Tuesday 19 May 2009

Kisah Dua Melayu

Yuss tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita. Semuanya terjadi akibat daripada peristiwa politik yang terjadi di Perak. Satu dunia tahu apa yang berlaku di negeri ini, jadi tak payahlah Yuss usik isi kandungannya lagi.

Yuss lebih tertarik kepada impak yang dibawa oleh tragedi politik Perak ini. Ianya berlaku kepada dua kenalan Yuss.

Kenalan pertama Yuss agak kurang berminat dengan politik. Tapi, disebabkan oleh kes politik Perak, beliau mula terusik dengan dunia politik tempatan. Semuanya gara2 permainan media tentang kisah 'penderhakaan terhadap Sultan'.

Kisah menderhaka ini menarik minat beliau kerana ianya dikatakan mencabar sifat keMelayuannya. Lalu, atas dasar kesedaran, beliau secara tiba2 mengaku telah menyertai UMNO. UMNO ketika itu sedang sibuk melakukan perhimpunan Agongnya. Satu acara yang digembar-gemburkan, juga secara meluas di media2 harian kita.

Beliau mula terusik untuk mempertahankan Melayu. Demi mempertahankan Rajanya. Maka UMNO ialah satu-satunya pilihan beliau.

Yuss tidak mempersoalkan pilihan yang beliau buat. Itu hak masing2. Tetapi yang membuatkan Yuss rasa tercalit perasaan geramnya ialah apabila beliau mempersoalkan kewarganegaraan bangsa2 lain di bumi Malaysia ini. Pendatanglah. Apalah.

Yuss akui beliau terlalu mentah memahami semua ini. Yuss sendiri sehingga kini masih belajar untuk memahaminya.

Namun begitu, Yuss terus bertanya secara terus, adakah beliau Melayu? Tanpa sesaat berfikir, beliau terus menjawab ya.

Yuss bertanya lagi jika emaknya dulu asalnya Melayu? Beliau tidak menjawab terus seperti soalan pertama tadi.

Setelah berfikir sedikit, beliau memberi alasan terbaiknya bahawa emaknya Melayu dan masuk Islam selepas mengahwini bapanya yang memang asal Melayu. Sebelum berkahwin, ibunya seorang Buddha berbangsa Cina. Secara automatiknya, Melayulah diri emak beliau disebabkan peristiwa keislaman itu.

Setelah beberapa lama, akhirnya beliau mengakui dirinya berdarah campuran Melayu dan Cina. Yuss terus bertanyakan lagi soalan yang agak berat, siapakah yang berhak ke atas dirinya untuk memilih Melayu sebagai pilihan dominan bangsanya? Adakah ibubapanya, komunitinya, atau corak pemerintahan negaranya yang membuatkan beliau memilih Melayu sebagai pilihan hidupnya?

Jika beliau lebih fasih berbahasa Mandarin berbanding Bahasa Melayu, tetapi beragama Islam dan hidup mengikut adat Melayu, adakah beliau Melayu?

Sehingga ke hari ini beliau masih belum dapat menjawab persoalan2 yang Yuss kemukakan. Sehingga ke hari ini juga Yuss malas hendak bertanya balik meminta jawapan.

Kisah Melayu yang kedua juga berkisar kepada tona politik yang sama yang tercetus selepas isu politik negeri Perak. Kisah tentang penderhakaan. Kisah tentang orang Melayu yang dicabar.

Akibatnya, sejak kehangatan isu2 tersebut, beliau selalu sahaja memerli Yuss dengan isu Melayu kerana beranggapan Yuss sudah tidak Melayu lagi.

Mungkin beliau merasakan Yuss tidak mahu mempertahankan keMelayuan sendiri seperti dirinya. Beliau yang menceburi bidang perniagaan telah memilih Melayu sebagai pelaburnya sahaja. Dan Melayu sahaja sebagai pembelinya. Alasannya kerana hendak bantu Melayu. Seboleh-bolehnya semuanya kena Melayu. Apa gilakah Yuss hendak jadi seperti itu?

Beliau berkata, dirinya bukanlah cemburu dengan bangsa Cina dalam hal perniagaan, tetapi memilih alasan untuk membakar semangatnya menjadi lebih berjaya dari bangsa2 Cina di Malaysia yang lain. Dalam hati Yuss, alasan tetap alasan untuk mencipta alasan tanpa alasan yang munsabah.

Tetapi baru2 ini, setelah agak lama tidak berbual dengannya kerana kesibukan masing2, secara seronoknya beliau telah bercerita tentang perjalanannya ke negara China. Hong Kong pun ditinjaunya.

Tanpa menunggu panjang, Yuss terus bertanya, pergi ke sana buat apa? Katanya pergi jalan2 sambil tengok barang untuk buat bisnes. Katanya hendak cari pembekal kain untuk bisnes pakaian bila balik nanti. Katanya lagi, murah kalau beli secara pukal dari sana.

Soalan sinis Yuss, kenapa pergi berjalan ke negara orang Cina? Kenapa cari peluang perniagaan dengan orang Cina? Apa bezanya Cina Malaysia dan Cina China?

Entahlah apa reaksi dalam hati beliau, Yuss malas hendak ambil tahu. Ternganga atau tidak mulut beliau, Yuss peduli apa. Inilah jenis2 manusia hipokrit yang termakan dek permainan politik perkauman di Malaysia.

Persoalan2 kecil seperti ini tidak siapa yang dapat menjawabnya apabila mereka khayal dengan sogokan hidup hariannya yang penuh rasis.

Yuss malas lagi hendak berdebat, atau hendak menolong mencari jawapan untuk mereka. Berfikirlah sendiri jika mampu. Tuhan dah bagikan akal dan minda, gunakanlah sebaik mungkin.

Nampak gayanya, Yuss terpaksa menerima konsep 1Malaysia anjuran PM kita, Najib Razak. Marilah kita kembali kepada pembinaan bangsa yang betul untuk negara bernama Malaysia.

Jangan biarkan 1Malaysia gagal hanya kerana perbezaan politik kita hari ini. Kerana jika gagal 1Malaysia, bermakna kita telah mencipta kegagalan dalam masyarakatnya. Politik menjadi kayu pengukurnya dalam isu kesatupaduan ini.

Kecualilah kegagalan 1Malaysia disebabkan perubahan lanskap politik negara dan digantikan oleh konsep2 lain yang sama sepertinya, mungkin seperti Anak Bangsa Malaysia atau perpaduan nasiona atau apa sahaja, namun sifat idea bangsa Malaysia itu sendiri harus terus ditanamkan.

Yuss pilih Malaysia dahulu. Melayu kemudian.

Tuesday 12 May 2009

Tahniah Nizar

Petang semalam, seperti yang semua tahu, Nizar telah disahkan sebagai Menteri Besar Perak seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Yuss masih berada di Ipoh semasa keputusan disiarkan secara online lebih kurang jam 4 petang.

Kebanyakan daripada kita mungkin masih lagi terkejut, gembira dan bersyukur dengan keputusan tersebut. Dan mungkin juga seluruh bumi Perak sedang meraikan dengan cara yang sama, yakni dengan memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan.

Seperti biasa, walaupun Yuss teruja dengan keputusan tersebut, tetapi fikiran Yuss masih mencipta persoalan apakah kemungkinan atau langkah seterusnya oleh mereka yang berpolitik ini. Yuss kurang yakin BN akan mengalah begitu sahaja. Lubang untuk mencari ruang memenangkan diri masing2 akan tetap diusahakan.

Yang lebih menariknya lagi ialah, blog2 yang pro-BN kelihatan mencipta satu aura 'kebaikan' bahawa mereka menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Mereka mahu menunjukkan 'kematangan' bahawa mereka menghormati keputusan yang telah dibuat mahkamah. Tidak riuh rendah dan terbaring2 atas jalan sebagai tanda protes. Dan kononnya tidak seperti geng2 PR yang mungkin akan mengutuk dan mencaci mahkamah jika keputusan tidak menyebelahi mereka.

Blog2 pro-BN ini juga seperti biasa tetap cuba mengutuk blog2 pro-PR yang kononnya mahkamah hanya boleh dipercayai jika keputusan memihak kepada PR. Kononnya PR akan hanya kata mahkamah bersih jika menyebelahi mereka sahaja. Jika mahkamah tidak memihak, orang2 PR ini selalunya akan menanamkan kepercayaan bahawa mahkamah Malaysia tidak pernah adil dan saksama. Begitulah kepercayaan mereka.

Inilah permainan minda orang politik. Dalam penerimaan kepada sesuatu keputusan yang telah dibuat, satu jari tetap mahu ditudingkan kepada pihak lain. Tidak pernah mahu menerima keputusan sepenuh hati. Mesti mahu berbelit dan menyalahkan orang lain.

Kenapa seperti tidak ikhlas dalam mengeluarkan pendapat? Kenapa masih mahu menuding jari seperti ini? Tidak sedarkah mereka bahawa mereka juga seperti meniru gaya orang2 PR jika betul mereka tidak mahu menerima keputusan mahkamah seratus peratus.

Tetapi yang membezakan orang2 PR dan BN dalam soal penerimaan ialah, walaupun PR seperti selalu mempertikaikan keputusan mahkamah dalam banyak kes, mereka punya bukti dan sokongan yang kuat untuk merayu atau mencelah atau membantah. Mereka masih mampu meyakinkan rakyat dalam kebanyakan keraguan kes2 yang melibatkan soal keadilan.

BN gagal dalam soal keyakinan seperti ini. Seperti dalam kes MB Perak ini, maklumat2 yang didedahkan kepada rakyat kebanyakannya dilakukan oleh orang2 PR dan dilakukan secara terperinci, sama ada dari sudut perundangan, ilmiah, logik atau pendapat profesional yang banyak bertebaran di dada internet ini. Mereka mendidik masyarakat. Mereka cuba mengilmukan masyarakat dari segi logiknya. Tak kiralah apa pun keputusan mahkamah nanti.

Tetapi orang2 BN tidak pernah melakukan perkara ini. Bila ianya menjadi kes mahkamah, persoalan2 yang ditimbulkan tidak pernah dijawab oleh mereka secara matang. Segala2nya ibarat diserahkan bulat2 kepada mahkamah, hakim dan peguam2 mereka sahaja.

Bukankah sekurang-kurangnya orang2 BN boleh memberi sedikit 'ilmu' kepada rakyat untuk melihat kekukuhan fakta mereka untuk didebatkan dalam minda rakyat? Kerana rakyat ingin tahu dan ini melibatkan diri rakyat itu sendiri secara tidak langsung sebagai warga Perak. Malangnya, perkara seperti ini tidak berlaku melalui cara orang2 BN ini.

Akhirnya, rakyat biasa seperti Yuss akan mudah terkesima dengan ulasan Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengesahkan kedudukan Nizar. Setiap jawapan yang diberikan oleh Hakim tersebut seperti pernah dibaca, didengar dan diketahui oleh kita semua sebelum ini. Ada antaranya pernah diletakkan dalam blog ini atau kita membacanya di blog2 lain seawal bulan Mac yang lalu. Kerana sebahagian besar ideanya seperti datang dan terdedah daripada pembacaan di ruang internet ini.

Itulah sebabnya orang biasa seperti Yuss menyokong keputusan mahkamah ini. Walaupun soal intergriti kehakiman Malaysia sentiasa dipersoalkan, tapi dalam persoalan kes MB Perak ini, rakyat telah terdidik terlebih dahulu sebelum ianya dibicara dan diputuskan lagi.

Begitulah uniknya kes Perak. Begitulah indahnya hitam Perak. Tahniah sekali lagi kepada Nizar.

Yuss gembira. Walaupun hakikatnya perjalanan politik Perak dan Malaysia masih panjang.

Thursday 7 May 2009

Hilangnya Sinar Perak

Hari ini telah terbukti secara sah bahawa ianya wajib digelar hari Hitam untuk Perak. Betapa terkejutnya Yuss apabila membaca berita tentang bagaimana Speaker Perak, Sivakumar, ditarik keluar dari kerusinya dan dipaksa keluar dewan bagaikan beliau bukan seorang insan bernama manusia.

Apakah yang sebenarnya berlaku, Yuss sendiri tidak tahu. Sebagai orang biasa, Yuss masih terkejut melihat gambar2 dan cara perlakuan pihak2 tertentu yang melakukan perbuatan kebinatangan kepada manusia lain seperti ini.

Dan dalam masa yang sama, Yuss baru sahaja menulis tentang kes perangai kebinatangan manusia di Pulau Ketam dengan anjing2 mereka. Dan terkini, di dewan mulia DUN Perak pula. Tiada bezanya nilai perasaan dan perkemanusiaan jenis ini.

Manusia oh manusia. Kenapalah kita menjadi semakin tidak bertamadun?

Yuss sendiri tidak tahu siapakah yang kurang ajar dan siapakah yang merasa terlebih ajar. Undang2 seperti diperkotak-katikkan apabila usul menggantikan Speaker Perak dibuat oleh ADUN2 BN. Pelik dan ianya memang pelik. Undang2 dilihat ibarat sehelai kertas kosong yang boleh dikoyak-koyakkan apabila suka, dan dicantumkan di kemudian hari, juga apabila ada rasa suka.

Tetapi yang lebih menariknya lagi, Yuss lebih tertarik dengan cara manusia membinatangkan manusia lain. Adakah Sivakumar layak mendapat layanan seperti hari ini? Jika nama Sivakumar itu 'Suhaimi', adakah sanggup mereka yang 'berkuasa' ini melakukan cara dan tindakan yang sama?

Selain itu, soal2 derhaka, soal menghina Raja, semuanya sudah entah ke mana. Tidak malukah mereka membiarkan Raja Nazrin Shah menunggu sehingga 5 jam sebelum baginda boleh masuk ke dalam dewan untuk merasmikan sidang? Siapakah yang derhaka dalam hal ini?

Secara terang, Yuss letakkan kesalahan ini di tangan BN pimpinan Zambry. Apakah yang ditakutkan sangat oleh pihak BN terhadap Sivakumar (untuk menggantungnya melalui usul) sehingga sanggup membiarkan seorang Raja menunggu lama?

Mengusulkan suatu perkara yang tidak logik dan bertentangan, dan kemudiannya berpanjangan dan memakan masa berjam lamanya sehingga menyebabkan Raja tertunggu2. Bukankah derhaka namanya itu? Padahal dalam masa yang sama ada yang melaporkan, Sivakumar sendiri menyuruh semuanya bertenang dan membenarkan Raja Nazrin masuk merasmikan sidang.

Hendak bertekak, hendak bergaduh, dan terjerit sana terjerit sini, rasanya binatang dalam zoo pun senang untuk dikawal. Tidak malukah mereka berperangai seperti ini di dalam dewan yang dianggap mulia? Kalau dewan yang mulia pun boleh dibuat perangai macam dalam zoo, macamanalah agaknya kalau terjumpa di dewan yang TAK mulia, atau kedai mamak atau Tesco kat Ipoh Garden tu sekalipun.

Tak ada perasaan malukah agaknya mereka ini?

Dalam masa yang sama, berlaku satu gelagat yang memberikan sedikit kelegaan kepada kita semua apabila ada yang melaporkan bahawa Raja Nazrin bersalam dulu dengan Nizar dan semua ADUN PR dan kemudiannya barulah ADUN2 BN. Dan ada juga yang berkata Raja Nazrin keluar dewan diiringi oleh Nizar dan Ngeh sambil baginda membisikkan sesuatu bahawa Tuanku ingin berkerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Hmmm... =)

Selain daripada itu, hari ini semuanya telah bergaduh dalam dewan, tetapi di satu pihak yang lain pula, iaitu mahkamah, mereka akan hanya memutuskan siapakah MB yang sah pada Isnin depan. Bukankah ianya ibarat bertindih secara terbalik antara satu sama lain? Satu tindakan yang terkemudian selepas perkara lain yang tidak sepatutnya didahulukan berlaku. Ini satu lagi satu benda pelik lagi pelik. Pelik dari segi logik akalnya. Orang biasa seperti Yuss mungkin menafsirkan undang2 ini dengan cara yang berbeza daripada orang undang2 itu sendiri. Mereka lebih arif.

Orang undang2 mungkin baca undang2 ikut cara diorang. Tapi kita juga ada hak membacanya dengan logik kita sendiri. Jika BN boleh tafsir ikut cara dia, kita buatlah cara kita.

Yang pastinya, demokrasi benar2 telah hitam di bumi Perak. Adakah hilangnya demokrasi seperti ini beerti rakyat Perak akan terus terperangkap? Terperangkap dalam soal ekonomi yang entah ke mana, soal sosialnya, dan soal masyarakatnya yang terkambinghitam dek demokrasi. Rakyatlah mangsanya. Rakyatlah korbannya.

Tahniah kepada demokrasi ala BN. Tahniah. Kononnya merekalah penegak kerajaan 'M' di bumi Perak. Hasilnya ialah apa yang kita boleh lihat pada hari ini. Cara menghalalkan cara walau dengan apa cara sekalipun.

Yuss sangat2 kecewa. Sangat2 kecewa.

Yuss berhati hitam. Marah.

Photo diambil dari blog Idham Lim.

Tuesday 5 May 2009

Hitam untuk Perak


7 Mei 2009 berkemungkinan besar akan menjadi antara Hari Paling Bersejarah untuk rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan sepanjang zaman.

Sama-samalah kita 'menghitamkan' diri untuk demokrasi. Sama ada demokrasi terpimpin (bak kata P. Ramlee dalam filem 3 Abdulnya), atau demokrasi cara BN, atau demokrasi cara PR, demokrasi akan tetap kekal demokrasi jika kita terus percaya kepada sistem demokrasi yang sedia ada.

Mahkamah hanyalah antara rumah yang disinggahi demokrasi di Perak hari ini. Pokok pangkalnya, rumah rakyatlah yang menjadi penentu sebenar sama ada sebuah demokrasi itu akan terus kekal dan berdiri teguh di bumi Perak atau sebaliknya.

Marilah kita berdoa supaya demokrasi selamat di Perak. Yuss tidak percaya kepada sistem 2 Menteri Besar seperti sekarang ini.

Satu BN, satu PR... Ape ke heynye ni Yeop!

Langkah terbaiknya? Mungkin dengan mengembalikan demokrasi itu kepada rakyatnya melalui pilihanraya semula. Mungkin.

Pakailah baju hitam ke, seluar hitam ke, sarung tetek warna hitam ke, seluar dalam hitam ke, naik kereta warna hitam ke, minum kopi 'o' ke, cat badan kaler hitam ke, janji ada 'hitamnya' kita pada 7 Mei nanti.

Yuss teringat iklan rokok Perilly's di kaca TV semasa zaman budak2 dulu. Dengan branding imej hitamnya, ditambah pula dengan kereta Porche hitam sebagai penghias iklannya... Fuhhhh.... Bergaya sungguh. Walaupun kesudahannya kita tahu ianya boleh membunuh. ;)

Photo by Google

Monday 4 May 2009

Apa Salahnya Mahkluk Tuhan Ini?


Yuss agak terkejut dengan apa yang Yuss baca ini. Sila klik sini.

Yuss mulai sedar, kita sebagai manusia, memang terlahir dengan sifat kebinatangannya. Semakin kita hendak maju, semakin jijik perangai manusia. Dan semakin hilang nilai kemanusiaannya.

Apakah yang membuatkan hati manusia2 ini menjadi buta dan membiarkan haiwan2 yang kononnya 'tidak' berguna ini 'mati' jauh dari pandangan mata mereka? Apakah justifikasi kebinatangan manusia2 jenis ini?

Apakah perasaan mereka jika 'manusia' pula yang dibuang ke 'pulau maut' ini? Kenapakah bila sesama manusia, kita boleh merasai kesalahannya, tetapi jika ianya binatang lain, kita kata tidak mengapa? Siapakah kita menentukan hidup mati mahkluk2 Tuhan yang lain ini?

Adakah manusia itu Tuhan kepada binatang2 yang lain ini? Manusia jenis apakah yang melakukan perbuatan tidak berperikebinatangan ini?

Memang binatang sungguh manusia2 ini! Lebih binatang daripada binatang!

Tidak wujud istilah kemanusiaan dalam hidup manusia yang berperangai seperti ini!

Kepada manusia yang masih rasa diri mereka manusia, bantulah... Jangan butakan hati anda dengan sifat kebinatangan anda!

Biarpun pedas bunyinya, niat Yuss cuma untuk menyedarkan kita yang masih lena dengan nilai 'manusia'nya. Please...?


Untuk maklumat lanjut, sila klik laman berikut,
http://www.mycen.com.my/rescue/

Mungkinkah disebabkan kita selalu bercakap soal kemanusiaan, maka kita hanya mahu memikirkan soal manusia sahaja? Adakah ruang lingkup perikemanusiaan itu selalunya disalaheertikan untuk manusia sahaja? Kalau begitulah mentaliti 'bodoh' manusia, baik ubah perikemanusiaan menjadi perikebinatangan. Sekurang-kurangnya manusia yang 'bodoh' ini boleh jadi sedar dan insaf.

Yuss bergenang.