan daripada beberapa pihak. Di sini, Yuss tak mahu lagi mengulas sebarang kaitan terus tentang PPSMI atau sistem pelajaran negara atau yang berkaitan dengannya lagi kerana sudah ditulis sebelum ini. Tumpuan Yuss kini lebih terarah kepada isu membudayakan Bahasa Malaysia.

Sebagai seorang yang sayangkan bahasanya, Yuss menganggap pelancaran ini adalah suatu titik permulaan yang baik ke arah kesedaran berbahasa. Yuss berharap ianya tidak akan dijadikan medan untuk berpolitik, tetapi lebih kepada penumpuan yang betul, ke arah PEMBETULAN 'sistem bahasa' negara kita.

Apakah yang merangsangkan Yuss dengan kewujudan GMP ini?

Sebagai seorang yang bangga menjadi bangsa Malaysia, Bahasa Malaysia ialah tutur-bicaranya. Jika selama ini kita MUNGKIN atau MASIH memandang Bahasa Malaysia sebagai untuk orang Melayu sahaja, apalah salahnya jika kita yang betul2 fasih berbahasa Malaysia (tak kiralah orang Melayu umumnya atau lain2 kaum), membudayakan semula Bahasa Malaysia sebagai penghubung antara kita semua tak kira bangsa.

Tidak salah kan kalau kita MULAKAN semua tutur bicara kita dengan sesiapa pun termasuklah orang luar dengan Bahasa Malaysia? Inilah iltizam Yuss untuk melihat Bahasa Malaysia betul2 dijadikan budaya kita semua tak kira kaum. Kita sudah terlalu asing dalam bumi sendiri sehinggakan adanya orang2 Malaysia sendiri yang malu, kurang fasih, tidak tahu atau tidak mahu berbahasa Malaysia.

Inilah yang perlu kita betulkan dahulu. Bahasa utamanya.

Dan bahasa keduanya pula, atau bahasa2 pilihan lain bangsa Malaysia masih bebas untuk digunapakai, diajar dan dikembangkan. Tetapi jatidiri utamanya itu, yakni Bahasa Malaysia, perlu kita tanam betul2 dalam diri kita semua.

Dalam masa yang sama juga, Yuss masih menyalahkan media2 elektronik terutamanya TV, yang mengasingkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam rancangan2 yang bukan Bahasa Malaysia. Iklan-iklannya jelas mengasingkan penggunaan ini untuk tujuan penarik kepada golongan atau kaum2 tertentu sahaja.

Katakan, ketika sesuatu program2 TV itu berbahasa Cina, umumnya, kebanyakan iklan juga akan dialih-bahasakan ke dalam Bahasa Cina. Adakah ini satu keperluan? Bukankah kebanyakan penontonnya itu walaupun daripada kaum Cina tetapi berbangsa Malaysia ? Mustahil jika mereka tidak faham langsung iklan dalam Bahasa Malaysia. Inilah kesilapan kita meletakkan Bahasa Malaysia dalam budaya masyarakatnya. Tidak kuat. 51 tahun merdeka, sepatutnya tidak ada sesiapapun yang tidak boleh fasih berbahasa Malaysia.

Hal yang sama turut terjadi dengan iklan2 dalam Bahasa Inggeris yang sungguh meluas penggunaannya di depan mata kita.

Yuss bukan menyalahkan penonton, tetapi mereka yang berada di belakang media2 ini yang bertanggungjawab membentuk pemikiran dan sosial masyarakat.

Biarlah berlambak dan penuh sekalipun program2 atau rancangan2 dari luar (dari Hong Kong, India, Taiwan atau mana2 sekalipun), tetapi dalam masa yang sama, proses sarikata perlu sentiasa bergerak pantas. Namun begitu, perkara sebaliknya yang berlaku. Hanya rancangan terpilih sahaja yang akan disarikatakan. Media sebenarnya dilihat seperti tidak lengkap menyampaikan apa yang perlu disampaikan.

Ibarat langit sudah terbuka luas untuk kita semua, tapi panasnya tidak sampai sama rata. Atau lebih jelasnya lagi, lambakan cerita dunia luar ini sudah cukup banyak masuk ke nagara kita, tapi maksud ceritanya, maksud penyampaiannya, tidak sampai sama rata ke atas kita semua rakyat Malaysia. Hanya yang terpilih sahaja. Inilah yang mengecewakan Yuss.

Namun begitu, dalam masa yang sama, Yuss tidak bersetuju dengan adanya cadangan sesetengah pihak supaya semua program ini dialihbahasakan ke dalam bahasa kita. Seperti di sesetengah negara jiran.

Ia tidak menyihatkan. Kerana bagi Yuss, kita perlu mendedahkan 'dunia luar' dalam kaca mata dunia luar itu sendiri. Cukuplah sekadar disarikatakan.

Inilah semua contoh2 ringkas betapa dangkalnya kita meletakkan kedudukan Bahasa Malaysia. Tak berat kalau Yuss katakan hilang maruah pada bahasanya.

Sekali lagi Yuss ingin ingatkan kepada diri sendiri, jika tiada aral yang melintang, Yuss akan cuba menuju ke SOGO pada hari Sabtu ini. Jika sesuatu perkara itu ada niat yang baik, apa salahnya diusahakan, bukan?

Pilihan terletak dalam diri masing2. Jika betul2 sayangkan bangsa Malaysia, pilihlah jadi BANGSA MALAYSIA sebenar.

Yuss suka Bahasa Malaysia.

Thursday 22 January 2009

Blogger : Azwan Ali


Azwan Hj Ali.

Nama yang cukup sinonim dengan industri hiburan Malaysia. Apakah yang membuatkan nama beliau cukup istimewa sehingga Yuss sanggup menulis tentang beliau? Seperti yang sedia maklum, blog Azwan Ali ini telah menjadi bahan bualan hangat masyarakat hari ini.

Dimanakah patut Yuss mulakan?

Semuanya gara-gara Yuss terlantar sakit dan tidak boleh bangun dan duduk lebih kurang 2-3 bulan yang lalu. Secara tak sengaja, Yuss terbuka TV dan menonton rangkaian Astro Prima 105.

Amboi... Amboi... Amboi, rancangan terbitan Azwan bersiaran ketika itu. Tak tahu kenapa, Yuss melekatkan mata menontonnya. Mungkin malas jari Yuss untuk menukar siaran.

Yuss tertawa. Yuss tersenyum.

Sambil menonton, kepala Yuss berputar mencari dimanakah keji dan lasernya mulut Azwan Ali ini seperti yang digambarkan oleh media selama ini? Yuss melihat rancangannya itu punya 'perasaan' dan ada 'jiwa'. Kepedasan beliau melontarkan soalan semuanya berasas walaupun tidak enak didengar oleh mereka yang disoal.

Yuss akui sebelum ini, akibat daripada 'branding' mulut Azwan Ali yang laser, Yuss tidak berminat untuk menonton rancangan beliau. Kali terakhir Yuss menonton beliau di kaca TV ialah semasa zaman Juara Lagu.

Rancangan Cit-Cat, Jangan Tidur Lagi atau lain-lain tidak pernah Yuss tonton. Yuss anggap ianya sekadar hiburan yang tidak kena dengan jiwa Yuss. Tapi, rancangan Amboi... Amboi... Amboi ini membuka mata Yuss.

Selepas Yuss kembali sihat, Yuss teringat akan promosi blog beliau dalam rancangan Amboi tersebut. Pertama kali membukanya lebih kurang sebulan yang lalu, Yuss agak terkejut. Tapi, dalam kejutan itu, ia membuatkan Yuss berfikir.

Berfikir??? Inilah yang menariknya.

Yuss tak tahu kenapa ia merangsangkan minda Yuss. Ada sesuatu yang menarik dengan gaya penulisan dan pemikiran Azwan Ali melalui blognya itu.

Ramai yang menghentam, mengkritik, melaser, mengeji, menghina, dan mengutuk cara Azwan menulis. Tidak berilmiah, tidak berotak, gila meroyan, kurang ajar, kosong dan penuh cacian adalah gambaran sesetengah pihak mengenai blog beliau.

Apa pula pandangan Yuss?

Yuss merasakan Azwan memecah tradisi penulisan blog. Beliau cuba membawakan 'jiwa' dan 'perasaan' beliau dalam blognya. Yakni idea dan pemikirannya. Kadang-kadang berlapik, kadang-kadang mencerca tapi ada sebab. Gossip, berita atau apa saja yang disampaikan adalah datangnya dari hati beliau. Betul atau salah, beliau ada hitam putih. Diterima atau tidak, itu terserah kepada individu yang membacanya. Inilah jenis blog yang cuba disampaikan olehnya.

Ramai yang melihat Azwan gila glamer dan mencari publisiti murahan. Biar Yuss katakan di sini, Azwan Ali bukan bodoh. Tapi bijak. Beliau pandai mengambil kesempatan. Beliau tahu dimanakah lubang yang boleh diisi bagi mengekalkan namanya terus menjadi bahan bualan.

Beliau juga memecahkan tembok budaya masyarakat Malaysia. Beliau membentuk pemahaman kebebasan dunia untuk memberikan pendapat. Tetapi melalui kata-kata pedas. Budaya masyarakat Melayu yang suka mendengar kata-kata indah, bahasa-bahasa baik, berlapik dan penuh makna, diubah penampilannya dalam blog beliau. Terus terang, tidak berselindung, pedas, kasar dan 'kotor' menjadi pilihan beliau.

'Kekotoran' inilah yang sebenarnya boleh menyedarkan. Perubahan inilah yang menginjak pemikiran biasa kita. Tidak lagi terbiasa dengan yang biasa.

Yuss juga melihat banyaknya ulasan2 dalam akhbar mengenai blog beliau ini. Antara ulasan yang boleh Yuss ingat ialah, artis sepatutnya memberikan moral yang baik kepada masyarakat. Artis perlu menjaga tingkah laku. Memang benar niat mereka baik untuk mengingatkan, tapi kita juga perlu sedar tidak semua manusia itu sempurna dan perlu mengikut norma kebiasaan kita. Selagi tidak melanggar undang2, ia masih boleh diterima.

Yuss hairan apabila mentaliti menjulang artis setinggi langit dan hanya yang indah belaka masih wujud dalam budaya kita. Tidak boleh salah dan tidak boleh berdosa. Tidak adakah ustaz/ustazah yang berdosa? Tidak adakah pemimpin negara yang berdosa? Adakah semua artis perlu dicipta yang baik2 belaka? Zaman mengagungkan artis dengan kata2 indah dan tidak berdosa hanya berlaku di zaman dahulu. Kini tidak lagi. Kerana kita sedar, semuanya adalah manusia. Ada baik dan buruk.

Yuss bukan bermaksud, lesen memburukkan artis atau orang lain itu sah, tapi kita perlu bersikap realistik dan cermin diri sendiri terlebih dahulu. Artis seperti mudah untuk dijadikan scapegoat bagi melepaskan rasa buruk kita.

Yuss juga bukanlah mengkritik wartawan2. Tapi kebanyakan ruang2 gosip di dada2 akhbar kadang2 juga tetap menggunakan bahasa pasar dan 'kasar'. Penulisan kritikan pedas dan boleh menjatuhkan artis tetap berlaku dalam industri hiburan di Malaysia ini. Jika kita hendak sibuk bercerita tentang etika, semua ini telah lama ditinggalkan dengan penggunaan pseudonym2 mereka yang menulis ruangan gossip. Oleh itu, apa bezanya jika artis menulis? Tidak ada beza manusia bernama wartawan dan artis. Blog2 bercambah bagaikan cendawan melempiaskan pendapat masing2 yang boleh digunapakai oleh sesiapa sahaja tanpa bayaran.

Walau apapun, Yuss melihat cara Azwan menulis ada batasannya. Kritikan atau teguran beliau bukan setakat artis tetapi sesiapa sahaja yang beliau lihat 'salah' termasuklah ahli2 politik dan wartawan2. Beliau bijak melihat semua ini dari sudut sama ratanya. Sama rata dari segi gelaran seorang yang bernama manusia. Manusia itu sendiri tidak ada yang sempurna.

Dan apa yang membuatkan blog beliau ini 'hangat', sekali lagi Yuss katakan, ia ditulis dari hati seorang manusia yang tahu apa yang ditulisnya. Inilah keistimewaan blog2 JENIS ini. Bukan lagi seperti blog2 lain dan artis2 lain yang kebanyakannya diibaratkan menulis seperti sebuah diari peribadi yang penuh dengan penerangan dan promosi aktiviti2 masing2.

Kesimpulannya, adakah Yuss menyukai blog Azwan Ali? Jawapannya mungkin ya jika beliau sanggup kekal untuk terus menjadi blogger yang bernama Azwan Ali. Walaupun sejak akhir2 ini, posting2 terkini beliau kelihatan bernada rendah sedikit berbanding di peringkat permulaan dahulu. Tidak terlalu 'over'.

Yuss terus membaca.

Photo by Google.

Wednesday 21 January 2009

Nyawa Popular Obama

Sebentar tadi, Presiden Barack H. Obama baru sahaja mengangkat sumpah menjadi Presiden terbaru ke-44 Amerika Syarikat.

Tahniah? Selamat sejahtera? Semoga berjaya? Atau apa?

Harapan.

Itulah satu perkataan yang diletakkan oleh semua orang ke atas beliau. Tak kiralah rakyat Amerika sendiri atau dunia amnya. Bagi golongan yang skeptikal, mereka melihat tidak banyak perubahan kepada dasar atau matlamat yang boleh terbentuk dengan sekelip mata di bawah kerajaan baru beliau ini. Yang Islam tetap melihat beliau tidak akan berganjak daripada proses 'memelihara' negara Israel. Golongan ekonomi pula melihat satu tugasan berat perlu dipikul oleh beliau.

Dan apa pula yang boleh Yuss lihat?

Yuss bersikap pragmatik. Bagi Yuss, Obama ialah faktor peribadi. Faktor populariti. Penilaian terhadap 'diri' beliau sebagai Presiden kulit hitam, tentang sejarah keluarganya, dan dasarnya terhadap janji2 perubahan yang penuh retorik menjadikan siapa itu Obama.

Beliau bermain dengan satu permainan tentang warna kulit dan agama. Beliau dilihat menjadi pemangkin ke arah perubahan melalui perkara2 ini. Yakni perubahan kepada intergrasi terhadap kedua2 perkara ini. Beliau melihat tidak ada lagi bangsa kulit putih Amerika, kulit hitam Amerika, Latin Amerika, Asian Amerika, tetapi bangsa Amerika. Amerika Syarikat juga bukan lagi dilabel sebagai negara Kristian. Tetapi juga untuk Islam, Yahudi dan Hindu.

Disinilah berlakunya pandangan skeptikal Yuss apabila melihat Obama bermain dengan latar belakang warna kulit dan agamanya. Ia dicorakkan lagi dengan paparan media terhadap beliau. Strategi yang dilihat cuba mengangkat yang terbaik sahaja mengenai beliau dari segi kesamarataan jenis ini. Ia sangat jelas dalam ulasan media2 dunia terhadap beliau.

Wajah kesamarataan ini sebenarnya dibina melalui populariti. Budaya populariti betul2 membentuk siapakah itu Obama. Mengangkat nama Obama itu sendiri. Beliau boleh dikatakan berjaya, tetapi beliau juga perlu ingat, proses mengekalkan populariti itu lebih penting dan sangat berbahaya.

Kerana populariti boleh memakan diri. Populariti boleh membunuh. Kerana jika Obama betul2 terbina atas asas ini untuk sekian lama, pastinya, serangan peribadi juga mudah untuk berlaku ke atas beliau di masa akan datang. Jika kesilapan kecil berlaku, karier dan masa depan juga boleh musnah. Itu sifat populariti. Sangat bahaya jika tersilap langkah.

Selain daripada itu, Yuss juga melihat terlalu banyaknya permainan warna ras kulit atau bangsa dalam Amerika Syarikat akhir2 ini. Warga kulit hitam diibaratkan meraikan 'kemenangan' dan 'kebebasan' yang diimpikan selama ini. Konsert, rancangan TV, ulasan suratkhabar kebanyakannya melihat kepada unsur ini. Meraikan kemenangan dengan cara ini sebenarnya mencerminkan betapa terpisahnya sifat2 bangsa di AS ini. Dan ia juga berbahaya di masa hadapan jika proses merayakan kemenangan ini dengan cara tersebut berterusan. Kerana apa?

Kerana penciptaan 'kemenangan' kulit hitam ini boleh menimbulkan rasa tidak senang bukan sahaja kepada kulit putihnya, tetapi yang lain2 juga, Latin, Asia, Arab, yang bukan berkulit hitam Afrika. Akan berlaku satu pemberontakan atau kekacauan teruk di masa hadapan jika konflik seperti ini timbul. Kerana unsur warna kulit Presiden akan digunapakai untuk meraih sokongan tidak kiralah yang positif atau negatif. Disinilah sifat populariti akan memainkan peranan yang memakan diri sendiri. Warga kulit hitam mungkin akan menggunakan faktor Obama ini untuk dijadikan kayu pengukur untuk mereka bertindak. Terutamanya bagi golongan kelas rendah dan menengah.

Ini semua boleh terjadi atau berlaku jika asas keraian, atau nawaitu sesuatu perkara yang mendalam boleh disalahertikan secara besar-besaran.

Namun begitu, satu perkara yang boleh mengekalkan Obama terus subur dan diterima adalah intergriti dan kekentalannya. Beliau teruji dengan pelbagai perkara termasuklah perlantikan Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara yang tidak disenangi sesetengah pihak. Tetapi keputusan2 yang beliau lakukan ini masih kekal 'baik' untuk didebatkan. Kerana fasa 'harapan' ini masih menyubur dalam diri kita semua.

Begitu juga dengan 'kekuatan' Obama yang tercipta oleh tindakan Israel baru-baru ini. Israel menyerang dan membunuh rakyat Palestin 3 minggu sebelum perlantikan beliau. Dan menamatkannya betul2 sebelum beliau mengangkat sumpah hari ini. Israel sendiri dilihat seperti 'tunduk' kepada Presiden baru ini. Jika Bush boleh diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya oleh Israel, harapan sebenarnya masih tetap wujud di bawah Obama.

Memang benar dasar Amerika tidak akan berubah secara total di Timur Tengah (terutamanya di Palestin dan Israel) seperti yang dikatakan oleh beliau, tetapi faktor kemanusiaan, faktor individu dalam diri Obama adalah penentu kepada perancangan masa depan yang lebih baik. Kerana kata2 beliau, tindakan beliau mencerminkan dasar sebenar negara tersebut tanpa perlu berlandaskan di atas kertas semata-mata.

Sebagai orang Islam, Yuss masih tetap meletakkan harapan untuk melihat sejauh mana Obama mencorakkan dasar sedia ada yang perlu dikekalkan ini. Jika nyawa dan masa depan bangsa Palestin tidak terhapus sekurang-kurangnya, itu sudah cukup untuk melihat adanya hati bernama manusia dalam diri seorang Presiden AS dalam alaf ini.

Selain itu, proses populariti Presiden baru ini sebenarnya adalah satu perancangan mengembalikan pengaruh AS itu sendiri. Bush telah menjarakkan AS dengan dunia luar. Kerana Bush telah menjadikan perang sebagai agenda utamanya. Dan menjadi seorang boneka Israel Zionis yang amat jelas. Mereka sendiri sedar dengan peminggiran dunia yang berterusan kepada AS seperti ini amat2 merugikan.

Maka, Obama ialah ciptaan mereka untuk menuju ke arah Amerikanisasi semula. Mengembalikan keyakinan. 'Harapan' adalah kata asas terpenting memainkan perasaan penduduk AS dan dunia. Kerana mereka sedar, 'harapan' ialah kata penyedap untuk seluruh umat manusia yang kini dilanda ekonomi global yang semakin teruk dan kesilapan2 lain seperti Perang di Asia Barat. Boleh juga dianggap yang Obama dicipta sebagai 'pengubat' kepada 'sengsara' dunia hari ini (ekonomi dan politik).

Adakah benar Obama akan diangkat sebagai HERO dunia? Kita tunggu dan lihat. Kerana pada peringkat permulaan ini, penciptaan Obama yang hebat telah menjadi kenyataan atas nama 'harapan' ini. Mereka berjaya mencipta permainan perasaan yang manusia memerlukan penyelamat. Dan adakah kita akan terikut dengan polar permainan politik jenis ini? Kita tunggu dan lihat.

Jauh dalam sudut hati Yuss, kita semua terutamanya di Malaysia pastinya akan mengikut rentak dunia mengangkat Obama. Jika ini terjadi, apakah impaknya ke atas diri kita?

Contoh terdekat ialah proses boikot barangan AS sekarang ini. Jika nama Obama itu sendiri mampu berdiri sendiri untuk membersihkan, mengaburi mata dengan 'keindahan' AS, adakah termampu kuasa dalam diri kita sendiri untuk terus memboikot? Semuanya akan berlaku dan terjadi tanpa kita sedari...

Siapakah Obama bagi Yuss?

Obama ialah Hollywood.

Yuss tonton Hollywood.

Tuesday 6 January 2009

Nyawa Palestin


2009 bermula dengan tragedi buruk bumi Palestin.

Yuss amat bersimpati dengan nyawa lebih 500 rakyat Palestin yang melayang.

Yuss tidak faham dimanakah kesilapan anak2 kecil yang terbunuh begitu sahaja.

Yuss juga tidak faham apakah justifikasi membunuh wanita atas nama mempertahankan diri oleh Israel.

Bukankah medan tempur suatu peperangan ialah MEDAN TEMPUR dan bukannya TEMPAT AWAM?

Nyawa manusia di bumi Palestin akan terus kekal sebagai bahan permainan. Permainan senjata pembunuh.

Yuss sendiri tidak pasti apakah yang mampu Yuss lakukan. Jika sewaktu di UK dahulu, Yuss akan memastikan tidak akan membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang punya label 'Product of Israel' yang jelas ada perkataan Israel. Alasan Yuss cukup mudah. Passport Yuss laku di seluruh dunia kecuali Israel. Tapi sekarang Yuss mati kutu. Produk2 yang jelas depan mata seperti ini tidak di jual di Malaysia.

Apakah benar, dengan tidak menonton filem2 buatan Hollywood, fesyen berjenama, francais restoran barat atau minum air berkabonat popular dunia menjustifikasikan perbuatan memboikot? Bukankah dengan membenarkan barang2 ini atau penjenamaan2 ini berada di bumi Malaysia sendiri telah menjadikan ia satu kesalahan? Kenapa setelah semua ini berada dan berlegar di bumi kita sejak dulu lagi baru kita nak mula boikot sekarang? Kenapa tak sekat sahaja terus barang2 ini dari berada dalam bumi kita sejak dahulu lagi? Bukankah wujud rasa double standard dalam diri kita bila perkara seperti ini terjadi?

Jika berjaya sekali pun boikot seperti ini, apa akan jadi selepas tidak memboikot lagi nanti? Bukankah duit untung semasa tidak memboikot di kemudian hari nanti akan tetap juga digunakan untuk membeli dan membuat senjata untuk membunuh nyawa Palestin? Maka sampai bilakah boikot ini patut berjalan? Apakah ada masa hadnya? Atau sekadar satu usaha kosong dengan hanya mempermainkan isu hangat yang sedia ada? Sekadar bermusim. Tanpa matlamat dan tujuan jangka panjang. Tanpa ada rangka dan perancangan tentang apakah alternatif lain yang kita ada.

Dan kenapakah semua ini seperti diserahkan bulat2 kepada usaha individu2 sahaja? Dan bukan atas nama mereka yang menguruskan negara? Atau Pak-Pak Menteri yang berkuasa? Yang membeli senjata bukan individu Israel tetapi negara Israel. Jadi, boikot bukanlah pilihan terbaik yang kita ada. Sekatan2 tertentu oleh sesebuah negaralah yang patut digunakan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Peringkat negara, bukan peringkat individu. Negara urusannya sama negara.

Yuss tidak akan boikot. Yang terbaik Yuss boleh lakukan hanyalah dengan meletakkan had penggunaan terhadap barang2 tersebut. Bukan tidak membeli dan menggunakannya langsung. Kerana ia cara hidup yang telah terbentuk akibat daripada keizinan barang2 ini terus berada dalam negara kita. Kita tidak boleh merubah semuanya secara mendadak tanpa memikirkan impaknya kepada orang lain termasuklah diri kita sendiri.

Boikot bukan jalan penyelesaian. Itu apa yang Yuss rasakan. Walaupun ideanya datang dari seorang tokoh bernama Mahathir. Yuss tidak bersetuju.

Cara terbaik pilihan Yuss untuk nyawa Palestin ialah menyalurkan bantuan kewangan secara terus. Biarlah wang itu ditentukan kemudian oleh penduduk Palestin atau mereka yang menguruskannya dan digunakan samada untuk pakaian atau ubat-ubatan.

Yuss sertakan di sini maklumat Mercy Malaysia:

http://www.mercy.org.my


PALESTINE RELIEF FUND

Cheque payable to MERCY MALAYSIA
CIMB Account No : 1424-000-6561053

Photo by Google.