Wednesday 24 December 2008

PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Itulah PPSMI.

Gapena atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran jika PPSMI ini diteruskan. Itulah berita yang sedikit hangat mengenai isu ini.

Dimanakah sudut pandang Yuss terhadap perkara ini?

Pertamanya, Yuss secara sedar, amat menyokong langkah mengembalikan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah. Termasuklah matapelajaran Sains dan Matermatik. Bagi Yuss, pemilihan Bahasa Malaysia adalah alasan paling mudah untuk melihat ianya menjadi bahasa penyatupaduan berasaskan kepada perlembagaan negara.

Keduanya, ramai yang melihat penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah menjadikan Bahasa Inggeris ini sebagai bahasa penyatupaduan melangkaui Bahasa Malaysia. Kerana kewujudannya telah diselarikan penggunaannya di dalam kelas Sains dan kelas Matematik tak kiralah di sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Tidak ada lagi perbezaan bahasa. Tidak ada lagi Bahasa Cina untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil. Kita telah menanamkan di dalam minda secara di bawah sedar, mengakui bahawa Bahasa Inggeris ialah bahasa yang menyatupadukan kita semua dalam Malaysia melalui sistem ini. Bukan Bahasa Malaysia. Inilah realitinya.

Dan ramai yang menyokong PPSMI pula menganggap, usia perlaksanaanya baru masuk 6 tahun. Berilah peluang untuk ia membuahkan hasil. Yuss hairan, adakah sistem pendidikan negara suatu eksperimentasi? Kerana jika ia dieksperimenkan, bermakna ia bukan bertaraf dasar. Kerana dasar terwujud selepas ia dikaji dan diselidiki sedalam-dalamnya sebelum ianya layak diangkat menjadi suatu 'dasar' yang boleh digunakan. Dan adakah juga ianya mungkin bercanggah dengan dasar sedia ada? Kita jangan lupa kepada dasar pendidikan negara sekarang yang perlu dipegang iaitu perkara yang mengikut perlembagaan negara terutamanya fasal 152 yang mengiktiraf Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dan ramai juga antara kita yang menyokong PPSMI ini menggunakan alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa perdagangan. Atau alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa internet. 'Alasan2' ini digunakan bagi alasan kita perlu melatih bangsa kita mudah mengharungi cabaran dunia luar dari peringkat rendah lagi.

Adakah program PPSMI ini sahaja jalan penyelesaiannya? Tdak ada cara lain lagi dah? Bagi Yuss, ia hanyalah alasan lemah untuk menenggelamkan bahasa sendiri yang sepatutnya berada di tingkat teratas sekali. Kerana apa? Kerana Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan!

Cuba kita fikirkan sejenak, bahasa apakah jumlah penuturnya adalah yang teramai di dunia? Berapakah kadar atau peratusan perbezaan antara bahasa teramai ini dengan kedua teramai? Carilah sendiri. Tak perlulah Yuss masukkan data-datanya di sini. Semuanya terbentang luas maklumat dalam dunia maya ini.

Cuba kita tanyakan juga, bahasa apakah yang menguasai kepenggunaannya atau majoritinya yang melibatkan jumlah negara2 di dunia ini? Cubalah cari sendiri. Anda pasti terkejut.

Cuba kita soalkan lagi, bagaimanakah rupa bentuk demografi, geografi dan suku kumpulan bahasa yang kuat dan jitu antara kawasan-kawasan atau benua dalam dunia ini? Antara kawasan Pasifik dan Atlantik contohnya. Atau antara benua seperti di Amerika Selatan contohnya. Atau Afrika. Anda lihatlah sendiri jawapannya.

Cuba kita tanyakan kembali dalam diri masing-masing, di manakah kedudukan bahasa masing2 dalam 10 negara paling maju di dunia ini? Dari segi jumlah pengguna sekurang-kurangnya.

Atau jika tidak sekalipun, cuba lihat jumlah pengguna bahasa dalam 5 negara Majlis Keselamatan dalam PBB. Di manakah kedudukan bahasa yang konon-kononnya kita anggap sebagai bahasa kesatuan dunia ini.

Berbalik kepada isu ini, Yuss cuma hendak kita berfikir, adakah sesuatu yang mustahil melihat majoriti buku-buku yang dijual di kedai buku bertulisan Bahasa Malaysia? Adakah suatu fantasi melihat buku-buku dalam Bahasa Malaysia paling dominan dalam perpustakaan2 kita? Boleh atau tidak? Atau harapan tinggal harapan? Adakah proses penterjemahan sesuatu yang berat? 50 tahun merdeka, umurnya sudah cukup matang bagi sebuah negara untuk berfikir.

Yuss ingin bertanya lagi, adakah sesuatu yang masuk akal atau tidak apabila kita melihat di negara China, majoriti buku2nya tak kiralah ilmiah atau majalah sekalipun, bahasa utamanya adalah bahasa Cina? Mereka ke angkasa lepas dengan teknologi dalam bahasa apa?

Masuk akal atau tidak di negara jiran kita, Thailand, majoriti buku2 jualan mereka bertulisan Thai? Itu contoh paling dekat dengan kita.

Masuk akal atau tidak di Malaysia perkara yang sama boleh berlaku?

Jatidiri atau Kemaluan? Pilihlah sendiri.

Jika penguasaan bahasa kedua amat penting bagi sistem pendidikan kita, adakah satu kesalahan untuk kita mengangkat bahasa lain selain Bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan kedua pelajar kita?

Adakah faktor sejarah penjajahan menjadikan Bahasa Inggeris pilihan utama kita? Apakah pendidikan Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, Bahasa Russia, Bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun di anggap tidak sama penting dari segi keluasan dan kekukuhan penggunaanya di muka bumi ini? Atau dari segi ilmu dan teknologi sekalipun (jika itulah paksi hidup kemajuan impian pemerintah kita).

Bagi Yuss, PPSMI ialah satu kepincangan. Jika benar pengajarannya perlu dalam Bahasa Inggeris, kertas jawapan pelajar juga perlu sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Bahasa2 lain sepatutnya tidak dibenarkan digunakan untuk menjawab. Tetapi pelajar2 ini dibenarkan untuk menjawab soalan dalam bahasa pilihan mereka, Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Atau mungkin juga bahasa pilihan masing2 di sekolah jenis kebangsaan mereka. Inikah konsep yang boleh diterima akal?

Jika alasan kebolehan dan daya intelektual pelajar adalah berbeza dalam penguasaan bahasa kedua mereka menyebabkan kita membenarkan pelajar2 ini membuat pilihan bahasa dalam menjawab, bukankah ia satu kesalahan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar?

Jika kebebasan dibenarkan untuk menjawab kertas soalan dalam bahasa pilihan masing-masing, adakah satu kesalahan juga kepada pelajar2 yang mengikuti kelas bahasa2 lain di sekolah seperti Bahasa Perancis, Sepanyol, Mandarin dan sebagainya menulis jawapan dalam bahasa pilihan mereka ini? Jika mereka berkebolehan, salahkah kita membenarkan mereka? Jika sudah terang lagi bersuluh kita membelakangkan perlembagaan, apa salahnya kita benarkan pelajar2 ini menjawab dalam bahasa apa sekalipun yang telah diiktiraf.

Dan adakah jika desakan yang dibuat GAPENA ini yang dibuat secara terbuka ditiru oleh Dong Jiao Zong, adakah kita menganggap mereka tidak patriotik dan mengagungkan Bahasa Cina?

Adakah akan ada antara kita yang akan berfikiran, sekurang-kurangnya dengan PPSMI, semua sekolah dalam Malaysia mengajar dalam satu bahasa dan kita akan bersatu padu? Adakah kita lupa apakah rupa sebenar bahasa penyatupaduan yang perlu kita guna dan agungkan sebagai bangsa Malaysia? Bukankah jatidirinya itu terletak pada Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan?

Disinilah menunjukkan betapa lemahnya kita menjalankan suatu dasar. Bercanggah sana sini. Pincang dan lemah. Kita tidak ada jatidiri. Kementerian yang terlibat tidak ada kata putus. Mengiyakan pun tidak. Menafikan pun tidak. Kerana apa? Kerana kita semua tahu, jika usul ini berjaya di bawa ke mahkamah, mereka yang didakwa memang akan tewas. Tewas kerana mata kasar rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana ketinggian perlembagaan negara akan dipegang dan dipertahankan. Itu sebablah mereka yang mungkin didakwa ini bersikap diam diri dan tidak mengulas terlalu lantang.

Yuss tidak berdiam diri.

Wednesday 3 December 2008

Ketuanan Melayu

Amat menarik untuk Yuss lihat isu Ketuanan Melayu secara kasar. Secara kasar kerana Yuss sendiri tidak memahami maksud jelas apakah itu 'Ketuanan'. Yang Yuss faham secara terawang ialah ianya datang daripada kata dasar 'tuan'. Tapi maksud dan huraiannya mungkin berbeza sama sekali.

Isu ini timbul apabila Chua Soi Lek dilaporkan berkata beliau menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi menerima kepimpinan Melayu. Menolak Ketuanan Melayu bukan bermakna mencabar hak2 istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Itu kata beliau.

Selepas sahaja isu ini berbangkit, pelbagai pihak mengeluarkan pendapat yang mengecam dan mengutuk pendapat ini. Ada yang berkata, terdapat juga orang2 Melayu itu sendiri yang menolak konsep Ketuanan Melayu. Maka, bagi Yuss, ia sesuatu yang boleh dipersoalkan jika wujudnya rasa sangsi dalam diri orang Melayu itu sendiri.

Secara ringkas, istilah konsep ini berkemungkinan besar bermula pada permulaan alaf ini. Dengan menggunakan alasan 'pemberian' kewarganegaraan kepada bukan Melayu di zaman pra merdeka. Dalam pada itu, pada awal dekad selepas merdeka, istilah lain mungkin digunakan seperti ultra Melayu yang mungkin membawa maksud dan huraian yang sama seperti konsep Ketuanan Melayu ini. Perbetulkan Yuss jika salah mentafsir.

Dan bagi pihak Pas pula secara khususnya, sokongan terhadap konsep Ketuanan Melayu itu tetap wujud dalam pandangan mereka tetapi mungkin dalam istilah yang lain, Ketuanan Islam. Yang mengikut perlembagaan, mendefinisikan Melayu itu Islam.

Apa yang Yuss boleh lihat? Seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini, kita masih keliru dan bercampur-aduk pemikirannya dalam melihat maksud satu2 perkataan dalam perlembagaan. Kita ibarat masih keliru untuk mengangkat yang mana satu lebih tinggi tarafnya atau adakah ianya berjalan seiringan. Antara Melayu dan Islam.

Jika alasan negara ini tercipta atas dasar kesepakatan antara kaum, maka Melayu itu teratas dalam definisi perkataan Melayu itu sendiri. Apabila Melayu itu ditakrifkan semula yang mereka itu Islam, bertutur Bahasa Melayu dan mengikut adat Melayu, maka kita telah mengangkat taraf Islam itu sekali. Ia mungkin kelihatan seperti agama menyusuli sifat bangsa dalam konteks perlembagaan negara kita. Mungkin seperti diibaratkan sifat agama seinci kebelakang membontoti sifat bangsa.

Atau adakah ia sebaliknya? Disinilah yang mewujudkan rasa sangsi dalam diri kita, yang manakah lebih berkuasa dalam takrifan ini? Islam atau Melayu. Inilah juga yang mencetuskan rasa kurang senang sesetengah warganya apabila Malaysia cuba atau memang diangkat sebagai sebuah negara Islam dalam definisinya, isu yang pernah dibangkitkan suatu masa dahulu.

Yuss sebenarnya masih keliru dengan pemilihan perkataan bagi mencapai maksud dan tujuan mereka. Apakah kita patut pertahankan Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam? Atau kedua-duanya sekali. Adakah sama 'jiwa' kita antara kedua-dua ini? Adakah ianya wajib, sunat, harus atau makhruh untuk mempertahankannya? Yang mana lebih penting. Islam atau Melayu? Jika diberi satu pilihan antara kedua-dua ini, mana pilihan kita?

Ramai yang berkata, Melayu dan Islam itu saling berkaitan. Bersangkut-paut. Mungkin betul. Tetapi, pernahkah kita tefikir, dengan menggunakan perkataan Melayu, kita sebenarnya berselindung di sebalik 'ketakutan' mempertahankan Islam? Dalam konteks penciptaan negara bernama Malaysia melalui perlembagaannya. Kerana kita orang Melayu masih sangsi dengan kehormatan agama Islam itu sendiri?

Dan adakah juga, sifat bangsa itu yang lebih jelas beza fizikalnya melalui warna kulit dan lubang hidungnya memudahkan ia digunapakai untuk 'mengasingkan' kita semua antara satu sama lain? Adakah Melayu sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri? Kerana jika benar Islam itu lebih tinggi dan menyeluruh, sifat berbangsa2 itu sendiri akan pudar dan hilang dalam diri kita. Bukan?

Dalam masa yang sama, adakah satu kesalahan apabila kita mengangkat diri kita lebih superior daripada bangsa yang lain? Atas nama hak dan keistimewaannya? Dari segi bangsa. Mungkin ya.

Atau betulkah kita menganggap diri kita mungkin mendapat pahala bila mengangkat nama Islam itu sendiri? Dari segi agama. Mungkin juga ya.

Mana satu pilihan kita, Melayu atau Islam? Inilah kepincangan diri Yuss apabila melihat dua perkataan ini dan apabila kedua-duanya cuba berjalan seiringan. Apakah Cina Muslim atau India Muslim tidak punya hak yang sama di sisi tuhanNya yang memang jelas sama dan Satu?

Adakah kita tidak dianggap terlalu berdosa dari sudut agamanya apabila berbicara tentang bangsa secara superior atas nama survival? Atas nama kelangsungan? Kerana isu bangsa mungkin tidak kisah untuk didebatkan. Tidak terlalu 'berdosa'. Boleh diputar-carikan maksud dalam ruang lingkup yang bebas. Tetapi, jika berbicara soal agama, kita dianggap terlalu berhati2 dalam melempiaskan pendapat dan berdosa jika tersalah tafsir. Terlalu sensitif dan keras. Jawapan kepada persoalan ini ialah ilmu, sama ada kita sudah bersedia atau belum untuk berbicara tentangnya secara berhemah di masa hadapan.

Berbalik kepada isu ketuanan ini yang luas maksudnya ini, apakah pilihan kita dalam konteks penggunaan bahasa yang betul? Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera atau hak-hak istimewa orang Islam dan Bumiputera? Yang mana satu pilihan kita? Adakah benar kita, orang Melayu, takut untuk mempertahankan Islam apabila hanya cuba mengangkat sifat bangsa sahaja dalam kebanyakan isu yang berkaitan? Adakah ini satu kebenaran? Kerana Islam ialah ideologi, maka agak sukar untuk kita mendefinisikan secara khusus tentangnya jika dibandingkan dengan sifat bangsa. Mungkin.

Selain daripada itu, persoalkan dalam diri masing2, yang mana satukah boleh kita lihat sebagai suatu konsep ketuanan yang palsu atau suatu konsep ketuanan yang jelas? Atau konsep ketuanan ke belakang dengan memandang sejarah semata2 atau konsep ketuanan ke hadapan yang memandang keterbukaan? Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam?

Seperti kesimpulan Yuss dalam artikel2 lama yang lepas, impian Yuss untuk melihat wujudnya Bangsa Malaysia yang SATU akan tetap kekal dalam diri Yuss. Cukup-cukuplah kita bercerita tentang Melayu itu, Cina ini, India itu, Kadazan ini, atau Orang Asli itu.

Tidak pelikkah kita, bila keluar sahaja ke luar negara, kita dengan bangganya mengangkat diri, memperkenalkan diri sebagai Bangsa Malaysia. Tetapi apabila masuk saje ke Malaysia, jejak saja kaki ke bumi sendiri, akulah Melayu, akulah Cina, akulah India akulah bangsa itu ini.

Maknanya, kewujudan Bangsa Malaysia itu bukan sesuatu yang mustahil. Kerana jatidirinya sudah ada. Ia boleh berlaku. Cuma yang tinggal ialah kesanggupan dalam diri kita.

Dalam masa yang sama juga, Yuss terpikir, adakah konsep Ketuanan Malaysia sesuatu yang pelik untuk kita ungkap pada masa hadapan? Mungkin untuk tempoh seratus tahun yang akan datang. Atau mungkin tak perlu pun untuk kita fikirkan. Kerana Yuss melihat tidak perlunya kewujudan istilah2 jenis ini.

Tapi sekurang-kurangnya dalam waktu ini, apalah salahnya kita cari istilah ketuanan dengan niat atau nawaitu yang betul dalam mencari jiwa ketuanan itu sendiri kalau betul mahu ingin sangat2 menggunakannya. Ketuanan jenis apa?

Bagi Yuss, mungkin lebih baik juga jika kita hentikan sahaja dulu istilah ketuanan itu sendiri. Kerana konsep ini pun wujud tak sampai sedekad yang lalu. Lebih baik kita fokuskan kepada penyatudapuan antara semua kaum untuk menjadi satu Bangsa Malaysia yang menghormati perlembagaan sedia ada.

Yuss tidak bertuankan sesiapa. Hanya bertuhankan Tuhan yang Satu.

Sunday 30 November 2008

Hubung Kaum

Yuss tertarik dengan pandangan bahawa antara sebab utama sifat perhubungan antara kaum di dalam Malaysia semakin terpisah pada masa kini adalah akibat daripada dasar perindustrian negara. Benar atau tidak atau satu kemungkinan?

Yuss gelarkan tahun 1980-an sebagai waktu bermulanya Revolusi Minda Perindustrian Malaysia. Dasar negara yang meletakkan perindustrian sebagai pemangkin ekonomi negara meninggalkan kesan mendalam dalam sikap perhubungan kaum antara kita semua.

Kerajaan telah menanamkan mentaliti atau pengisian minda ke seluruh masyarakat Malaysia bahawa industri, sains dan teknologi itu adalah yang teratas dalam menjadikan kita maju. Bagi Yuss, cara propaganda meletakkan pasak kebendaan, mesin dan robot telah menjadikan kita tidak berjiwa.

Industri kereta, pembuatan kereta, menghasilkan kereta, membuat enjin kereta, itulah kepentingan negara. Itulah yang perlu diberi perhatian. Itulah khazanah negara. Pengeluaran cip, pengeluaran jentera dan semuanya yang berkaitan dianggap kejayaan negara. Atas nama pemindahan teknologi. Yang menjamin kemajuan. Yang menjamin kekayaan.

Yuss merasakan semua ini telah membelakangkan nilai perhubungan kaum. Menjadikan kita bersifat individualistik di peringkat nasional. Peringkat kenegaraan. Kita dikaburi oleh minda perindustrian ini dan lupa akan asas2 hidup penting dalam perlembagaan negara terutamanya perubahan dan kesan ke atas perbezaan hubungan antara kita semua. Isu perkauman dianggap sebagai isu politik semata dan kuasa penentu hubungan ini diserahkan bulat2 kepada pengamal2 politik ini sahaja. Dan dalam masa yang sama, rakyat pula dimainkan dan dikaburi dengan isu penciptaan kemajuan dalam dunia industri.

Kita lupa, atau sekurang-kurangnya Yuss lupa, kita hidup berpaksikan kebendaan. Mesin, robot, itulah tanda aras kehidupan kita. Dunia sains diangkat setinggi langit, dijunjung sebagai yang terbaik merubah hidup manusia Malaysia.

Dan bagi penghuni Malaysia yang beragama Islam, agama sahajalah unsur kerohanian atau jiwa yang tinggal untuk digunapakai dalam diri seharian sebagai benteng terakhir menjadi manusia berjiwa. Dan selebihnya? Tiada.

Kenapa Yuss berkata demikian? Cuba tanyakan dalam diri setiap anak muda dalam lingkungan umur Yuss, apakah mereka diberikan pilihan tepat dalam hidup mereka di sekolah? Sains atau Sastera? Pilih satu.

Mentaliti guru, sekolah, ibu bapa, pemimpin politik, semuanya meletakkan Sains itu lebih atas dari Sastera. Buktinya ialah apa yang telah terjadi kepada diri Yuss sebelum ini. Sebagai contoh, mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, akan secara terus dan automatiknya perlu menyambung pelajaran dalam aliran Sains. Mereka yang lemah, yang gagal, aliran Sastera menjadi tempat buangan mereka. Itu realiti yang Yuss alami di zaman persekolahan dahulu. Tidak ada pilihan. Terasing. Tidak didedahkan sebaik mungkin pilihan yang mungkin mereka ada.

Perkara ini terjadi tidak kiralah di kampung mahupun bandar. Walaupun bukan semua secara total, tetapi majoritinya, penduduk Malaysia sebaya Yuss dahulu memilih perjalanan kemindaan jenis ini.

Adakah benar Sains dan Sastera tidak berjalan seiringan? Adakah benar Sains perlu ke hadapan mengatasi Sastera?

Bagi Yuss, buktinya agak jelas pada hari ini. Impak atau kesan kita meninggalkan Sastera samalah seperti kita meninggalkan jiwa.

Dalam masa yang sama, kita pula selalu membuat perbandingan jiwa hubungan kaum zaman semasa dan selepas merdeka dahulu amat berbeza dengan hari ini. Benar kita pernah melalui zaman perit 1969 dan selalunya cuba dikaitkan dengan peristiwa hari ini. Bagi Yuss, 1969 terjadi akibat daripada sebab dan pilihan mereka pada waktu tersebut. Faktor ianya berlaku bagi Yuss perlu diselidiki mengikut masa dan sejarahnya. Bukan kepada pendekatan ulangan dan ugutan yang ianya mungkin akan berlaku lagi. Lagi dan lagi.

Pada hari ini, Yuss merasakan, Sastera adalah amat penting sekali bagi menemukan kembali jiwa hubungan antara kita semua. Kita perlu kembali dan mengangkat Sastera sebagai satu kepentingan nasional. Bukan lagi atas nama warisan, penulisan kreatif, tarian tradisional dan persembahan puisi semata. Kerana sebahagian besar minda Malaysia hari ini sebenarnya melihat Sastera itu satu dunia yang penuh kebosanan dan lembap. Fokus mereka ke arah Sastera mengecil dan satu arah.

Bagi Yuss, Sastera ialah sejagat dan bebas. Mereka yang terlibat di dalamnya pula akan lebih mudah kita pandang sebagai bersifat keMalaysiaan. Dan mudah menyatukan kita. Bukan lagi intergrasi kaum atas nama kejayaan membina bangunan tertinggi dunia, kuih terpanjang di dunia, sup ekor terbanyak di dunia, menyeberang Selat Inggeris, mendaki puncak tertinggi di dunia, mengelilingi dunia dan macam2 lagilah. Benar ia membakar semangat kepada kita semua. Tapi jika diberi antara semangat dan jiwa, Yuss pilih jiwa. Kerana semangat sekadar bersifat sementara. Jiwa pula kekal dan sebati dalam diri kita.

Kita perlu melihat kepada pencapaian 'Sastera' atau budaya terkini di Malaysia melalui cara yang berbeza dan lebih luas. Alleycats contohnya. Lagu2 mereka penuh glamer dalam dunia hiburan Bahasa Malaysia. Tapi kita tidak anggap mereka Melayu. Kita masih terima mereka. Cara penerimaan kita terhadap mereka sama tarafnya dengan Siti Nurhaliza, katakan. Secara keseluruhan atau dalam konteks keMalaysiaan. Bukan maksud Yuss mengatakan Siti tidak punya peminat bukan Melayu dalam negara. Ada. Tapi pandangan kita, penerimaan kita terhadap Alleycats dan Siti agak berbeza. Betul atau tidak? Kita mungkin menganggap Alleycats punya jiwa Malaysia dalam muzik dan jiwa mereka, sedangkan Siti pula muzik dan jiwanya lebih cenderung sifat kemelayuannya.

Dan bagi Yuss, hubungan kita yang semakin terpisah hari ini hanyalah terlindung oleh fabrikasi indah ciptaan pemerintah. Kosong jiwa. Itulah yang terjadi dalam 'jiwa' era 80-an dan 90-an. Dan penghujung dekad ini pula Yuss melihat kita menuju ke arah perubahan dan mahukan penyatupaduan.

Walaupun Yuss melihat kita mungkin terpisah hari ini, tapi gelora dan perbincangan terbuka hari ini mengenai isu perhubungan kaum sebenarnya terjadi akibat daripada keterbukaan pemerintah itu sendiri. Contohnya, era pemerintahan Paklah yang dianggap bermulanya keterbukaan dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Walaupun pendapat2 itu ada yang pedas dan hangit. Dan ada yang disoal dan ditangkap. Inilah pencetus gelora.

Walapun geloranya kelihatan berpanjangan, tapi ia sebenarnya baik. Kerana kita semua bijak berbincang dan cuba mencari jawapan dalam kebebasan ini. Gelora ini Yuss anggap sebagai satu FASA mencari jiwa semula. Fasa yang membentuk jatidiri Malaysia hari ini dan masa depan.

Dan jiwa itu bagi Yuss adalah kembali kepada Sastera. Bagaimana kita menilai baik buruk orang lain dengan perasaan. Bukan lagi Ya Tidak Ya Tidak seperti dalam dunia Sains yang perlukan jawapan tepat.

Perlu diingat, Yuss bukan menyalahkan Sains. Ia amat baik sekali. Tapi perlu seiringan... sekali lagi Yuss ulang, perlu seiringan dengan Sastera. Mentaliti mengasingkan Sains dan Sastera menghasilkan apa yang kita ada pada hari ini.

Yuss bekas pelajar Sains dan Seni.

Thursday 27 November 2008

Yoga, Kongres PKR dan Mahathir

Hampir sebulan Yuss tidak mengemaskinikan blog ini. Kesihatan Yuss terganggu dengan amat teruk sekali. Ini pun belum sembuh sepenuhnya.

Pelbagai peristiwa dan kisah menarik berlaku dalam tempoh masa Yuss tidak menulis ini.

Yoga
Yuss masih berasa hairan kenapalah banyak pihak yang mempertikaikan jawapan atau fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ini. Apa lagi yang nak didebatkan? Apa lagi yang tak puas hati? Benda dah jelas depan mata pun masih berdegil. Kalau tak dikeluarkan fatwa pun bising. Dah dikeluarkan pun bising. Benar sungguh istilah bahawa setiap mahkluk bernama manusia tak pernah puas.

Yuss berasa hairan dengan laporan berita di akhbar, TV dan sebagainya yang cuba mencari jawapan mereka sendiri dengan isu ini selepas ia diumumkan. Bagi Yuss, itu bukanlah caranya. Tapi menghuraikan secara baik setiap satu perkataan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa tersebut.

Amalan yoga itu haram. Senaman yoga pula tidak digalakkan. Tidak digalakkan bukan bermaksud ia haram. Hanya sekadar satu peringatan bahawa kita jangan tersesat atau terbabas. Mudah. Itu sahaja.

Bukan sukar pun maksud dia. Yang kita semua nak berbelit2 mempertikaikan jawapan Majlis Fatwa ini kenapa pula? Dikaitkan itu ini bagi mengiyakan perbuatan masing2.

Hanya olahan 'tidak digalakkan' itu cuba digambarkan sebagai ianya suatu larangan. Suatu yang salah dan haram. Hai.... makan petai dan jering tu pun tidak digalakkan Yuss rasa. Tak bising pun. Bersanding, menepung tawar, merenjis tu pun sebenarnya tidak digalakkan. Bukannya haram. Tidak digalakkan. Masih tak faham2 lagikah manusia nih?

Dan hari ini juga PM kita Paklah akhirnya bersuara dengan cara yang paling cemerlang selaku Perdana Menteri Malaysia. Kenyataan yang beliau keluarkan mengenai Yoga ini amat2 Yuss nantikan. Akhirnya beliau bersuara dengan amat baik sekali. Jarang melihat Paklah menggunakan peranannya sebagai PM dengan sebaik ini. Antara petikan beliau dalam Malaysiakini dalam artikel bertajuk "PM: Yoga tanpa unsur pemujaan boleh diteruskan" :

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di ibu negara hari ini.

Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.


Kedangkalan manusia yang tak mahu faham perkataan, tak mahu berfikir inilah yang menyusahkan negara. Inilah mentaliti masyarakat Malaysia. Sedih Yuss melihatnya.

Kongres PKR
Yuss menanti dengan penuh minat apakah dan bagaimanakah isu 16 September ini akan dibangkitkan dalam Kongres PKR peringkat nasional yang akan bermula esok. Orang2 PKR bertanggungjawab sepenuhnya menjelaskan kegagalan mereka melaksanakan tarikh tersebut. Kita tunggu dan lihat.

Bagi Yuss, jika ditanya kepada rakyat pada waktu ini, pastinya peratusan sokongan kepada PKR jatuh merudum. Dan jawapan yang akan diberikan dalam kongres esok menentukan hala tuju PKR di depan mata rakyat. Masih boleh diterima ataupun tidak.

Yuss juga merasakan, jika betul 16 September ini gagal, buktikan pula keupayaan mereka menguruskan negeri Selangor. Bagaimanakah kekayaan dan kemewahan negeri Selangor ini dapat mereka urus dan tadbirkan sebaik mungkin sepanjang tempoh 5 tahun ini. Kita tunggu dan lihat.

Mahathir
Yuss telah menulis sekurang-kurangnya 4 kali mengenai beliau dalam tempoh setahun yang lepas. Tapi satu pun Yuss tidak poskan di dalam blog ini. Dan semuanya Yuss telah padamkan. Apa yang Yuss ingat, apa yang ditulis adalah kritikan2 Yuss terhadap beliau. Sebab utama kenapa Yuss padam dan tidak mahu poskan di sini adalah kerana Yuss anggap era dan zaman beliau telah tamat. Tak perlulah Yuss angkat orang lama ini.

Tapi nampaknya kepedasan mulut Mahathir akhir2 ini betul2 mencabar ketidakselesaan Yuss sekali lagi. Kebanyakan daripada kita masih menganggap Mahathirlah patut memperbetulkan keadaan sekarang. Diangkat dan dipuja setinggi langit. Kata-katanya sentiasa dinantikan oleh semua pihak. Wirawan negara. Kebijakan beliau tiada tandingan. Kehadiran beliau di mana2 sahaja dinanti-nantikan. Beliaulah yang terhebat dan beliaulah yang teragung. Kata-katanya perlu didengar dan diolah sebaik mungkin. Kerana pengaruh beliau masih terlalu kuat.

Yang terbaru ialah kemahuan beliau untuk mendedahkan nama2 mereka yang rasuah dalam pemilihan UMNO akan datang. Beliau punya bukti. Beliau tak takut. Beliaulah ibarat pemegang kunci terbesar pendedahan ini. Beliau melihat beliaulah yang berkuasa.

Satu saja yang boleh Yuss katakan mengenai Mahathir Mohamad. Gila Kuasa.

Pastinya ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan Yuss. Kerana penyokong2 Mahathir ramai. Tapi yang menyokong tu janganlah pulak sampai memuja. Itu yang mereka perlu ingat selalu. Ingat tu!

Bagi Yuss, Mahathir ialah seorang yang pandai menutup kelemahan sendiri. Sebagai contoh, beliau sendiri mengakui semasa zaman beliau menjadi PM, politik wang turut berlaku. Tapi tidak terbuka seperti sekarang. Maka? Oleh itu? Apa maksud beliau ini?

Dimaafkan? Tidak terbuka tidak mengapa? Tiada bukti? Kata2 beliau itu bukan bahan buktikah? Tuduhan2 beliau ini bukan juga satu buktikah? Tidak perlu menyiasat rasuah zaman beliau? Pengakuan beliau ini dicampak ketepi. Dan zaman orang lain pula semuanya salah. Tak betul. Beliau sahajalah yang bersih dan hebat. Ini yang betul2 menaikkan rasa amarah Yuss.

Itu sebab sebelum ni Yuss tak mahu poskan apa sahaja yang berkaitan Mahathir. Akan Yuss biarkan sahaja berlalu pergi. Dipadam dan biarlah kekal dalam lipatan sejarah. Tak mahu diulas.

Tapi beliau tetap beranggapan beliaulah yang berkuasa. Bila dibangkitkan mengenai isu2 lama dan minta penejelasan, alasan terbaik beliau ialah.... dah LUPA. Tak ingat. Banyak sangat peristiwa yang berlaku katanya.

Satu saja yang Yuss boleh katakan di sini. Melayu tidak mudah lupa. Mahathirlah yang mudah lupa. Tamat.

Malas nak cerita lagi mengenai beliau. Era dan zaman beliau dah lepas. Duduk diam2.

Yuss masih sakit. Minda Yuss masih pedih.

Friday 31 October 2008

Baginda Yang Di-Pertuan Bebas


Hari ini, mahkamah telah pun membuat keputusan.

Hari ini, yang membunuh telah tersabit kesalahan mereka.

Hari ini, yang dianggap bersubahat telah terlepas dari hukumannya.

Hari ini, bermulalah konspirasi baru kenapa yang dianggap bersubahat terlepas tangan.

Hari ini, kita tetap tidak tahu bagaimanakah rupa kedua-dua pembunuh2 ini.

Hari ini, ramailah yang akan mempertikaikan sistem kehakiman negara. Tak percaya? Tengok sajalah nanti.

Hari ini, kita akan terus berspekulasi dan terus memburuk-burukkan orang lain.

Hari ini, Yuss dapat merasakan semuanya tidak puas hati kerana manusia itu sendiri tak pernah puas.

Dan hari ini juga, Yuss telah berpegang kepada prinsip...

"Semua yang baik itu datang dari Tuhan. Yang buruk itu pulak datangnya dari hati manusia yang busuk." =)

Yang pergi tetap pergi. Yang masih hidup? Tuhan tu memerhati.

Yuss tak terkejut.

Photo by Google

Thursday 30 October 2008

Hukuman Yoga


Ramai yang terkejut dan berasa janggal apabila isu yoga ditimbulkan oleh media kita hari ini. Persoalan yang timbul di kalangan kita semua termasuklah Yuss sendiri ialah, benarkah yoga boleh memesongkan akidah umat Islam?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Othman Mustapha menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini. Antara petikan dari Utusan Malaysia ialah:

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Adul Shukor Husin.

Beliau menambah, isu berhubung hukum senaman yoga itu ada dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Kelantan, baru-baru ini.

“Keputusan mengenainya sudah ada tetapi Dr. Abdul Shukor belum umum lagi,’’ katanya.


Yuss masih lagi berteka-teki dengan jawapan yang akan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa ini. Apa yang pasti, melalui telaan dan pembacaan ringkas Yuss di dada internet ini, yoga adalah satu kategori senaman bagi mengurangkan stres dan membantu melambatkan proses penuaan.

Yuss tidak pernah mengamalkan yoga. Maka, Yuss tidak dapat memberikan jawapan terbaik adakah benar amalan ini memesongkan akidah. Dari segi bacaan mantera dan ritualnya.

Mungkin yoga ini banyak pembahagiannya. Namun, yang telah dikomersilkan atau dimodenkan sekarang ini mungkin hanya melibatkan unsur2 kesihatan dan senaman sahaja. Walaupun akar umbi yoga itu sendiri berasal daripada ritual dan amalan dalam agama Hindu.

Mungkin juga yoga pada hari ini telah meninggalkan semua amalan2 mantera dan ritual tersebut. Di manakah kesilapan yang mungkin ada dan kekal dalam yoga ini? Yuss akan menanti dengan penuh minat jawapan Majlis Fatwa ini.

Sebagai orang biasa sekarang ini, Yuss mungkin berpendapat yoga tidak akan diharamkan. Sekadar peringatan bahawa perbuatan2 tertentu mungkin boleh memesongkan akidah kita dalam aspek2 kecil tertentu.

Mungkin dari segi lipatan dan pergerakan tubuh badan yang boleh mendedahkan struktur seksi kepada pemerhati dan orang sekelilingnya. Mungkin.

Atau mungkin juga dari segi bacaan ritual untuk mengosongkan minda kita bagi mencapai kedudukan atau pergerakan tubuh badan kita dalam yoga. Sehingga ada yang menganggap ianya satu meditasi. Mungkin. Kerana perbuatan mengosongkan minda dan melupakan Tuhan dan Nabinya di larang oleh umat Islam walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun untuk sesaat dan seketika. Mungkin.

Kerana iman dan kedudukan kita akan tergugat jika kita melupakan Tuhan dan Nabinya. Dan memudahkan syaitan dan sahabat andai mereka menguasai minda kita yang kosong. Mungkin.

Yuss dah mula mengarut. Hahaha... Kita tunggu jelah.

Entahlah. Yuss bukan pakar. Tapi Yuss tak sabar menunggu jawapan Majlis sebesar ini. Jawapan mereka mungkin kukuh bagi mengiyakan keputusan mereka.

Yuss Yoga.

Photos by Google

Tuesday 28 October 2008

Di mana Sharlinie?


Sudah nak masuk 10 bulan adik Sharlinie hilang.

Ke manalah agaknya diri adik kecil ni berada...

Tak tahulah kenapa hari ini tiba2 Yuss asyik terpikirkan adik Sharlinie sorang ni. Sepanjang hari ni Yuss tak habis2 membaca dan mencari cerita pasal si adik kecil kita ni. Mungkin sebab Yuss berfikiran bahawa kisah Sharlinie ni seperti dah hilang dari ingatan kita semua.

Yuss sendiri tak ade adik. Tapi perasaan dan fikiran tentang dimanakah beliau berada sekarang ni betul2 menyentuh perasaan sedih Yuss.

Di penghujung Syawal ni, Yuss nak ucapkan Selamat Hari Raya buat adik Sharlinie.

Bila Sharlinie dah kita semua jumpa nanti, Yuss janji nak bagi duit raya kat adik kita sorang ni. Tak kiralah bila masanya sekalipun.

Dan Yuss juga berharap kita semua tidak terlupa tentang kisah yang satu ini. Yuss berharap kisahnya akan terus kekal dan segar dalam ingatan kita semua.

Yuss berharap. =(

Photo by Utusan Online

Monday 27 October 2008

Deepavali


Buat semua penganut Hindu, Yuss ucapkan Salam Deepavali.

Semoga adanya cahaya menerangi kegelapan yang menyelubungi hidup kita.

Semoga adanya cahaya indah yang berkekalan.

Moga-moga.

Yuss

Photo by Google.

Friday 24 October 2008

Terpilih dan Memilih

Sebagai seorang rakyat biasa yang membaca, menonton dan mendengar media2 kita berkaitan dengan dunia politik tempatan, Yuss teringin untuk memilih mereka yang berada dalam UMNO, jikalah diberi peluang. Tapi Yuss sedar, kuasa memilih ini adalah kuasa ahli2 UMNO. Bukan kuasa rakyat biasa lagi.

Dalam UMNO, kita akan memilih mereka yang terpilih. Mereka yang dipilih melalui persaingan memenuhi kuota layak bertanding. Jawapan kepada cara memenuhkan kuota yang besar ini ialah melalui politik wang. Tiada siapa yang akan menafikan fakta ini. Suara2 orang besar tertentu dalam UMNO yang meluahkan rasa tidak puas hati ini jelas adanya satu perubahan yang diingini oleh orang UMNO sendiri. Tapi kesudahannya mungkin masih jauh.

Lambang perbezaan pendapat ini dalam UMNO membuktikan wujudnya rasa 'demokrasi' dalam parti tersebut tetapi sejauh manakah 'demokrasi' ini betul2 didemokrasikan? Bagi Yuss, selagi tak terhapus kuota yang tinggi itu, selagi itulah rakyat akan melihat demokrasi dalam UMNO terus pincang. Bagi Yuss, cukuplah sekadar kuota 5 atau 10 yang diperlukan sebagai bukti calon2 yang betul2 ingin bertanding. Itupun sudah cukup besar. Bukannya jumlah yang sangat besar yang mungkin mengikut nisbah jumlah kawasan dan cawangan atau jumlah ahli UMNO itu sendiri. Dan jika terlebih ramai pun calon selepas ini bila jumlah kuota diminimumkan, itu lambang demokrasi sebenar.

Selain itu, satu perkara yang membezakan MCA, Gerakan dan UMNO ialah, MCA dan Gerakan cepat bertindak dari segi tarikh dan waktu pemilihan dalaman mereka. Walaupun pucuk pimpinan dilihat hanya berubah 'sedikit', tetapi ia sebenarnya berjaya menutupi kelemahan mereka melalui perhimpunan yang dijalankan secepat mungkin itu. Mereka telah membuktikan bahawa perhimpunan pemilihan ini perlu segar, cepat dan tepat dari segi masa dan waktu. Inilah yang rakyat ingin lihat. Pantas bertindak. Dan selepas itu? Sambung semula bekerja. Tak payah lagi sibuk memikirkan masalah dalaman parti.

Tetapi lain pula dengan UMNO. Mereka masih melengah-lengahkan keadaan atas alasan mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Tetapi, kelambatan proses pemilihan inilah sebenarnya punca segala penyakit. Pelbagai alasan digunakan bagi 'membenarkan' isu penangguhan pemilihan mereka. Alasan peralihan kuasa, alasan penangguhan mesyuarat, alasan ekonomi, alasan politik wang, alasan perebutan kuasa, dan macam2 lagi betul2 terbina atas nama alasan sahaja.

Rakyat sebenarnya akan melihat UMNO hanya mahu bermain politik. Isu2 nasional lain yang lebih penting seperti seperti dikaburi oleh isu sensasi politik dalaman UMNO ini. Dan pemilihan UMNO seperti memberi gambaran bahawa ia diibaratkan sebagai pemilihan rakyat. Sebab apa? Berita2 utama mengenainya mendominasi media2 harian kita. Tak kiralah media yang pro atau anti kerajaan hari ini. Segalanya didedahkan, didiskusikan depan rakyat melaluinya.

Yuss masih hairan kenapa isu pemilihan dalam UMNO ini menjadi satu isu besar dan menjadi tajuk2 berita utama media kita? Bukankah analisa memilih dan mengundi ini hak ahli2 UMNO sahaja? Bukannya hak rakyat keseluruhan. Inilah cuba digambarkan. Menggambarkan bahawa isu pemilihan UMNO ini ialah isu nasional!

Ini mungkin salah satu cara untuk cuba membuktikan mereka sebenarnya mengamalkan demokrasi dalam UMNO. Dengan mendedahkan calon2 itu ini di depan rakyat melalui media. Atas nama jumlah kuota yang diperlukan dan berlawan satu sama lain dan siapa dulu yang mampu mengisi kuota masing2. Satu jenis kebebasan pendedahan yang cuba disongsangkan dengan keterbukaan yang diingini oleh rakyat. Pendedahan yang keterlaluan seperti ini sebenarnya akan memakan diri sendiri. Sebabnya? Rakyat tidak memilih. Dan jika pemilihan tidak memihak kepada sentimen rakyat, maka UMNO akan terus ditolak ketepi.

Inilah yang perlu diperbetulkan kembali. Meletakkan yang mana satu keutamaan untuk menjenamakan diri masing2 sebagai ahli2 politik. Atau apa itu UMNO sendiri. Apakah UMNO itu betul2 dominan dan ianya kerajaan sehingga seperti menidakkan pandangan parti2 lain tak kira kawan dan lawan? Inilah yang mengelirukan kita dan dalam diri mereka. Meletakkan diri UMNO sebagai ketua segala hal atau tuan segala-galanya. Penjenamaan jenis inilah yang semakin menjauhkan UMNO dari orang biasa. Sifat ketuanan Melayu seperti dicampuraduk dan disalahtafsirkan menjadikannya ia ketuanan UMNO. Kesalahfahaman mentaliti sebeginilah yang menjarakkan kita semua yang berbilang kaum.

Dan jika ditanya Yuss siapakah pemimpin2 dalam UMNO yang Yuss ingin lihat menerajui UMNO melalui 'penghayatan' media2 kita hari ini, Yuss hanya boleh menamakan dua orang sahaja setakat ini.

Mereka berdua ini ialah Ku Li dan Anuar Musa. Walaupun sehingga kini Ku Li masih belum mendapat sebarang pencalonan dan Anuar Musa pula telah menarik diri daripada bertanding.

Yuss memilih mereka berdua atas nama karisma dan kebijakkan mereka menjawab soalan2, susun atur perkataan, dan pengolahan minda mereka yang tersusun dan ada jiwa. Walaupun kadang2 tidak bersetuju dengan idea dan pemikiran mereka berdua, tetapi Yuss melihat jawapan2 yang diberikan oleh mereka berdua ini sangat merangsang minda Yuss untuk berfikir dan mencari jawapan sendiri. Akhirnya, Yuss menganggap mereka berdua sangat boleh mempengaruhi. Itu yang Yuss rasakan sebagai seorang rakyat biasa yang 'muda'. 'Muda' kerana Yuss menolak faktor sejarah kedua-dua mereka ini dan asal-usul kenegerian mereka. Dan hanya melihat kepada isu dan perkara hari ini sahaja.

Ini mungkin sentimen Yuss hari ini. Atau ketika ini. Dan masih ada masa yang lama lagi untuk mereka2 ini dipilih dan bertanding. Itu belum lagi menunggu hari pemilihan yang ditangguhkan dan menjadikan masa berkempen terlalu panjang. Dan belum lagi menunggu itu dan ini. UMNO memang sukakan kita menunggu dan menunggu dan menunggu. Mungkin mereka nak menunggu supaya kita semua reda dan lupakan perkara dan isu lama. Dan akhirnya mereka akan memilih ketika suasana dan persekitaran yang mungkin berbeza dengan mentaliti isu2 hari ini.

Kerana stigma Melayu mudah lupa mungkin menjadi pegangan mereka untuk 'melupakan' rakyat tentang kesilapan lepas.

Yuss terpilih.

Thursday 23 October 2008

Shah Rukh Khan kan kan?

Betul ke ejaan nama dia Yuss pun tak pasti. Dapat gelaran Dato' ke Datuk ke Yuss pun tak pasti ejaan yang mana satu. Yang pasti... dah dapat gelaran.

Yuss tahu ini kisah lama. Tapi Yuss takde masa nak berfikir tentangnya. Tapi disebabkan isu ini masih panas, Yuss gagahkan jugak tangan ni nak menulis.

Antara sebab beliau dapat gelaran ialah kerana dengan gelaran itu, ianya dapat membantu mempromosikan negeri Melaka? Dan Shah Rukh ni rupa-rupanya selalu datang senyap2 ke Tanjung Bidara? Selain daripada banyak buat filem (4 buah banyak ke?) dalam negeri Melaka?

Logiknyalah... Secara logiknya, anak-anak Malaysia yang pergi merantau atau belajar di luar negara tu tidak membantu mempromosi dan memperkenalkan Malaysia ke? Bercerita tentang negara sendiri, kehebatan negara sendiri sehingga tercetus keinginan melancong ke Malaysia, bukan promosi ke namanya tu?

Hanya kerana suara2 kecil anak2 Malaysia ni tak dengar dan sampai bilik Ketua Menteri Melaka, usaha2 tak sengaja anak2 Malaysia ni tak perlu dihargai dengan pangkat Datuk? Tak cukup besar ke pengaruh anak2 Malaysia memperkenalkan Malaysia? Kalau tak, selepas ni mesti ramai orang kita yang berpangkat Datuk. Senang dan mudah. Kuota gelaran tersebut akan bertambah2 lagi lepas ini. Keluar sahaja dari pintu masuk negara, mesti dapat gelaran Datuk. Boleh? Bayangkanlah...

Dan artis2 luar yang buat konsert kat Malaysia, bukan membantu memperkenalkan Malaysia ke? Avril Lavigne buat konsert dekat dengan Hari Merdeka, tak cukup membantu mempromosikan perayaan tu ke? Artis2 Indonesia yang dah datang berjuta2 kali ke Malaysia, takleh dapat gelaran Datuk jugak ke? Tak cukup besar lagikah pengaruh nama mereka di peringkat antarabangsa?

Bayangkan nama2 'picisan' seperti Datuk Avril Lavigne, Datuk Hetty Koes Endang, Datuk Kris Dayanti or lain2. Semuanya ada Datuk.

Dan adakah disebabkan diorang2 ni Mat Salleh, kebaratan, Indon, tak melayakkan mereka mempromosikan Malaysia? Sumbangan mereka tak cukup besar ke? Kalau Avril muda, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Nicol David pun muda2 belaka...

Nama Shah Rukh ni akan membawa nama Malaysia sampai ke mana? Russia? Jamaica? Iceland?

Alasan demi alasan demi alasan yang penuh dengan kepentingan dan keseronokan peribadi menjadi asas kepimpinan negeri atau negara kita. Semua ini menjejaskan nilai sebenar sebuah pengiktirafan. Dan selepas ini, adakah nilai sebuah pengiktirafan di bumi Malaysia ini akan lebih dipandang tinggi atau semakin terhakis dari sudut kualitinya?

Yuss anak Malaysia yang tak bermimpi dapat gelaran.

Tan Sri Yuss. =)

Jalan Alor

Jalan Alor. Jalan Kejora.

Mana pilihan Yuss?

JALAN ALOR!

Kenapa? Tak perlulah diterangkan panjang lebar di sini. Dunia internet penuh dengan gosip dan kritikan terhadap isu ini. Seluruh komuniti Jalan Alor dan pelancongan juga sedih dengan penukaran nama ini. Apa lagi yang mahu didiskusikan dengan perkara ini? Tidak ada apa.

Yuss juga ketawa terbahak2 bila membaca kritikan2 pedas dalam dunia maya ini. Ada yang berkata, kalau senang sangat nak tukar nama jalan tanpa perbincangan sihat dengan penduduk setempat atau komunitinya, kenapa tak tukar saja semua nama jalan Kuala Lumpur tu ikut sinonim nama Lumpur itu? Ada Jalan Becak, Jalan Lubang, Jalan Debu, Jalan Kelabu Asap, Jalan Ikan Belacak, Jalan Kerbau Berendam, Jalan Pokok Bakau, Jalan Melekit, Jalan Paya, Jalan Bau Hamis, atau ape2 jelah yang berdaki dan jijik.

Ada logiknya jugak. Kenapa Kuala Lumpur perlu cantik dan indah kalau namanya sendiri tak melambangkan keindahan? Hanya sekadar Lumpur... Hehehe...

Pastu ada plak yang bangkitkan nama Kuala Lumpur tu dah jadi satu sejarah. Yuss pelik, nama satu2 jalan itu bukan satu sejarah jugak ke? Kesian Jalan Alor dianaktirikan...

Kembalikanlah nama Jalan Alor. Ringkas dan mudah diingati.

Tapi Yuss pikir nasib baik jugaklah tukar kepada Kejora sahaja. Bayangkan kalau nama orang? Dengan pangkat Dato' lah, Tan Sri lah, pangkat itu ini, belum lagi masuk bin itu binti ini. Nak mampos nak menyebutnya??? Tu belum masuk kes nak menghafalnya lagi. Mesra pelancong? Bukan setakat pelancong, orang kita pun pening kepala. Nak tanya dan menyebut nama jalan kat teksi driver pun satu hal lagik. Meter teksi tetap berjalan, walaupun lidah kita berbelit nak memahamkan tempat destinasi. Yelah, nama jalan semakin hari semakin panjang.

Hmmmm... renung-renungkan. Selamat Beramal! Hehehe...

Yuss suka makan kat Jalan Alor. Sedap. Ada kick! =)

Thursday 16 October 2008

Sastera dan Bahasa Malaysia

Sejak beberapa hari ini, isu sastera menjadi titik hangat yang mewarnai dunia politik tempatan. Karya2 cerpen dan puisi dalam akhbar berbahasa Malaysia ini dilihat amat kontroversi dan penuh warna-warni. Antaranya ialah cerpen Politik Baru YB J dan puisi Ratu Anjing : Yang Melengking Itu. Dimanakah Yuss meletakkan situasi ini secara adil?

Pandangan terawal atau perkara pertama yang terus memasuki minda Yuss apabila isu ini dibangkitkan ialah, sastera, telah dijadikan satu cabang terbaru pihak2 tertentu untuk bermain politik. Secara jelas, ianya mungkin telah digunakan oleh pihak BN atau UMNO terutamanya sekali kerana karya2 ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Sehingga peringkat ini, Yuss melihat ianya agak berjaya mengaburi mata rakyat atas nama SASTERA. Atas nama kebudayaan. Atas nama lenggok bahasa yang puitis yang penuh siratan dan suratan yang tidak jelas. Yang penuh interpretasi mendalam. Yang tidak terbatas dan tidak bersalah. Kesalahan mengaitkannya dengan isu politik semasa ditutupi dengan nilai seni sejarah berkarya.

Yuss melihat kebanyakan daripada karyawan2 tempatan menyokong kepada kebebasan berkarya berhubung dengan isu ini. Ini boleh Yuss terima. Kebebasan yang penuh makna tersirat yang terbebas. Dan tidak salah juga untuk berfikir bahawa adakah dunia kesusasteraan ini telah dijadikan batu loncatan terakhir dunia politik tanah air. Yuss mungkin mengiyakannya. Mungkin, dari sudut membenarkan ianya didebatkan, dibincangkan dan atau lebih tepat lagi, mengakui dan mengiyakan kesalahan2 politik sebelumnya. Apakah maksud Yuss?

Kebanyakan daripada kita melihat budaya Melayu itu mudah memaafkan dan memberi. Tetapi bagi Yuss, budaya Melayu yang sebenar ialah amat2 sukar bagi kita memaafkan orang lain secara terus dan berdendam. Memaafkan dari sudut kesedaran terhadap kesalahan dan kesilapan silam. Budaya mengungkit cuba disekalikan dengan rasa dan perkataan maaf. Dengan makna yang penuh tersirat. Tidak mendepani secara terus. Begitu jugalah dengan dunia politik hari ini. Yuss merasakan orang2 politik Melayu hari ini juga telah mengakui kesilapan2 yang telah mereka lakukan sebelum ini dan ia tidak dapat ditutup lagi. Bagi mereka, budaya mengakui kesalahan dan meminta maaf adalah langkah seorang pengecut dan lemah. Oleh itu, jalan terbaik untuk melepasi halangan ini ialah dengan membenarkan diri mereka terdedah kepada perdebatan dan kritikan secara kritis. Langkah ke arah perdebatan kritis dan telus ini telah diambil oleh mereka melalui sastera. Dan ia lebih kepada cubaan mereka menutup kesalahan2 sebelum ini dari mata umum atas nama perdebatan dan kritikan yang bebas. Menyebabkan orang kebanyakan atau rakyat biasa seperti terlupa, leka dan berada dalam dunia di bawah sedar. Di bawah sedar dari perkara asas atau perkara pokok yang sepatutnya perlu diutamakan.

Disamping itu, Yuss melihat sastera juga boleh dilihat sebagai satu senjata ancaman dan menyerang. Menyerang dari sudut penguasaan minda untuk menakutkan. Dan ancaman dari sudut mentafsirkannya ke arah keburukan.

Kita perlu ingat, tidak semua rakyat biasa boleh menerimanya untuk mentafsirkan ia ke arah kebaikan. Tidak semua rakyat biasa punya peringkat atau level minda yang sama tinggi dan sama rendah dengan mereka yang berada dalam dunia kesusasteraan ini. Dan tidak semua rakyat Malaysia juga suka membaca. Buktikan dan tunjukkan kepada Yuss berapakah purata buku bacaan rakyat Malaysia dalam tempoh setahun. Ini sahaja telah menunjukkan kepada kita semua bahawa usaha 'mempolitikkan' dunia sastera ini dilihat ibarat cuba 'memperbodohkan' rakyat biasa umumnya.

Dan langkah2 terbaik yang perlu dilakukan sekarang ialah proses penerangan melalui kebijakkan tokoh2 karyawan2 tempatan terutamanya dari sudut bahasa kepada rakyat biasa. Apakah medium yang mereka boleh pakai? Yuss serahkan kepada kesanggupan mereka yang bijak pandai ini untuk memilih dan mendidik.

Selain daripada itu, Yuss juga melihat karya2 dalam Bahasa Malaysia masih mendominasi sifat kaum Melayu secara keseluruhannya. Ia tidak merangkumi budaya keseluruhan orang Malaysia. Adakah ini kesilapan penting kepada kecelaruan ini? Bagi Yuss, ia adalah bukti kebenaran. Kita melihat dunia sastera dan kebudayaan Bahasa Malaysia seperti dikuasai secara total oleh orang Melayu. Meletakkan pemikiran bangsa Melayu ke dalam dunia sastera Bahasa Malaysia. Ianya tidak mencerminkan sifat bangsa Malaysia keseluruhannya itu sendiri. Inilah punca utama kenapa kita masih terus beranggapan Bahasa Malaysia ialah Bahasa Melayu. Inilah kecelaruan kepada penukaran istilah Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia ke Bahasa Melayu ke Bahasa Malaysia berulang-ulang kali yang berlaku sebelum ini.

Dan dalam masa yang sama, jangan salahkan papan2 tanda, iklan2 atau program2 TV yang tidak menghormati Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama. Salahkan bagaimana kita mencorakkan jatidiri apakah itu Bahasa Malaysia dalam diri setiap individu di negara ini. Adakah ia salah orang Cina dan orang India yang mengagungkan bahasa ibunda mereka? Adakah ia salah sistem pendidikan negara yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik? Adakah ia salah sistem pendidikan negara yang mengasingkan cara berbahasa di sekolah? Adakah penolakan isu nasional kepada isu bahasa ibunda mengatasi segala-galanya? Yuss serahkan kepada kita semua untuk berfikir.

Yuss juga ingin berkongsi pengalaman berdebat antara Yuss, ayah Yuss, dan abang-abang Yuss semasa cuti Hari Lebaran lepas. Yuss akui sikap mempertahankan bangsa Melayu dalam politik masih menebal dalam diri mereka. Itu soal lain yang telah Yuss kupas sebelum ini. Itu sebab Yuss berkata golongan2 lama masih berfikir ke arah isu bangsa dalam politik seperti yang Yuss tulis dalam artikel sebelum ini. Tetapi satu persefahaman menarik yang menyatukan pendapat kami semua ialah, kelemahan kita mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kesatuan. Bahasa penyatupaduan.

Kelemahan inilah punca kepada perpecahan yang amat besar dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kelemahan mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan antara kaum dan budaya menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa berfikir dalam diri setiap individu di Malaysia adalah penyebab utama kita masih terus terpisah.

Kebanyakan daripada kita masih menganggap Bahasa Inggeris adalah bahasa terbaik menghubungkan manusia pelbagai kaum dalam negara kita. Alasan yang mungkin digunakan ialah untuk mengasah jiwa Malaysia bagi memudahkan mereka terdedah kepada dunia luar atau antarabangsa yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghubung. Inilah kelemahan jatidiri masyarakat2 Malaysia secara umum.

Disamping itu juga, Yuss melihat kebanyakan buku2 ilmiah, kajian2, jurnal2 dan artikel2 orang2 bijak pandai di Malaysia meletakkan Bahasa Inggeris sebagai pilihan utama mereka. Mungkin ingin menunjuk atau membuktikan kebijakkan dan kehebatan mereka. Dan memudahkan semua bangsa di dunia ini memahaminya. Bangsa apa? Bangsa di luar Malaysia. Adakah kita mementingkan orang di luar Malaysia lebih daripada kita di dalam Malaysia? Mereka cuba membuktikan bahawa capaian maksud dan penyampaian mereka akan lebih besar dan jauh berbanding Bahasa Malaysia. Inikah dinamakan jatidiri rakyat Malaysia yang sebenar? Yuss serahkan sekali lagi kepada kita semua untuk berfikir.

Yuss pernah bertengkar dengan pensyarah2 di universiti dahulu semasa ingin membuat tesis tahun akhir berkaitan Sains Biologi Tumbuhan. Yuss diarahkan untuk menulis dan menyampaikan tesis tersebut dalam Bahasa Inggeris. Yuss berdegil ingin menulis dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya. Alasan menghalang Yuss berbuat demikian ialah penulisan dalam Bahasa Inggeris telah dibudayakan sejak sekian lama. Disamping memudahkan proses arkib dijalankan. Dan memudahkannya untuk disemak dan digunapakai pada masa hadapan. Inikah sebab utamanya? Memudahkan siapa? Pelajar luar negara? Pengkaji luar negara? Kalau orang2 luar ini hendakkan ilmu kita, mereka pastinya sanggup mempelajari budaya bahasa tempatan. Atau usaha penterjemahan ilmu2 ini boleh dilakukan oleh bijak pandai mereka. Barulah Malaysia akan dipandang tinggi dengan penguasaan dan kehebatan ilmu mereka. Bukan memberi bulat2 dan menyusahkan orang sendiri. Seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan. Anak dalam rumah? Mampos mati kelaparan!

Yuss akui juga antara niat mereka ialah membantu meningkatkan mutu Bahasa Inggeris pelajar2 universiti, tetapi ia juga bukanlah satu alasan kukuh membelakangkan Bahasa Malaysia.

Selain itu, kalau kita dah tahu buku2 rujukan, buku2 ilmiah, jurnal2 dan artikel2 sangat2 kurang dalam Bahasa Malaysia, kenapa kita tak mahu memperbanyakkan ia? Kenapa liat sangat untuk kita melakukan penterjemahan? Adakah kita anggap ia satu proses yang membuang masa?

Itu dari sudut ilmu sains. Dan ilmu pemikir dan pengkajian sejarah Malaysia yang bersifat alternatif dan berbeza dari aliran semasa juga dilihat kebanyakannya masih berada dalam dominasi Bahasa Inggeris. Dan capaian ilmu2 ini dalam Bahasa Malaysia masih terhad.

Dan mungkin juga ia tidak laku untuk dijual apabila diterjemahkan. Disinilah berlakunya pertikaian dari segi keuntungan mendahului survival bangsa. Bagi pencinta Bahasa Malaysia atau pemegang idea Malaysia Baru yang sebenar, cuba anda bayangkan kesemua buku2 dalam kedai buku dan perpustakaan ILMIAH di Malaysia dipenuhi dengan buku2 dalam terjemahan Bahasa Malaysia. Adakah ianya tidak akan terjual jika buku2 dalam aliran bahasa ini mendominasi kedai2 buku kita? Adakah kita tidak akan membacanya jika buku2 dalam aliran bahasa ini mendominasi perpustakaan2 dalam negara kita? Yuss sekali lagi menyerahkan kepada kita semua untuk berfikir sejenak.

Usaha2 ke arah penterjemahan dan ke arah penulisan dalam Bahasa Malaysia ini adalah asas utama ke arah Malaysia yang satu. Atau dalam jiwa Malaysia yang baru. Samalah seperti kita melihat kewujudan bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia tercipta dengan jiwa pertuturan satu bahasa. Bahasa Malaysia. Itulah ideologi Bangsa Malaysia yang sebenar.

Isu yang sama ini juga berlaku dalam dunia2 blog tempatan. Masih mengekalkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai lambang penyampaian blog2 masing2. Ini terutamanya sekali boleh dilihat dalam blog2 yang bersifat bebas dan berhaluan kiri dari sudut politik terhadap kerajaan hari ini.

Bagi Yuss, terserahlah kepada diri masing2. Ia bergantung kepada diri individu itu sendiri. Tetapi jika asas bahasa itu sendiri tidak betul, janganlah terlalu sibuk sangat berhujah mengutuk, mengagung-agungkan dan mengimpikan Malaysia Baru dalam kancah politik tempatan. Tak kiralah yang bijak dan bodoh. Betulkan apa yang perlu diperbetulkan dalam diri kita semua. Itulah baru mencerminkan apa yang patut berlaku dalam diri seluruh rakyat Malaysia Baru. Tak kiralah dalam melihat isu politik atau budaya berfikir rakyat biasa Malaysia secara keseluruhannya.

Yuss masih terus berbahasa Malaysia.

Sunday 12 October 2008

Anak Malaysia

UMNO - United MALAYSIAN National Organisation

MCA - Malaysian CITIZEN Alliance

MIC - Malaysian INTEGRATED Congress

Inilah contoh2 cadangan 'penukaran' nama oleh Koh Tsu Koon baru2 ini berkenaan dengan isu menjadikan BN atau Barisan Nasional satu parti. Atau satu entiti kepelbagaian bangsa dalam parti2 politik di Malaysia pada masa hadapan.

Akhirnya perbincangan mengenai isu penukaran parti politik berasaskan kaum kepada parti politik berasaskan kebangsaan akhirnya 'dibenarkan' untuk dibincangkan secara terbuka dalam media kita. Dan orang2 UMNO sendiri dilihat tidak berapa 'keras' menentang cadangan perbincangan seperti ini dijalankan.

Adakah ini dikatakan satu kematangan terkini politik Malaysia? Atau sekadar cuba bermain untuk mempengaruhi dan mengikut kehendak sentimen rakyat semasa?

UMNO dilihat tidak mengambil pendekatan keras bila isu satu parti pelbagai kaum cuba dilaksanakan di dalam BN. Alhamdulillah. Kerana bagi Yuss ianya adalah satu isu sentimen perkauman yang boleh dibangkitkan. Bagi Yuss, mereka mungkin telah mula tersedar bahawa dengan hanya mengangkat isu2 orang Melayu akan hanya menyebabkan rakyat terus-terusan menjauhi UMNO.

Dan dalam masa yang sama, adakah mereka sebenarnya mengambil sikap tidak ambil peduli tentang isu ini kerana sibuk dengan isu pemilihan calon2 dalam UMNO? Yang sangat2 hangat dibincangkan secara meluas dalam media2 kita sekarang ini. Entahlah. Semuanya atas nama populariti dan perkara pokok seperti isu satu parti ini ibarat ditolak ketepi dahulu. Yuss berharap orang2 UMNO kembali kepada isu satu parti seperti yang dicadangkan ini. Walaupun Ku Li pernah bersuara tentangnya, tapi tiada perbincangan sihat dan susulan yang kita lihat selepas itu. Seperti didiamkan.

Yuss sedar isu satu parti BN hanyalah titik permulaan kepada satu perdebatan sihat ke arah politik yang bukan lagi berasaskan satu2 kaum sahaja seperti yang dipraktikkan sekarang. Benar yang ianya akan melibatkan penstrukturan semula pelbagai jenis undang2 dan perlembagaan parti2 yang terlibat. Disamping mengembalikan keyakinan rakyat. Tapi ia boleh dilaksanakan jika mahu.

Yuss sedar proses perubahan adalah satu proses yang berat di peringkat permulaan. Ini ditambah pula apabila ia sudah diamalkan untuk tempoh yang agak panjang, lebih 50 tahun lamanya sebelum ini. Generasi yang berumur 40 tahun ke atas dan tua agak sukar untuk menerima pembaharuan seperti ini. Yuss melihat sifat politik lama ini masih menebal dalam diri mereka. Walaupun kebanyakan daripada mereka2 ini dilihat cenderung menyokong parti2 dalam PR, tetapi asas berpolitik mereka tetap sama iaitu survival untuk bangsa masing2 dalam memilih parti.

Mereka sebenarnya lupa untuk melihat PKR, DAP dan Pas yang sebenarnya membenarkan kaum2 lain menyertai parti mereka. Inilah jenis keterbukaan yang tersirat yang masih belum mahu dilihat dengan jelas oleh generasi 'tua'. Masih melihat ianya tercipta untuk bangsa2 tertentu sahaja. Generasi 'tua' ini kebanyakannya masih memilih PR atas nama sentimen semasa yang berlaku. Sentimen bersandarkan kepada nama Anwar Ibrahim disamping kebusukkan politik2 dalaman dalam BN terutamanya UMNO.

Generasi tua ini juga merangkumi pemimpin2 senior dalam politik yang masih 'keras' dan tidak mahu melenturkan sedikit pandangan mereka dan cuba mengikut suara hati orang muda. Mereka masih berasa selesa dalam komposisi kedudukan mereka dan ia mengambil masa untuk disedarkan.

Proses penerangan adalah satu proses yang sepatutnya sudah dimahirkan dalam diri ahli2 politik. Dan Yuss melihat ia bukanlah satu masalah kepada BN untuk bertindak bagi mengembalikan keyakinan rakyat dalam pilihanraya umum yang akan datang. Saranan Yuss supaya mereka berubah sebelum ini perlu dipantaskan. Perlu dipercepatkan. Janganlah semuanya dilakukan di saat2 akhir terutamanya sekali apabila pilihanraya semakin menjelang tiba. Ianya akan hanya menyebabkan rakyat terus menolak BN atas alasan isu ini sekadar dipolitikkan untuk meraih undi.

Yuss juga tidak melihat isu satu parti ini satu perkara yang merugikan. Anwar Ibrahim telah membuktikannya dengan PKR. Dan hentikanlah serangan peribadi bahawa PKR itu Anwar. Kerana rakyat tidak termakan lagi dengan sentimen peribadi seperti ini. Kerana nyawa PKR itu sendiri dilihat lebih besar dan kuat pengaruhnya dalam diri rakyat berbanding Anwar Ibrahim sendiri. Ini satu kejayaan. Dan UMNO, MCA dan MIC sepatutnya mengambil langkah yang sama.

Dan ia bukan satu masalah di masa hadapan jika satu2 bangsa mendominasi dalam satu2 parti politik itu kerana rakyat akan sedar bahawa ianya hanyalah sekadar satu masalah dalaman parti, bukan masalah rakyat lagi. Isu pengimbangan antara bangsa dalam parti masing2 akan dilihat sebagai faktor penentu kejayaan politik masing2 dalam setiap pilihanraya.

Dan dalam masa yang sama, di masa hadapan juga, kuasa melobi pertubuhan atau persatuan untuk bangsa2 tertentu boleh dan akan terus terlibat dalam politik. Tetapi ianya akan hanya dilihat sebagai faktor luaran sahaja. Bukan lagi sebagai faktor dalaman parti. Faktor luaran yang dilihat sebagai meraih undi rakyat. Ia akan dilihat amat2 sihat untuk didebatkan dalam masa akan datang terutamanya dalam setiap pilihanraya yang akan berlangsung. Sama seperti kita melihat perdebatan politik di US sekarang ini. Adakah ia mustahil di bumi Malaysia melihat perdebatan secara terbuka ini? Mustahil ialah perkataan untuk orang yang tidak mahu melihat masa depan.

Ini adalah satu fenomena baru yang terbaik untuk Malaysia. Percayalah. Isu perkauman dan isu agama akan ditolak oleh rakyat untuk dipolitikkan selepas ini. Dan isu kesatupaduan pula akan menjadi teras politik yang dominan di Malaysia. Mewujudkan penciptaan Bangsa Malaysia. Ia bukan mustahil. Hak dan keistimewaan dalam perlembagaan akan terus kekal dan tidak dibangkitkan dan diungkitkan lagi selepas ini. Kerana ia diibaratkan seperti menjaga hak2 peribumi seperti yang termaktub dalam PBB. Kekal dan terpelihara.

Jika kita semua boleh berfikir ke arah ini, bukankah indah? Tidak salah untuk berfantasi. Dan tidak timbul lagi selepas ini isu ketuanan Melayu. Atau isu pendatang Cina. Atau isu pendatang India. Atau isu rumpun Nusantara sekalipun. Yang lahir dalam bumi Malaysia itulah rakyat Malaysia. Cukup indah kan? Atau adakah ianya masih sekadar fantasi?

Yang beranak di bumi Malaysia, yang si ibu pecah air ketubannya di atas tanah bumi Malaysia, itulah anak Malaysia. Jatidiri penduduk dunia dilihat kepada PASSPORT masing2. Kerana dunia hari ini tercipta oleh sifat kenegaraan. Itulah kuasa tertinggi yang melindungi individu. Bukan lagi dari mana asal-usul keturunannya yang ribuan tahun yang lampau.

Cerita manusia yang hidup hari ini ialah kisah hidup atau survival manusia yang hidup hari ini.

Betul atau tidak? Lahirlah di mana sekalipun kita di atas bumi ini, pasti kita akan mendapat keistimewaan setempat. Atau lebih tidak pun, cukup dengan melihat status warganegara ibubapa masing2. Asal-usul ibubapa sahajalah sudah cukup untuk kita melihat asal-usul keturunan masing2. Bukan ratusan atau puluhan ribu tahun yang lampau. Kerana yang berabad lamanya itu boleh dipertikaikan. Kerana ia juga boleh menjadikan kita merasa 'tinggi' dari yang lain bila ia dilihat secara kolateral atau majoritinya. Secara mutlak.

Kita perlu melihat semua ini atas nama manusia. Kerana apabila seorang atau kelompoknya dilihat semakin kuat dan mencabar, kelompok satu lagi akan menentang dan tercetusnya konflik. Konflik boleh diabaikan atau terhapus bila kita berjaya menanamkan rasa keMalaysiaan.

Adakah ini juga satu fantasi?

Ianya boleh menjadi realiti. Dan nampak sukar apabila ada antara kita yang akan mempersoalkan bahawa konflik akan tetap wujud walaupun segala konsepnya telah tepat dan betul. Ia benar. Tetapi bukankah akan ada undang2 yang akan mengawal keamanan dan kesejahteraan rakyat bagi mengelakkan konflik dari tercetus? Semuanya akan kembali kepada asas undang2 yang kuat dan betul.

Kita hidup untuk menuju ke arah kebaikan semua. Yang sejagat. Bukan untuk kelompok kita sahaja.

Seperti kata2 seorang pemimpin, rasanya semuanya tahu kata2 siapa ini...

Anak Melayu anak saya.
Anak Cina anak saya.
Anak India anak saya.
Semuanya anak-anak saya.


Dan apakah interpretasi Yuss anak siapakah pemimpin ini? Dia anak Malaysia.

Yuss ANAK MALAYSIA.

Wednesday 8 October 2008

Suasana Raya 08'

Lebih seminggu Lebaran berlalu. Kini Yuss kembali ke alam realiti.

Lebaran tahun ini paling sederhana diraikan di mana saja Yuss pergi. Yuss perhatikan keluarga Yuss betul2 berbelanja secara berhemah 'merayakan' juadah. Dan juga 'duit raya'. Itulah yang Yuss lihat secara kasar. 'Kemelesetan' ekonomi betul2 memakan diri kita. Mungkin.

Tapi dari sudut positifnya pula, sekurang-kurangnya kita sedar dan kenal diri masing2 untuk tidak berboros seperti tahun2 sebelumnya. Tuhan tu kan suka mengingatkan.

Yuss akui Yuss amat jarang berjumpa saudara mara termasuklah ahli keluarga sendiri. Begitu juga rakan2 yang lama. Lebaran sajalah masa yang ada. Sekurang-kurangnya setahun sekali.

Tapi yang menariknya tahun ini, setiap seorang orang yang Yuss jumpa, setiap seorang dari mereka jugalah akan bercerita tentang... Politik. Nak kata hairan, taklah terkejut sangat. Cuma kagum.

Tak kiralah nenek tua yang dah 90 tahun umurnya atau anak muda yang belum habis sekolah lagi. Yuss hanya mampu tersenyum dan mendengar. Mencelah tidak. Menyampuk pun tidak. Yuss bukan jenis banyak bercakap. Suka melihat dan mendengar. Tambah2 dengan orang yang tidak dikenali atau jarang berjumpa.

Pelik suasana raya tahun ni. Tapi menarik.

Sambil mengunyah daging rendang sambil mengumpat politik. Dalam hati Yuss tergelak2 besar tengok perangai orang. Hehehe... Kalaulah diorang tahu apa yang Yuss tulis dalam blog ni. Keh keh keh...

Kesimpulan ringkas?

100% dari berpuluh2 yang datang dan pergi beraya, semuanya nak Paklah letak jawatan. Yuss tak tanya pun diorang. Tapi sentimen diorang kuat.

Hmmmmm... Kita tunggu je la keputusan mesyuarat khas BN hari ini. Secara peribadi, Yuss rasa Paklah mungkin akan tetap kekal pertahankan jawatannya. Sebabnya? Belum ada lagi PM Malaysia yang mengundurkan diri secara terpaksa sebegini. Semuanya perlu manis dan indah. Berbunga-bunga. Nama dan kenangan seorang PM perlu diangkat dan diagungkan sebagai pemimpin agung negara. Nama seorang PM perlu 'bersih'. Perlu suci dalam lipatan sejarah negara bernama Malaysia.

Itu budaya kita.

Bukan budaya Yuss. =P

Friday 26 September 2008

Eid


Salam Eid.

Minta maaf luar dan dalam.

Teringin makan bahulu. =)












Yuss

Photo by Google.

Friday 19 September 2008

Bulan Lompat VI

Sejak dua hari lepas, Yuss melihat suasana politik tanahair kita semakin bertambah menarik untuk dilihat. Semakin SENSASI. Sensasi dalam erti kata penuh glamer dan popular. Kenapa?

Yuss selalu mengulangi pendirian asas ini dalam politik sebelum ini, iaitu, tinggalkan sentimen peribadi, sentimen perkauman, dan sentimen agama. Tapi kali ini, Yuss melihat Paklah atau UMNO atau mungkin BN telah cuba memainkan isu serangan peribadi sekali lagi. Kenapa ianya masih terjadi? Mungkin ianya kelihatan bercelaru tetapi sebenarnya boleh diperbetulkan. Dimanakah anggapan salah kepada kecelaruan ini? Mari kita lihat secara baik.

Paklah dalam kenyataan medianya ada menyebut bahawa Anwar adalah ancaman kepada negara dari segi politik dan ekonomi. Ini adalah satu contoh kelemahan kenyataan yang dikeluarkan. Kita cuba diberikan gambaran bahawa Anwar ialah ancaman kepada kita semua sebagai rakyat. Yuss melihat kenyataan yang dikeluarkan ini sangat lemah kerana ianya hanya akan menimbulkan spekulasi. Walaupun Paklah berkata Anwar berbohong bila mendakwa tiadanya pelaburan FDI dalam negara, ia lebih bersifat luahan peribadi. Kerana ia pandangan peribadi seseorang. Dan bukankah Paklah sepatutnya hanya perlu menjawab sahaja segala tuduhan atau kenyataan ini? Kenapa pula perlunya memberi gambaran bahawa Anwar ialah satu ancaman? Bukankah ini akan lebih menyebabkan kita terfikir bahawa Paklah, secara tersiratnya, telah mengakui kekuatan dan kehebatan nama Anwar Ibrahim? Atas nama pengaruh manusia bernama Anwar Ibrahim? Ini akhirnya telah menunjukkan kelemahan diri Paklah sendiri selepas mengakui kekuatan orang lain, terutamanya pihak lawan. Ini satu strategi politik yang memakan diri sendiri.

Selain itu, Yuss juga agak pelik apabila melihat kerajaan sekarang yang diketuai oleh Paklah tidak mahu duduk berunding dengan Anwar Ibrahim. Alasan yang diberikan Paklah ialah cukup dengan melihat perangai Anwar sahaja. Beliau berkata, Anwar mungkin sebenarnya ingin menggunakan helah untuk berjumpa, tetapi sebenarnya ingin menawan dan menyerbu bilik Perdana Menteri. Ini juga sekali lagi dianggap satu serangan peribadi. Atas nama perangai orang lain. Yang cuba dispekulasikan. Bukan isi rundingan atau permuafakatan yang cuba ditimbulkan dalam kenyataan media mereka. Yuss melihat jawapan yang diberikan tidak rasional. Ia juga bukan satu kesalahan kalau Paklah sendiri sudah membuat keputusan sebelum rundingan dijalankan dan diputuskan bersama. Tapi bukankah lebih baik berjumpa sahaja terlebih dahulu atas nama rundingan? Bermusyawarah. Bukankah lebih molek jika mengambil pendekatan itu? Yuss lebih melihat kenyataan yang dikeluarkan tidak lebih dari satu gaya angkuh dan cuba menidakkan pendapat orang lain. Yuss sedih melihat cara ini digunakan. Adakah Anwar itu bukan seorang 'manusia' sampai tak boleh bertemu dan di ajak berunding? Manusia yang bijak dan terbuka ialah manusia yang sanggup mendengar suara sesiapa sahaja tanpa menutup pintu rundingan. Tak kiralah kawan mahupun lawan. Kalau Saiful Bukhari sebagai rakyat biasa boleh dengan mudah sahaja dapat berjumpa dan duduk bersembang dengan Najib, takkanlah Anwar Ibrahim tidak boleh. Saiful pergi pun nak mengadu nasib peribadinya sahaja. Bukan perkara hal ehwal eknomi dan pentadbiran negara. Tambahan lagi, Anwar telah menggunakan cara yang betul iaitu melalui surat dan mengikut protokol. Pun masih tidak boleh diterima. Yuss masih berasa agak pelik. Hairan.

Inilah masalahnya bila isu peribadi orang lain cuba mengaburi mata kita. Inilah yang dikatakan cuba menganggu pemikiran rakyat apabila rakyat melihat politik itu kotor dan menikam belakang. Janganlah hanya bermain politik sahaja, tapi fikirkanlah kepentingan2 bersama bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenyataan2 media yang dikeluarkan oleh orang2 kuat kerajaan kita seperti lebih banyak memberi gambaran bahawa Anwarlah punca segala masalah. Anwarlah yang beria2 ingin menjadi Perdana Menteri. Bagi Yuss, tidak terkeluar pun kenyataan dari mulut Anwar sendiri untuk beliau mengakui dirinya bakal menjadi Perdana Menteri. Hanya dari pihak kerajaan sahaja. Sekali lagi, semua ini adalah satu bentuk serangan peribadi. Dalam kepala rakyat telah ditanamkan pemikiran bahawa Pembangkang itu hanyalah Anwar. Rakyat dan orang biasa sebenarnya seperti terpengaruh dengan dakwaan ini. Kita lupa untuk melihat kembali bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar ialah atas nama wakil Pakatan Rakyat. Atau selaku Ketua Pembangkang. Bukan atas nama Anwar Ibrahim lagi. PR sendiri pun belum mengeluarkan kenyataan siapakah yang bakal memimpin kerajaan 'baru' ini. Kenapa pula kita terus-terusan menganggap Anwarlah Perdana Menterinya? Keputusan terakhir sebenarnya terletak di tangan Majlis Tertinggi PR, yang akhirnya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita telah dikelirukan bahawa kerajaan 'baru' ini ialah kerajaan Anwar Ibrahim semata-mata.

Dan kita juga selalu menganggap bahawa kerajaan 'lompat' ini adalah tidak demokratik dan tidak beretika serta tidak mengikut mandat rakyat. Dimanakah silapnya?

Bagi Yuss, pada kali ini, Yuss berpendapat bahawa mandat rakyat atau pilihanraya hanyalah sebahagian daripada demokrasi. Dan rakyat pula seperti dikelirukan bahawa demokrasi itu ialah pilihanraya semata2. Kita sebenarnya telah terlupa yang pilihanraya hanyalah SEBAHAGIAN daripada demokrasi sahaja, buka keseluruhan maksud demokrasi itu sendiri. Atau lebih tepat lagi, pilihanraya hanyalah salah satu SIFAT demokrasi.

Dan apakah proses demokrasi yang berikutnya selepas pilhanraya? Ianya ditentukan oleh ahli2 parlimen untuk memilih siapakah ketua mereka yang mengetuai kerajaan. Atau jawatan2 dalam urus tadbir negara. Melalui perikatan parti2 masing2. Ini juga salah satu SIFAT demokrasi.

Kita juga selalu dikelirukan bahawa proses memilih Perdana Menteri atau ahli kabinetnya sebenarnya dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Kita lupa bahawa rakyat hanya memilih calon2 bagi kawasan masing2. Bukan memilih Perdana Menteri atau kabinetnya. Keputusan memilih Perdana Menteri dan kabinetnya sebenarnya ditentukan oleh ahli2 Parlimen yang telah dipilih oleh kita. Ia bukan melibatkan rakyat lagi selepas pilihanraya umum tersebut. Itu sebab kita ada Parlimen yang mempunyai Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk membuat keputusan ini. Dan ianya dibuat atas nama rakyat. Bukan oleh rakyat lagi, tapi untuk rakyat. Ini bermakna proses demokrasi ini telah masuk ke satu peringkat atau level yang lain lagi dan tidak melibatkan rakyat lagi dalam proses tersebut. Kita seperti dikelirukan dengan idea sempit 'kerajaan itu rakyat' atau 'rakyat itu kerajaan' yang cuba dihubung-kaitkan dengan isu ini.

Dalam perlembagaan sendiri pun telah 'membenarkan' ahli parlimen untuk menentukan parti masing2 jika bertukar fahaman atau ideologi mereka seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini. Itulah sebabnya Yuss merasakan rakyat perlu faham akan hal ini terlebih dahulu. Kita perlu faham bahawa proses 16 September ini bukanlah proses semula rakyat, tetapi proses ahli2 parlimen itu sendiri. Itu sebab Yuss menyuruh kita memerhatikan sahaja tindakan ahli2 politik ini. Jangan libatkan rakyat lagi. Jangan naikkan sentimen di kalangan rakyat lagi. Jika melibatkan peruntukan atau hal berkaitan ahli2 parlimen sahaja, selesaikanlah sesama mereka.

Inilah sepatutnya subjek yang patut diangkat, diajar dan didebatkan bersama2 rakyat akibat daripada peristiwa kerajaan 'lompat' ini. Mendidik rakyat. Menjadikan rakyat lebih terbuka dan memahami jiwa perlembagaan sebenar dengan undang2 yang ada. Bukan hal atau isu peribadi lagi yang patut diangkat. Kerana ini hanya akan dilihat seperti cuba menutupi mata seluruh masyarakat kepada hal pokok atau hal sebenar.

Politik itu bersih jika ahli2 politik ini mahu dan tahu bahawa proses sentimen2 seperti peribadi, agama, dan kaum yang cuba dibentukkan adalah tidak baik untuk dimainkan kepada rakyat. Kerana ia hanya akan mengundang spekulasi dan akhirnya menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Dan boleh mencetuskan huru-hara.

Tapi Yuss yakin seluruh rakyat tahu dan bijak untuk menilai semua ini. Janganlah pula kita terlalu mudah untuk terpengaruh dengan apa yang disampaikan dalam bentuk politik seperti ini. Penilaian yang baik dan tidak mengikut membuta tuli adalah jalan terbaik menenangkan keadaan.

Yuss ada peribadi. Yuss ada agama. Yuss satu kaum.

Wednesday 17 September 2008

Bulan Lompat V

Tajuk Bulan Lompat ini telah masuk ke bahagian kelimanya. Yuss masih tersenyum bila melihat bagaimana ianya terjadi dan berkembang bermula dari bahagian pertama dahulu. Yuss terasa seperti mendidik diri sendiri dengan ilmu yang baru. Sedikit demi sedikit. Dan jalan ceritanya juga sehingga kini masih belum berkesudahan lagi. Apa yang pasti, bila dibaca kembali, Yuss dapat melihat bagaimana transition atau anjakkan idea2 tersebut bergerak secara terbuka dan akhirnya mendidik diri sendiri.

OK, apa yang Yuss boleh lihat kali ini? Tarikh 16 September semalam telah berlalu pergi. Orang biasa seperti Yuss juga mengakui yang pada mula-mulanya dahulu Yuss seperti termakan dengan kata-kata bahawa kerajaan 'baru' akan terbentuk pada hari tersebut. Tapi, selepas itu, Yuss telah berandaian ianya tidak akan berlaku. Dan ia terbukti. Apa yang sebenarnya berlaku ialah hari 16 September ialah hari bermulanya 'gerakan' menggerakkan kempen ke arah kerajaan 'baru'. Permulaan perlaksanaan ke arah pembentukan sesuatu yang 'baru'. Yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Satu titik permulaan melaksanakannya. Apa yang pasti, orang biasa seperti Yuss masih berasa agak sedih dengan PR apabila Anwar tidak mahu memberikan penjelasan awal kepada rakyat biasa. Inilah yang dikatakan menganggu jiwa rakyat. Hanya berkata tarikhnya mungkin dianjakkan. Benar, yang beliau tidak menafikan ia akan terjadi, tapi beliau juga mengiyakan pendapat umum apabila menyebut ianya akan 'ditunda' atau dianjakkan ke tarikh baru. Inilah yang membuatkan rakyat berspekulasi. Akan 'terbentuk' dan akan 'dilaksana' ialah dua perkara berbeza. Jadi, bukan salah rakyat biasa seperti Yuss yang pada mula-mulanya meletakkan tarikh 16 September ialah hari ianya terbentuk kerana penafsiran perkataan itu sendiri sangat luas.

Dalam masa yang sama, pada hari ini, draf atau kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat sempena Hari Malaysia pada tahun ini akhirnya telah menyekalikan sambutan itu dengan matlamat mereka sempena Malaysia Baru yang cuba dibentuk dalam masa terdekat ini. Ia sebenarnya boleh diterima akal dan ianya logik. Antaranya ialah pindaan atau penambahbaikan terhadap undang2 yang sedia ada untuk kebaikan rakyat. Penghapusan atau pindaan terhadap akta2 tertentu seperti ISA, AUKU dan Cetak yang telah ditentang sejak sekian lama ini menunjukkan mereka seperti mengikut suara rakyat. Satu manifesto yang nyata. Itu petanda baik. Bagi Yuss, ia bukanlah angan-angan. Ia lebih merupakan satu impian. Kerana angan-angan ialah sesuatu yang tak masuk akal untuk berlaku. Tetapi impian ialah satu realiti yang boleh dan mungkin berlaku.

Selain itu, jaminan bahawa akan ada pilihanraya umum selepas 6 bulan atau setahun tarikh kerajaan 'baru' terbentuk menguatkan tanggapan Yuss bahawa PR telah meletakkan rakyat terlebih dahulu. Ini janji mereka yang akan Yuss pegang dan lihat nanti. Yang pasti, jika ianya satu janji kosong, ia hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat di masa hadapan. Dan bagi Yuss, perkara janji seperti ini sebenarnya kelihatan seperti sesuatu yang realistik dan boleh diterima.

Dan jika sebelum ini Yuss berpendapat, bahawa melompatkan parti2 di dalam BN masuk ke dalam PR itu sesuatu yang boleh diterima dan masuk akal, dan melompat dari satu parti ke parti lain pula adalah suatu perbuatan yang tidak diterima dan beretika, Yuss sebenarnya telah lupa untuk kembali kepada perlembagaan. Dari segi undang2 yang ada. Yuss akui Yuss silap di sini. Terbaru, setelah Yuss melihat dan membaca perlembagaan persekutuan 48(6) atas cadangan seorang rakan, akhirnya Yuss dapat menerimanya dengan betul.

Perkara 48(6) tidak membenarkan mana2 ahli parlimen yang meletakkan jawatan untuk memegang jawatan tersebut dalam tempoh 5 tahun. Dan apakah langkah terbaik yang membolehkan mereka ini bertukar parti politik jika fahaman dan ideologi mereka telah berubah dan berbeza dari parti yang asal? Jawapan kepada cara meletakkan jawatan dan mengadakan semula pilihanraya kecil adalah sesuatu yang mustahil jika melihat kepada undang2 yang disebutkan di atas. Maka, jalan terakhir dan terbaik yang mereka boleh buat ialah dengan melompat parti. Kerana hak mereka untuk memilih parti perjuangan mereka tetap sama seperti rakyat biasa yang lain. Sebagai seorang individu. Atas nama hak asasi untuk memilih. Prasangka ianya tidak logik dan beretika sebelum ini akhirnya telah Yuss tolak ke tepi.

Dan sekarang ianya terserah kepada Anwar dan Paklah untuk cari jalan penyelesaian bersama. Anwar memberi masa 2 minggu kepada Paklah untuk sama2 mencari jalan perundingan. Kita perlu ingat, ianya kini tidak melibatkan rakyat lagi. Ia melibatkan ahli2 politik ini sahaja. Desas-desus yang menggusarkan rakyat sebelum ini sebenarnya telah pun terjawab. Dan rakyat biasa hanya mampu melihat siapakah yang mahu mengalah dan siapa yang tak mahu mengalah dalam 'perebutan' ini. Mereka perlu diingatkan supaya tidak mengheret rakyat ke dalam kancah politik mereka ketika ini. Rakyat biasa sepatutnya hanya melihat sahaja. Rakyat biasa sepatutnya tidak masuk campur. Disamping itu, janganlah pula bila salah seorang daripada mereka yang berunding ini tidak berpuas hati, sentimen ke atas rakyat akan dibangkit dan digunakan. Jangan huru-harakan rakyat. Berundinglah dengan cara yang baik.

Dan segala keputusan yang diambil nanti akan diserahkan ke tangan Yang di-Pertuan Agong. Terserah kepada baginda membuat keputusan akhir. Baginda ialah kuasa tertinggi yang menentukan keputusan ini. Walaupun segala tindakan baginda mungkin memerlukan nasihat Perdana Menteri, tetapi kes kali ini melibatkan Perdana Menteri sendiri. Oleh itu, kebijakkan Agong membuat keputusan menjadi kunci kita melihat Malaysia yang aman dan damai. Walaupun jika Agong mahu membubarkan Parlimen sekalipun selepas ini, kerajaan 'baru' telah dianggap sebagai caretaker government menjelang pilihanraya yang baru nanti.

Yuss meletakkan harapan yang tinggi kepada Agong. Baginda seorang yang dilihat sederhana dan bijak dalam membuat keputusan. Segalanya di tangan baginda.

Dan apakah impak terbesar dari propaganda 16 September ini? Kita lupa akan kewujudan Hari Malaysia. Telah dikaburi dengan suasana politik semasa.

SELAMAT HARI MALAYSIA.

Yuss belum meyimpulkan lagi. Ianya masih panjang.

Tuesday 16 September 2008

Media dan Politik - Asas Agama Bangsa

Hari ini kita menyambut sambutan Hari Malaysia. Selamat Hari Malaysia. Tapi ia tidak diraikan dengan keadaan sepatutnya. Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu isu ini dan akan diulas kemudian hari di samping banyaknya peristiwa yang melibatkan Anwar dan Paklah akibat daripada dogma kerajaan lompat.

Tapi isu yang paling yang menarik perhatian Yuss ialah kekacauan yang cuba digambarkan dalam parti Pas. Media-media kita seperti cuba melaporkan telah berlaku keretakan dalam Pas akibat daripada peristiwa kerajaan lompat ini. Atau lebih jelas lagi, antara Nik Aziz, Hadi Awang dan Mustafa Ali selaku Pesuruhjaya Tinggi Pas Terengganu.

Ia berlaku apabila Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak mungkin mampu menubuhkan kerajaan 'baru' kerana parlimen tidak bersidang untuk undi tidak percaya dan secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang. Kenyataan ini telah disimpulkan melalui artikel dalam Malaysiakini dan Harakahdaily. Di samping itu, beliau juga cuba menguatkan gembar-gembur kepada idea kerjasama antara Pas dan UMNO atas nama kepentingan MELAYU dan Islam. Mungkin.

Di samping itu, dalam Utusan Malaysia pula, mereka cuba menggambarkan kenyataan Hadi Awang sebagai anti-PR yang terlebih Islamik. Antara petikannya ialah :

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.

''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi.

Benar, berita yang disampaikan mungkin tidak tepat atau sekadar satu manipulasi atau propaganda pihak tertentu. Tak kira benar atau tidak, tapi ianya telah tertulis dan diterbitkan. Dan inilah corak dan suasana yang cuba digambarkan dalam negara kita. Adakah ini yang digambarkan satu profesionalisme dalam bidang kewartawanan, dari sudut mempengaruhi pemikiran, Yuss tak mahu ulas. Kita juga perlu ingat, kesemua media-media perdana ini masih menggambarkan pandangan umum masyarakat Melayu di Malaysia.

Apakah yang cuba Yuss sampaikan?

Agama-Bangsa dari sudut politik
Yuss melihat adanya cubaan membawa parti Pas itu sebagai satu parti berasaskan kaum. Prasangka ini telah ditimbulkan oleh Mustafa Ali sendiri. Beliau dilihat cuba membawa Pas dalam konsep bangsa, dan bukan sekadar agama. Atau dicampur-adukkan maksud kedua-duanya. Beliau masih melihat Melayu itu Islam. Beliau mungkin masih melihat Pas itu sebagai satu parti untuk Melayu sahaja. Jika inilah yang cuba digambarkan, bermakna mereka telah cuba mengangkat parti mereka atas nama kaum. Atas nam 'perpaduan Melayu'. Ini satu kesilapan. Ini satu penafsiran yang jahil. Kerana itu Yuss melihat ianya sebagai satu permainan politik yang tidak sihat. Jika inilah yang cuba digambarkan, betapa malangnyalah masa depan Pas. Sekali lagi Yuss katakan, Islam dan Melayu itu lain.

Dan apa yang dilaporkan tentang kenyataan Hadi Awang pula, Yuss masih 'beranggapan' apa yang dimaksudkan oleh Hadi ialah pemimpin tertinggi kerajaan baru nanti mestilah seorang Islam. Dan dalam masa yang sama, jika pula Hadi bermaksud untuk menafsirkan pandangan bahawa kerajaan Islam itu ialah kerajaan atas nama undang-undang Islam, sekali lagi Yuss katakan, ia masih belum boleh diterima di bumi Malaysia hari ini. Ini satu idea atau pemikiran sempit untuk hari ini. Tapi satu pemikiran yang luas untuk masa depan. Mungkin untuk jangka masa panjang.

Dan bidasan Nik Aziz terhadap Mustafa Ali adalah mungkin disebabkan salah faham dalam penafsiran mereka dalam perjuangan Islam. Dan secara peribadi, Yuss masih mempercayai Nik Aziz dalam hal penafsiran apa itu agama dan apa itu bangsa. Beliau jelas tahu dan arif membezakan antara kedua-duanya ini walaupun dalam konteks perlembagaan negara.

Dan janganlah kita terlupa kepada asas pembentukan Pakatan Rakyat yang turut sama2 dianggotai oleh Pas. Ia terbina untuk rakyat Malaysia. Ideologi PR ialah Malaysia yang dibersihkan dahulu dari undang-undang dan prinsip-prinsip yang salah yang menganggu rakyat dan pemikiran rakyat. Atas nama rakyat. Yang telah dipersetujui sesama mereka terlebih dahulu sebelum ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Itu arah tuju mereka sekarang. Jangan pula kita campur-adukkan dengan perkara yang lain.

Agama-Bangsa dari sudut media
Media kita terutamanya sekali yang Berbahasa Malaysia masih terus-terusan menggambarkan Melayu dan Islam itu satu benda yang sama dari sudut politiknya. Inilah satu perkara yang menganggu pemikiran rakyat. Untuk kepentingan parti tertentu semata2. Sekali lagi, janganlah kita terlalu hanya mahu melihat isu kepada sudut perlembagaan sahaja. Jika kita bertuan dan berkepalakan perlembagaan sahaja, tanpa mahu melihat dari sudut agama yang sebenar, ia juga satu kesilapan yang mengelirukan.

Yuss akui, walaupun media-media berbahasa Malaysia kita adalah yang paling dominan, tetapi jenis dan jumlah bilangan media dalam bahasa ini masih sedikit dan tidak meluas berbanding media berbahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Media dalam Bahasa Malaysia juga masih dianggap tidak bersikap sejagat. Tidak cuba untuk melangkaui setiap seorang rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Lebih memberatkan sifat dan cerita2 orang Melayu sahaja. Atau dalam konteks 'kemelayuan' itu sendiri dan kepentingan kaumnya itu sahaja. Ini boleh dilihat terutamanya sekali dalam dunia politik. Mereka lupa Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa untuk seluruh warga Malaysia. Semua bangsa menggunakannya. Bukan bahasa untuk satu kaum tertentu sahaja.

Dan dari segi penyampaian berita dan maklumat, jika media2 ini menyentuh isu Melayu dalam politik, topiknya akan hanya tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Dan jika menyentuh isu tentang Islam dalam politik, topiknya juga hanya ditumpukan kepada orang Melayu sahaja. Inilah masalahnya bila kita mempengaruhi dan mendidik masyarakat bahawa Melayu itu Islam dalam politik. Kenapalah mereka tidak mahu menyekalikan idea untuk melihat Islam itu universal dalam dunia politik? Atau dalam isu pentadbiran dan hubungan masyarakat. Dan jiwa universal Islam ini selalunya hanya disampaikan dalam media masing2 dalam segmen2 agama sahaja. Tidak disekalikan idea asas ini atau konsep ini di dalam politik. (Segmen agama ialah segmen yang dikhususkan untuk huraian berkaitan agama sahaja dalam konteks sejarah, ibadah dan amalannya).

Inilah yang cuba disampaikan oleh media2 kita. Tak kiralah media cetak atau elektronik. Termasuklah internet. Walaupun niat mereka baik, tetapi salahtafsir beginilah yang menganggu pemikiran rakyat. Yuss berharap etika kewartawanan yang mahu menyentuh isu agama dalam politik perlu tahu kepada perbezaan ini. Apa itu agama. Apa itu bangsa atau kaum. Huraikan dengan sebaik mungkin. Kesilapan kecil inilah yang menghantui hidup kita. Menghantui politik kita.

Janganlah kita campur-adukkan perkara ini.

Islam itu agama. Melayu itu bangsa.

Walaupun ciri-ciri Melayu dalam perlembagaan kata mereka Islam, tapi Islam itu bukan Melayu.

Yuss beragama Islam. Yuss asalnya Melayu. Yuss bangsa Malaysia.

Monday 15 September 2008

Orang Asli


Isu Orang Asli sering dipinggirkan. Dimanakah kedudukan Orang Asli dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini?

Isu Orang Asli ini timbul apabila berita tentang kumpulan2 tertentu melibatkan mereka ini cuba untuk berarak di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyampaikan memorandum kedudukan Orang Asli di Malaysia. Walaupun pada mulanya mereka dibenarkan berarak menuju ke Istana Negara, namun telah dihalang oleh pihak berkuasa di saat-saat akhir.

Cerita dan kisah Orang Asli sebenarnya seperti dianaktirikan. Seperti tidak menarik untuk dikupas. Tidak ada isu 'hangat' tentang mereka cuba dilaporkan. Kita sendiri selalu menganggap mereka tidak penting dan suara mereka hanyalah suara kecil yang datang dari 'hutan'. Yuss amat sedih dengan pandangan ini. Dan juga sedih apabila melihat kedudukan mereka sebenarnya seperti tidak wujud di atas muka bumi ini. Tak kira di dalam atau di luar negara. Dimanakah kesilapannya?

Marilah kita sama2 tak kira kaum, terutamanya golongan Melayu tertentu yang tak habis-habis bercerita nak mempertahankan hak-hak Melayu mereka, berfikir sejenak apa yang telah kita lakukan kepada golongan Orang Asli ini. Yuss akui Yuss ada menitiskan air mata ketika menulis ini. Yuss malu dengan diri Yuss sebagai seorang yang berdarah 'Melayu'. Ini mungkin kelihatan seperti Yuss cuba memprovokasikan keadaan, tapi percayalah, niat sebenarnya ialah supaya kita sedar dimanakah kita meletakkan diri kita hari ini. Adakah kita dilihat menindas kepada yang lemah? Mari kita lihat isu ini secara terbuka dan ikhlas.

Yuss anggap, hak Orang Asli sebagai warganegara Malaysia seperti dicampak ke tepi dan dianaktirikan. Apa yang mereka tuntut hanyalah kesamarataan sebagai warganegara yang sah dari segi keistimewaan dalam perlembagaan dan peluang membuat keputusan dasar negara. Dimanakah kedudukan mereka telah kita letakkan?

Mereka juga menuntut hak mereka sebagai kaum peribumi atau indigenous atau orang asal diiktiraf. Sejajar dengan Deklarasi Hak Kaum Peribumi Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya mahu kedudukan mereka didengar dan diterima.

Tapi apakah benar kedudukan hak mereka ini di luar Malaysia tidak diiktiraf? Jawapannya mungkin ya. Kenapa Yuss berkata demikian? Kerana mereka telah dikategorikan sebagai Melayu yang tidak mahu memilih kemajuan (ketika zaman awal negara Malaysia) atau "the backward cousins who chose to remain in the forest". Ini adalah antara petikan yang telah diambil daripada majalah Off The Edge (keluaran Ogos '08) dalam artikel Change Lifestyle - Minority Report berkenaan isu Orang Asli.

Disamping itu, hak istimewa mereka juga tidak diiktiraf di Malaysia apabila perkataan Melayu itu sendiri telah ditafsirkan semula dalam perlembagaan negara, iaitu Melayu itu ialah mereka yang fasih bertutur bahasa Melayu, mengikut adat Melayu dan beragama Islam. Namun begitu, ketiga-tiga sifat ini tidak dipraktikkan oleh kaum Orang Asli. Oleh itu, mereka tidak mendapat hak yang sama rata seperti orang Melayu yang lain. Begitu juga hak sebagai seorang Bumiputera kerana pindaan semula perlembagaan tersebut telah meminggirkan taraf Orang Asli ini apabila ciri Melayu sebelumnya itu diubah dan dipinda. Yuss amat sedih mengenangkan nasib mereka. Kita telah menidakkan kedudukan mereka sebagai seorang manusia yang asli! Jika tidak asli, jangan kita panggil mereka Orang Asli!

Inilah hak-hak yang ingin dituntut oleh masyarakat yang kita selalu pandang sepi ini. Salahkah mereka memilih perjalanan hidup mereka untuk terus tinggal di dalam hutan? Salahkah mereka untuk terus hidup berpindah randah? Salahkah mereka jika tidak mahu mengikut kemodenan manusia? Salahkah mereka mempercayai kepercayaan mereka? Kenapa hak mereka mempercayai agama mereka seperti kita sekat? Terhadap kepercayaan agama mereka yang meletakkan tanah dan hutan itu sesuatu yang bersakti. Dan kerana mereka tidak berpelajaran, tidak moden, bermakna mereka bodoh? Sengal? Bukan manusia? Kita terlupa mereka itu manusia yang ada hak atas nama kemanusiaan.

Kerana kita berpelajaran, kerana kita moden, kita dianggap berkuasa ke atas mereka yang tidak sama kemajuannya dengan kita? Siapa hak kita untuk menggunakan perasaan ini? Siapa kita nak menentukan nasib hidup orang lain?

Mereka tidak pernah minta lebih daripada kita. Tidak malukah kita? Persoalan ini Yuss lebih tujukan kepada pejuang-pejuang Melayu khususnya. Yang masih terus ingin memainkan isu bangsa di dalam Malaysia moden hari ini. Atau yang Cina dan India sekalipun.

Perbetulkan dahulu apa itu Melayu, apa itu Cina, apa itu India, apa itu Kadazan, apa itu Iban, apa itu Orang Asli dan apa itu Orang Malaysia sebenar. Kita semakin pincang. Hentikanlah isu kontrak sosial yang terbina 50 tahun yang lepas. Kembalilah kepada hari ini dan masa depan. Kenapa kita masih mahu dan terus memisah dan menjarakkan kedudukan antara kaum kita? Kenapa kita masih takut dan tidak mahu kembali kepada ideologi penciptaan Bangsa Malaysia? Dimana silap dan susahnya untuk kita percaya kepada ideologi ini? Hanya kerana warna kulit kita tidak sama, saiz lubang hidungnya tak sama, adakah kita mahu terus terasing? Mengasing dan diasingkan?

Yuss harap mereka sedar dan bijak berfikir tentang perkara ini. Tak kiralah rakyat biasa atau ahli politik. Kembali kepada hala tuju yang satu.

Ideologi pembinaan Bangsa Malaysia ini menjadi bertambah kuat untuk Yuss pegang selepas ini. Untuk Yuss sebarkan. Biarlah Yuss ulang berkali-kali sampailah Yuss mati. Isu bangsa amat-amat merosakkan negara.

Benar, banyak isu undang-undang yang perlu diambil perhatian ketika ini bagi membetulkan keadaan yang semakin kusut masai ini. Tapi orang biasa seperti Yuss akan cuba untuk menggunakan tenaga dan usaha Yuss yang masih ada bagi memastikan ia betul-betul tercapai dan terlaksana suatu hari nanti.

Dan ingin juga Yuss tambah sedikit di sini bila ada antara kita akan cuba mengaitkan isu bangsa ini dengan kedudukan sistem beraja di negara kita. Yuss tidak mahu kita keliru. Biarlah sistem Raja-Raja Melayu Islam terus berada dalam kedudukan negara. Kedudukan mereka perlu kita pertahankan ataupun sebenarnya, ditambahbaikkan lagi. Ia satu ciri unik negara kita. Mereka terasing dalam kedudukan sosial mereka tersendiri. Ia suatu pentadbiran atau satu kedudukan institusi yang terpisah. Dan kedudukan mereka sebenarnya perlu kita angkat lebih jauh lagi dari sudut atau unsur kedaulatan agama Islam. Dan bukan lagi atas sifat bangsa iaitu Melayu sahaja. Kerana mereka jugalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Marilah kita ambil contoh Raja Muda Perak yang berkahwin dengan seorang yang berkacukan darah raja Melayu dan Inggeris. Itu satu contoh betapa indahnya Islam yang tidak mengenal bangsa dan budaya.

Sekali lagi Yuss minta, hentikanlah isu perkauman. Dalam keadaan negara yang semakin kelam kabut di dunia politik terutamanya sekali, kita boleh dan mampu sedar dan mahu sedar yang semuanya berpunca atas kesalahan diri kita sendiri.

Yuss dan Orang Asli tidak berbeza. Satu rupa. =)

Photos by Google.