Tuesday 31 March 2009

Talentime

Yuss agak skeptikal semasa mula-mula hendak menonton filem terbaru Yasmin Ahmad ini. Pelbagai tafsiran sendiri dilakukan sebelum menontonnya. Seperti menghukum sebelum melihat.

10 minit pertama menonton filem ini membuatkan Yuss melakukan pelbagai andaian negatif terhadap Yasmin. Yuss mempersoalkan kenapakah pelakon2 yang sama digunakan dalam setiap filem arahan beliau?

Yuss menganggap Yasmin tidak versatil dalam pemilihan para pelakonnya, terutamanya yang memegang watak pelakon tambahan. Walaupun watak2 utama kebanyakannya adalah muka2 baru, tetapi percayalah, mereka pasti akan dikitarsemulakan oleh Yasmin dalam filem2 berikutnya nanti.

Yuss juga telah menghukum tajuk cerita dan konsepnya yang dianggap terlalu ringan. Kerana Yasmin seperti tidak dapat lari daripada stereotaip konsep filem yang sentiasa berunsur kepada alam persekolahan, alam cinta monyet yang suci dan dosa yang dibenarkan, dan alam 'innocent' terhadap dunia.

Tetapi, masuk sahaja setengah jam berikutnya, Yuss mula menyukai filem Telentime ini. Walaupun ringan ceritanya (seperti filem2 beliau sebelumnya), tetapi keberatan penceritaannya ialah terletak kepada kejujuran Yasmin menghukum sifat stereotaip orang Malaysia terhadap unsur agama dan kaumnya. Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum, menangis, dan ketawa terhadap kehebatan karya Yasmin yang cuba menyedarkan penontonnya.

Bagi Yuss, filem Yasmin ini dianggap sarat dengan idea dan matlamat tersirat yang menyatukan kita semua sebagai Bangsa Malaysia. Dan percaya atau tidak, Talentime ini juga Yuss anggap sebagai filem berbahasa Tamil pertama Malaysia.

Maafkan Yuss jika ianya bukan Bahasa Tamil kerana Yuss tidak tahu bahasa apakah keluarga Mahesh gunakan sepanjang filem ini. Mungkin Malayalam, mungkin Telugu atau lain2.

Yasmin berjaya meletakkan mindanya dalam filem ini mengenai penerimaan masyarakat kaum India kepada budaya Islam versi Malaysia. Ini ialah realiti. Kita tidak boleh menolak ke tepi budaya penanaman minda jenis ini di dalam komuniti mereka.

Yasmin cuba merubah pandangan golongan muda India terhadap penerimaan mereka kepada kepelbagaian agama lain yang bertoleransi. Dan ini juga ialah realiti sebenar masyarakat muda mereka hari ini yang terbuka ke arah satu perubahan yang baik. Ketajaman Yasmin terhadap kematian abang Mahesh betul2 membuatkan mata Yuss terbuka luas dan melihatnya sebagai kesalahan diri kita sendiri.

Yasmin juga cuba menyatukan pandangan stereotaip orang Cina ke atas orang Melayu. Bahawa Melayu, sama ada berjaya atau tidak, pasti dan wajib menerima bantuan secukupnya daripada pemerintah. Kecemburuan mereka kepada hak istimewa ekonomi orang Melayu masih dianggap sebagai duri dalam daging kepada orang Cina. Seperti tidak adil dan berat sebelah.

Tetapi Yasmin berjaya mendidik dan merubah persepsi ini melalui filemnya ini. Kejayaan seseorang itu sepatutnya dilihat atas usaha dan kehendak dirinya sendiri dan bukan kepada bantuan dan peluang yang terbuka semata2.

Ini juga ialah realiti hidup orang Malaysia hari ini. Yuss sendiri sudah acapkali menerima realiti minda seperti ini di mana2 sahaja. Banyak kenalan2 Yuss berbangsa Cina masih merasakan perbezaan seperti ini. Mereka merasa tersisih.

Yuss tidak marahkan mereka. Tetapi Yuss sentiasa menjelaskan kepada mereka bahawa pendidikan Yuss sama seperti mereka. Mereka mendapat peluang sama rata seperti Yuss.

Tetapi jika betul lah Yuss mendapat tempat di universiti tempatan dulu atas nama kaum Melayu, betapa sedihnyalah Yuss terhadap diri sendiri. Tetapi Yuss sentiasa yakin bahawa peluang yang Yuss perolehi dahulu ialah kerana usaha Yuss sendiri.

Yuss juga tidak pernah meminta apa2 daripada pemerintah. Dan realitinya, pelajaran Yuss dulu pun atas nama pinjaman atau hutang yang kena dibayar balik.

Yuss yang Melayu ini pun masih berhutang dengan kerajaannya!


Selain itu, Yuss juga tidak terhutang budi apa2 pun dengan pemerintahnya. Yuss juga tidak merasa sedikit pun keistimewaan ekonomi yang sepatutnya Yuss rasakan sebagai orang Melayu. Kerana Yuss tidak terluak pun hendak mendapatkannya. Kerana usaha sendiri itu lebih berkat.

Berbalik kepada filem Talentime ini, Yasmin juga telah menjentik minda orang Melayu tentang Islam. Watak Mei Ling yang rupa-rupanya seorang Muslim diharap dapat mendidik masyarakat bahawa masuk Islam tidak semestinya masuk Melayu.

Mei Ling yang Islam telah mengekalkan nama Cinanya. Tidak ditukar kepada nama2 umum Melayu atau Arab. Salah atau tidak beliau terus kekal bernama seperti itu, itu hak peribadinya. Dan salah atau tidak beliau terus masak dan makan makanan Cina seperti Dim Sum dan makan pakai chopstick, itu juga hak kepada pengekalan budayanya sendiri. Tetapi niat keislamannya terus kekal dan bersatu.

Adakah Mei Ling jadi Melayu kerana Islam? Terbuktilah Islam yang sebenar ialah Islam yang bersifat universal dan tidak terikat kepada satu2 kaum sahaja seperti amalannya di Malaysia.

Dan adakah idea2 seperti ini masih dianggap sebagai satu dosa kepada nilai pluralisme perkauman dalam sesuatu agama di Malaysia? Adakah kesatuan kepercayaan atas nama agama seperti ini masih dianggap salah dan bertentangan dengan budaya Melayu Malaysia? Adakah kesatuan minda seperti ini juga boleh mencemarkan hak2 istimewa orang Melayu, seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak2 tertentu sekarang ini? Kita sendiri boleh memikirkannya.

Apa2 pun, Yuss ucapkan tahniah atas usaha berani Yasmin ini. Filem akhirnya berjaya digunakan sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Medium untuk merubah persepsi masyarakat. Dan akhirnya nanti, boleh menjadi satu warisan penting kepada negara.

Yasmin beruntung kerana ideanya boleh disampaikan melalui filem. Orang yang tak berduit macam Yuss ni, menulis blog percuma macam ini pun sudah cukup baik untuk bersama2 berkongsi idea.

Yuss suka makan Dim Sum.

P/S Bilalah agaknya dapat menonton filem Yasmin, Muallaf yang diharamkan di Malaysia. Hmmm...

Photo by Google

Saturday 28 March 2009

Selamatkan Bumi

Jadilah sebahagian daripada komuniti yang bertanggungjawab. Selamatkan bumi sebelum terlambat.



Yuss menyokong usaha kesedaran pencegahan pemanasan global.

Thursday 26 March 2009

Terbelah Dua

Sebelum ini, kita pernah mendengar tentang perbezaan pendapat yang ketara antara Nik Aziz (selaku Mursydul Am Pas), dengan Presiden partinya, Hadi Awang dalam isu kerajaan campuran.

Ramai yang melihat inilah bibit2 perpecahan kepada dua kelompok di dalam Pas. Walaupun Nik Aziz kelihatan sangat tegas dengan pendiriannya melalui fakta2 yang dikeluarkan berdasarkan kepada keputusan yang telah dibuat dalam musyawarah parti tersebut sebelum ini, tetapi Hadi Awang masih belum lagi memberikan respon terkesan untuk menjelaskan kepada umum apakah yang dimaksudkan oleh beliau mengenai idea kepada kerajaan campurannya itu.

Bagi Yuss, ini ialah masalah dalaman Pas. Dan adakah UMNO juga mempunyai masalah dalaman seperti itu? Kalau sudah namanya sebuah organisasi politik yang besar, mesti ada perbezaan pendapat dan idea di dalamnya, bukan?

Melalui Perhimpunan Agong UMNO kali ini, kita boleh melihat dengan jelas perbezaan pendapat di kalangan perwakilan UMNO. Idea2 kepada transformasi UMNO dilihat tidak sehaluan melalui perwakilan dan pemimpin2 tertentunya yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Seperti tidak bersatu. Kalau seorang kata A, yang seorang lagi akan kata Z.

Dan perbezaan2 pendapat seperti ini boleh dilihat dengan jelas melalui peristiwa malam tadi, di mana ramai yang tidak senang dengan kemenangan Khairy.

Apabila beliau menang, dikatanya rasuah. Kalau beliau kalah, penyebabnya juga mungkin kerana rasuah. Padahal parti UMNO itu sendiri membenarkan Khairy bertanding. Rasuahkah parti politik itu kerana membenarkan perasuah bertanding di dalamnya?

Dan hari ini juga, Mukhriz, salah seorang calon yang tewas, telah bertegas dengan berkata, akar umbi Pemuda UMNO sebenarnya masih memihak kepada diri beliau. Wujud semacam rasa tidak puas hati yang ketara melalui keputusan undi para perwakilan semalam.

Mukhriz juga turut menunjukkan bibit2 rasa tidak sehaluan dengan ucapan terakhir Paklah sebagai Presiden parti mengenai isu 'orde lama'. Bibit2 perbezaan seperti inilah yang menunjukkan bahawa berlaku ketidaksepakatan pendapat dalam UMNO itu sendiri. Seperti ada Team Najib (yang dibayangi Mahathir) dan keduanya, Team Paklah.

Kita jangan salah ertikan maksud perbezaan pendapat seperti ini sebagai lambang demokrasi. Ia bukanlah cermin demokrasi sebenar. Intipati demokrasi yang sebenar ialah mereka yang sanggup menerima keputusan yang telah dibuat. Bukannya dengan terus mempertahankan kemenangan diri dengan pelbagai alasan (termasuklah alasan rasuah) dan seperti menafikan hak menang orang lain.

Selain daripada itu, isu kebebasan media internet yang disekat daripada membuat liputan perhimpunan kali ini juga mendapat reaksi yang berbeza2 daripada para perwakilan UMNO. Khairy ialah antara mereka yang lantang menyuarakan bantahan kenapakah perlunya sekatan media seperti ini diwujudkan semula.

Ramai yang melihat cara cengkaman kuasa yang tidak mesra rakyat seperti ini, mungkin telah dijalankan oleh Team Najib. Seperti kembali kepada cara dan zaman Mahathir dahulu. Inikah 'orde lama' yang dimaksudkan oleh Paklah, kita sendiri boleh menilainya.

Disamping itu, adakah isu sekatan media seperti ini ialah sebahagian daripada 'intipati' sebenar perubahan yang dilaung-laungkan oleh UMNO sebelum ini? Seperti kembali kepada zaman tekan menekan dan sekat menyekat. Kalau begitulah niatnya, ianya amat malang sekali kepada masa depan UMNO.

Atau adakah ianya juga boleh dilihat sebagai satu usaha berterusan Team Najib untuk menutup semua pintu perubahan yang pernah diberikan oleh Team Paklah melalui kebebasan medianya itu?

Mungkin berlaku satu penciptaan mentaliti kepada rakyat bahawa zaman 'bebas' media telah berlalu seperti berlalu perginya pemerintahan Paklah. Dan zaman Najib pula kenalah ikut cara Najib.


Dalam masa yang sama, kita sendiri boleh mengaitkan bukti2 kemalangan nasib kepada dua akhbar pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan yang telah digantung 3 bulan serta merta baru2 ini. Ianya seperti mengambil jalan berundur ke belakang kepada kebebasan yang pernah dicipta dan diizinkan oleh pemerintahan Paklah sebelum ini.

Betapa malangnya masa depan UMNO jika cara seperti ini berterusan...

Walau apa pun, seperti posting Yuss yang terakhir sebelum ini, Yuss masih berpendirian bahawa kemenangan Khairy sebenarnya telah memberikan sedikit harapan kepada UMNO yang ianya tidak dikuasai oleh satu pihak sahaja iaitu Team Najib. Itulah demokrasi kecil yang telah berlaku dalam parti tersebut.

Walaupun kecil majoriti undi yang dimenangi Khairy dan ramai yang mempertikaikan kemenangannya (atas alasan rasuah), tapi kita juga perlu ingat bahawa demokrasi ciptaan UMNO ialah tindakan terpilih mereka melalui Lembaga Disiplinnya.
Salahkan UMNO itu sendiri terlebih dahulu sebelum mengkambing-hitamkan individu2 tertentu di dalamnya.

Dan dalam masa yang sama juga, Perhimpunan UMNO kali ini telah membuktikan kepada kita semua bahawa semua parti politik mempunyai masalah masing2. Tak kiralah parti2 dalam BN atau dalam PR. Sama ada Pas, UMNO, PKR, DAP, MIC atau sesiapa sahaja.

Tetapi, kita juga perlu ingat, yang membezakan UMNO dengan parti2 lain ialah, perhimpunan perwakilan mereka telah dimedia-massakan 24 jam secara langsung di depan mata kita. Mahu tidak mahu, orang biasa seperti Yuss berhak membuat penilaiannya sendiri terhadap survival UMNO.

Yuss juga selalu bertanya kepada diri sendiri, adakah perpecahan dalam UMNO seperti ini mencerminkan wajah sebenar perpecahan orang Melayu? Hmmm...

Melayu oh UMNO oh Melayu... Hadiah terbaik untuk mereka ialah sebuah cermin yang besar!

Yuss termangu.

Wednesday 25 March 2009

Tahniah Khairy Jamaluddin

Jari-jari Yuss terasa amat gatal sejak dua hari yang lepas untuk menulis mengenai Perhimpunan Agong UMNO. Tetapi Yuss hentikan niat tersebut kerana tidak mahu terlibat dalam politik dalaman UMNO. Kerana Yuss bukan orang UMNO. Politik dalam UMNO ialah hak orang UMNO.

Tetapi kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO hari ini sudah tidak mampu lagi menghalang Yuss daripada menulis tentang Perhimpunan Agong tersebut. Atau lebih tepat lagi melihat kepada kemungkinan adanya transformasi atau perubahan dalam UMNO itu sendiri. Tahniah buat Khairy Jamaluddin.

Sebenarnya, sejak menonton debat dalam program Hujah di TV9 beberapa minggu yang lalu, Yuss telah pun membuat keputusan peribadi memilih siapakah calon pilihan Yuss untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru. Dengan alasan dan pandangan peribadi Yuss sebagai orang luar. Dengan harapan Yuss sebagai orang luar.

Kemudiannya, dalam forum internet yang Yuss selalu sertai, semua pihak memilih dan menyokong sama ada Mukhriz atau Khir Toyo yang akan menang melalui penilaian mereka terhadap program debat tersebut.

Daripada 50 lebih individu yang berforum secara aktif, hanya Yuss seorang sahaja yang memilih Khairy. Dan semua pihak menyerang Yuss. Semua orang kata Yuss bodoh dan tak tahu politik dalaman UMNO. Kali ini Yuss pula tersenyum kepada anda!

Yuss tolak ketepi hubungan anak menantu dengan Paklah. Yuss tolak ke tepi hal2 politik wang dalam UMNO. Yuss tolak ketepi hal2 kelompok team itu team ini dalam UMNO. Yuss tolak ketepi andaian dan spekulasi pihak2 tertentu dalam dan luar UMNO mengenai UMNO.

Yuss hanya memandang dan melihat kepada insan bernama Khairy Jamaluddin, bukan faktor sekelilingnya. Apakah pemikiran dan harapan yang boleh diberikan Khairy, itulah kunci utama pilihan Yuss.


Walaupun populariti Khairy jatuh merudum selepas pilihanraya umum yang lepas, beliau masih ada karisma yang boleh dipertahankan.

Yuss sendiri pun pernah menganggap politik Khairy akan terpadam dengan pemergian Paklah. Tapi Yuss terpikir semula, benarkah semuanya salah mereka di tingkat 4? Kenapakah kita suka meletakkan kelemahan atau kesalahan kita ke atas bahu orang lain dan bukannya diri sendiri?

Alasan kenapa Yuss memilih Khairy dahulu cukup mudah. Daripada ketiga2 calon yang berdebat di TV9 itu dahulu, hanya Khairy seorang yang ada matlamat masa depan yang jelas. Visi yang menjangkau masa puluhan tahun akan datang. Visi umum yang dikongsi bersama oleh semua generasi muda hari ini.

Bukannya visi untuk politik hari ini atau 2-3 tahun mendatang sahaja. Bukan juga visi untuk memenangkan parti sehingga pilihanraya umum akan datang sahaja. Dan yang terbaru, bukan juga visi untuk kemenangan 3 pilihanraya kecil (2 Bukit 1 Batang) semata2.

Bukan visi2 jangka pendek seperti ini yang Yuss lihat.


Khairy telah membuktikan bahawa visi muda beliau hari ini ialah visi memandang bangsa lain sebagai sahabat. Sama rata. Demi negara. Untuk negara. Tidak terlalu memberatkan hal2 Melayu sebagai subjek utama semata2.

Dan adanya juga intipati ucapan beliau pada malam ini dilihat amat kena dengan jiwa muda hari ini.

Antara isi ucapan beliau selepas diumumkan menang sebentar tadi ialah, kalau bangsa lain boleh hormat bangsa Melayu, beliau sendiri meminta supaya bangsanya juga menghormati bangsa lain.

Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum. Memikirkan orang lain sebelum diri sendiri ialah contoh pemimpin yang baik. Tidak seperti kebanyakan perwakilan2 lain yang terlalu taksub dan berlebih-lebih dalam melihat konsep Melayu sebagai kunci segala-galanya.

Inilah transformasi pemikiran baru dalam UMNO yang sangat2 diperlukan sekarang. Khairy berjaya membuktikannya melalui kemenangan hari ini.

Sekali lagi Yuss simpulkan, kemenangan Khairy hari ini telah mewujudkan satu persepsi baru kepada angin perubahan sebenar dalam UMNO yang diinginkan rakyat. Moga-moga.

Tahniah Khairy Jamaluddin.

Yuss tersenyum puas.

Monday 23 March 2009

Dua Filem Nusantara

Disebabkan isu Bahasa Malaysia masih hangat dibincangkan ketika ini, Yuss ingin berkongsi sedikit isu tentang jatidiri orang Malaysia ketika berbahasa. Kali ini dalam bentuk media filem hari ini.

Yuss pernah mengaitkan isu malunya kita berbahasa Malaysia dan mentaliti kita terhadap taraf Bahasa Malaysia dalam posting 'Mahathir dan PPSMInya'.

Cuba kita lihat dan tonton kedua-dua filem yang sedang hangat ditayangkan di pawagam ketika ini, Sayang You Can Dance dan Saus Kacang.

Sayang You Can Dance ialah filem Malaysia. Antara pelakonnya ialah seorang pelakon Indonesia, Samuel Rizal, yang melakonkan watak orang tempatan tetapi masih kuat loghat Indonesianya di dalam filem ini.

Dalam wataknya itu, diciptakan alasan bahawa ibunya (yang meninggal dunia ketika beliau masih kecil) ialah seorang yang berbangsa Indonesia. Disebabkan itulah beliau masih kekal berbahasa Indonesia sehingga dewasa walaupun telah dibesarkan di bumi Malaysia. Dan kita jangan lupa, bapanya yang membesarkannya ialah seorang rakyat tempatan. Pelik atau tidak?


Saus Kacang pula ialah filem Indonesia. Dan salah seorang pelakonnya ialah seorang pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair, yang melakonkan watak orang Malaysia.

Tetapi, atas sebab apa entah, wataknya dalam filem itu menggunakan loghat Bahasa Indonesia. Bicaranya tak ubah seperti orang sana. Padahal watak yang dipegang ialah sebagai rakyat Malaysia. Lagi kita pelik atau tidak?


Yuss membuat perbandingan ini hanyalah sebagai satu contoh betapa lemahnya jatidiri kita orang Malaysia. Filem2 inilah contoh terdekat yang boleh menunjukkan mentaliti dan wajah sebenar orang kita. Terlalu mudah untuk berubah dalam nilai kebahasaannya sendiri dan tak malu langsung.

Itu baru dalam filem. Dan realitinya di dunia luar? Kita sendiri boleh berfikir, bukan?


Dan ini belum lagi kalau Yuss hendak kaitkan dengan tajuk filem 'Sayang You Can Dance'. Walaupun ia hanyalah sekadar tajuk, tapi... Hmmmm... Entahlah...

Yuss... Awak Boleh Menari! =)

Photos by Google

Sunday 22 March 2009

10 Tahun Sebelum Merdeka

Melihat video ini beerti melihat kepada sudut pandang sejarah yang berbeza daripada apa yang kita selalu baca dan faham. Terutama sekali kepada idea propaganda yang selalu dicanangkan oleh UMNO di media massa kita hari ini.
Jangan kita menidakkan sejarah yang lain.




Video di atas terbahagi kepada 4 bahagian. Total masa seluruh dokumentari ialah lebih kurang 35 minit 22 saat.

Dokumentari oleh Fahmi Reza.
Laman web yang berkait di http://komas.org


Saturday 21 March 2009

Agenda Melayu Itu Ini

Semakin hampirnya Perhimpunan Agong UMNO, semakin bertambah banyak cerita tentang isu perpaduan Melayu.

Yuss akui Melayu hendaklah sentiasa bersatu. Tetapi Yuss juga mengakui Melayu juga mestilah menjiwai rasa bangsa Malaysia yang sebenar. Bersatu dengan kaum yang lain itu lebih penting daripada memikirkan kaumnya sendiri sahaja.

Forum2 ilmiah berkaitan orang Melayu semakin bercambah di merata2 tempat ketika ini. Semuanya dimedia-massakan. Seminar Agenda Melayu lah... Perhimpunan Pribumi Perkasa lah.... Semuanya berjalan dalam masa yang dekat antara satu sama lain. Termasuklah Perhimpunan Agong UMNO.

Sehinggakan Perhimpunan Pribumi Perkasa sanggup menaja satu slot penting di dalam program Astro Awani di saluran 501. Sebagai satu contoh.

Inilah satu bentuk penyampaian propaganda. Kerana ia melibatkan satu pihak sahaja, yakni satu kaum, di saluran percuma Astro di mana semua komuniti bangsa Malaysia boleh menontonnya. Itu belum lagi tengok berita di RTM, di BernamaTV, atau TV3.


Yuss sentiasa bertanya kepada diri sendiri, inikah agenda utama negara? Agenda Melayu? Adakah ia sebenarnya untuk survival negara, untuk bangsa atau untuk survival parti2 tertentu?

Cuba letakkan diri kita dalam diri orang lain. Katakan kita menjadi orang bukan Melayu atau pribumi, seperti orang Cina, India, Serani atau Punjabi. Apakah perasaan mereka? Salahkah kita merasa apa yang mereka rasa? Salahkah mereka merasa terasing di dalam komuniti negaranya sendiri, dalam konteks keMalaysiaan?

Kenapa seperti dipisahkan matlamat penyatupaduan antara kaum ini dan tidak mencari satu agenda bersama yang lebih menyeluruh? Kenapa terlalu menitikberatkan agenda Melayu sebagai agenda nasional?

Dalam masa yang sama, kalau betul Pribumi Melayu mahu menunjukkan mereka bersatu padu, buktikan kepada semua pihak bahawa Orang Asli juga sebahagian daripada PRIBUMI Malaysia? Sanggup?

Yuss pernah menulis isu Orang Asli di dalam posting 'Orang Asli'.

Kenapa memilih siapa yang patut jadi pribumi dan siapa yang bukan?

Selain daripada itu, kita selalu berkata Melayu itu Islam. Bukankah mata Allah memandang semua bangsa sama rata? Cuba tengok musim haji di Mekah. Hitam, putih, coklat, kuning, semuanya sama sahaja.

Persoalannya sekarang ini ialah sama ada melayu itu lebih tinggi dari Islam atau Islam lebih tinggi dari Melayu?

Kalau Yuss kata Yuss Islam tapi tak mengaku Melayu, Yuss ini apa?

Bukanlah niat hendak mencetuskan provokasi, tetapi Yuss tak nak yang lain rasa seperti terasing di bumi sendiri h
anya kerana beza wajah dan rupa.

Cuba kita pikir-pikirkan...

Kita ada komuniti India Muslim. Kita juga ada komuniti Cina Muslim. Ada antara mereka terus mengekalkan nama India dan Cina mereka. Ada antara mereka terus mengekalkan adat dan budaya India dan Cina. Melayukah mereka kerana Islam?

Yuss bangsa Malaysia.

Blogger Baru: Nik Aziz

[Terbaru, 26 Mac]
Laman blog Nik Aziz ialah http://blogtokguru.com

[Posting Asal]
Nik Aziz dilaporkan akan melancarkan blognya sendiri pada 26 Mac ini, seperti dalam laporan Utusan Malaysia tiga hari yang lepas. Yuss terlepas pandang.

Alhamdulillah... Bertambah meriah lagi nampaknya dunia blog tempatan.

Yuss teringat ketika zaman media2 massa di negara kita cuba 'menyerang' dunia blog sebagai tempat bercambahnya fitnah dan penuh penipuan. Tak ada satu pun yang betul kononnya. Lihat sahaja nasib Raja Petra yang dikambing-hitamkan.

Suatu 'zaman' yang Yuss anggap sebagai 'zaman gelap' orang2 kerajan. Zaman takut tak bertempat. Sebabnya belum cuba belum tahu.

Tapi sekarang, kita boleh melihat betapa ramainyalah orang2 BN sendiri yang menjadi blogger. Baru tahu penangannya macam mana kan?

Bagi Yuss, pandangan atau idea selalunya datang dan pergi tanpa idea. Kerana permulaan satu cerita kerap bermula dengan suatu idea. Dan permulaan cerita inilah yang memerlukan tempat untuk dipersembahkan. Blog ialah antara pentasnya.

Mereka yang hendak berfikir, mereka yang hendak berkongsi pemikiran, memblog ialah antara jalan istimewa idea mereka disatukan bersama. Oleh sesiapa sahaja. Untuk sesiapa sahaja.

Tak semestinya ia mesti menyakinkan, tapi sekurang-kurangnya, jika kita dapat mencuit minda seseorang untuk berfikir, itu sudah boleh dikira cukup baik.

Itu sebab Yuss memblog.

Kerana, dalam suatu idea, tidak ada idea yang bersifat kosong.

Kerana, dalam suatu pandangan, tidak ada pandangan yang bersifat kosong.

Semuanya berpunca dan bersebab.

Yuss terus memblog.

Friday 20 March 2009

Geng The Movie

Sangat lama Yuss tidak menulis tentang filem tempatan. Terlalu memberatkan dunia politik sehingga menjadi seperti semacam agenda utama penulisan Yuss di blog ini.

Kali terakhir Yuss sentuh tentang filem tempatan ialah filem Mukhsin semasa mula2 hendak menulis blog sendiri ini dahulu.

Hmmm... Kenangan oh kenangan!


Apa pun, Yuss ucapkan tahniah kepada filem Geng The Movie ini yang telah mencecah lebih RM6 juta! Tahniah! Tahniah! Tahniah!

Jarang Yuss tonton filem tempatan yang amat membanggakan. Sangat-sangat menghiburkan. Sebuah filem yang membuatkan Yuss sentiasa tersenyum dengan kecomelan Upin dan Ipin.

Rasa macam nak tengok je lagi filem ni. Kutipan RM6 juta lebih untuk cerita kartun Malaysia, siapalah yang tak bangga!

Yusspin... Kembar nombor tiga Upin & Ipin. =P

Photo by Google

Thursday 19 March 2009

Najib: Semakin hampir atau jauh?

Adakah Najib semakin hampir atau semakin jauh dalam impiannya untuk menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia?

Kebanyakan daripada kita melihat Najib membawa satu bagasi yang berat dan besar. Bagasi bernama persepsi. Persepsi tentang kes Altantuya. Dan persepsi tentang penglibatannya dalam kes Perak.

Mahathir sendiri bersetuju dengan pendapat ini.

Zaid Ibrahim, selaku bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ialah antara mereka yang bersuara lantang mahukan campurtangan Agong meneliti latar belakang Najib sebelum diperkenankan menjadi Perdana Menteri.

Dan suara2 besar parti pembangkang tak payah cakap lagilah. Semuanya sebulat suara tidak mahu Najib menjadi PM.

Orang dalam UMNO sendiri ada yang tidak bersetuju. Tetapi mereka terperangkap. Terperangkap sebab calon Presidennya hanya seorang. Namanya Najib. Apa boleh buat? Mahu tak mahu, terpaksalah disokong juga.

Tapi, mereka juga kena ingat, adakah tradisi melantik Presiden sebagai PM harus atau perlu sentiasa diikuti? Tradisi itu bukannya undang2. Tradisi itu bukannya wajib.

Kita sebagai rakyat biasa, ada sebab untuk risau tentang masa depan negaranya. Bayangkan jika media2 dunia mengangkat kes Altantuya secara besar-besaran. Apakah implikasinya ke atas imej Malaysia nanti?

Yuss sedar dan tahu, kita tak boleh kawal niat dan perangai manusia. Tambah2 lagi kalau ianya datang dari dunia barat. Nun jauh di hujung dunia sebelah sana. Dunia kebebasan media barat yang amat luas dan bebas sebebas-bebasnya. Mampukah kita mengawalnya dari dalam sini?

Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat?

Kenyataan Muhyiddin Yassin di Malaysiakini hari ini membuktikan bahawa usaha mengangkat diri BN (tanpa sengaja) untuk menjadi 'penderhaka' sama seperti pembangkang sekarang semakin menjadi realiti. Yuss pernah menulis tentang isu ini di dalam posting 'PM Nombor 6'.

Dalam masa yang sama, tak payahlah kita pergi jauh sampai hendak memasukkan isu ini ke dalam istana. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini. Sebabnya?

Lakukan ikut prosedur. Mulakan dulu dari dalam BN pula jika dalam UMNO itu sendiri gagal. Bukankah UMNO berada dalam BN? Bukankah parti2 komponen lain di dalam BN juga mempunyai suara yang boleh mendesak untuk menentukan siapakah calon yang paling sesuai untuk dipilih menjadi PM?

Katanya BN itu berdiri atas nama kesepakatan bersama parti2nya.

Adakah kuasa memilih PM ini hanya berhak ditentukan oleh orang UMNO sahaja? Kalau macam tu, apa gunanya parti2 lain terus berada dalam BN? Dominan tidak semestinya beerti berkuasa mutlak.

Adakah komponen2 BN yang lain mahu digelar sebagai boneka UMNO? Dimanakah intergriti mereka untuk bersama2 rakyat umumnya?

Parti2 lain dalam BN harus bersuara terlebih dahulu dan sama2 memilih calon PM terbaik mereka sebelum dipersembahkan kepada Agong. Jangan lupa bahawa UMNO bukan BN dan BN itu bukan UMNO sahaja.

Jangan jadi pak turut sudahlah.

Yuss pak surut. Sebab makin kurus. =)

Wednesday 18 March 2009

UMNO dan Kemelayuannya

Sejak kebelakangan ini, isu2 orang Melayu telah menjadi satu topik perbincangan luas tak kiralah di mana2 pun. Yuss menganggap kebangkitan isu Melayu ini ialah perang saraf besar-besaran pihak2 tertentu untuk mencari sokongan.

UMNO dilihat sedang cuba membawa mentaliti kepada seluruh rakyat bahawa mereka ialah satu-satunya parti yang membela orang Melayu. Secara halusnya, mereka berusaha secara kuat untuk membentuk minda masyarakat bahawa kedominan Melayu amat penting kepada survival masa depan negara bernama Malaysia.

Adakah usaha ini masih dianggap relevan dalam konteks 52 tahun kita merdeka atau mereka perlu berubah? Adakah usaha UMNO ini dianggap berjalan undur ke belakang atau tidak mengikut norma kehendak rakyat hari ini?

Bagi Yuss, secara jelas, UMNO sedang bermati-matian melakukan perang saraf memainkan isu mempertahankan kuasa Melayu. Adakah ia sebenarnya untuk survival bangsa atau untuk parti?

Battle UMNO sekarang ini ialah battle kepada orang Melayu khususnya. Adakah masih relevan lagi pandangan kemelayuan seperti ini kepada orang Melayu?

Dan dalam masa yang sama, UMNO juga kelihatan lupa kepada rakyat. Mereka lupa kepada masyarakat. Mereka lupa kepada undi yang diterima di tempat masing2. Mereka terlalu menitik beratkan isu keutuhan dan struktur kepimpinan parti atas nama UMNO semata2. Survival kepada nama UMNO.

Adakah mereka terlupa siapakah sebenarnya diri seorang ahli parlimen/Dun? Adakah kawasan mereka itu terdiri daripada orang Melayu sahaja? Tidak ada bangsa lain lagikah di kawasan mereka? Adakah mereka hanya mahu menjadi pembela orang Melayu sahaja di kawasan masing2?

Kenapakah bila bertemu masyarakat setempat, mereka mahu jadi pembela kepada semua kaum, tetapi bila masuk pejabat parti, mereka kembali jadi pembela satu kaum sahaja?

Adakah tiket nama BN semasa undi dahulu hanyalah sekadar lambang dacing yang kosong? Kerana jika kosong di kedua2 belah pemberatnya pun, dacingnya itu masih tetap nampak seimbang.

Disamping itu, segala serangan kepada pihak lawan yang dilakukan oleh UMNO memilih PKR sebagai mangsanya. Kes lompat parti di Perak, kes Elizabeth Wong, kes Bukit Selambau semuanya ini melibatkan orang2 PKR. UMNO cuba membentuk pemikiran orang Melayu bahawa PKR bukan parti orang Melayu seperti mereka.

Dan nilai pluralisme dalam politik Malaysia masih dianggap satu dosa besar oleh UMNO. Inilah gambaran yang cuba diberikan oleh mereka kepada parti PKR. Tetapi bukti pilihanraya umum lepas menunjukkan rakyat sanggup melakukan 'dosa' ini sebagai pilihan hidup mereka hari ini. Sejarah baru mungkin mahu cuba diciptakan oleh rakyatnya sendiri dalam segenap hal termasuklah politik.

Dalam masa yang sama, UMNO juga kelihatan tidak mahu menyerang Pas secara keras seperti yang mereka lakukan kepada DAP dan PKR. Mereka mahu melihat Pas ialah kawan dan bukan lawan. Kawan atas nama sesama kaum.

Tetapi adakah UMNO sedar atau buat2 tak nampak, bahawa Pas ialah parti berasaskan agama bukan kaum? Dominannya Melayu dalam parti Pas tidak bermakna ianya parti pembela Melayu. Pas sendiri secara terbuka menerima kaum apa saja dalam parti mereka asalkan mereka beragama Islam. Adakah konsep Islam dan Melayu cuba disamatarafkan dalam idea politik orang UMNO? Adakah wujud kesamarataan taraf maksud antara apa itu Melayu dan apa itu Islam di dalam berpolitik?

Selain daripada itu, UMNO juga mungkin telah menjadikan DAP sebagai kambing-hitam dalam isu kemelayuan. Isu2 intitusi raja2 Melayu, isu Karpal Singh, telah digunakan untuk membentuk pemikiran rakyatnya melalui agenda bahawa hal Melayu tidak boleh disentuh langsung.

Tidakkah kita sedar bahawa hal2 berkaitan keistimewaan dan kedudukan Melayu tidak boleh diubah sesuka hati oleh sesiapapun kerana ianya telah termaktub dalam perlembagaan dan perlu dipertahankan setiap masa?

Adakah UMNO juga cuba membentuk mentaliti rakyat bahawa jika DAP dapat memerintah negara secara satu parti, segala perlembagaan sedia ada ini akan diubah sewenang-wenangnya di masa hadapan? Adakah ini sebabnya UMNO menanamkan mentaliti kepada rakyat bahawa hanya UMNO ialah kerajaan dan kerajaan itu UMNO?

Kita semua sedar bahawa realiti satu parti sahaja yang memerintah tidak akan wujud kerana persepakatan antara parti2lah yang membentuk apa itu kerajaan dalam Malaysia hari ini atau di masa depan. Tak kiralah melalui BN atau PR atau lain2.

Orang Melayu juga sedar bahawa idealisme kepada nilai pluralisme kebangsaan tetap boleh dipegang dan dikembangkan dengan syarat hak istimewa dan kedudukan institusi beraja terus dipertahankan.

DAP sendiri amat komited kepada syarat ini. Semua parti2 politik di Malaysia juga perlu hormat kepada syarat ini. Jika tidak, pastinya parti mereka akan diharamkan daripada berjalan kerana menghina perlembagaan. Tak kira apapun ideologi politik masing2 di Malaysia, nasionalis, sosialis atau apa2 pun, selagi hormat kepada perlembagaan sedia ada, selagi itu mereka dibenarkan bertanding dan diterima masyarakat.

Bagi DAP, inilah cabaran terbesar mereka menongkah arus merubah persepsi masyarakat apa itu DAP terutamanya kepada orang Melayu.

Namun begitu, Yuss juga tertarik untuk bertanya, adakah kita menganggap DAP ialah parti dominan kaum Cina (seperti mentaliti umum sekarang ini), dan oleh yang demikian kita menganggap kaum2 lain yang menyertainya sebagai boneka orang Cina? Adakah Karpal Singh itu boneka Cina? Bukankah sesiapa pun boleh menyertai parti DAP asalkan mereka orang Malaysia?

Dan persepsi kepada PKR juga begitu. Adakah kaum2 lain yang menyertai PKR menganggap diri mereka sebagai boneka orang Melayu? Sebabnya mungkin melihat Melayu ialah kaum paling dominan dalam PKR.

Dan dalam masa yang sama juga, adakah salah untuk melihat MCA, MIC, Gerakan dan parti2 lain dalam BN sebagai boneka UMNO? Kerana UMNO ialah parti paling dominan dalam BN. Adakah orang UMNO akan melenting jika pendapat ini menjadi tajuk umum untuk dibincangkan?

Inilah idea politik sempit apabila isu berasaskan perkauman seperti ini dicanang-canangkan oleh pihak2 tertentu.

Seperti satu permainan anak patung boneka yang selalu dimainkan oleh budak2 kecik. Khayal dimainkan mengikut kehendak dan keseronokan diri sendiri. Sampai lupa kepada orang sekelilingnya.

Yuss juga berharap UMNO dapat melihat semua ini secara jujur. Dan sama ada agenda ini ialah antara pembaharuan yang ingin dilakukan dalam perhimpunan Agongnya nanti, kita tunggu dan lihat.

UMNO itu sendiri maksudnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Tapi akronim itu asalnya singkatan daripada Bahasa Inggeris. Perkembar ialah kata Bahasa Malaysia.


Melayu apa yang pakai Bahasa Inggeris? Melayu yang malu jadi Melayu ke? Katanya pembela Melayu...

Orang Malaysia pun pakai Bahasa Malaysia. =)


Takut pada bayang2 sendiri atau kabur pada jatidiri sendiri? =P

Yuss sendiri sentiasa mempersoalkan tentang kemelayuan diri Yuss. Adakah kaum mengatasi segala-galanya? Adakah kaum mendominasi segala-galanya? Adakah kaum jaminan segala-galanya? Adakah kaum asas segala-galanya?

Yuss Melayu yang tidak Melayu.

Monday 16 March 2009

Melancong Tak Berduit

Posting ini ditulis atas permintaan untuk program TV, U-Wartawan di Astro Awani 19 Mac 2009. Ada ideanya yang disampaikan tetapi tidak dikreditkan kepada blog ini. TERIMA KASIH!

Agak lama Yuss tidak pergi bercuti. Teringin pulak rasanya hendak pergi berjalan2. Tambah2 lagi kalau dapat pergi melancong sebelum keadaan ekonomi kita menjadi semakin meruncing dan mendesak.

Ada orang kata kita sepatutnya berjimat cermat dan simpan duit. Alasannya apalagi kalau bukan sebab ekonomi yang meleset dan kita dinasihatkan mengambil langkah2 pencegahan yang awal daripada sekarang.

Tetapi apabila melihat iklan2 atau berita2 pelancongan seperti AirAsia yang mengumumkan akan menurunkan lagi harga tiket, ianya telah menjadi satu daya penarik yang kuat kepada orang biasa seperti Yuss untuk pergi melancong.

Hmmm...

Adakah keadaan 'murah' sekarang ini menjadi satu kebaikan kepada kita? Atau kita sebenarnya cuba berboros kepada masa depan ekonomi yang sukar?

Peluang atau bazir?

Jika Yuss menganggap ianya satu peluang, nampak gayanya, cara untuk melancong juga kenalah berubah. Terpaksalah kembali melancong seperti di zaman menjadi pelajar dahulu iaitu...

Backpacking
. Yuss anggap ini ialah cara paling baik untuk melancong bila tak berduit (sebenarnya cara berjimat yang paling bijak). Hehehe.

Pergi duduk hostel... Pergi makan kat tempat2 murah. Dan tak shopping di gudang2 besar dan berjenama. Alahai... Seronoklah pulak bila dipikir2 balik!

Hmmm... Nasib baiklah masih bujang lagi, senang nak bergerak apabila backpacking.

Yuss jugak merasakan, dalam keadaan ekonomi seperti sekarang inilah masa yang terbaik untuk muhasabah diri. Kembali kepada realiti kesusahan yang pernah dialami dahulu. 'Kesusahan melancong' di mata orang kebanyakan tetapi sebenarnya tidaklah sesusah manapun, hanya berbeza cara sahaja.

Dan cara ini sebenarnya lebih menyeronokkan lagi. Dan cara melancong seperti ini pun telah lama Yuss tinggalkan. Itu pun disebabkan oleh perubahan masa, usia, kerja dan kehendak hidup.

Yuss juga terpikir, jika industri penerbangan boleh menurunkan kos kepada para pelanggannya dalam keadaan ekonomi sekarang, rasanya, pelancong juga boleh menjadi bijak dan ambil idea ini (menurunkan kos) sebagai jalan bagaimana hendak berjimat semasa melancong nanti. Dan salah satu caranya ialah berbackpacking, betul tak? Hehe...

Dalam masa yang sama, kadang2 Yuss terpikir2 juga, kalau orang biasa macam Yuss terpaksa mengubah gaya hidupnya seketika kerana mengikut suasana ekonomi negara dan dunia, adakah negaranya juga sudah bersedia untuk berubah dengan industri pelancongannya?

Sebabnya kita tak dapat lari daripada mentaliti melihat industri pelancongan sebagai nadi utama ekonomi negara kita. Dan apabila kita sebut perkataan pelaburan dan ekonomi, mata kerajaan kita selalunya dilihat menjalar kepada orang2 kaya yang sanggup melabur. Macam projek2 mega seperti Wilayah Iskandar di Johor sana tu.

Agak2nye lah kan, bila tunjang kepada idea ekonomi ini dicampur-tolakkan dengan industri pelancongan, pelancong2 'kaya' seperti dari Tanah Arab mungkin telah menjadi pilihan orang yang membuat dasar pelancongan negara kita. Mereka mungkin melihat wang 'emas hitam' Pak2 Arab ini sebagai satu pelaburan penting kepada peniaga2 kita. Tengok saja Bukit Bintang yang tak ubah macam bandar Arab. Kan? ;)

Rasa2nya, salah atau tidak jika kerajaan kita mengubah rentak mereka yang sentiasa melihat pelancong sebagai 'lubuk duit' untuk mengaut keuntungan semaksimum mungkin kepada suatu persepsi yang berbeza?

Tidak lagi menjadikan pelancong2 kaya sebagai subjek utama ketika membuat dasar pelancongan negara dalam keadaan meleset sekarang ini. Dan sebaliknya sanggup melihat subjek2 kecil seperti golongan2 backpackers.

Kerana pelancong2 jenis ini (backpackers) akan tinggal lebih lama dan bergerak ke lebih banyak tempat. Mereka tetap datang walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dan ekstrem sekalipun, kerana mereka tahu dan bijak mengadaptasi suasana.

Dan jika kita lihat situasi sekarang ini, graduan yang menganggur pun digalakkan oleh kerajaan untuk membina diri menjadi usahawan kecil untuk menghadapi kemelesetan ekonomi.

Kalau kita boleh ambil konsep ini, yakni konsep memandang benda2 kecil sebagai satu sumber, apalah salahnya jika industri pelancongan juga kembali kepada kelompok pelancong2 yang berduit kecil (sebenarnya berjimat cermat) macam Yuss ni. Walaupun kecil nilai duit kami, tapi kelompok kami ramai dan besar.

Duit kecil, pelaburan kecil, dan semua yang kecil2 ini jika dikumpulkan lama2 esok akan jadi BESAR juga.
.. Betul tak?

Cukuplah idea mempromosikan negara Malaysia sebagai syurga membeli-belah yang terhebat. Mega Sale! sana... Mega Sale! sini... Yuss pun dah muak dengan promosi seperti ini. Asyik promosi yang suruh kita perabih duuuuuuiiiiiiiitttttttt..... aje memanjang.

Inikah sebenarnya maksud pelancongan di Malaysia? Syurga membeli-belah? Alahai cuti-cuti Malaysiaku...

Semuanya ibarat memandang duit, duit dan duit melalui pelancongan. Kaya Kaya Kaya. Kita akan kaya! Rakyat pun jadi keliru. Siapa yang kaya? Rakyat ke yang kaya?

Padahal yang disuruh berbelanja ialah rakyatnya jugak...

Dalam masa yang sama juga, tak ke menarik kalau kerajaan sanggup menukar agenda mengubah dan menanam cara rakyat berfikir apa itu melancong? Mendidik masyarakat apakah sebenarnya pelancongan?

Adakah melancong itu sebenarnya ialah shopping sana shopping sini? Adakah melancong itu sebab dapat duduk hotel itu hotel ini? Adakah melancong itu sebab dapat melakukan aktiviti2 riadah melalui pakej itu ini?

Inilah contoh2 'idea' atau gambaran di sebalik cuti-cuti Malaysia dalam kebanyakan risalah2 pelancongan yang Yuss baca dan lihat.

Yuss anggap melancong dalam Malaysia ni sudah tak ada jiwa. Semuanya dikomersilkan atas nama duit terutamanya sekali kepada rakyat negaranya sendiri! Ada duit maknanya baru boleh melancong. Bila sebut sahaja perkataan melancong, kita mesti membeli belah. Bosan betul dengan mentaliti ini!

Nilai manusia dan budaya setempat telah lama dibuang atau 'terpadam' dalam sekeping kertas risalah pelancongan di dalam negara bernama Malaysia.

Akibatnya, kebanyakan rakyat Malaysia kini memilih untuk pergi melancong ke luar negara. Sekurang-kurangnya ke negara2 jiran. Kerana kosnya lebih kurang sama tak kira dalam dan luar negara. Kerana kelainan dan kepelbagaian ialah penyebab utama mereka lari daripada melancong dalam negara. Mereka cuba hendak lari dan cari 'jiwa' yang berbeza. Barulah mereka dapat merasakan nikmat sebenar melancong.

Padahal dalam negara sendiri sebenarnya banyak 'jiwa' yang berbeza yang boleh diperolehi tapi kita tidak 'di didik' untuk mencari nikmat sebenar melancong.

Kerana mentaliti shopping telah ditanam dalam minda kita sebagai agenda utama pelancongan Malaysia.

Dan kalau tanya Yuss sekarang, apakah destinasi pilihan untuk melancong kali ini? Hehe... Biarlah rahsia.

Yang penting bukan Malaysia. =)

Selamat bercuti!

Photo by Google

Sunday 15 March 2009

PM Nombor 6

Perhimpunan Agong UMNO semakin hampir. Peralihan kuasa seperti yang diwar-warkan semakin dekat. Tidak syak lagi, Najib bakal dilantik secara rasmi sebagai Presiden Baru UMNO.

Tetapi peralihan kuasa yang bagaimana yang dijanjikan kepada kita? Adakah seorang Presiden UMNO akan secara automatiknya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia?

Salahkah Paklah terus kekal sebagai PM walaupun Najib ialah Presiden UMNO? Tidak kan?

Adakah Paklah akan umum letak jawatan sebagai PM? Kita tunggu dan lihat.

Adakah Yang Di-Pertuan Agong berkenan melantik Najib menjadi PM? Bukankah ianya terserah kepada baginda, bak kata orang UMNO dalam drama Perak? =)

Contoh-contoh yang berlaku selepas Pilihanraya Umum ke-12 Mac tahun lalu membuka mata Yuss. Antaranya ialah drama perlantikan MB di Perlis dan MB di Terengganu.

Apa bezanya dua negeri ini dalam soal perlantikan kepala kerajaan mereka jika dibandingkan dengan soal kepala kerajaan persekutuan kelak?

Jika drama Perak sekarang ini banyak melibatkan suara2 mengaitkan istana, adakah istana juga akan diheret sekali lagi dalam kancah perlantikan Perdana Menteri? Bukan soal layak atau tidak seseorang calon PM itu dari segi peruntukannya menjadi pertaruhan, tetapi titah perkenan seorang Agong itu yang ingin Yuss lihat.

Manalah tahu kalau orang2 dalam istana nampak soal ekonomi perlu diutamakan dahulu dan isu soal peralihan kuasa menjadi nombor dua, siapalah yang tahu. Tuhan saja yang tahu.

Jika, dan hanya jika, seorang Agong tidak berkenan melantik seseorang sebagai PM (katakan Paklah sudah letak jawatan PM), adakah selepas ini akan ada usaha besar yang cuba mengangkat Sultan sekadar sebagai lambang dan simbol semata2 dan pihak2 ini juga mahu turut sama 'menderhaka'?

Kesian Shahidan Kassim... Kesian Idris Jusoh... Kesian?

Semua orang Yuss kesian... =P

Saturday 14 March 2009

Mahathir dan PPSMInya

Hari yang ditunggu2 telah pun tiba. Inilah saat2 yang Yuss nanti-nantikan sejak berhari2 yang lalu.

Hari ini, Mahathir telah menyentuh isu PPSMI ini secara bernombor2 seperti yang pernah Yuss andaikan sebelum ini.

Secara keseluruhannya, Yuss melihat Mahathir terus menyalahkan golongan nasionalis yang kononnya memperjuangkan nilai kebahasaan sendiri secara keterlaluan. Golongan2 yang berdemonstrasi dianggap didalangi pembangkang.

Sudah jelas lagi bersuluh, GMP telah berkali2 mengatakan mereka tidak berpihak kepada mana2 parti politik pun. Sudah acapkali kenyataan ini dikeluarkan.

Jika Mahathir terus menganggap demonstrasi jalanan di negara kita ialah satu hasil kerja wajib pihak pembangkang, izinkan Yuss bertanya, adakah demonstrasi besar-besaran di Ipoh baru2 ini yang disertai Pemuda UMNO yang hendak mempertahankan kedaulatan Sultan, juga dianggap kerja pembangkang (PR)?

Selain daripada itu, Mahathir mengakui secara terbuka bahawa kebanyakan istilah2 sains asalnya daripada bahasa Latin yang diinggeriskan. Hujah ini digunakan oleh beliau untuk mempertahankan Bahasa Malaysia bukan bahasa Sains dan Matematik.

Izinkan Yuss bertanya, bahasa Latin itu cabangnya pergi ke Bahasa Inggeris sahajakah? Bukankah keluarga bahasa Latin itu sendiri sebenarnya bercambah menjadi Bahasa Perancis, Bahasa Itali, Bahasa Sepanyol dan lain2 bahasa-bahasa di Eropah?

Kalau Bahasa Inggeris dianggap meminjam bahasa2 di luar ruang lingkupnya (dari segi kelatinannya contohnya), adakah salah Bahasa Malaysia meminjam kata dasar bahasa Latin untuk dimelayukan? Bahasa Inggeris itu sendiri asalnya bukan cambahan daripada bahasa Latin.

Jika hidup Sains dan Matematik ingin dipaksikan kepada konsep ini, Yuss beranggapan ianya bukan satu kesalahan untuk kita gunakan maksud asal sesuatu perkataan sains tersebut sebagai asas penterjemahan ke dalam Bahasa Malaysia.

Oksigen, pengoksidaan, oksidasi, oksida dan sebagainya tetap boleh diterima oleh Bahasa Malaysia. Ianya bukan satu kesalahan.

Perkara paling pokok ialah proses penterjemahan. Secara jelas dan terbuka Mahathir telah mengakui kelemahan kita dalam hal ini. PROSES PENTERJEMAHAN!

Antara alasan lemah beliau ialah kita kekurangan pakar dalam bidang ini. Hanya beberapa kerat sahaja. Dan orang2 seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Betapa terkejutnya Yuss melihat pandangan seorang yang bergelar bekas pemimpin negara.

Kalau beliau sedar kita kekurangan manusia di bahagian penterjemahan ini sejak dulu lagi, kenapakah tidak diperbaiki? Kenapakah tidak dibudayakan bidang pekerjaan tersebut sebagai satu cabang ekonomi negara? Kenapakah kerajaan tidak mahu meletakkan peruntukan besar-besaran dalam bidang ini? Kenapakah tidak dikomersilkan bidang penterjemahan ini? Kenapa tidak ditanamkan minat rakyat memasuki bidang ini? Siapakah yang bertanggungjawab dalam menyampaikan matlamat ini? Kerajaan atau rakyat?

Jika di barat mereka ada pakar kamus (lexicographer) yang berkebolehan menghafal, menganalisa secara semantik dan sintagmatik hubungan ketatabahasaan keseluruhan kamus Bahasa Inggeris dan menjadi satu bidang ilmu penyelidikan yang tinggi dan diminati, kenapakah kita tidak boleh?

Siapakah yang MEMATIKAN minat orang kita untuk berilmu dalam Bahasa Malaysia?

Yuss pernah menulis di dalam blog ini tahun lepas mengenai keengganan Yuss menulis tesis tahun akhir di universiti tempatan dalam Bahasa Inggeris suatu ketika dahulu. Tajuknya ialah berkaitan Sains Kajihayat Tumbuhan. Yuss tidak dibenarkan menulis dalam Bahasa Malaysia. Alasan mereka cukup mudah. Ianya telah dibudayakan sejak sekian lama dan bagi memudahkan proses mengarkib dijalankan.

Adakah ini puncanya kita kekurangan ilmu dalam bidang Sains dalam Bahasa Malaysia? Kita diwajibkan menulis dan mempersembahkan tesis dalam Bahasa Inggeris. Dan kita hanya digalakkan sahaja menulis penterjemahan ke dalam Bahasa Malaysia jika mahu dan rajin. Bukan diwajibkan. Salah polisi atau salah siapa?

Akhirnya Yuss tinggalkan dunia pendidikan Yuss itu begitu sahaja tanpa rasa bersalah dan berdosa.

Kenapakah di peringkat tinggi pengajian, Bahasa Malaysia dianaktirikan? Kenapakah kita tidak mahu membudayakan pemikiran penulisan dalam Bahasa Malaysia?

Alasan2 yang Yuss pernah dengar daripada pensyarah suatu ketika dahulu apabila diajukan soalan tentang isu ini ialah alasan supaya kita dapat membantu memudahkan orang luar memahami hasil kerja kita.

Adakah orang luar lebih penting daripada orang kita sendiri? Dan kenapakah kita tidak mahu memberikan ilmu kita kepada orang luar dengan bahasa kita? Kenapa kita tak mahu biarkan mereka menterjemah hasil kerja kita? Kenapa tidak begitu? Kenapa?

Sudah 52 tahun kita merdeka, tetapi salah siapakah sebenarnya yang tidak membenarkan Bahasa Malaysia berkembang maju? Adakah salah pemimpin yang memimpin negara dengan ideologi pilihan mereka atau salah rakyat?

Yuss akui kebanyakan buku2 rujukan di universiti dahulu terutamanya dalam bidang Sains Kajihayat adalah dalam Bahasa Inggeris. Yuss baca dan Yuss paham. Tapi cara pemikiran Yuss untuk berfikir dan mengadaptasi ilmu2 ini dilakukan dalam Bahasa Malaysia. Tidak bermakna Yuss bodoh dan tak paham langsung apa yang Yuss baca.

Ilmu penguasaan bahasa kedua sudah cukup kuat untuk difahami oleh pelajar2 kita melalui kelas Bahasa Inggeris. Ia diwajibkan dari Darjah Satu lagi. Yuss mengakui ianya mencukupi untuk mendidik Yuss memahami pembacaan dan pertuturan dalam Bahasa Inggeris. Sepatutnya keperkasaan Bahasa Inggeris perlu diperbetulkan terlebih dahulu dalam kelas Bahasa Inggeris itu sendiri. Bukannya Sains dan Matematik. Inilah yang peliknya.

Kemudian Yuss ke luar negara atau lebih tepatnya lagi, United Kingdom, untuk pergi belajar ilmu Rekaan yang Yuss pilih. Ia berkehendakkan Yuss berinteraksi dalam Bahasa Inggeris di dalam kelas dan pembelajaran. Tetapi Yuss tidak paksa diri Yuss untuk mengikut cara percakapan orang sana. Yuss tetap dengan jatidiri Yuss berloghat Melayu apabila bertutur Bahasa Inggeris.

Yuss tak malu pun bila Yuss tersalah perkataan atau tatabahasanya ketika belajar di dalam kelas. Kerana mereka tahu, Bahasa Inggeris bukan bahasa pertama Yuss. Mereka menghormati latarbelakang dan bahasa Yuss.

Tapi Yuss beradaptasi untuk berubah kerana persekitarannya yang memaksa Yuss untuk berubah.


Pelajar2 antarabangsa yang lain juga begitu. Dari China dengan loghat Cinanya, dari Thailand, dari Sweden, dari Sepanyol, dari India, dari Nigeria, dari mana2 sahajalah. Cara percakapan mereka, susun atur ayat2 dan yang lebih penting lagi, jiwa idea mereka tidak sama antara satu sama lain.

Yang penting, kita paham dan mampu menerangkan apakah idea dan fakta disebalik hasil kerja kita. Bagaimana caranya kita mengolah minda kita itulah yang ingin dilihat oleh guru2 di sana.

Dan ada di antara pelajar antarabangsa, dari India contohnya, yang Yuss lihat petah dan fasih bercakap Inggeris (kadang2 terlebih bising dalam kelas), dan kertas kerjanya penuh dengan perkataan2 besar dan hebat, tapi markahnya tetap juga rendah berbanding Yuss.

Buku-buku rujukan semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tapi ianya tetap tak jadi masalah kepada Yuss untuk berfikir dalam bahasa pilihan Yuss sendiri.

Semua ini berbalik kepada jatidiri kita sendiri. Jika pemimpin2 itu sendiri sudah sanggup menunjukkan kemaluan kepada bahasa ibunda mereka, apa lagi yang termampu oleh orang kebanyakan untuk berfikir dan sama2 berusaha merubah masa depan negara.

Cuba tanyakan dalam diri kita semua.... apabila kita berbicara atau bersembang dengan orang luar yang tidak dikenali, katakan dari Indonesia, bagaimanakah kita berbahasa?

Adakah kita akan ikut sama rentak loghat Indonesianya atau terus kekal berbahasa Malaysia? Nak nampak mesra, waduh waduhhhhh.... Seboleh-bolehnya kita juga mahu jadi orang Indonesia, nggak gitu dong?

Itu dikira bernasib baik lagi jika kita mahu berbicara Indonesia. Dibantainya ada antara kita yang terus nak cakap English, tak ke boleh pengsan dibuatnya? Padahal sama2 serumpun.


Inilah sebenarnya apa yang Yuss katakan tadi tentang soal jatidiri. Jatidiri malu dengan bahasa sendiri. Segan dengan bahasa sendiri. Tak nampak hebat kalau bertutur dalam bahasa sendiri. Inilah mentaliti umum kita terhadap Bahasa Malaysia.

Dalam masa yang sama, lain pula ceritanya kalau kita boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik, secara automatiknya kita akan dianggap hebat, urban dan tergolong dalam golongan bijak pandai. Inilah yang dinamakan satu persepsi menghukum sebelum berfikir. Bukankah pemikiran manusia itu sendiri yang sepatutnya dilihat untuk menilai kebijaksanaan seseorang?

Nasib bahasa akan pupus tanpa kita sedari kalau kita tidak berubah. Proses kepupusan itu sendiri tak ada siapa yang sedar. Proses itu terus berjalan tanpa dipaksa dan lama-kelamaan akan memakan diri.

Hari ini kita berbicara tentang kehebatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Tapi kalau esok lusa dunia memandang Bahasa Mandarin sebagai bahasa dunia, kita nak kata apa?

Yuss tidak mahu jadi bangsa yang pupus.

Friday 13 March 2009

Jutawan Nizar

Yuss jarang terkesima apabila mendengar komen2 atau kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang pemimpin politik.

Dan Yuss juga jarang sekali mengeluarkan komen2 peribadi pemimpin politik di dalam blog ini. Yuss tidak berminat.

Tetapi kenyataan Nizar yang dipetik daripada The Malaysian Insider di bawah ini membuatkan Yuss betul2 terpegun seketika:

“I was a millionaire before this, when I was a professional engineer. You can check my bank account.

“I drove eight cars — three were Mercedes Benzs and I had a BMW too.”

Nizar added that after he became the Mentri Besar, his salary barely touched RM15,000 a month.

“Before this, I could have earned at least RM40,000 a month. Plus, I only spent a few hours in the office once a week.

“As Menteri Besar, I worked from 7am to about 2am. But we were willing to relinquish all these pleasures of life because this is not what life is all about,” he said.


Selepas membacanya, Yuss bertanya kepada diri sendiri, adakah beliau seorang yang riak dan takbur kerana bercerita tentang kemewahannya sebelum ini?

Adakah beliau seorang yang suka menunjuk2 dengan kesenangan yang beliau ada?

Atau adakah beliau cuba meraih simpati kerana pengorbanannya yang besar itu?

Apakah yang dapat Yuss lihat?

Yuss melihat ianya ialah satu kenyataan berjiwa tentang keihklasan dan keterbukaan. Tidak meminta dan tidak diminta untuk diberi dan memberi.

Yuss juga tidak berminat bercerita tentang jumlah harta dan pengorbanannya untuk difaktakan. Tapi cara pembawaan dan cara menyakinkan yang beliau keluarkan itulah yang mengkagumkan Yuss.

Alangkah indahnya jika ramai lagi pemimpin2 besar tanahair mengambil sikap sebegini. Inilah sebenarnya contoh perubahan yang diinginkan rakyat. Sukar sangatkah untuk pemimpin2 UMNO melihat semua ini?

Rakyat tidak mahu lagi mendengar retorik perubahan yang dijanjikan tanpa dapat dilihat dan terkesan seperti ini. Bukan sukar sangat pun untuk merubah sikap. Bermula dari dalam diri sendiri.

Ubah persepsi masyarakat tentang siapa itu pemimpin politik. Ianya bermula dalam diri seorang individu bagaimana dan bila untuk merendah diri.

Bukan perubahan besar-besaran terhadap struktur parti, atau struktur kepimpinan parti, atau matlamat parti, atau kertas kerja parti yang menjadi keutamaan mereka.

Perubahan melihat diri sendiri sebeginilah yang diinginkan rakyat. Berubahlah pemimpin2 UMNO. Gunakan Perhimpunan Agong anda sebagai permulaan kepada perubahan individu yang baru.

Mulakan sesuatu yang ikhlas untuk diterima semula. Moga-moga.

Yuss berharap. Sekali lagi.

Thursday 12 March 2009

'Mimpi' Pertemuan Paklah-Anwar

Pertemuan mengejut antara Paklah dan Anwar sempena Maulidurasul di sebuah Madrasah di Hulu Langat, Selangor dua hari lepas menjadi bualan hangat dunia maya tanpa Yuss sedari.

Bagi Yuss, tiada apa yang mengejutkan. Secara jelas ianya memang sesuatu yang dijangka dan dirancang. Tidak ada apa yang memungkinkan ianya sesuatu yang tidak disengajakan.

Perjalanan dari Putrajaya ke Hulu Langat bukanlah ibarat perjalanan lurus di sebuah lebuhraya. Tetapi menuju ke jalan kampung yang sempit dan bengkang-bengkok. Ada matlamat yang cuba dirungkaikan kepada rakyat atas nama spekulasi melalui pertemuan ini.

Dan kebanyakan daripada kita meletakkan 'harapan besar' sesuatu mungkin telah dikata, diluah dan dibincangkan antara mereka berdua.

Kesibukan Najib menguruskan hal pembentangan bajet mini diambil kesempatan sepenuhnya oleh sang ketuanya untuk bertemu 'kawan lama'.

Dan kesibukan kerajaan selepas ini kerana hendak menyakinkan rakyat tentang perbelanjaan wang RM60 bilion akan dimanipulasi sebaik mungkin bagi menutup minda musuh-musuh mereka daripada bercerita tentang pertemuan tersebut. Inilah satu kemungkinan yang diharapkan.

Memang benar kita sedang menghadapi kemelesetan ekonomi dunia. Tetapi Yuss tidak nampak pun dengan jelas karisma Najib menyakinkan rakyat biasa secara kuat dan jitu berbanding Menteri2 Kewangan sebelumnya dalam pembentangan bajet mereka.

Hanya kejutan yang tercipta oleh Najib melalui pengumumannya dengan nilai angka RM60 bilion. Satu pakej ransangan ekonomi terbesar negara untuk kegunaan dalam tempoh 2 tahun. Sebelum ini, anggaran spekulasi asal hanyalah sekitar RM10 bilion. Dan kebanyakan pakar ekonomi sebelum ini pula meramalkan sekitar RM30-50 billion mungkin diperlukan.

Inilah sebenarnya yang lebih mengejutkan berbanding pertemuan mengejut Paklah-Anwar.

Dan kebanyakan pandangan penulis2 ekonomi luar yang Yuss baca melihat pakej stimulus Najib ini dengan penuh skeptikal. Dari mana datangnya kemampuan kewangan kita dan besar mana hutang kita selepas ini menjadi persoalan mereka. Walau bagaimanapun, Yuss masih berharap akan ada suatu langkah magikal yang berlaku dalam menyelamatkan ekonomi kita.

Kita tinggalkan dulu pasal ekonomi. Yuss sentiasa mendoakan yang terbaik untuk negara kita.

Berbalik kepada hal pertemuan Paklah-Anwar ini, Paklah mungkin menggunakan peluang ini untuk mengambil kesempatan membiarkan rakyat terus bermain minda politik dan akhirnya mampu mengurangkan rasa stres rakyat memikirkan hal ekonomi mereka yang semakin teruk.

Atau mungkinkah juga suatu perubahan politik yang besar sedang melanda negara? Siapa yang tak suka berspekulasi, kan? Pelbagai teori dan andaian akan mulai subur dalam diri kita. Satu bentuk 'harapan' juga semakin cuba dibentuk sebagai 'penawar' kepada pelbagai masalah di dalam negara kita.

Dalam harapan ini akhirnya membawa kepada mimpi. Kadang2 mimpi juga boleh menjadi kenyataan.

Nak jenguk apakah mimpi Yuss? Jom layan...

Yuss teringat Teori Rahman yang semakin menjadi kenyataan. Kehendak Paklah yang sangat2 mahukan Najib menjadi penggantinya semakin jelas.

Sejak akhir2 ini kelihatan Paklah bersungguh2 mahu menyerahkan segala-galanya kepada Najib. Maka, penutup kepada perkataan Rahman memang perlu dipenuhi dengan huruf 'N'. Tiada pilihan lain selain Najib.

Ada yang berkata Teori Rahman ialah penamat kepada pemerintahan BN atau lebih tepat lagi UMNO.

Kita ada UMNO yang berjalan sehingga 1987 sebelum diharamkan. Kita juga ada UMNO Baru yang didaftarkan semula selepas itu. Mungkinkah akan wujud satu lagi 'sayap baru' yang ingin didaftarkan selepas ini?

Mungkin ianya akan dinamakan UMNO Bersih.

Alasan2 seperti tidak sehaluan lagi dengan perjuangan terkini UMNO Baru akhirnya membenarkan golongan2 tertentu di dalamnya mencipta UMNO Bersih.

Maka kita ada dua (2) UMNO.

UMNO Baru diketuai Najib. UMNO Bersih diketuai Paklah.

Paklah pula ada cukup ahli Parlimennya melebihi 30 orang. UMNO Bersih ini dikatakan ingin berkerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR). Wah! Biar betul!

Bunyi macam kerajaan campuran... Ape2 je lah!

Bila dibelek-belek nama baru UMNO ni, Yuss pun rasa pelik. Ingatkan singkatan untuk United Malay National Organisation, tapi rupa-rupanya United MALAYSIAN National Organisation.

Patutlah PR pun tak kisah sangat dan terima dengan hati terbuka.

Dalam 30 lebih ahli2 Parlimen yang masuk UMNO Bersih, Ku Li pun terselit sama sambil tersenyum angkat tangan.


Haiii.... Yuss suka mimpi bukan2. Semakin dalam mimpinya, semakin mengarut pulak jadinya. Tak salahkan kita mengimpikan impian mimpi? Tapi, jangan percaya dengan mimpi karut, sudahlah.

Yuss suka tidur sambil tersenyum. =)

Sunday 8 March 2009

GMP Satu Kejayaan

Terlebih dahulu Yuss ingin mengucapkan syabas di atas usaha berani Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menggerakkan rakyat memahami isu ini dengan lebih jelas melalui perhimpunan semalam.

Yuss secara jelas telah dihalang mental dan fizikalnya daripada menyertai pehimpunan ini. Siapa yang menghalang tidak akan Yuss dedahkan kerana emosi dan perasaan Yuss hampir dibayar nyawanya dengan darah. Yuss berani bersumpah tidak akan memaafkan seorang manusia yang tidak ada perasaan dan jiwa yang menghalang perjalanan hidup Yuss. Apa pun, kita tolak ke tepi dahulu perkara ini.

Pertamanya, Yuss mengucapkan terima kasih atas pendirian Paklah dalam kenyataannya mengenai isu PPSMI ini.

Begitu juga dengan ulasan Najib yang lebih cenderung kepada hujah penguasaan bahasa kedua tetapi tidak menyentuh langsung mengenai dasar PPSMI secara khusus.

Selain itu, seharian Yuss menunggu blogger2 utama dan terkenal Malaysia untuk mengulas mengenai isu ini. Sangat lama Yuss nantikan penulisan mereka mengenai PPSMI. Dan hari ini, GMP berjaya membuka hati blogger2 ini untuk menulis mengenainya. Ini satu kejayaan buat GMP. Bukan setakat berhimpun 100 000 orang sahaja yang diperjuangkan tetapi yang lebih penting lagi, menjadikannya satu isu utama untuk didebat dan diketengahkan secara lebih menyeluruh.

Dan akhirnya blogger2 ini juga turut dihujani dengan pelbagai komen daripada semua pihak. Tak kiralah yang menyokong atau tidak tapi sekurang-kurangnya ia membuka mata mereka 'menerima' isu ini untuk dibincang dan diperdebatkan. Yuss rasa bersyukur mereka mahu menulis tentangnya. Terima kasih kerana 'menyokong'.

Selain itu, Yuss juga perhatikan adanya penanaman minda di kalangan kita yang cuba memberikan bayangan ini ialah isu politik. Dalam pendirian Yuss seperti sebelum2 ini, ia bukan isu politik. Hanya kerana pemimpin2 tertinggi Pas dan PKR menyertai perhimpunan GMP tidak bermakna ia isu politik.

Jika kita terus mahu mengaitkan isu PPSMI ini dengan politik, izinkan Yuss bertanya, siapakah yang merubah dasar 360 darjah ini dalam sekelip mata? Siapakah yang dikenyangkan perutnya dengan peruntukan RM5.2 bilion? Seboleh-bolehnya Yuss tidak mahu menyentuh perkara ini tetapi jika terpaksa, silakanlah berfikir dan cari jawapannya.

Dimanakah 'kesilapan besar' dasar sebelumnya yang telah berjalan lebih 30 tahun tanpa cacat celanya dan tiba2 diubah sekelip mata tanpa perbincangan? Siapakah yang beruntung dengan peruntukan sebesar itu? Jika mahu kaitkannya dengan politik, silakan menjawab semua persoalan ini secara jujur terlebih dahulu. Barulah berhujah ianya dibawa ke jalanan atas nama politik semata2.

Dan kenapakah kita tidak mahu memperkasakan terlebih dahulu Bahasa Malaysia untuk Sains dan Matematik dengan peruntukan RM5.2 bilion tersebut? Kenapakah nilai wang sebesar ini tidak mahu digunakan untuk Bahasa Malaysia? Kemanakah perginya bantuan wang ringgit yang sangat diperlukan bagi membantu menterjemahkan buku2 ke dalam Bahasa Malaysia terutamanya dalam bidang Sains dan Matematik ini?

Dan dalam masa yang sama juga, tinggal *seorang blogger sahaja lagi untuk Yuss tunggu dan dengar 'pemikirannya' mengenai isu ini melalui laman blognya. Pastinya beliau akan tetap terus mempertahankan dasar PPSMI yang diciptakannya sendiri dahulu. Mungkin. Namun begitu, dari segi logik apakah hujahnya yang *bernombor2 selepas ini, terpaksalah kita terus menunggu. =)

Ini pun politik kalau Yuss nak kaitkan.

*Siapa yang tidak kenal seorang yang sentiasa berpandangan sinis dan lebih suka memberikan contoh perkataan seperti sound bites, yang jika diterjemahkan maksudnya akan menjadi BUNYI GIGIT dan takut ramai orang tidak akan faham. Inilah contoh pemikiran 'luas' seorang bekas pemimpin negara. Tahniah!

*Ciri2 hujahan bernombor ialah kegemaran beliau dalam memblog. Mungkin sebagai pemudahcara kepada pembaca2nya.

Yuss tergigit bunyi.

Wednesday 4 March 2009

Himpunan Aman 100 Ribu


Sebagai membantu memenuhi tanggungjawab sosial, Yuss letakkan di sini sedikit maklumat mengenai Perhimpunan Aman 100 Ribu di depan Istana Negara pada hari Sabtu ini jam 2.00pm.

Tiga (3) lokasi berhimpun sebelum berarak ialah seperti berikut:

  1. Pusat Perniagaan SOGO
  2. Pasar Seni (Central Market)
  3. Masjid Negara

Peserta yang ingin berhimpun dan berarak juga DILARANG :

  • membawa barang2 berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain2.
  • memakai atau membawa simbol parti politik.

Warna tema ialah 'PUTIH' sebagai lambang pembersihan terhadap PPSMI.

Klik sini untuk melihat kenyataan lengkap Setiausaha GMP, Hasni Abas.

Maklumat lanjut yang lain boleh diperolehi di laman web GMP : http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com

Photo by GMP

*Posting2 Yuss berkaitan dengan isu ini kebanyakannya berada di bawah label Bahasa.

Monday 2 March 2009

Bangunan Perak Darul Ridzuan

[Terbaru, Tue 3 Mac 11.55am]
Apakah yang ingin dibuktikan kepada dunia, kepada mata antarabangsa, kepada mata luar apabila sebuah bangunan gah jutaan ringgit ditutup pada hari dan waktu bekerja?

Apakah relevannya menutup dan menangguhkan pelbagai mesyuarat atau memindahkannya ke tempat lain daripada berlangsung di bangunan ini tanpa sebab?

Apakah yang mahu ditunjukkan kepada kita semua seluruh semesta alam? Kuasa? Kuasa? Kuasa?

Tuhan memberikan nyawa kepada sebatang POKOK. Akhirnya pokok2 itu bukan sahaja menjadi tempat berteduh, tetapi lebih hebat lagi, menjadi tempat Sidang Tergempar DUN Perak berlangsung. Bila Tuhan kata jadi, maka jadilah apa yang diinginkanNya.

Pokok2 masih berada di perkarangan bangunan yang menempatkan DUN. Pokok tidak bersuara. Pokok melindungi.

Kita semakin terkenal di mata dunia.

Negara ingin maju dengan wawasan 2020 nya. Tapi tak sampai 11 tahun lagi menjelang tahun keramat itu, kita masih bersidang di bawah panas terik. Ke mana bumbung, ke mana air-cond, ke mana kerusi, ke mana pintunya, semuanya terkunci dan tersimpan rapi.

Nak dijadikan muzium kot.

[Terbaru, Tue 3 Mac 1.31am]

Kunci kepada pintu undang2 BN sedang cuba dibuka sepenuhnya menjelang pukul 9.00am nanti. Drama samada terjumpa atau tidak kuncinya akan hanya diketahui pada jam tersebut.

Yuss kurang pasti samada ianya satu yang disengajakan atau sekadar satu kebetulan dalam memilih waktu 9.00am tersebut kerana Sidang Tergempar DUN dijangka diadakan jam 10.00am.

Siapa yang dulu siapa yang kemudian dalam merebut masa mengisytiharkan diri masing2 menjadi pertaruhan mereka.

Bukan takut kepada soal rakyat tapi lebih takut kepada soal kuasa. Teruskanlah usaha anda hingga ke lubang cacing.

Masa itu emas dan bukan perak.

[Posting Asal]



Agak lama Yuss tinggalkan dunia celaru politik Perak. Seboleh-bolehnya Yuss tidak mahu menyentuh tentang isu ini sekarang. Kerana Yuss masih berpendirian, krisis pentadbiran Perak bukanlah krisis politik tetapi krisis perundangan. Biarlah ianya diselesaikan secara undang2.

Tetapi, berita terbaru dari Ipoh mengenai penutupan Bangunan Perak Darul Ridzuan esok betul2 mencuit minda Yuss. Kepelikkan semakin terserlah di satu pihak.

Kenapa merumitkan sesuatu yang tidak rumit?

Kenapa menyulitkan sesuatu yang mudah?

Kenapa 'mengiktiraf' ketakutan kita dengan menzahirkan 'ketakutan' kita?

Kenapa masih mahu menunjukkan 'kegarangan' dengan 'kekuasaan'?

Kenapa pintu fizikal yang ditutup dan pintu undang2nya pula tidak mahu dibuka penuh? Tak mahu dibuka atau tak boleh bukak? Kenapa tutup satu, dan satu lagi tak dibuka? Mana kuncinya? Kenapa dipegang kuncinya dan mahu terperangkap di tengah2? Kenapa malas sangat nak cari udara segar dan lebih rela terkunci antara dua pintu? Entahlah...

Yuss tersenyum melihat drama sebuah bangunan. Pagarnya yang menjadi mangsa. =)

Photos by Google and Malaysiakini

Wajib Tak Wajib


Wajib ialah sesuatu yang dibuat secara menyeluruh. Dan wajib kita pelajari sesuatu ilmu itu dari A hingga Z. Dari segi pelajaran kebahasaan pula, wajib kita belajar dan berilmu tentangnya secara total. Namun begitu, lain ceritanya dengan PPSMI...

Kenapa WAJIB mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, tapi bila hendak menjawab soalan, tidak pula diwajibkan pelajarnya menjawab dalam Bahasa Inggeris?

Kenapa pelajar dibenarkan membuat pilihan bahasa semasa menjawab soalan? Kenapa tak wajibkan proses tersebut sama seperti wajibnya proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas?

Adakah ia satu 'pengiktirafan' bahawa kita tidak bersedia dengan perubahan mengadaptasi bahasa baharu? Kalau sudah tidak bersedia, kenapa diwajibkan mengajar dan belajar pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dari mula lagi?

Kenapa perubahan 360 darjah dicipta untuk mengajar dan belajar matapelajaran dalam bahasa lain tetapi tidak kepada proses akhir sistem pelajaran tersebut yakni ketika menjawab peperiksaan?

Kenapa pelajar hanya 'digalakkan' sahaja untuk menjawab dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak 'mewajibkan' mereka menjawab dalam Bahasa Inggeris?

Kenapa kata2 Yuss berulang dan mengulang?

Jom Bantah PPSMI? Jom!

Photo by Google

Sunday 1 March 2009

Itik Jadi Ayam?

Seekor itik kehilangan seekor kawan itik yang baru mati disembelih tuannya. Itik sudah tiada kawan. Yang ada hanyalah sekumpulan ayam2 di dalam reban yang sama.

Dalam banyak2 ayam, ada seekor ayam yang kasihankan si itik ini yang bersedih dan menyendiri. Si ayam cuba berkawan dengan si itik.

"Krooo kooo?", tanya si ayam.

"Kuek", jawab si itik.

"Kroo koo kooo kroo koo koo.", si ayam cuba mulakan perbualan supaya niatnya tidak disalaherti.

"Kuek?", Tanya si itik yang mula tersenyum dengan keramahan si ayam.

"Kroo kroo koo koo koooo kok kok krooo.....", terang si ayam dengan panjang lebar.

"Kuek KAH KAH Kuweeekkkkkk!!!", si itik ketawa kegirangan. Tanda setuju dan faham.

Sejak itu, itik tidak lagi keseorangan. Itik menjadi rapat dengan si ayam. Itik juga menjadi sangat rapat dengan semua keluarga si ayam.

Tapi itik tetap berbahasa Itik. Ayam pula tetap berbahasa Ayam. Itik tak jadi ayam, tapi tetap boleh hidup bersama ayam. Ayam yang terima itik tetap tidak mahu itik menjadi ayam. Biarlah itik terus menjadi itik.

Bila dilepaskan dari reban oleh tuannya setiap petang, itik merantau setiap penjuru halaman rumah tuannya. Ayam2 juga begitu. Itik berilmu di dunia luar ini sama tarafnya dengan si ayam. Dan itik juga tahu walaupun bahasa itik tak sama dengan bahasa ayam, persekitarannya tetap terima siapa dia termasuk tuannya. Kerana bila tuannya panggil itik dan ayam2nya masuk reban, si itik tetap menguek dan si ayam tetap berkokok. Sebagai tanda faham.

Itik juga tahu, bila dia mati nanti, kalau disembelih tuannya, dia tetap mati sebagai seekor itik. Ayam pun tahu dia akan mati sebagai ayam. Tapi ayam faham perasaan itik. Itik pun faham perasaan ayam. Walaupun hanya itik seekor yang menguek, yang lain2 akan tetap berkokok.

Kerana bahasa bukan halangan. Kerana bahasa ialah penghubung. Kerana bahasa ialah komunikasi. Tak mati kalau kita tak tahu menguek. Tak mati juga kalau kita tak tahu mengokok. Tapi kalau kita ada minda untuk mengadaptasi, merubah dan memajukan 'bangsa' sendiri dengan bahasa sendiri, itu kan lebih baik.

Kerana nak memandaikan bangsa, pandaikan bahasanya dulu. Kayakan bahasanya terlebih dahulu. Bukannya bila masuk kandang ayam kita mengokok, keluar kandang ayam pun terus mengokok2 tak henti2.

Yuss tak nak jadi itik yang mengokok. Tak ke pelik?

Kalau Yuss itik, Yuss menguek.

Selamatkan Bahasa Malaysia untuk Bangsa Malaysia!