Wednesday 25 February 2009

Kenapa buat PPSMI sahaja? Kenapa tak...

Perhimpunan 100 000 rakyat untuk berarak bagi menghantar petisyen mengenai PPSMI kepada Yang Di-Pertuan Agong semakin hampir. Namun begitu, walaupun jika rakyat berjaya dihimpun dengan jumlah sebesar itu, isu PPSMI ini takkan selesai sehinggalah ada kata putus yang bijak daripada pihak yang berkuasa. Siapa lagi kalau bukan Kementerian Pelajaran. Tapi sekurang-kurangnya, inilah jalan terakhir untuk suara rakyat ini didengar dan dilihat oleh mereka yang bertanggungjawab.

Ramai yang bertanya kepada Yuss, kenapa PPSMI menjadi satu isu yang besar sehingga perlu dihapuskan? Yuss tersenyum. Jawapan ringkas yang boleh Yuss berikan ialah melalui pertanyaan semula kepada mereka.

Antaranya ialah, kenapa di ajar Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik sahaja? Kenapa tidak dalam matapelajaran lain?

Kenapa ek... Bila kita nak bijak dan memandaikan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik pulak yang digunakan? Kelas Bahasa Inggeris tu pulak untuk apa?

Kenapa ek... Tak ajar Sejarah dalam Bahasa Inggeris? Hmmm... Banyak sungguh buku2 ilmiah berkaitan sejarah menggunakan Bahasa Inggeris walaupun tak semua. Di universiti2, contohnya. Atau buku2 yang berkaitan Tanah Melayu / Malaya / Kesultanan Melaka, yang ada di perpustakaan2 luar negara atau arkib2 luar negara. Kebanyakannya pun bukan dalam BM. Dan masih banyak istilah2 lama ini yang belum diBMkan. Maklumat2 sejarah Malaysia di ruang internet ni pun kebanyakannya bukan dalam BM. Kenapa tak diajar sahaja Sejarah dalam Bahasa Inggeris? Boleh la kita buat satu dasar baru. Meh kita namakannya...

PPSejI (Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah dalam Bahasa Inggeris).

Hmmm... Kenapa buat PPSMI sahaja? Kenapa tak sekalikan PPSMI dan PPSejI?

Kemudian Yuss tanya lagik soalan tengit kepada mereka. Kenapa ek... Tak ajar kelas Seni Lukis dalam Bahasa Inggeris? Karya2 agung dunia kebanyakannya pun berada dalam dunia barat. Penyelidikan dan buku2 berkaitan dengannya pun kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Alahai... Sayangnyelah ajar anak2 muda kita dalam BM sahaja. Baik kita ajar budak2 sekolah ni dalam BI. Kan ke senang. Katanya nak melentur buluh biarlah dari rebungnya... Meh kita buat satu lagi dasar baru. Kita namakan...

PPSLI (Pengajaran dan Pembelajaran Seni Lukis dalam Bahasa Inggeris).

Hmmm... Kenapa buat PPSMI sahaja? Kenapa tak PPSMI, PPSejI dan PPSLI?

Lepas tu, Yuss tanyakan lagi dengan soalan dangkal tapi benar. Kenapa ek... Tak ajar kelas agama Islam atau Pendidikan Islam dalam Bahasa Arab? Kenapa ek? Bukankah bahasa Quran asalnya dalam Bahasa Arab? Kenapa pulak nak diterjemahkan maksudnya ke dalam BM? Kenapa tak wajibkan pelajar2 kita guna Bahasa Arab dalam kelas Pendidikan Islam? Bukan ke kalau nak paham Islam sebaik-baiknya gunakan Bahasa Arab. Ish Ish Ish... Buang masa je lah nak terjemah semua nih ke dalam BM. Leceh! Kita namakan dasar baru yang satu lagi ni...

PPPIA (Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam dalam Bahasa Arab).

Hmmmm... Kenapa PPSMI sahaja? Kenapa tak PPSMI, PPSejI, PPSLI dan PPPIA?

Bayangkan adanya lagi pemikiran masa hadapan sesetengah pihak supaya kelas2 lain seperti Geografi, Kemahiran Hidup, Sains Sukan pun mahu diinggeriskan... Kalau alasannya ialah sudah terlalu banyak maklumat berkaitan pelajaran2 ni dalam BI kat dalam internet (seperti alasan Matematik dan Sains sekarang ini), apalah yang termampu kita buat. Biarlah diorang nak guna BI sekalipun. Biarkan...

Akhirnya nanti, Yuss terangkan kepada mereka, lama kelamaan, mesti akan ada yang terpikir... Eh, buat apa ajar Bahasa Malaysia dalam BM kan? Kalau semua matapelajaran lain dah guna BI, apa salahnya pulak ajar BM dalam BI? Alang2 dah ajar semua pelajaran dalam BI, kenapa pulak BM tak boleh?

Ini bukan satu khayalan. Ini ialah kebenaran kepada satu kebarangkalian yang sangat besar yang ianya boleh berlaku di masa hadapan. Kerana PPSMI ialah bukti ia boleh terjadi. Dan masa hadapan pula bukan setakat esok lusa, tapi puluhan dan ratusan tahun akan datang. Kita mungkin akan namakan satu dasar baru pelajaran yang lebih menyeluruh. Mungkin namanya...

*APES (Program Pengajaran, Pembelajaran, Pemahaman dalam Bahasa Inggeris untuk SEMUA Matapelajaran). *APES? Dah terer sangat English korang translate lah sendiri... =)

Hah! Tak caya? Bende kalau dah logik, tetap akan terjadi kalau itu yang kita inginkan. Ia memang boleh berlaku. Kenapa pulak kita anggap ianya sesuatu yang mustahil? Takde apa yang tak mustahil di dunia ini. PPSMI dulunya pun dianggap 'logik' walaupun 'pelik'. Sehingga ianya diterima-wajibkan penggunaannya di sekolah2 kita sekarang ini.

Semua tanggungjawab ini terletak di atas bahu manusia yang hidup hari ini kerana sifat2 kompromi hidup mereka yang berpendirian tidak kisah atau 'tidak apa'. Sambil mempertahankan suatu dasar yang lemah dan cacat. Dan mempermainkan minda rakyat dengan alasan yang sangat dangkal.

Dan dalam masa yang sama, kalau kita mahu terus mentertawakan pejuang2 bahasa kita hari ni atas alasan mereka diperbodoh dan diperalatkan oleh pihak2 tertentu, ketawalah. Kerana mereka bukan golongan 'bodoh'. Mereka tahu apa yang diperjuangkan bersebab. Bukan dengan tangan kosong atau sekadar main2.

Dan tak sedihkah apabila kita melihat masa depan dan jatidiri generasi Malaysia akan semakin mudah dipersendakan oleh orang luar? Kerana hilangnya jiwa sebenar bahasa mereka pada masa hadapan yang terpupus akibat daripada dosa dan kesalahan kita yang hidup hari ini.

Yuss pening.

Monday 16 February 2009

Gerakan Mansuhkan PPSMI


Yuss berharap pergerakan ini tidak digambarkan sebagai medium untuk berpolitik. Yuss juga berharap ia lebih kepada menyedarkan masyarakat kepada kepentingan mempertahankan Bahasa Kebangsaan.

Bukan beerti Bahasa Inggeris tidak baik. Memang diakui ada kebaikannya. Tetapi yang lebih penting lagi ialah memandang secara teliti kepada perlaksanaan kenapa atau sebab terlalu perlunya dasar ini digunapakai sekarang. Adakah lebih banyak kebaikan daripada buruknya atau sebaliknya? Itulah yang perlu dipersoalkan dalam diri kita semua.

Yuss juga perhatikan kebanyakan pelajar2 bandar (yang berjaya dengan cemerlang kononnya) yang mengikuti sistem ini, menyokong membabi buta dasar PPSMI ini. Alasan mereka ialah suara mereka sepatutnya didengar dan diberi perhatian serius tetapi seperti tidak diambi kira.

Yuss tak boleh salahkan mereka. Itu suara satu pihak kecil. Yang penting ialah kesedaran untuk semua golongan tak kira tua dan muda, kampung dan bandar, miskin dan kaya, bodoh dan pandai. Sekali lagi Yuss berharap isu ini tidak akan dipolitikkan.

Yuss hendak kita berfikir sejenak.

Mari mengembara merentas masa dan zaman bersama Yuss...

"Yuss hendak kita melayang jauh ke masa hadapan. Merentas waktu dan zaman. Letakkan diri kita dalam masa 100 akan datang. Mungkin 100 tahun terlalu panjang, ok... 50 tahun pun jadilah... Macam Doraemon buat dalam laci Nobita tu... ;)

Katakan dasar ini terus kekal dan digunapakai untuk tempoh 50 atau 100 tahun, apa agaknya yang akan terjadi kepada bangsa Malaysia di masa tersebut?

Boleh bayangkan atau tidak apabila tidak ada lagi anak2 muda atau ibu bapa pada zaman tersebut yang tahu dan pernah dengar istilah2 sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia?

Nak sebut
darab, bahagi, tolak, campur, kuasa dua, nombor empat ribu tiga ratus lima puluh sembilan, sperma, gegendang telinga, semuanya dah tak paham lagi. Kalau sudah tak paham, mereka nak salahkan siapa?

Salahnya ialah kita yang hidup hari ini. Bila semuanya sudah diinggeriskan, apa lagi yang mampu terbuat oleh generasi mereka nanti? Tak malukah generasi sekarang kalau kita biarkan ini berlaku?"


Antara contoh ringkas dengan apa yang pernah terjadi sekarang ini ialah peminggiran tulisan jawi. Terkeluarnya pembelajaran tulisan ini daripada sistem pembelajaran sekarang menyebabkan kita tidak kenal lagi tulisan jawi dalam kehidupan harian kita.

Bukti terdekat yang kita boleh lihat ialah akhbar Utusan Melayu. Daripada ada satu akhbar penuh bertulisan jawi, kini menjadi akhbar sisipan dalam akhbar bahasa rumi. Penerbitan yang lain2 pula semuanya sudah lama berkubur. Adakah kita nak salahkan pembuat dasar yang telah membuat keputusan mengubah fungsi tulisan jawi dalam sistem pelajaran negara sewaktu puluhan tahun yang lalu?

Samalah dengan nasib Bahasa Malaysia sekarang. Selagi kita tidak membudayakan penggunaan Bahasa Malaysia secara menyeluruh, dan selagi kita terus mengenepikannya daripada sistem pelajaran negara, selagi itulah nilai bahasa tersebut akan terus terpinggir dan terhapus.

Inikah yang kita hendakkan daripada PPSMI? Sikit-sikit... Lama-lama esok... Semua pelajaran pun diinggeriskan. Sampai Bahasa Malaysia pun kena ajar dalam Bahasa Inggeris. Tak malukah kita kalau sampai ke peringkat itu? Jangan terkejut kalau ini berlaku.

Berbalik kepada isu PPSMI ini, tempoh 6 tahun ialah tempoh yang baik untuk kita hentikan sistem ini sebelum ianya menjadi lebih parah lagi. Kalau 6 tahun dikatakan masih awal, berapa lama lagi kita nak tunggu? 10 tahun lagi? 12 tahun lagi?

Semua penentangan Yuss ini adalah berpunca daripada kepercayaan Yuss tentang kewujudan masa depan Bangsa Malaysia yang SATU.

Satu Bangsa, Satu Bahasa.

Jatidirinya sekarang ialah kepada pembudayaan satu bahasa yang sama untuk semua orang Malaysia. Menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa berfikir untuk semua kaum, dan juga sebagai alat untuk berinteraksi antara semua kaum. Itulah impian Yuss untuk melihat Bangsa Malaysia yang SEBENAR.

Yuss berharap.

Saturday 14 February 2009

Katanya, Melayu itu...

Katanya, Melayu itu... tak boleh derhaka Sultan.
Kalau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan, derhaka namanya tu. Kalau berbeza pendapat dengan Sultan, itupun dikatanya menghina Sultan. Yuss pun rasa pelik. Yang menegur, yang membantah, yang nak menyaman, semua tu penderhaka. Kesian Pak Karpal yang nak menyaman. Sultan tak boleh ditegur langsung ke? Dah tu, kalau sebuah bank pun boleh saman Sultan, penderhaka ke bank tu? Yang membuat undang2 membenarkan Sultan disaman, penderhaka ke mereka tu? Yang merangka undang2, yang meluluskan undang2 tu dulu, penderhaka Sultan ke tu? Kenapa tak dihukum sahaja perangka kepada penderhakaan ini? Kenapa memilih siapa yang patut digelar penderhaka atau tak? Adakah semua yang berada diluar UMNO dianggap penderhaka? Kalau dalam UMNO jadinya... tidak mengapa? UMNO oh UMNO... United Malay katanya kan???...

Katanya, Melayu itu... Islam.
Bunyinya macam betul. Sebab rasanya itu ciri2 Melayu. Kalau ikut perlembagaanlah. Tapi kalau ikut ciri2 Islam betul, kalau ganti perkataan Melayu tu dengan kaum lain pun sedap jugak bunyinya. Cina itu Islam. India itu Islam. Bidayuh itu Islam. Orang Asli itu Islam. Kalau Islam agama mereka, Islamlah mereka. Itu ciri2 Islam yang tak kenal bangsa. Sampaikan orang Eskimo kalau percaya Islam dan menyebut dua kalimah syahadah sekalipun, Islamlah mereka.
Tapi kalau kata Islam itu Melayu, pelik sikit bunyinya. Macam tak kena. Terasa macam Islam tu hak ekslusif Melayu pulak. Kalau yang Islam keluar Islam, keluar Melayu ke mereka ni? Kalau check warna kulit, tetap jugak tak berubah. Kalau buat ujian DNA, ciri2 Melayu tetap sama tak berubah kan? Kalau Melayu tu masuk agama lain, akan jadi bukan Melayu ke mereka2 ni? Kalau tengok Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah boleh berkahwin dengan Melayu campuran Orang Kulit Putih, kita nak kata apa? Melayu jugak? Masuk Islam masuk Melayu?

Katanya, Melayu itu... perlu berkuasa.
Kuasa perlu terus kekal dalam tangan Melayu. Kalau tak, musnahlah negara. Musnahlah Melayu. Musnahlah Islam. Melayu memang gila kuasa. Biar papa kedana sekalipun, janji kuasa di tangan mereka. Tak kaya pun takpa lah, janji berkuasa. Orang lain takleh pijak mereka. Katanyalah... Alahai Melayu... Bila suruh berubah maju ke hadapan, macam2 alasan diberikan. Paling syok didengar, kuota DEB belum dipenuhi lagi. Kena kekalkan DEB nih. Bukankah ada orang Melayu sendiri yang berkata, selagi mahu terus bergantung pada kerajaan, selagi itulah Melayu lambat berubah. Itu kata beberapa orang Melayu sendiri yang dah fed up tengok Melayu lambat berubah. Tapi pejuang2 Melayu yang lain pulak kata, kerajaan yang ada sekarang ni kerajaan Melayu yang berkuasa. So takyah risau sangat. Kekalkan sahaja DEB tu sampai bila2. Selagi berkuasa, itu hak mereka nak tentukan nasib bangsa mereka sendiri. Aduhai Melayu...

Katanya, Melayu itu... penduduk asal.
Konsep yang cuba dibawa ialah bukan Melayu datang kemudian. Katanya, semua Cina dan India dibawa masuk oleh penjajah. Puteri Hang Li Po dibawa masuk oleh penjajah jugak ke? Yang Baba Nyonya tu dibawak masuk penjajah jugak ke? Rasanya mereka sampai sebelum Portugis lagik. Yang pak2 Arab berdagang dengan Melaka, dibawak masuk penjajah jugak ke? Tapi orang Melayu kata mereka kaum yang datang dulu. Walaupun Parameswara juga dikatakan kaum pendatang, tapi diorang sampai dulu sebelum si Cina dan India. Jadi orang pertama sampai akan terus jadi penduduk asal? Orang Asli tu pulak nak letak kat mana? Bukan penduduk asal? Sebab duduk hutan, tak 'bertamadun', takde kerajaan sendiri, maka mereka bukan penduduk asal? Rasanya, kalau ikut sejarah manusia, semua penduduk dan tamadun sentiasa bergerak dan tak melekat satu tempat. Berhijrah kata orang Islam. Tapi konsep ni tak sama dengan orang Melayu. Melayu itu tetap penduduk asal. Katanya...

Katanya, Melayu itu... mudah lupa.

Jangan lupa sejarah, kata orang Melayu. Tengok apa yang dah jadi dengan Singapura. Melayu Singapura ialah kaum paling mundur dalam negara sendiri. Jangan kita jadi macam mereka sudahlah. Perasan tak, Melayu ni, satu2 ciri mereka ialah suka cari kesalahan orang lain. Jadikan kaum sejenis mereka di tempat lain sebagai kambing-hitam. Melayu Singapura ni lah salah satu contohnya. Apalah perasaan Melayu Singapura ni kalau Melayu Malaysia terus menghina mereka sedemikian rupa. Ibarat Melayu Malaysia ni takde perasaan ke? Atau perasan? Melayu ni tak pernah nak tengok diri sendiri, mesti cari alasan kesalahan orang lain sebelum tengok diri sendiri. Kalau alasan untuk beringat, kenapa tak ambik yang positif? Kenapa suka provokasikan keadaan dan suasana? Kalau nak buat perbandingan sekalipun, kenapa tak buat perbandingan positif dengan Melayu di Amerika, Melayu di Australia, Melayu di UK? Kenapa Melayu di Singapura?

Katanya, Melayu itu...

Penatlah nak bercerita lagi. Takkan habis punyalah cerita dia...

Cukup-cukuplah bercerita tentang bangsa Melayu ni. Lagi bercerita tentang bangsa sendiri, lagilah kita bersembunyi di sebalik bayang-bayang sendiri. Lagi bercerita tentang kehebatan bangsa sendiri, lagilah kita lari jauh dari jasad diri sendiri. Lagi pertahankan bangsa sendiri tanpa punca, lagilah kita menjauhkan diri dari jiwa sebenar bangsa itu sendiri.

Yuss tahu Melayu itu bukan setakat beza kulit dan lubang hidungnya, tapi yang lebih penting lagi, adat dan budayanya Melayu. Kalau adat dan budaya Melayu itu elok, apa kata kongsikan bersama dengan bangsa lain dan jadikannya antara ciri2 bangsa Malaysia? Tak ke lebih molek kalau macam tu?

Selagi kita bercerita tentang perbezaan warna ras dan beza rupa kita, selagi itulah kita terpisah. Bercerita tentang bangsa seperti ini bolehlah diibaratkan seperti persoalan antara ayam dan telur. Yang mana keluar dulu? Telur ke ayam? Ayam ke telur? Sampai kiamatlah kita tak sudah2 pertahankan jawapan masing2.

Daripada dok sibuk bercerita sejarah 500 tahun yang lampau, apa kata kita tengok sejarah 53 tahun ni pun dah cukup elok. Nama dia bukan ke Malaysia? Yang nak dicipta ialah BANGSA MALAYSIA. Tak nak 53 tahun dulu pun takpa. Ambik tarikh 16 September 1963 tu pun cukup untuk kita mulakan suatu cerita kerana tarikh tu lah bermulanya nama negara Malaysia.

Yuss suka jadi Bangsa Malaysia yang makan telur ayam. =)


Photo by Google.

Tuesday 10 February 2009

Mengimbau Memori Politik

Yuss terimbau kembali kenangan silam.

Dua peristiwa penting yang Yuss ingat ialah :

  1. Zaman kita dok sibuk2 pemilihan calon UMNO untuk perhimpunan Agong UMNO Mac ini.
  2. Zaman kita dok bising2 sibuk Anwar akan akan ambil alih kerajaan pada 16 September 2008.

Imbauan Pertama...

Yuss pernah mengharapkan Ku Li cukup kuota untuk pemilihan Presiden UMNO tapi seperti yang kita semua tahu, beliau tidak mendapat pencalonan yang cukup. Ulasannya pernah Yuss tulis dalam posting, Terpilih dan Memilih.

Kenapa Yuss teringat akan beliau? Apa kaitannya dengan situasi sekarang? Semuanya disebabkan oleh kenyataan yang dikeluarkan melalui laman blognya baru2 ini berkaitan dengan isu Perak yang telah di ulas secara meluas oleh kebanyakan akhbar, berita TV, laman web dan blog.

Apa yang Yuss lihat, kenyataan beliau mengenai Perak ini berjalan seiringan dengan ulasan Mahathir. Mengangkat pandangan peribadi beliau telah menaikkan kredibiliti beliau secara sihat. Suara beliau dianggap masih penting untuk memberikan pendapat secara menyeluruh tentang situasi dan sentimen semasa.

Ini bermakna, Yuss hanya rasa agak sedih sedikit kerana pemimpin yang Yuss anggap elok sebelum ini tidak diangkat secara baik di dalam UMNO. Walau apa pun, biarlah politik UMNO ditentukan oleh ahli2 mereka. Itu hak mereka. Yuss tak masuk campur. Kita orang biasa hanya mampu melihat dari luar sahaja.

Imbauan Kedua...
Yang kedua ini ialah semasa tarikh 16 September dahulu.

Yuss merasakan adanya satu corak pemikiran sekarang ini yang menyalahkan Anwar tentang apa yang terjadi di Perak. Ada yang berkata baru padan muka Anwar. Kan dah kene batang hidung sendiri! Orang kata jika Anwar boleh buat, pasai apa BN takleh buat?

Yuss pula berfikiran sebaliknya. Yuss tak lupa sejarah. Kenangan sejarah 16 September terutamanya sekali.

Imbasan kepala Yuss berpusing2 kepada kenangan tarikh tersebut. Pernah tak kita bayangkan betapa ramainyalah pemimpin2 UMNO dan BN mengkritik, menghina, mengancam dan berkeras dengan tindakan Anwar di kaca2 TV dan akhbar? Ingat tak? Kecohnya terasa macam nak darurat!

Namakan semua nama2 besar. Daripada Paklah, Najib, Hamid Albar dan ramainyalah lagi yang menyalahkan Anwar. Tak terkira rasanya. Sampaikan Anwar pernah diugut untuk diISAkan. Boleh tak kita semua recall balik memori tersebut?

Persoalannya sekarang ialah, kenapakah sesuatu yang ditentang keras dan dianggap tidak bermaruah dan tidak bermoral menjadi pilihan mereka kini? Bukankah dayus namanya itu? Bagai meludah ke langit biru... Tapi PELEPOQQQQ... Jatuh... Kena balik kat muka sendiri!

Yuss ingin tujukan soalan kepada penyokong2 hardcore BN sekarang ini. Adakah ini bermakna pemimpin mereka dahulu berbohong kepada kita sebagai rakyat? Jika kita masih mahu salahkan moral dan intergriti Anwar sekarang, kenapa kita tak mahu salahkan sama Paklah, Najib dan kepimpinan mereka? Kenapa mahu salahkan satu pihak sahaja?

Kenapa terpilih dalam memilih kesalahan orang lain? Dimana rasa intergriti kita mempertahankan sesuatu yang dianggap busuk tapi ditelan juga?

Dalam masa yang sama, janganlah pulak salahkan media yang dahulunya melaporkan berita2 sensasi tersebut. Mereka melaporkan apa yang mereka dengar daripada kenyataan media pemimpin2 kita ini. Katanya... Katanya je lah... Walaupun... =)

Yuss mahu kita pikir-pikirkan sebaik mungkin.

Yuss tidak berpihak.

Yuss cuma tersenyum kepada kata2 cela yang disucikan. Itu sahaja... =)

Sunday 8 February 2009

Kebelakangnya Bahasa

Yuss terdengar ada ura2 sebuah saluran TV tempatan, yang sekarang ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia, akan menyelitkan program tempatan dalam Bahasa Inggeris.

Kita di Malaysia, daripada berpuluh-puluh saluran TV, hanya ada dua sahaja saluran informasi yang menggunakan Bahasa Malaysia secara keseluruhan. Dua sahaja. Ini adalah daripada pengamatan rambang Yuss. Tetapi yang satu ini, berkemungkinan besar, akan menyelitkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam program tempatan mereka.

Semua ini masih belum disah dan disiarkan lagi. Yuss akan menunggu dengan penuh minat. Adakah Yuss akan terus menjadi penonton setia saluran ini lagi atau tidak? Yuss hanya akan menjawab selepas ia tersiar.

Sebelum itu, biar Yuss akui akan kelemahan penggunaan perkataan dan tatabahasa penulisan Yuss di sini yang masih kurang tepat dalam konteks bahasanya yang betul. Tapi sekurang-kurangnya, Yuss mahu menulis dalam Bahasa Malaysia, dan dari semasa ke semasa, penambahbaikan kepada proses bahasa Yuss juga berjalan serentak. Moga-moga.

Berbalik kepada isu ini, Yuss mahu menegur mereka di sebalik perjalanan media2 ini agar faham akan matlamat menyatupadukan masyarakat Malaysia melalui pembudayaan Bahasa Malaysia.

Yuss pernah mengulas tentang isu ini dalam posting 'Gerakan untuk Bahasa' dan 'PPSMI'.

Masih ada lagi mentaliti kita bahawa idea Bahasa Kesefahaman semua orang ialah Bahasa Inggeris. Dalam konteks Malaysia, atau media di Malaysia khususnya, isu ini sepatutnya tidak timbul lagi. Bahasa Malaysia ialah jawapannya.

Jika alasan bahawa mereka perlu menyampaikan matlamat rancangan/program TV masing2 secara menyeluruh atau kepada SETIAP SEORANG dalam Malaysia, katakan, adakah alasan menginggeriskan sesetengah program mereka menjadi punca matlamat tersebut akan tercapai?

Adakah mereka menerima anggapan bahawa masih wujud bangsa Malaysia yang tidak tahu dan tidak fasih berbahasa Malaysia? Adakah mereka mengiyakan pendapat ini? Jika ya, mengapa mesti 'kekalkan' rakyat yang tidak fasih ini berada dalam dunia mereka tersendiri dan tidak memaksa mereka 'keluar' menerima sifat Bangsa Malaysia yang sebenar?

Tidak malukah kita mengiyakan pendapat adanya rakyat Malaysia yang tidak fasih dan tidak tahu Bahasa Malaysia?

Adakah mereka di belakang media2 ini juga beranggapan bahawa mereka perlu mengikut arus globalisasi di mana Bahasa Inggeris ialah matlamat bagi mencapai tujuan ini? Adakah dengan berbahasa Inggeris, akan tercapaikah matlamat mengantarabangsakan saluran TV mereka?

Tidak sedarkah mereka saluran mereka ialah saluran TEMPATAN? Kalau tempatan, untuk siapakah penontonnya? Bukankah rakyat Malaysia?

Atau jika alasan mereka, program2 tertentu 'mungkin' untuk disampaikan kepada golongan ekspatriat yang berada di Malaysia, katakan, adakah kelompok ini dianggap terlalu penting sehingga sanggup menggadaikan satu ruang masa dalam program harian di saluran TV ini? Bagaimana pula dengan saluran2 antarabangsa lain yang sepatutnya menjadi rujukan golongan kecil ini? Kalau golongan kecil ini mahukan informasi tempatan, banyak lagi saluran lain yang boleh ditonton dan di baca di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Bukan mencampur-adukkan program tempatan dalam bahasa asing hanya atas sebab2 bodoh. Yuss tidak mahu ruang masa yang ada dalam saluran TV tersebut tergadai hanya untuk memenuhi satu kelompok kecil masyarakat sahaja. Jika orang luar ini mahu faham isu tempatan secara menyeluruh, fahami budaya dan bahasa tempatan.

Berbalik kepada isu rakyat tempatan, adakah mereka di belakang media ini beranggapan bahawa mereka dapat melakukan capaian kepada sesetengah golongan 'bandar' yang mungkin tidak tahu berbahasa Malaysia? Ini hanya sekadar contoh.

Kalau kita tahu adanya rakyat Malaysia tidak fasih dan tidak tahu berbahasa Malaysia, tanggungjawab sosial medialah yang sepatutnya mendidik rakyat ini menjadi satu Bangsa Malaysia yang betul.

Jika mahukan program Bahasa Inggeris tempatan, lakukan secara total. Maksudnya? Ciptakan satu saluran baru yang sama konsepnya tetapi menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Buat apa campur-adukkan bahasa dalam satu saluran? Kalau tidak, kenapa diciptakan saluran yang asalnya berbahasa Malaysia?

Ini soal intergriti ke arah penyatupaduan kita semua. Yuss melihat pada mula kewujudan saluran TV ini, yang sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia, amat baik sekali. Saluran TV ini juga mendapat maklumbalas positif rakyat yang dahagakan maklumat kerana kepercayaan kepada penyampaian maklumat yang diberikan.

Tak pernah terpikirkah oleh mereka, bahawa adanya manusia yang tak fasih Bahasa Malaysia pun akhirnya belajar untuk menerima maklumat yang disampaikan dalam saluran ini. Buktinya, berlaku proses terjemahan pihak tertentu ke dalam Bahasa Inggeris dalam laman2 web dan blog apabila merujuk kepada saluran TV ini. Ini menunjukkan mereka memahami pemikiran dalam Bahasa Malaysia dengan baik walaupun kebanyakan daripada mereka menulis dalam Bahasa Inggeris.

Ini telah menjadikan saluran ini dijadikan tanda aras mendapatkan maklumat tempatan yang seimbang dan boleh dipercayai.

Jika mereka betul2 bersiaran dalam campuran bahasa, tidak ada bezanya lagi saluran ini dengan saluran2 TV tempatan yang lain. Bercampur aduk sana sini.

Tidak sedarkah mereka bahawa apabila saluran ini menggunakan satu bahasa sahaja, mereka sebenarnya menjadi pilihan? Katakan, jika TV lain sedang bersiaran bahasa lain, yang tak difahami oleh sesetengah penontonnya, mereka akan terus bertukar kepada saluran ini? Kerana mereka tahu, tidak kira di masa bila sekalipun dalam sehari, siarannya akan pasti dalam Bahasa Malaysia. Semua orang akan faham. Semua rakyat akan faham.

Dan contoh yang ringkas pengasingan kita dalam masyarakat ialah, apabila yang Melayu tengok berita Bahasa Malaysia, yang India tengok berita Bahasa Tamil, yang Cina tengok berita Bahasa Mandarin, yang 'bijak pandai' hanya tengok berita dalam Bahasa Inggeris. Sampai bilalah agaknya kita nak bersatu? Sedih betul!

Oh lupa Yuss nak katakan di sini, adakah kemungkinan penggunaan Bahasa Inggeris dalam saluran TV ini akibat daripada tekanan atau kemahuan pihak penaja? Adakah kita tunduk kepada penaja sehingga sanggup menggadaikan bahasa sendiri? Sedihnya jika betul ini yang Yuss dengar.

Yuss mengkritik bersebab.

Saturday 7 February 2009

Jangan Derhaka

Setelah beberapa hari konflik kerajaan Perak ini berlangsung, Yuss melihat adanya cubaan pihak2 tertentu mempermainkan institusi Beraja yang kita ada pada hari ini.

Yuss memerhatikan adanya paparan media2 perdana kita yang cuba memberikan gambaran bahawa mereka yang menentang titah Sultan, dianggap penderhaka. Atau setidak-tidaknya menghina Sultan.

Dalam hal ini, Yuss melihat polar permainan mengangkat Sultan setinggi langit sedang digunakan sepenuhnya oleh media arus perdana. Dan sentimen rakyat digunakan supaya mengikut perintah Sultan yang wajib diikuti oleh sesiapa pun.

Yuss harus bertindak tidak berat sebelah dalam hal ini. Yuss mahukan kita semua berfikiran rasional menerima keputusan yang telah dibuat. Dan keputusan2 yang telah dibuat juga masih boleh dicabar dalam segenap ruang undang2 yang ada.

Sebelum itu, izinkan Yuss kaitkan dengan kisah demonstrasi melampau sesetengah individu di Kuala Kangsar semalam. Yuss beranggapan demonstrasi secara aman dibenarkan. Ini hak setiap manusia. Ia boleh dijalankan oleh sesiapa sahaja termasuklah BN dan PR. Tetapi mereka2 yang terlibat secara ekstrem dalam berdemonstrasi tidak boleh diberikan gambaran ianya adalah kesalahan kepada pemimpin atau parti politik yang terlibat. Kehendak meletakkan kesalahan ke atas bahu orang lain seperti ini dianggap tidak matang.

Kenyataan juga telah dikeluarkan oleh pemimpin2 PR supaya berdemonstrasi secara aman dan bersih. Maknanya, tidak ada arahan supaya bertindak di luar batasan.

Dalam hal mereka yang ekstrem ini, mereka haruslah dilabelkan sebagai individu atau kelompok individu2 yang terlibat. Bukannya ke atas nama pemimpin atau parti politik yang dijulang. Kecuali sehingga terbukti individu terbabit adalah ahli sah atau memegang jawatan dalam pertubuhan politik parti2 tertentu.

Oleh itu, tindakan mereka yang berdemonstrasi secara ekstrem ini seharusnya diangkat dalam konteks rakyat biasa yang terlalu taksub dengan sesuatu perkara termasuklah parti politik. Mereka ini seharusnya dikutuk atas nama seorang individu manusia yang hidup dalam tamadun hari ini. Bukan kaitannya dengan kepimpinan parti politik. Motif dan tujuan individu2 ini hanya boleh dinilai selepas ditentukan oleh mahkamah jika terbukti bersalah.

Oleh yang demikian, buat masa sekarang ini, Yuss sedih dengan tindakan pihak2 tertentu yang cuba memberi gambaran bahawa pemimpin2 PR sebagai punca penderhakaan rakyat. Wujud satu polar permainan politik oleh BN yang cuba memburukkan pemimpin2 PR.

Yuss mahu kita semua sedar bahawa segala kemelut yang melanda Perak kali ini tidak sepatutnya dianggap sebagai kemelut politik, tetapi kemelut perundangan. Jadi, janganlah pula kita salahkan sesiapa dalam hal ini secara melampau dan terdesak.

Jika Sultan bertindak mengeluarkan arahannya berdasarkan undang2 sedia ada, pemimpin2 PR juga boleh memilih menolak arahan tersebut atas nama undang2 yang ada.

Menolak atau ingkar arahan Sultan secara baik bukan bermakna menderhaka/menghina Baginda . Tetapi jika melakukannya dalam saluran, prosedur atau formaliti proses undang2 dengan betul, katakan, ia pasti dibenarkan. Itu hak asasi hidup manusia yang terjamin.

Jika PR yakin mereka di pihak yang benar, pertahankan kes mereka di dalam proses undang2 yang sedia ada. Cukup.

Walaupun sehingga terwujud mahkamah khas (menurut sesetengah pihak). Selagi ada ruang undang2 yang boleh digunapakai, dipersilakan.

Dan BN pula, janganlah menggunakan isu ke mahkamah dan deklarasi tidak letak jawatan Nizar Jamaluddin sebagai mereka yang menderhaka dan menghina Sultan.

Semuanya ini tidak melibatkan rakyat lagi. Janganlah permainkan sentimen rakyat dalam kemelut ini. Kerana ianya boleh dianggap mempermainkan jiwa rakyat dalam soal hal Beraja seperti sekarang. Salah siapa kalau permainan jenis ini menjadikan rakyat menjadi ekstrem atau terlampau? Yuss harap mereka sedar.

Institusi Beraja harus dipelihara. Tidak sepatutnya Institusi Beraja dipolitikkan.

Secara jelas, sekali lagi Yuss rasakan, institusi Beraja seperti dipermainkan oleh sesetengah pihak melalui ruang media2 kita. Rakyat seharusnya berhati2 dengan permainan politik jenis ini.

Tuanku, patik rakyat biasa bernama Yuss amat menghormati Tuanku. Patik berdiri teguh di belakang Tuanku, mempertahankan institusi Tuanku daripada diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak.

Ampunkan patik, Tuanku.

Daulat Tuanku!


Yuss tidak mahu menderhaka.

Friday 6 February 2009

Kerajaan Lompat

Kes di Perak masih belum selesai. Yuss melihat episodnya masih panjang melibatkan undang2.

Cumanya, Yuss hanya boleh cuba bayangkan jika benar BN dapat membentuk kerajaan negeri, apakah antara perkara positif yang boleh kita perolehi daripada situasi ini? Apakah pandangan Yuss?

Yuss menolak untuk bersama rakyat kebanyakan lain yang mahu diadakan semula pilihanraya negeri. Yuss masih memegang konsep lompat parti masih atau tetap dibenarkan oleh undang2. Sebabnya? Di peringkat sekarang, ianya tidak melibatkan rakyat lagi. Tetapi Adun atau Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh kita.

Merekalah yang bertanggungjawab menentukan hala tuju kerajaan yang akan dibentuk bersama2. Proses ini berada dalam tangan mereka dan bukan lagi rakyat biasa.

Tetapi, dalam masa yang sama, peralihan atau perubahan kepada parti baru yang dipilih haruslah disusuli dengan integriti rasa tanggungjawab mempertahankannya. Masa yang panjang mungkin diperlukan untuk betul2 memahami ideologi baru yang dipilih.

Dalam konteks ini, rakyat akan menilai semula sama ada pemimpin2 yang telah mereka pilih itu betul2 boleh dipercayai atau tidak.

Jawapan terbaik (sekadar cadangan) kepada Adun/Ahli Parlimen ialah dengan melompat sekali sahaja. Mungkin. Kerana hak memilih dalam diri seorang individu bergelar Adun/Ahli Parlimen tidak boleh kita sekat untuk tempoh 5 tahun kehidupannya sebagai manusia. Dan proses mengembalikan semula keyakinan rakyat selepas melompat menjadi semakin pendek sebelum menjelang pilihanraya umum berikutnya. Ini realiti yang harus diterima oleh seorang Adun/Ahli Parlimen.

Dan ini semua sekali lagi, Yuss tekankan, bergantung kepada diri seorang individu itu yang bergelar Adun/Ahli Parlimen. Sekali lagi Yuss ulang, rakyat hanya akan menilai mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Tipu daya yang terjadi hari ini akan terus kekal di dalam minda kita untuk diputarcarikan maksudnya dan akan terus menjadi perhatian masyarakat.

Ahli2 politik ini juga perlu sedar, masyarakat yang ada pada hari ini secara majoritinya ialah.... Masyarakat Yang BERMAKLUMAT. Mereka ada sumber maklumat yang besar dan lebih meluas berbanding sebelumnya.

Bukan ungkitan yang akan berlaku nanti, tetapi nilai ketegasan, keihklasan, maruah dan moral yang ada dalam diri seorang pemimpin akan dijadikan modal untuk didebat dan didiskusikan.

Kita sekarang sepatutnya tidak lagi mempertikaikan baik buruk undang2 lompat parti. Tetapi kepada perkara baik buruk cara pemimpin (Adun/Ahli Parlimen) mengguna-pakai dasar tersebut. Adakah untuk kuasa, kepentingan rakyat atau kepentingan diri sendiri? Disinilah segalanya akan balik semula kepada rakyat yang boleh diterjemahkan semula dalam pilihanraya berikutnya.

Cukuplah Perak dijadikan contoh atau bahan bukti kepada kita semua bahawa lompat parti dibenarkan dan sah. Bukan lagi soal etika dan moral terhadap dasar tersebut. Tetapi kehendak disebalik nilai penggunaannya bersandarkan kepada nama undang2.

Dan Perak juga mungkin digunakan sebagai eksperimen untuk melihat samada rakyat boleh menerima peralihan kuasa ini dengan baik atau tidak.

Persoalan Yuss kepada kita semua selepas ini ialah, adakah kita bersedia untuk menerima hakikat bahawa tindakan Anwar mencadangkan untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan dahulu sesuatu yang 'BETUL'?

Jika selepas ini, katakan, Anwar ada peluang sekali lagi mahu dan boleh membentuk kerajaan Persekutuan, adakah kita semua akan membantahnya? Adakah kita akan mempertikaikannya seperti yang pernah berlaku pada 16 September dahulu?

Pastinya suara2 sumbang seperti 16 September tahun lalu tidak akan berulang lagi. Inilah satu-satunya perkara positif yang masih ada kepada PR umumnya. Sebabnya?

Kita telah mendidik masyarakat untuk menerima hakikat kepada undang2 sedia ada secara betul. Ianya juga akan mewujudkan satu pemikiran atau mentaliti baru masyarakat untuk berdebat dalam ruang lingkup undang2 tersebut. Yang mana kita semua akhirnya akan menjadi lebih terpelajar, terdidik dalam memahami segala hal sekelilingnya sebaik mungkin. Bukankah ini ciri2 menuju ke arah masyarakat sivil yang maju?

Berbalik kepada isu ini, bukan soal salah atau tidak melompat parti menjadi persoalan, tetapi bagaimanakah rakyat boleh diyakinkan apakah tujuan mereka melompat. Rakyat akan menilainya sendiri dengan cara masing2.

Dalam masa yang sama, jika Adun atau Ahli Parlimen ini akan melompat2 tanpa henti sehingga rakyat mual, benci dan menolak politik dalam hidup mereka, itu bukan salah rakyat. Itu salah pemimpin. Salah pemimpin yang telah menjauhkan diri mereka daripada rakyat secara di bawah sedar. Yang rugi adalah pemimpin2 itu sendiri. Bukan rakyat. Kerana pemimpin yang baik ialah pemimpin yang dekat dan mendengar suara hati rakyat.

Sekali lagi, Yuss mahu persoalkan dalam diri kita semua, selepas sahaja reda semua perkara ini di Perak, dan BN berjaya membentuk kerajaan, adakah kita bersedia dengan pemikiran kita untuk menerima Anwar membentuk kerajaan Persekutuan? Pikir-pikirkan.

Biarlah pemain2 politik ini terus bermain politik. Jangan libatkan rakyat lagi. Kami sekadar mampu memerhati sahaja. Suara kami akan hanya terungkai dalam PILIHANRAYA UMUM KE-13 akan datang.

Permainkan kami sekarang, kami akan permainkan anda di masa pilihanraya nanti. Inilah yang mungkin akan dinamakan nanti sebagai hukuman rakyat.

Rakyat.... Sekali lagi diingatkan supaya TIDAK MUDAH LUPA. 'Melayu mudah lupa' adalah ungkapan yang sering kita dengar. Tetapi, jangan termakan dengannya sudahlah.

Masyarakat bermaklumat ialah masyarakat yang tidak mudah lupa.

Yuss terima hakikat.

Wednesday 4 February 2009

Perak Tumbang

[Terbaru, Thurs 5 Feb 5.15pm]
Senarionya sekarang, Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran DUN yang dicadangkan oleh Nizar Jamaluddin. Baginda juga menitahkan MB Perak meletakkan jawatan, atau jika gagal, dengan sendirinya jawatan itu kosong.

Terlalu banyak interpretasi boleh dibuat tentang pengumuman tersebut.

Apakah proses seterusnya, ianya terserah kepada mereka yang bijak pandai dalam bidang undang2. Yuss tidak termampu untuk mengulas lagi.

Persoalan2 bodoh yang akan Yuss utarakan ialah, adakah ini bermakna Baginda Sultan hanya menyuruh meletakkan jawatan sahaja, tetapi kerajaan Pakatan masih lagi berjalan?

Adakah Baginda Sultan berpendapat kerajaan Pakatan masih lagi sah untuk berjalan dari segi majoriti minimum? Kerana situasinya ialah PR 28, BN 28 dan 3 Bebas. Walaupun secara terbuka 3 Adun Bebas tersebut menyokong kepimpinan BN, apakah pegangan untuk membuktikan mereka betul2 setia?

Apakah akan terjadi jika 3 Adun Bebas tersebut beralih arah sekali lagi, lagi dan lagi? Kerana Adun Bota yang masuk balik UMNO telah membuktikan kepada semua bahawa melompat2 parti dalam tempoh yang sangat singkat 'dibenarkan'.

Bagaimanakah kita rakyat biasa, akan mentafsirkan bahawa kerajaan BN nanti akan benar2 kukuh?

Atau juga, adakah pengumuman Baginda Sultan ini bermakna akan berlaku perkongsian kuasa antara BN dan PR? Adakah ini yang cuba digambarkan? Mungkin Yuss salah.

Di samping itu, jika kita melihat tindakan Nizar mengumumkan terlebih dahulu pagi tadi, bahawa keputusan Speaker Adun Perak telah difailkan ke mahkamah, ini bermakna, dari segi undang2nya, Yuss rasa, kerajaan yang ada masih sah sehingga kes yang dibawa tersebut selesai. Inilah juga mungkin andaian awal Nizar yang beliau masih MB Perak sekarang dan tidak akan letak jawatan.

Yuss juga tidak faham kenapakah usul tidak percaya kepada Nizar tidak di bawa ke Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu untuk dibentangkan? Walaupun jawapannya nanti akan jelas majoritinya memihak kepada BN, bukankah ia satu proses formaliti yang baik untuk kedua2 pihak berdebat dan dimaklumkan sama rata? Bukankah rakyat akan lebih mudah untuk menerima maklumat sebegini?

Kenapakah keputusan ini dibawa terus ke dalam istana tanpa memaklumkan kepada rakyat? Secara terbuka bukan bermaksud di dalam media, tetapi saluran di dalam Dewan Undangan Negeri nya itu sendiri kerana ia melibatkan Adun2 Negeri tersebut. Apa pun, Yuss tidak mempertikaikan keputusan yang telah dibuat, tetapi keterbukaanlah yang Yuss pinta.

Ramai rakyat kebanyakan melihat perlunya pilihanraya diadakan semula. Yuss pula masih belum bersama mereka2 yang menyokong pendapat ini.

[Terbaru, Thurs 5 Feb 2.35am]
Yuss akui hari ini, Yuss telah terikut2 dengan permainan media kita terhadap isu yang terlibat. Yuss hanya membaca dan sekadar cuba mencari punca jawapannya sendiri.

Setelah muhasabah diri sebaik mungkin, Yuss sebenarnya telah termakan dengan kata2 media kita semalam. Yuss juga telah menggelarkan posting ini 'Perak Tumbang', seperti memberikan sebuah gambaran adanya satu kerajaan yang telah tumbang dan lingkup.

Dimanakah pembetulan Yuss?

Sebenarnya, jika Najib telah mengumumkan mereka telah cukup korum untuk membentuk kerajaan baru, mereka haruslah mengusulkannya ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak untuk dibentangkan bagi mendapatkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Ataupun jika kerajaan sekarang mengambil keputusan meletakkan jawatan.

Itu formaliti yang perlu digunapakai ketika ini.

Kuasa masih berada di bawah Menteri Besar bagi menentukan apa jua keputusan yang akan diambil nanti. Apa pun, kita tunggu dan lihat sahajalah apa juga keputusan baru yang akan dikeluarkan esok. Buat masa sekarang atau dalam tempoh ini, kita perlu menghormati kedudukan Nizar sebagai MB sebelum usul tidak percaya itu diterima.

[Terbaru, 9.10pm]
Yuss sekadar ingin mengulas secara ringkas atas nama sentimen sebagai seorang rakyat Perak.

Kenapakah hal ehwal kerajaan negeri Perak diputuskan dan diumumkan di Putrajaya? Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, bukankah lebih molek jika Najib dapat melaksanakannya di atas tanah dan bumi Perak. Setidak-tidaknya di pejabat UMNO Perak.

Kenapakah dilakukan di atas tiket nama Timbalan Perdana Menteri dan di pejabat TPM?

Yuss sekadar bertanya. Mungkin Yuss silap. Tak kiralah atas tiket apa sekalipun, Yuss rasa terasing dalam negeri sendiri.

Bukannya hal sah atau tidak. Tapi apalah perasaan orang kebanyakan seperti Yuss yang melihat hal negerinya berada di tingkat atas kerajaan persekutuan.

Perak oh Perak. Seperti melangkaui hal utama negara.

[Terbaru, 7.08pm]
Ulasan ringkas Yuss, semuanya kini terserah kepada baginda Sultan. Sebabnya sekali lagi :

  1. Sultan belum memberi perkenan kepada pengisytiharan pembubaran DUN oleh Nizar Jamalauddin.
  2. Sultan juga belum memberi perkenan kepada pengumuman kerajaan baru BN oleh Najib Razak.

Persoalan2 yang mungkin timbul dalam diri kita semua selepas ini ialah, apakah kerajaan baru pimpinan BN ini akan kekal sehingga pilihanraya umum akan datang?

Apakah jaminan bahawa 3 Adun Bebas ini tidak merubah pendirian mereka sekali lagi dalam tempoh 2-3 tahun berikutnya?

Adakah Perak digunakan sebagai eksperimen kepada rakyat untuk melihat betapa bersih dan kotornya dasar lompat parti ini? Walaupun 3 Adun ialah Bebas, tetapi yang seorang itu (Adun Bota), melompat keluar masuk UMNO-PKR-UMNO dalam masa seminggu (macam tukar2 baju pulak), telah menjejaskan idea sebenar lompat parti itu sendiri.

Adakah rakyat menyetujui tindakan BN ini? Adakah ianya memberi kesan positif ke atas BN? Adakah BN sebenarnya semakin menjauhkan diri daripada rakyat dalam proses ini? Kerana sebelum ini, merekalah penentang utama kepada peralihan kuasa yang pernah diterajui oleh Anwar Ibrahim di peringkat nasional sebelum ini.

Siapa bohong siapa?

[Terbaru, 5.20pm]
Najib umumkan BN akan tubuhkan kerajaan baru negeri Perak. 4 bekas Adun PR kini secara terbuka menyokong kerajaan baru tersebut.

Segalanya bergantung kepada perkenan Sultan Perak. Walau apa pun, ketika ini, kedua2 pihak masih mempunyai peluang sama rata. Kebijakan Sultan menjadi penentu.

[Posting Asal]
Kerajaan Perak sekarang bagi Yuss sudah tumbang. Hanya ada dua pilihan sahaja yang ada.

  1. MB Perak, Nizar Jamaluddin sedang cuba untuk mendapatkan perkenan Sultan untuk membubarkan DUN dan diadakan semula pilihanraya seluruh negeri Perak.
  2. Najib mungkin akan mengumumkan peralihan kuasa kerajaan sekarang kepada kerajaan baru pimpinan BN.


Tak kira mana satu pun langkah yang diambil, ia jelas menunjukkan kerajaan Perak sekarang telah berakhir.

Apa pun, jelas politik semakin memakan diri. Adun Bota rupa-rupanya dijadikan batu loncatan BN untuk bermain politik lompat. Adun Bota dikatakan akan kembali kepada BN.

Kejelasan yang dapat dilihat di sini ialah, BN bermain politik kotor. Yuss terpaksa menggunakan perkataan 'kotor' kerana tindakan mereka tidak bermoral. Bukan tidak bermoral melompat parti, tetapi menggunakan taktik lompat parti ini secara tidak bermaruah. Maksudnya, lompat parti cuba digambarkan mereka boleh keluar masuk parti2 lain bila2 masa sahaja. Secara berulang-ulang-ulang-ulang kali.

Di sinilah nilai intergriti individu dan parti akan dinilai semula oleh rakyat. Melompat parti perlulah diiringi dengan rasa tanggungjawab dan sebab2 yang kukuh. Bukan melompat2 tanpa henti.

Sebagai orang biasa, kita akan bertanya kepada diri sendiri, inikah jenis pemimpin yang kita nak kekalkan. Sekejap sana sekejap sini. Sekejap ke sana balik. Sekejap ke sini. Bagi Yuss, cukuplah sekali kita melompat bagi menunjukkan keihklasan dan jatidiri kita yang kuat untuk berubah.

Bukannya menggunakan dasar lompat parti ini untuk kepentingan mendapatkan KUASA. Jika Adun Bota terbukti masuk balik BN, ia satu bukti jelas UMNO atau BN menggunakan kaedah lompat parti ini untuk mendapatkan KUASA.

Selain daripada itu, apakah kesanggupan mengambil mereka yang sedang dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah (Adun Behrang dan Changkat Jering), menghalalkan cara kita hanya untuk berKUASA. Yuss tahu mereka belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Salah untuk Yuss menuduh mereka mengambil rasuah. Tapi kita perlu ingat, proses mahkamah sedang berjalan.

Jika ada pihak berkata berlaku double standard dalam diri Yuss berhubung kes 2 Adun ini, izinkan Yuss mempertahankannya.

Pertama, tuduhan rasuah mereka berdua ini berlaku semasa mereka menjadi ahli PKR. Bermakna, nama parti tersebutlah yang sepatutnya 'bertanggungjawab'. Bertanggungjawab mengekalkan jawatan mereka sudah dianggap cukup baik walaupun ia mungkin menganggu nama baik kerajaan yang berkuasa.

Kedua, jika mereka bertindak keluar parti, sepatutnya mereka perlu kekal berada di luar mana2 parti sehingga kes rasuah mereka diselesaikan. Mereka tak sepatutnya membawa 'masalah peribadi' mereka ke tempat lain. Selesaikan dahulu. Dengan cara ini, barulah mereka akan dilihat betul2 bersih untuk kembali dalam mana2 parti sekalipun.

Ini belum lagi dengan persoalan kenapa Najib tiba2 mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Perak daripada Tajol Rosli sejak kes Adun Bota dahulu.

Rakyat akan terus menilainya secara rambang persoalan2 yang tertimbul keluar ini. Rakyat mungkin akan membuat kesimpulan Najiblah yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan Perak yang sedia ada.

Secara kesimpulannya, terlalu banyak perkara negatif akan berungkit jika petang ini (sekarang), Najib mengisyhtiharkan peralihan kerajaan baru kepada BN tanpa pilihanraya negeri. Satu persatu perkara yang tidak baik seperti yang Yuss terangkan di atas akan terus bermain dalam minda masyarakat.

Jalan terbaik ialah dengan mengadakan semula pilihanraya negeri. Itu pun jika mendapat perkenan Sultan. Kerana proses semula pilihanraya ini akan dapat membantu membersihkan kedua2 pihak, BN dan PR!

Yuss termenung.

Monday 2 February 2009

Perak Bergegar?

[Terbaru]
Rentetan daripada peristiwa di Perak ini, Yuss tidak dapat lari daripada mengulas tentangnya. Hari ini (Selasa, 3 Februari), SPR memutuskan 2 exco Perak terbabit kekal sebagai Adun di kawasan masing2. Ini bermakna, tidak akan ada pilihanraya kecil di kawasan tersebut.

Keduanya, yang lebih menarik lagi, ialah tentang wang sogokan RM50juta dan Najib. Nama Najib dilihat betul2 tercemar akibat tindakan Angkatan Muda PKR mendedahkan perkara tersebut kepada media. Apabila ia menjadi perhatian umum, ia akan mengambil masa untuk dibersihkan.

Maka, akan timbullah sekali lagi teori2 konspirasi di kalangan rakyat. Kisah nama 3 serangkai yang sentiasa Yuss kaitkan sebelum ini, Najib, Paklah dan Anwar akan kembali hangat untuk dibincangkan oleh semua.

Kali ini Yuss melihat Najib telah menjadi mangsa. Agak sukar untuk Yuss beranggapan beliau mampu membersihkan namanya menjelang pemilihan UMNO Mac ini. Masa yang sesingkat ini memerlukan tindakan luarbiasa beliau membetulkan keadaan. Sentimen rakyat cuba dibentuk ketika ini untuk memberikan gambaran kurang baik beliau sebelum menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang baru. Pada waktu ini, nama Najib betul2 terpalit dengan lumpur.

Adakah benar Paklah akan terus berkuasa? Adakah suasana sekarang ini sengaja dimainkan kerana Paklah kelihatan seperti berdiam diri dengan kekeruhan terbaru ini? Adakah komplotnya adalah antara Paklah dan Anwar?

Benarkah Anwar inginkan penguasaan berterusan Paklah sebagai PM bagi memudahkan beliau mengambil alih kerajaan sedia ada? Anwar mungkin melihat kesukaran peralihan jika kerajaan sekarang berada di bawah Najib.

Mungkinkah kes Altantuya seperti tidak cukup kuat untuk rakyat mengatakan tidak kepada Najib sebagai PM? Maka didedahkan pula kes RM50juta ini secara teratur dan besar-besaran?

Tak salahkan untuk Yuss berkonspirasi? Bukannya ada yang betul dan salahnya pun. Yuss sekadar memerhati dan melihat kepada keterangan2 yang dikeluarkan oleh mereka di media2 kita sahaja. Terjadi atau tidak, wallahualam. =)

[Posting Asal]

Ada laporan menyatakan 2 Adun di Perak, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah meletakkan jawatan masing2. Dan ada juga laporan yang mengatakan mereka menafikannya dan mendakwa masih Adun yang sah di kawasan mereka.

Yuss melihat adanya usaha meletakkan diri pakatan masing2 (BN dan PR) terkehadapan dalam isu ini sebelum menjelang hari bekerja esok pagi. Dan PR dilihat mungkin bertindak mengumumkannya secepat mungkin malam tadi untuk memberikan gambaran positif mereka bersedia dengan 2 pilihanraya kecil yang mungkin akan berlaku nanti.

BN pula dilihat berjaya menggoncangkan kelemahan PR dengan kes terbaru ini. Kredit yang baik harus diberikan kepada BN kerana berjaya memadamkan 'angin ribut' yang kedua2 Adun ini akan menyertai mereka. Kerana mereka meletakkan jawatan, bukan menyertai BN. Dan ini bermakna, rekod tidak 'lompat parti' di pihak mereka (BN) masih kekal baik sejak Mac tahun lepas.

Di samping itu, BN juga seperti 'dibersihkan' semula dengan suara2 tidak senang beberapa pihak dalam BN sendiri yang tidak bersetuju membawa masuk 2 Adun ini yang bakal dihadapkan di mahkamah bulan depan atas tuduhan rasuah.

Namun begitu, jika benar Adun2 ini meletakkan jawatan, adakah ianya memberi tamparan hebat kepada BN? Adakah kemungkinan kedua2 bekas Adun ini sebenarnya TIDAK sanggup langsung masuk BN? Ini mungkin sesuatu yang memalukan BN.

Mereka berdua mungkin lebih rela melepaskan sahaja jawatan daripada menukar ideologi dan masuk parti lain. Positifnya hanya kepada diri mereka berdua sebagai individu. Atas nama ketegasan dan intergriti diri sendiri. Bukan ke atas parti.

Dan bagi PR pula, ini sesuatu yang memalukan kerana gagal 'mengawal' ahli sendiri. Dan mungkin akan digambarkan sebagai kegagalan menyempurnakan 'tanggungjawab' ke atas penduduk2 di kedua2 kawasan tersebut.

Dan jika mereka mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas, siapakah pula yang akan untung dan rugi?

Satu perkara yang baik untuk PR ialah, mereka masih berkuasa di Perak walaupun selepas 2 pilihanraya kecil (jika ada) berlangsung. Cuma bezanya ialah samada akan semakin mengecil atau besar jumlah majoriti mereka di Dewan Undangan Negeri kelak.

Dan satu perkara yang baik untuk BN pula ialah, mereka berjaya mengalihkan mata rakyat dengan isu lompat parti Adun Bota sebelum ini yang menyertai PKR. Kerana tindakan BN ini mungkin sekadar ingin mencetuskan suasana kelam-kabut sahaja. Tiada lompat, tiada apa pun. Sekadar terjah.

Dan adakah ini usaha terakhir BN untuk melihat adanya satu 'kemenangan' (jika ada pilihanraya kecil) sebelum pemilihan UMNO Mac ini? Najib telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Perak menggantikan Tajol Rosli baru2 ini. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat sejak kes Adun Bota yang lepas.

Impak atau kesan ke atas PR tidak terlalu berat walaupun mereka tewas nanti. Alasannya sekali lagi ialah, mereka masih berkuasa di Perak walau apa pun. Sebaliknya, impak ke atas BN adalah amat2 berat jika mereka tewas. Sangat2 berat.

Satu jaminan Yuss, pilihanraya kecil (jika ada) di kedua2 kawasan tersebut adalah yang paling hangat akan berlangsung. Tak percaya? Kita lihat saja nanti.

Dan adakah penduduk di Behrang dan Changkat Jering akan berubah angin jika terpaksa mengundi sekali lagi (jika ada)? Andaian awal Yuss, atau berdasarkan pandangan sekarang, kes yang berlaku ini masih memihak kepada PR.

Yuss menunggu dengan penuh minat apakah isu dan faktor yang akan cuba dibawa oleh BN nanti. Dan bagi PR pula, Yuss melihat mereka lebih kepada sikap tunggu dan lihat. Kerana mereka tahu pihak yang 'tercedera' adalah mereka sendiri.

Dan Yuss juga tidak lari daripada berkonspirasi. Benarkah Paklah 'tersenyum' ketika ini? Siapa kata beliau sudah tidak 'berbisa'? Siapakah yang masuk perangkap siapa? 'Siapa' itu rasanya semakin jelas. Adakah Paklah akan terus kekal berkuasa selepas Mac ini? Rakyat biasa seperti Yuss masih belum mampu meneka.

Kita, orang2 biasa ni kene sedar dan tengok semua ni secara telus dan perlahan-lahan. Cuba lihat semua ini sebaik mungkin bagi memastikan pilihanraya (jika ada) betul2 bersih dan adil. Tanpa emosi yang berlebihan. Dan betul2 memahami undang2 sedia ada. Kerana mungkin ada sesetengah pihak akan bermain dengan isu undang2 untuk mengaburi mata rakyat biasa.

Perak akan terus dianggap lubuk emas BN untuk melemahkan PR. Kerana ramai yang melihat MB Perak, Nizar Jamaluddin agak 'lembut' dalam pendiriannya berbanding rakan sepakatan di Pulau Pinang dan Selangor. Walaupun tegas, media2 kita berjaya memberi gambaran keadaan 'senyap' corak pemerintahan beliau di negeri kelahiran Yuss ini. Kedah dan Kelantan pula lain ceritanya kerana mereka punya majoriti amat besar untuk memerintah.

Sekali cuit, bergegarlah Perak.

Yuss terbeliak.

Photo by Google

Sunday 1 February 2009

GMP, Erdogan-Anwar, Lompat Parti

GMP

Yuss berasa agak sedih apabila tidak dapat menghadiri pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) semalam seperti yang telah 'dijanjikan' sebelum ini. Alasan Yuss ialah hujan sejak tengahari lagi. Dan Yuss mengagak pelancarannya pasti akan diadakan di luar perkarangan SOGO.

Tapi... Tup... Tup... tepat pukul 3 petang, hujan tiba2 berhenti. Rasanya, kalau dah terlajak waktu, baik tak payah datang terus. Yuss tahu, alasan tetap alasan. =)

Walau apa pun, sokongan Yuss terhadap Gerakan ini kekal 100%. Tidak hadir fizikalnya tidak bermakna jiwanya juga tertinggal, bukan?

Yuss agak terharu melihat Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang sanggup datang membawa sepanduk 'Jangan Bunuh Bahasa Ibunda'.

Yuss juga merasa simpati apabila hadirin yang datang cuma sekitar 100 orang (seperti yang dilaporkan Malaysiakini). Mungkin jiwanya belum meresap dalam diri rakyat kebanyakannya. Mungkin. Tetapi kehadiran ramai aktivis dan tokoh bahasa sudah cukup memberi signal kepada 'penentangan' kepada dasar ini.

Erdogan-Anwar

Nampaknya, ucapan dan tindakan Perdana Menteri Turki, Tayib Erdogan semasa debat WEF baru2 ini mendapat banyak pujian daripada dunia Islam.

Dan kaitannya dengan kita? Imej positif yang ditunjukkan oleh negara sekular Turki ini ibarat terkena tempiasnya dengan tokoh tempatan, Anwar Ibrahim yang pernah mendapatkan 'perlindungan' di kedutaan Turki tahun lepas. Ini mungkin memberi kelebihan kepada Anwar.

Anwar juga mengambil kesempatan dalam blog beliau memuji tindakan Erdogan ini. Dalam masa yang sama beliau turut 'mengenakan' musuh politiknya di sini yang menggunakan lobi Yahudi hanya untuk bertemu Presiden Bush. Siapa yang tidak kenal siapakah yang beliau katakan. Rumor tetap rumor. Entahlah...

Apa pun, imej positif Turki telah memberi impak yang positif ke atas Anwar Ibrahim.

Lompat Parti

Yuss tidak terkejut dengan tindakan Adun Bota, Perak melompat parti dari UMNO ke PKR. Kerana Yuss sentiasa bersetuju dengan tindakan ini hanya kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan. Hak yang sah dan dibolehkan.

Tetapi, pada permulaannya, Yuss berasa agak hairan, kenapakah media arus perdana tidak menggembar-gemburkan tindakan Adun ini secara besar-besaran? Yuss pelik, kenapakah tidak ada ulasan atau penentangan besar-besaran orang2 tinggi BN yang mempertikaikan tindakan bekas Adun mereka ini? Imej2 seperti tidak beretika, tidak sihat, tidak wajar dan sebagainya yang selalunya dimainkan oleh mereka tidak berlaku pada kali ini.

Dan kehairanan Yuss rupanya tidak berpanjangan. Rupa-rupanya, BN sendiri telah 'mengatur' rancangan yang lebih baik lagi. Ia disokong oleh keterangan Paklah hari ini yang mengakui adanya kemungkinan Adun Perak dari PR akan menyertai BN.

Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu dikatakan akan menyertai BN.

Pihak PR pula memberi gambaran bahawa kedua2 Adun ini 'hilang' dan tidak boleh dihubungi.

Satu sahaja persefahaman akan akan terbentuk dalam diri kita semua selepas ini. 'Lompat parti' akhirnya telah dianggap suci dan betul.

Suara2 negatif yang berkumandang ketika Anwar pernah mengumukan akan mengambil alih kerajaan persekutuan beberapa bulan lepas akhirnya seperti dipersetujui oleh 'semua' pihak pada kali ini.

Adakah ianya akan memakan diri UMNO atau BN kerana sebelum ini merekalah yang menentang keras tindakan lompat parti? Siapakah yang diperbodohkan atau siapa yang bodoh? Sama-samalah kita lihat.

Sebagai rakyat biasa, Yuss berharap kita semua telah bijak mengetahui kebenaran yang semakin terserlah dengan 'proses' lompat parti ini. Yuss berharap kita semua tidak mudah lupa dengan apa yang pernah dicanangkan seluruh negara tentang etika lompat parti oleh orang2 BN sebelum ini.

Adakah etika bukan lagi etika yang perlu kita ikuti dan turuti? Bagaimanakah perasaan mereka yang pernah menyokong bulat2 idea bahawa kes lompat parti itu sesuatu yang berdosa, tidak bermoral dan keji?

Adakah 'jatidiri' mereka sebenarnya telah tertipu selama ini? Mampukah mereka atau kita untuk berfikir lagi? Akan menjadi dayuskah kita jika kita menyokong sesuatu yang kita tentang sebelum ini?

Jika kita hanya ada dua pilihan sahaja, katakan A dan B.
A buat 'salah' akui lompat parti.
B pun buat 'salah' akui lompat parti.
Siapa pulak yang kita nak pilih?

Pikir-pikirkan.

Yuss memerhati.