Wednesday 24 December 2008

PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Itulah PPSMI.

Gapena atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran jika PPSMI ini diteruskan. Itulah berita yang sedikit hangat mengenai isu ini.

Dimanakah sudut pandang Yuss terhadap perkara ini?

Pertamanya, Yuss secara sedar, amat menyokong langkah mengembalikan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah. Termasuklah matapelajaran Sains dan Matermatik. Bagi Yuss, pemilihan Bahasa Malaysia adalah alasan paling mudah untuk melihat ianya menjadi bahasa penyatupaduan berasaskan kepada perlembagaan negara.

Keduanya, ramai yang melihat penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah menjadikan Bahasa Inggeris ini sebagai bahasa penyatupaduan melangkaui Bahasa Malaysia. Kerana kewujudannya telah diselarikan penggunaannya di dalam kelas Sains dan kelas Matematik tak kiralah di sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Tidak ada lagi perbezaan bahasa. Tidak ada lagi Bahasa Cina untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil. Kita telah menanamkan di dalam minda secara di bawah sedar, mengakui bahawa Bahasa Inggeris ialah bahasa yang menyatupadukan kita semua dalam Malaysia melalui sistem ini. Bukan Bahasa Malaysia. Inilah realitinya.

Dan ramai yang menyokong PPSMI pula menganggap, usia perlaksanaanya baru masuk 6 tahun. Berilah peluang untuk ia membuahkan hasil. Yuss hairan, adakah sistem pendidikan negara suatu eksperimentasi? Kerana jika ia dieksperimenkan, bermakna ia bukan bertaraf dasar. Kerana dasar terwujud selepas ia dikaji dan diselidiki sedalam-dalamnya sebelum ianya layak diangkat menjadi suatu 'dasar' yang boleh digunakan. Dan adakah juga ianya mungkin bercanggah dengan dasar sedia ada? Kita jangan lupa kepada dasar pendidikan negara sekarang yang perlu dipegang iaitu perkara yang mengikut perlembagaan negara terutamanya fasal 152 yang mengiktiraf Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dan ramai juga antara kita yang menyokong PPSMI ini menggunakan alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa perdagangan. Atau alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa internet. 'Alasan2' ini digunakan bagi alasan kita perlu melatih bangsa kita mudah mengharungi cabaran dunia luar dari peringkat rendah lagi.

Adakah program PPSMI ini sahaja jalan penyelesaiannya? Tdak ada cara lain lagi dah? Bagi Yuss, ia hanyalah alasan lemah untuk menenggelamkan bahasa sendiri yang sepatutnya berada di tingkat teratas sekali. Kerana apa? Kerana Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan!

Cuba kita fikirkan sejenak, bahasa apakah jumlah penuturnya adalah yang teramai di dunia? Berapakah kadar atau peratusan perbezaan antara bahasa teramai ini dengan kedua teramai? Carilah sendiri. Tak perlulah Yuss masukkan data-datanya di sini. Semuanya terbentang luas maklumat dalam dunia maya ini.

Cuba kita tanyakan juga, bahasa apakah yang menguasai kepenggunaannya atau majoritinya yang melibatkan jumlah negara2 di dunia ini? Cubalah cari sendiri. Anda pasti terkejut.

Cuba kita soalkan lagi, bagaimanakah rupa bentuk demografi, geografi dan suku kumpulan bahasa yang kuat dan jitu antara kawasan-kawasan atau benua dalam dunia ini? Antara kawasan Pasifik dan Atlantik contohnya. Atau antara benua seperti di Amerika Selatan contohnya. Atau Afrika. Anda lihatlah sendiri jawapannya.

Cuba kita tanyakan kembali dalam diri masing-masing, di manakah kedudukan bahasa masing2 dalam 10 negara paling maju di dunia ini? Dari segi jumlah pengguna sekurang-kurangnya.

Atau jika tidak sekalipun, cuba lihat jumlah pengguna bahasa dalam 5 negara Majlis Keselamatan dalam PBB. Di manakah kedudukan bahasa yang konon-kononnya kita anggap sebagai bahasa kesatuan dunia ini.

Berbalik kepada isu ini, Yuss cuma hendak kita berfikir, adakah sesuatu yang mustahil melihat majoriti buku-buku yang dijual di kedai buku bertulisan Bahasa Malaysia? Adakah suatu fantasi melihat buku-buku dalam Bahasa Malaysia paling dominan dalam perpustakaan2 kita? Boleh atau tidak? Atau harapan tinggal harapan? Adakah proses penterjemahan sesuatu yang berat? 50 tahun merdeka, umurnya sudah cukup matang bagi sebuah negara untuk berfikir.

Yuss ingin bertanya lagi, adakah sesuatu yang masuk akal atau tidak apabila kita melihat di negara China, majoriti buku2nya tak kiralah ilmiah atau majalah sekalipun, bahasa utamanya adalah bahasa Cina? Mereka ke angkasa lepas dengan teknologi dalam bahasa apa?

Masuk akal atau tidak di negara jiran kita, Thailand, majoriti buku2 jualan mereka bertulisan Thai? Itu contoh paling dekat dengan kita.

Masuk akal atau tidak di Malaysia perkara yang sama boleh berlaku?

Jatidiri atau Kemaluan? Pilihlah sendiri.

Jika penguasaan bahasa kedua amat penting bagi sistem pendidikan kita, adakah satu kesalahan untuk kita mengangkat bahasa lain selain Bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan kedua pelajar kita?

Adakah faktor sejarah penjajahan menjadikan Bahasa Inggeris pilihan utama kita? Apakah pendidikan Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, Bahasa Russia, Bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun di anggap tidak sama penting dari segi keluasan dan kekukuhan penggunaanya di muka bumi ini? Atau dari segi ilmu dan teknologi sekalipun (jika itulah paksi hidup kemajuan impian pemerintah kita).

Bagi Yuss, PPSMI ialah satu kepincangan. Jika benar pengajarannya perlu dalam Bahasa Inggeris, kertas jawapan pelajar juga perlu sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Bahasa2 lain sepatutnya tidak dibenarkan digunakan untuk menjawab. Tetapi pelajar2 ini dibenarkan untuk menjawab soalan dalam bahasa pilihan mereka, Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Atau mungkin juga bahasa pilihan masing2 di sekolah jenis kebangsaan mereka. Inikah konsep yang boleh diterima akal?

Jika alasan kebolehan dan daya intelektual pelajar adalah berbeza dalam penguasaan bahasa kedua mereka menyebabkan kita membenarkan pelajar2 ini membuat pilihan bahasa dalam menjawab, bukankah ia satu kesalahan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar?

Jika kebebasan dibenarkan untuk menjawab kertas soalan dalam bahasa pilihan masing-masing, adakah satu kesalahan juga kepada pelajar2 yang mengikuti kelas bahasa2 lain di sekolah seperti Bahasa Perancis, Sepanyol, Mandarin dan sebagainya menulis jawapan dalam bahasa pilihan mereka ini? Jika mereka berkebolehan, salahkah kita membenarkan mereka? Jika sudah terang lagi bersuluh kita membelakangkan perlembagaan, apa salahnya kita benarkan pelajar2 ini menjawab dalam bahasa apa sekalipun yang telah diiktiraf.

Dan adakah jika desakan yang dibuat GAPENA ini yang dibuat secara terbuka ditiru oleh Dong Jiao Zong, adakah kita menganggap mereka tidak patriotik dan mengagungkan Bahasa Cina?

Adakah akan ada antara kita yang akan berfikiran, sekurang-kurangnya dengan PPSMI, semua sekolah dalam Malaysia mengajar dalam satu bahasa dan kita akan bersatu padu? Adakah kita lupa apakah rupa sebenar bahasa penyatupaduan yang perlu kita guna dan agungkan sebagai bangsa Malaysia? Bukankah jatidirinya itu terletak pada Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan?

Disinilah menunjukkan betapa lemahnya kita menjalankan suatu dasar. Bercanggah sana sini. Pincang dan lemah. Kita tidak ada jatidiri. Kementerian yang terlibat tidak ada kata putus. Mengiyakan pun tidak. Menafikan pun tidak. Kerana apa? Kerana kita semua tahu, jika usul ini berjaya di bawa ke mahkamah, mereka yang didakwa memang akan tewas. Tewas kerana mata kasar rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana ketinggian perlembagaan negara akan dipegang dan dipertahankan. Itu sebablah mereka yang mungkin didakwa ini bersikap diam diri dan tidak mengulas terlalu lantang.

Yuss tidak berdiam diri.

Wednesday 3 December 2008

Ketuanan Melayu

Amat menarik untuk Yuss lihat isu Ketuanan Melayu secara kasar. Secara kasar kerana Yuss sendiri tidak memahami maksud jelas apakah itu 'Ketuanan'. Yang Yuss faham secara terawang ialah ianya datang daripada kata dasar 'tuan'. Tapi maksud dan huraiannya mungkin berbeza sama sekali.

Isu ini timbul apabila Chua Soi Lek dilaporkan berkata beliau menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi menerima kepimpinan Melayu. Menolak Ketuanan Melayu bukan bermakna mencabar hak2 istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Itu kata beliau.

Selepas sahaja isu ini berbangkit, pelbagai pihak mengeluarkan pendapat yang mengecam dan mengutuk pendapat ini. Ada yang berkata, terdapat juga orang2 Melayu itu sendiri yang menolak konsep Ketuanan Melayu. Maka, bagi Yuss, ia sesuatu yang boleh dipersoalkan jika wujudnya rasa sangsi dalam diri orang Melayu itu sendiri.

Secara ringkas, istilah konsep ini berkemungkinan besar bermula pada permulaan alaf ini. Dengan menggunakan alasan 'pemberian' kewarganegaraan kepada bukan Melayu di zaman pra merdeka. Dalam pada itu, pada awal dekad selepas merdeka, istilah lain mungkin digunakan seperti ultra Melayu yang mungkin membawa maksud dan huraian yang sama seperti konsep Ketuanan Melayu ini. Perbetulkan Yuss jika salah mentafsir.

Dan bagi pihak Pas pula secara khususnya, sokongan terhadap konsep Ketuanan Melayu itu tetap wujud dalam pandangan mereka tetapi mungkin dalam istilah yang lain, Ketuanan Islam. Yang mengikut perlembagaan, mendefinisikan Melayu itu Islam.

Apa yang Yuss boleh lihat? Seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini, kita masih keliru dan bercampur-aduk pemikirannya dalam melihat maksud satu2 perkataan dalam perlembagaan. Kita ibarat masih keliru untuk mengangkat yang mana satu lebih tinggi tarafnya atau adakah ianya berjalan seiringan. Antara Melayu dan Islam.

Jika alasan negara ini tercipta atas dasar kesepakatan antara kaum, maka Melayu itu teratas dalam definisi perkataan Melayu itu sendiri. Apabila Melayu itu ditakrifkan semula yang mereka itu Islam, bertutur Bahasa Melayu dan mengikut adat Melayu, maka kita telah mengangkat taraf Islam itu sekali. Ia mungkin kelihatan seperti agama menyusuli sifat bangsa dalam konteks perlembagaan negara kita. Mungkin seperti diibaratkan sifat agama seinci kebelakang membontoti sifat bangsa.

Atau adakah ia sebaliknya? Disinilah yang mewujudkan rasa sangsi dalam diri kita, yang manakah lebih berkuasa dalam takrifan ini? Islam atau Melayu. Inilah juga yang mencetuskan rasa kurang senang sesetengah warganya apabila Malaysia cuba atau memang diangkat sebagai sebuah negara Islam dalam definisinya, isu yang pernah dibangkitkan suatu masa dahulu.

Yuss sebenarnya masih keliru dengan pemilihan perkataan bagi mencapai maksud dan tujuan mereka. Apakah kita patut pertahankan Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam? Atau kedua-duanya sekali. Adakah sama 'jiwa' kita antara kedua-dua ini? Adakah ianya wajib, sunat, harus atau makhruh untuk mempertahankannya? Yang mana lebih penting. Islam atau Melayu? Jika diberi satu pilihan antara kedua-dua ini, mana pilihan kita?

Ramai yang berkata, Melayu dan Islam itu saling berkaitan. Bersangkut-paut. Mungkin betul. Tetapi, pernahkah kita tefikir, dengan menggunakan perkataan Melayu, kita sebenarnya berselindung di sebalik 'ketakutan' mempertahankan Islam? Dalam konteks penciptaan negara bernama Malaysia melalui perlembagaannya. Kerana kita orang Melayu masih sangsi dengan kehormatan agama Islam itu sendiri?

Dan adakah juga, sifat bangsa itu yang lebih jelas beza fizikalnya melalui warna kulit dan lubang hidungnya memudahkan ia digunapakai untuk 'mengasingkan' kita semua antara satu sama lain? Adakah Melayu sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri? Kerana jika benar Islam itu lebih tinggi dan menyeluruh, sifat berbangsa2 itu sendiri akan pudar dan hilang dalam diri kita. Bukan?

Dalam masa yang sama, adakah satu kesalahan apabila kita mengangkat diri kita lebih superior daripada bangsa yang lain? Atas nama hak dan keistimewaannya? Dari segi bangsa. Mungkin ya.

Atau betulkah kita menganggap diri kita mungkin mendapat pahala bila mengangkat nama Islam itu sendiri? Dari segi agama. Mungkin juga ya.

Mana satu pilihan kita, Melayu atau Islam? Inilah kepincangan diri Yuss apabila melihat dua perkataan ini dan apabila kedua-duanya cuba berjalan seiringan. Apakah Cina Muslim atau India Muslim tidak punya hak yang sama di sisi tuhanNya yang memang jelas sama dan Satu?

Adakah kita tidak dianggap terlalu berdosa dari sudut agamanya apabila berbicara tentang bangsa secara superior atas nama survival? Atas nama kelangsungan? Kerana isu bangsa mungkin tidak kisah untuk didebatkan. Tidak terlalu 'berdosa'. Boleh diputar-carikan maksud dalam ruang lingkup yang bebas. Tetapi, jika berbicara soal agama, kita dianggap terlalu berhati2 dalam melempiaskan pendapat dan berdosa jika tersalah tafsir. Terlalu sensitif dan keras. Jawapan kepada persoalan ini ialah ilmu, sama ada kita sudah bersedia atau belum untuk berbicara tentangnya secara berhemah di masa hadapan.

Berbalik kepada isu ketuanan ini yang luas maksudnya ini, apakah pilihan kita dalam konteks penggunaan bahasa yang betul? Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera atau hak-hak istimewa orang Islam dan Bumiputera? Yang mana satu pilihan kita? Adakah benar kita, orang Melayu, takut untuk mempertahankan Islam apabila hanya cuba mengangkat sifat bangsa sahaja dalam kebanyakan isu yang berkaitan? Adakah ini satu kebenaran? Kerana Islam ialah ideologi, maka agak sukar untuk kita mendefinisikan secara khusus tentangnya jika dibandingkan dengan sifat bangsa. Mungkin.

Selain daripada itu, persoalkan dalam diri masing2, yang mana satukah boleh kita lihat sebagai suatu konsep ketuanan yang palsu atau suatu konsep ketuanan yang jelas? Atau konsep ketuanan ke belakang dengan memandang sejarah semata2 atau konsep ketuanan ke hadapan yang memandang keterbukaan? Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam?

Seperti kesimpulan Yuss dalam artikel2 lama yang lepas, impian Yuss untuk melihat wujudnya Bangsa Malaysia yang SATU akan tetap kekal dalam diri Yuss. Cukup-cukuplah kita bercerita tentang Melayu itu, Cina ini, India itu, Kadazan ini, atau Orang Asli itu.

Tidak pelikkah kita, bila keluar sahaja ke luar negara, kita dengan bangganya mengangkat diri, memperkenalkan diri sebagai Bangsa Malaysia. Tetapi apabila masuk saje ke Malaysia, jejak saja kaki ke bumi sendiri, akulah Melayu, akulah Cina, akulah India akulah bangsa itu ini.

Maknanya, kewujudan Bangsa Malaysia itu bukan sesuatu yang mustahil. Kerana jatidirinya sudah ada. Ia boleh berlaku. Cuma yang tinggal ialah kesanggupan dalam diri kita.

Dalam masa yang sama juga, Yuss terpikir, adakah konsep Ketuanan Malaysia sesuatu yang pelik untuk kita ungkap pada masa hadapan? Mungkin untuk tempoh seratus tahun yang akan datang. Atau mungkin tak perlu pun untuk kita fikirkan. Kerana Yuss melihat tidak perlunya kewujudan istilah2 jenis ini.

Tapi sekurang-kurangnya dalam waktu ini, apalah salahnya kita cari istilah ketuanan dengan niat atau nawaitu yang betul dalam mencari jiwa ketuanan itu sendiri kalau betul mahu ingin sangat2 menggunakannya. Ketuanan jenis apa?

Bagi Yuss, mungkin lebih baik juga jika kita hentikan sahaja dulu istilah ketuanan itu sendiri. Kerana konsep ini pun wujud tak sampai sedekad yang lalu. Lebih baik kita fokuskan kepada penyatudapuan antara semua kaum untuk menjadi satu Bangsa Malaysia yang menghormati perlembagaan sedia ada.

Yuss tidak bertuankan sesiapa. Hanya bertuhankan Tuhan yang Satu.