Sunday 30 November 2008

Hubung Kaum

Yuss tertarik dengan pandangan bahawa antara sebab utama sifat perhubungan antara kaum di dalam Malaysia semakin terpisah pada masa kini adalah akibat daripada dasar perindustrian negara. Benar atau tidak atau satu kemungkinan?

Yuss gelarkan tahun 1980-an sebagai waktu bermulanya Revolusi Minda Perindustrian Malaysia. Dasar negara yang meletakkan perindustrian sebagai pemangkin ekonomi negara meninggalkan kesan mendalam dalam sikap perhubungan kaum antara kita semua.

Kerajaan telah menanamkan mentaliti atau pengisian minda ke seluruh masyarakat Malaysia bahawa industri, sains dan teknologi itu adalah yang teratas dalam menjadikan kita maju. Bagi Yuss, cara propaganda meletakkan pasak kebendaan, mesin dan robot telah menjadikan kita tidak berjiwa.

Industri kereta, pembuatan kereta, menghasilkan kereta, membuat enjin kereta, itulah kepentingan negara. Itulah yang perlu diberi perhatian. Itulah khazanah negara. Pengeluaran cip, pengeluaran jentera dan semuanya yang berkaitan dianggap kejayaan negara. Atas nama pemindahan teknologi. Yang menjamin kemajuan. Yang menjamin kekayaan.

Yuss merasakan semua ini telah membelakangkan nilai perhubungan kaum. Menjadikan kita bersifat individualistik di peringkat nasional. Peringkat kenegaraan. Kita dikaburi oleh minda perindustrian ini dan lupa akan asas2 hidup penting dalam perlembagaan negara terutamanya perubahan dan kesan ke atas perbezaan hubungan antara kita semua. Isu perkauman dianggap sebagai isu politik semata dan kuasa penentu hubungan ini diserahkan bulat2 kepada pengamal2 politik ini sahaja. Dan dalam masa yang sama, rakyat pula dimainkan dan dikaburi dengan isu penciptaan kemajuan dalam dunia industri.

Kita lupa, atau sekurang-kurangnya Yuss lupa, kita hidup berpaksikan kebendaan. Mesin, robot, itulah tanda aras kehidupan kita. Dunia sains diangkat setinggi langit, dijunjung sebagai yang terbaik merubah hidup manusia Malaysia.

Dan bagi penghuni Malaysia yang beragama Islam, agama sahajalah unsur kerohanian atau jiwa yang tinggal untuk digunapakai dalam diri seharian sebagai benteng terakhir menjadi manusia berjiwa. Dan selebihnya? Tiada.

Kenapa Yuss berkata demikian? Cuba tanyakan dalam diri setiap anak muda dalam lingkungan umur Yuss, apakah mereka diberikan pilihan tepat dalam hidup mereka di sekolah? Sains atau Sastera? Pilih satu.

Mentaliti guru, sekolah, ibu bapa, pemimpin politik, semuanya meletakkan Sains itu lebih atas dari Sastera. Buktinya ialah apa yang telah terjadi kepada diri Yuss sebelum ini. Sebagai contoh, mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, akan secara terus dan automatiknya perlu menyambung pelajaran dalam aliran Sains. Mereka yang lemah, yang gagal, aliran Sastera menjadi tempat buangan mereka. Itu realiti yang Yuss alami di zaman persekolahan dahulu. Tidak ada pilihan. Terasing. Tidak didedahkan sebaik mungkin pilihan yang mungkin mereka ada.

Perkara ini terjadi tidak kiralah di kampung mahupun bandar. Walaupun bukan semua secara total, tetapi majoritinya, penduduk Malaysia sebaya Yuss dahulu memilih perjalanan kemindaan jenis ini.

Adakah benar Sains dan Sastera tidak berjalan seiringan? Adakah benar Sains perlu ke hadapan mengatasi Sastera?

Bagi Yuss, buktinya agak jelas pada hari ini. Impak atau kesan kita meninggalkan Sastera samalah seperti kita meninggalkan jiwa.

Dalam masa yang sama, kita pula selalu membuat perbandingan jiwa hubungan kaum zaman semasa dan selepas merdeka dahulu amat berbeza dengan hari ini. Benar kita pernah melalui zaman perit 1969 dan selalunya cuba dikaitkan dengan peristiwa hari ini. Bagi Yuss, 1969 terjadi akibat daripada sebab dan pilihan mereka pada waktu tersebut. Faktor ianya berlaku bagi Yuss perlu diselidiki mengikut masa dan sejarahnya. Bukan kepada pendekatan ulangan dan ugutan yang ianya mungkin akan berlaku lagi. Lagi dan lagi.

Pada hari ini, Yuss merasakan, Sastera adalah amat penting sekali bagi menemukan kembali jiwa hubungan antara kita semua. Kita perlu kembali dan mengangkat Sastera sebagai satu kepentingan nasional. Bukan lagi atas nama warisan, penulisan kreatif, tarian tradisional dan persembahan puisi semata. Kerana sebahagian besar minda Malaysia hari ini sebenarnya melihat Sastera itu satu dunia yang penuh kebosanan dan lembap. Fokus mereka ke arah Sastera mengecil dan satu arah.

Bagi Yuss, Sastera ialah sejagat dan bebas. Mereka yang terlibat di dalamnya pula akan lebih mudah kita pandang sebagai bersifat keMalaysiaan. Dan mudah menyatukan kita. Bukan lagi intergrasi kaum atas nama kejayaan membina bangunan tertinggi dunia, kuih terpanjang di dunia, sup ekor terbanyak di dunia, menyeberang Selat Inggeris, mendaki puncak tertinggi di dunia, mengelilingi dunia dan macam2 lagilah. Benar ia membakar semangat kepada kita semua. Tapi jika diberi antara semangat dan jiwa, Yuss pilih jiwa. Kerana semangat sekadar bersifat sementara. Jiwa pula kekal dan sebati dalam diri kita.

Kita perlu melihat kepada pencapaian 'Sastera' atau budaya terkini di Malaysia melalui cara yang berbeza dan lebih luas. Alleycats contohnya. Lagu2 mereka penuh glamer dalam dunia hiburan Bahasa Malaysia. Tapi kita tidak anggap mereka Melayu. Kita masih terima mereka. Cara penerimaan kita terhadap mereka sama tarafnya dengan Siti Nurhaliza, katakan. Secara keseluruhan atau dalam konteks keMalaysiaan. Bukan maksud Yuss mengatakan Siti tidak punya peminat bukan Melayu dalam negara. Ada. Tapi pandangan kita, penerimaan kita terhadap Alleycats dan Siti agak berbeza. Betul atau tidak? Kita mungkin menganggap Alleycats punya jiwa Malaysia dalam muzik dan jiwa mereka, sedangkan Siti pula muzik dan jiwanya lebih cenderung sifat kemelayuannya.

Dan bagi Yuss, hubungan kita yang semakin terpisah hari ini hanyalah terlindung oleh fabrikasi indah ciptaan pemerintah. Kosong jiwa. Itulah yang terjadi dalam 'jiwa' era 80-an dan 90-an. Dan penghujung dekad ini pula Yuss melihat kita menuju ke arah perubahan dan mahukan penyatupaduan.

Walaupun Yuss melihat kita mungkin terpisah hari ini, tapi gelora dan perbincangan terbuka hari ini mengenai isu perhubungan kaum sebenarnya terjadi akibat daripada keterbukaan pemerintah itu sendiri. Contohnya, era pemerintahan Paklah yang dianggap bermulanya keterbukaan dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Walaupun pendapat2 itu ada yang pedas dan hangit. Dan ada yang disoal dan ditangkap. Inilah pencetus gelora.

Walapun geloranya kelihatan berpanjangan, tapi ia sebenarnya baik. Kerana kita semua bijak berbincang dan cuba mencari jawapan dalam kebebasan ini. Gelora ini Yuss anggap sebagai satu FASA mencari jiwa semula. Fasa yang membentuk jatidiri Malaysia hari ini dan masa depan.

Dan jiwa itu bagi Yuss adalah kembali kepada Sastera. Bagaimana kita menilai baik buruk orang lain dengan perasaan. Bukan lagi Ya Tidak Ya Tidak seperti dalam dunia Sains yang perlukan jawapan tepat.

Perlu diingat, Yuss bukan menyalahkan Sains. Ia amat baik sekali. Tapi perlu seiringan... sekali lagi Yuss ulang, perlu seiringan dengan Sastera. Mentaliti mengasingkan Sains dan Sastera menghasilkan apa yang kita ada pada hari ini.

Yuss bekas pelajar Sains dan Seni.

4 comments:

Anonymous said...

akhirnya kau menulis jugak. hmmm... ada betulnya gak tu.

keep writing ek. sakit tu byk2 bersabar.

misteri... siapakah kencana? hehe

Anonymous said...

Pandangan yang bermanfaat untuk dibahaskan, terutama perihal pembangunan yang berimbang antara kebendaan dan kejiwaan, fisikal dan mental, ekonomi dan kemasyarakatan. Teruskan

bahazain said...

Pendapat yang baik, terutama pentingnya pembangunan berasaskan moral, dan berimbang antara kebendaan dan kejiwaan, sains dan sastera,teknologi dan budaya. Teruskan perbahasan ini.

Yuss said...

Setelah sekian lama, baru saya perasan ada komen2 lama yang terlepas pandang.

Lupa untuk saya ucapkan rasa terima kasih di atas komen2 yang diberikan.

Terima kasih sekali lagi kencana, En. Baha Zain.