Showing posts with label Religion. Show all posts
Showing posts with label Religion. Show all posts

Tuesday, 31 March 2009

Talentime

Yuss agak skeptikal semasa mula-mula hendak menonton filem terbaru Yasmin Ahmad ini. Pelbagai tafsiran sendiri dilakukan sebelum menontonnya. Seperti menghukum sebelum melihat.

10 minit pertama menonton filem ini membuatkan Yuss melakukan pelbagai andaian negatif terhadap Yasmin. Yuss mempersoalkan kenapakah pelakon2 yang sama digunakan dalam setiap filem arahan beliau?

Yuss menganggap Yasmin tidak versatil dalam pemilihan para pelakonnya, terutamanya yang memegang watak pelakon tambahan. Walaupun watak2 utama kebanyakannya adalah muka2 baru, tetapi percayalah, mereka pasti akan dikitarsemulakan oleh Yasmin dalam filem2 berikutnya nanti.

Yuss juga telah menghukum tajuk cerita dan konsepnya yang dianggap terlalu ringan. Kerana Yasmin seperti tidak dapat lari daripada stereotaip konsep filem yang sentiasa berunsur kepada alam persekolahan, alam cinta monyet yang suci dan dosa yang dibenarkan, dan alam 'innocent' terhadap dunia.

Tetapi, masuk sahaja setengah jam berikutnya, Yuss mula menyukai filem Telentime ini. Walaupun ringan ceritanya (seperti filem2 beliau sebelumnya), tetapi keberatan penceritaannya ialah terletak kepada kejujuran Yasmin menghukum sifat stereotaip orang Malaysia terhadap unsur agama dan kaumnya. Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum, menangis, dan ketawa terhadap kehebatan karya Yasmin yang cuba menyedarkan penontonnya.

Bagi Yuss, filem Yasmin ini dianggap sarat dengan idea dan matlamat tersirat yang menyatukan kita semua sebagai Bangsa Malaysia. Dan percaya atau tidak, Talentime ini juga Yuss anggap sebagai filem berbahasa Tamil pertama Malaysia.

Maafkan Yuss jika ianya bukan Bahasa Tamil kerana Yuss tidak tahu bahasa apakah keluarga Mahesh gunakan sepanjang filem ini. Mungkin Malayalam, mungkin Telugu atau lain2.

Yasmin berjaya meletakkan mindanya dalam filem ini mengenai penerimaan masyarakat kaum India kepada budaya Islam versi Malaysia. Ini ialah realiti. Kita tidak boleh menolak ke tepi budaya penanaman minda jenis ini di dalam komuniti mereka.

Yasmin cuba merubah pandangan golongan muda India terhadap penerimaan mereka kepada kepelbagaian agama lain yang bertoleransi. Dan ini juga ialah realiti sebenar masyarakat muda mereka hari ini yang terbuka ke arah satu perubahan yang baik. Ketajaman Yasmin terhadap kematian abang Mahesh betul2 membuatkan mata Yuss terbuka luas dan melihatnya sebagai kesalahan diri kita sendiri.

Yasmin juga cuba menyatukan pandangan stereotaip orang Cina ke atas orang Melayu. Bahawa Melayu, sama ada berjaya atau tidak, pasti dan wajib menerima bantuan secukupnya daripada pemerintah. Kecemburuan mereka kepada hak istimewa ekonomi orang Melayu masih dianggap sebagai duri dalam daging kepada orang Cina. Seperti tidak adil dan berat sebelah.

Tetapi Yasmin berjaya mendidik dan merubah persepsi ini melalui filemnya ini. Kejayaan seseorang itu sepatutnya dilihat atas usaha dan kehendak dirinya sendiri dan bukan kepada bantuan dan peluang yang terbuka semata2.

Ini juga ialah realiti hidup orang Malaysia hari ini. Yuss sendiri sudah acapkali menerima realiti minda seperti ini di mana2 sahaja. Banyak kenalan2 Yuss berbangsa Cina masih merasakan perbezaan seperti ini. Mereka merasa tersisih.

Yuss tidak marahkan mereka. Tetapi Yuss sentiasa menjelaskan kepada mereka bahawa pendidikan Yuss sama seperti mereka. Mereka mendapat peluang sama rata seperti Yuss.

Tetapi jika betul lah Yuss mendapat tempat di universiti tempatan dulu atas nama kaum Melayu, betapa sedihnyalah Yuss terhadap diri sendiri. Tetapi Yuss sentiasa yakin bahawa peluang yang Yuss perolehi dahulu ialah kerana usaha Yuss sendiri.

Yuss juga tidak pernah meminta apa2 daripada pemerintah. Dan realitinya, pelajaran Yuss dulu pun atas nama pinjaman atau hutang yang kena dibayar balik.

Yuss yang Melayu ini pun masih berhutang dengan kerajaannya!


Selain itu, Yuss juga tidak terhutang budi apa2 pun dengan pemerintahnya. Yuss juga tidak merasa sedikit pun keistimewaan ekonomi yang sepatutnya Yuss rasakan sebagai orang Melayu. Kerana Yuss tidak terluak pun hendak mendapatkannya. Kerana usaha sendiri itu lebih berkat.

Berbalik kepada filem Talentime ini, Yasmin juga telah menjentik minda orang Melayu tentang Islam. Watak Mei Ling yang rupa-rupanya seorang Muslim diharap dapat mendidik masyarakat bahawa masuk Islam tidak semestinya masuk Melayu.

Mei Ling yang Islam telah mengekalkan nama Cinanya. Tidak ditukar kepada nama2 umum Melayu atau Arab. Salah atau tidak beliau terus kekal bernama seperti itu, itu hak peribadinya. Dan salah atau tidak beliau terus masak dan makan makanan Cina seperti Dim Sum dan makan pakai chopstick, itu juga hak kepada pengekalan budayanya sendiri. Tetapi niat keislamannya terus kekal dan bersatu.

Adakah Mei Ling jadi Melayu kerana Islam? Terbuktilah Islam yang sebenar ialah Islam yang bersifat universal dan tidak terikat kepada satu2 kaum sahaja seperti amalannya di Malaysia.

Dan adakah idea2 seperti ini masih dianggap sebagai satu dosa kepada nilai pluralisme perkauman dalam sesuatu agama di Malaysia? Adakah kesatuan kepercayaan atas nama agama seperti ini masih dianggap salah dan bertentangan dengan budaya Melayu Malaysia? Adakah kesatuan minda seperti ini juga boleh mencemarkan hak2 istimewa orang Melayu, seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak2 tertentu sekarang ini? Kita sendiri boleh memikirkannya.

Apa2 pun, Yuss ucapkan tahniah atas usaha berani Yasmin ini. Filem akhirnya berjaya digunakan sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Medium untuk merubah persepsi masyarakat. Dan akhirnya nanti, boleh menjadi satu warisan penting kepada negara.

Yasmin beruntung kerana ideanya boleh disampaikan melalui filem. Orang yang tak berduit macam Yuss ni, menulis blog percuma macam ini pun sudah cukup baik untuk bersama2 berkongsi idea.

Yuss suka makan Dim Sum.

P/S Bilalah agaknya dapat menonton filem Yasmin, Muallaf yang diharamkan di Malaysia. Hmmm...

Photo by Google

Saturday, 21 March 2009

Agenda Melayu Itu Ini

Semakin hampirnya Perhimpunan Agong UMNO, semakin bertambah banyak cerita tentang isu perpaduan Melayu.

Yuss akui Melayu hendaklah sentiasa bersatu. Tetapi Yuss juga mengakui Melayu juga mestilah menjiwai rasa bangsa Malaysia yang sebenar. Bersatu dengan kaum yang lain itu lebih penting daripada memikirkan kaumnya sendiri sahaja.

Forum2 ilmiah berkaitan orang Melayu semakin bercambah di merata2 tempat ketika ini. Semuanya dimedia-massakan. Seminar Agenda Melayu lah... Perhimpunan Pribumi Perkasa lah.... Semuanya berjalan dalam masa yang dekat antara satu sama lain. Termasuklah Perhimpunan Agong UMNO.

Sehinggakan Perhimpunan Pribumi Perkasa sanggup menaja satu slot penting di dalam program Astro Awani di saluran 501. Sebagai satu contoh.

Inilah satu bentuk penyampaian propaganda. Kerana ia melibatkan satu pihak sahaja, yakni satu kaum, di saluran percuma Astro di mana semua komuniti bangsa Malaysia boleh menontonnya. Itu belum lagi tengok berita di RTM, di BernamaTV, atau TV3.


Yuss sentiasa bertanya kepada diri sendiri, inikah agenda utama negara? Agenda Melayu? Adakah ia sebenarnya untuk survival negara, untuk bangsa atau untuk survival parti2 tertentu?

Cuba letakkan diri kita dalam diri orang lain. Katakan kita menjadi orang bukan Melayu atau pribumi, seperti orang Cina, India, Serani atau Punjabi. Apakah perasaan mereka? Salahkah kita merasa apa yang mereka rasa? Salahkah mereka merasa terasing di dalam komuniti negaranya sendiri, dalam konteks keMalaysiaan?

Kenapa seperti dipisahkan matlamat penyatupaduan antara kaum ini dan tidak mencari satu agenda bersama yang lebih menyeluruh? Kenapa terlalu menitikberatkan agenda Melayu sebagai agenda nasional?

Dalam masa yang sama, kalau betul Pribumi Melayu mahu menunjukkan mereka bersatu padu, buktikan kepada semua pihak bahawa Orang Asli juga sebahagian daripada PRIBUMI Malaysia? Sanggup?

Yuss pernah menulis isu Orang Asli di dalam posting 'Orang Asli'.

Kenapa memilih siapa yang patut jadi pribumi dan siapa yang bukan?

Selain daripada itu, kita selalu berkata Melayu itu Islam. Bukankah mata Allah memandang semua bangsa sama rata? Cuba tengok musim haji di Mekah. Hitam, putih, coklat, kuning, semuanya sama sahaja.

Persoalannya sekarang ini ialah sama ada melayu itu lebih tinggi dari Islam atau Islam lebih tinggi dari Melayu?

Kalau Yuss kata Yuss Islam tapi tak mengaku Melayu, Yuss ini apa?

Bukanlah niat hendak mencetuskan provokasi, tetapi Yuss tak nak yang lain rasa seperti terasing di bumi sendiri h
anya kerana beza wajah dan rupa.

Cuba kita pikir-pikirkan...

Kita ada komuniti India Muslim. Kita juga ada komuniti Cina Muslim. Ada antara mereka terus mengekalkan nama India dan Cina mereka. Ada antara mereka terus mengekalkan adat dan budaya India dan Cina. Melayukah mereka kerana Islam?

Yuss bangsa Malaysia.

Saturday, 14 February 2009

Katanya, Melayu itu...

Katanya, Melayu itu... tak boleh derhaka Sultan.
Kalau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan, derhaka namanya tu. Kalau berbeza pendapat dengan Sultan, itupun dikatanya menghina Sultan. Yuss pun rasa pelik. Yang menegur, yang membantah, yang nak menyaman, semua tu penderhaka. Kesian Pak Karpal yang nak menyaman. Sultan tak boleh ditegur langsung ke? Dah tu, kalau sebuah bank pun boleh saman Sultan, penderhaka ke bank tu? Yang membuat undang2 membenarkan Sultan disaman, penderhaka ke mereka tu? Yang merangka undang2, yang meluluskan undang2 tu dulu, penderhaka Sultan ke tu? Kenapa tak dihukum sahaja perangka kepada penderhakaan ini? Kenapa memilih siapa yang patut digelar penderhaka atau tak? Adakah semua yang berada diluar UMNO dianggap penderhaka? Kalau dalam UMNO jadinya... tidak mengapa? UMNO oh UMNO... United Malay katanya kan???...

Katanya, Melayu itu... Islam.
Bunyinya macam betul. Sebab rasanya itu ciri2 Melayu. Kalau ikut perlembagaanlah. Tapi kalau ikut ciri2 Islam betul, kalau ganti perkataan Melayu tu dengan kaum lain pun sedap jugak bunyinya. Cina itu Islam. India itu Islam. Bidayuh itu Islam. Orang Asli itu Islam. Kalau Islam agama mereka, Islamlah mereka. Itu ciri2 Islam yang tak kenal bangsa. Sampaikan orang Eskimo kalau percaya Islam dan menyebut dua kalimah syahadah sekalipun, Islamlah mereka.
Tapi kalau kata Islam itu Melayu, pelik sikit bunyinya. Macam tak kena. Terasa macam Islam tu hak ekslusif Melayu pulak. Kalau yang Islam keluar Islam, keluar Melayu ke mereka ni? Kalau check warna kulit, tetap jugak tak berubah. Kalau buat ujian DNA, ciri2 Melayu tetap sama tak berubah kan? Kalau Melayu tu masuk agama lain, akan jadi bukan Melayu ke mereka2 ni? Kalau tengok Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah boleh berkahwin dengan Melayu campuran Orang Kulit Putih, kita nak kata apa? Melayu jugak? Masuk Islam masuk Melayu?

Katanya, Melayu itu... perlu berkuasa.
Kuasa perlu terus kekal dalam tangan Melayu. Kalau tak, musnahlah negara. Musnahlah Melayu. Musnahlah Islam. Melayu memang gila kuasa. Biar papa kedana sekalipun, janji kuasa di tangan mereka. Tak kaya pun takpa lah, janji berkuasa. Orang lain takleh pijak mereka. Katanyalah... Alahai Melayu... Bila suruh berubah maju ke hadapan, macam2 alasan diberikan. Paling syok didengar, kuota DEB belum dipenuhi lagi. Kena kekalkan DEB nih. Bukankah ada orang Melayu sendiri yang berkata, selagi mahu terus bergantung pada kerajaan, selagi itulah Melayu lambat berubah. Itu kata beberapa orang Melayu sendiri yang dah fed up tengok Melayu lambat berubah. Tapi pejuang2 Melayu yang lain pulak kata, kerajaan yang ada sekarang ni kerajaan Melayu yang berkuasa. So takyah risau sangat. Kekalkan sahaja DEB tu sampai bila2. Selagi berkuasa, itu hak mereka nak tentukan nasib bangsa mereka sendiri. Aduhai Melayu...

Katanya, Melayu itu... penduduk asal.
Konsep yang cuba dibawa ialah bukan Melayu datang kemudian. Katanya, semua Cina dan India dibawa masuk oleh penjajah. Puteri Hang Li Po dibawa masuk oleh penjajah jugak ke? Yang Baba Nyonya tu dibawak masuk penjajah jugak ke? Rasanya mereka sampai sebelum Portugis lagik. Yang pak2 Arab berdagang dengan Melaka, dibawak masuk penjajah jugak ke? Tapi orang Melayu kata mereka kaum yang datang dulu. Walaupun Parameswara juga dikatakan kaum pendatang, tapi diorang sampai dulu sebelum si Cina dan India. Jadi orang pertama sampai akan terus jadi penduduk asal? Orang Asli tu pulak nak letak kat mana? Bukan penduduk asal? Sebab duduk hutan, tak 'bertamadun', takde kerajaan sendiri, maka mereka bukan penduduk asal? Rasanya, kalau ikut sejarah manusia, semua penduduk dan tamadun sentiasa bergerak dan tak melekat satu tempat. Berhijrah kata orang Islam. Tapi konsep ni tak sama dengan orang Melayu. Melayu itu tetap penduduk asal. Katanya...

Katanya, Melayu itu... mudah lupa.

Jangan lupa sejarah, kata orang Melayu. Tengok apa yang dah jadi dengan Singapura. Melayu Singapura ialah kaum paling mundur dalam negara sendiri. Jangan kita jadi macam mereka sudahlah. Perasan tak, Melayu ni, satu2 ciri mereka ialah suka cari kesalahan orang lain. Jadikan kaum sejenis mereka di tempat lain sebagai kambing-hitam. Melayu Singapura ni lah salah satu contohnya. Apalah perasaan Melayu Singapura ni kalau Melayu Malaysia terus menghina mereka sedemikian rupa. Ibarat Melayu Malaysia ni takde perasaan ke? Atau perasan? Melayu ni tak pernah nak tengok diri sendiri, mesti cari alasan kesalahan orang lain sebelum tengok diri sendiri. Kalau alasan untuk beringat, kenapa tak ambik yang positif? Kenapa suka provokasikan keadaan dan suasana? Kalau nak buat perbandingan sekalipun, kenapa tak buat perbandingan positif dengan Melayu di Amerika, Melayu di Australia, Melayu di UK? Kenapa Melayu di Singapura?

Katanya, Melayu itu...

Penatlah nak bercerita lagi. Takkan habis punyalah cerita dia...

Cukup-cukuplah bercerita tentang bangsa Melayu ni. Lagi bercerita tentang bangsa sendiri, lagilah kita bersembunyi di sebalik bayang-bayang sendiri. Lagi bercerita tentang kehebatan bangsa sendiri, lagilah kita lari jauh dari jasad diri sendiri. Lagi pertahankan bangsa sendiri tanpa punca, lagilah kita menjauhkan diri dari jiwa sebenar bangsa itu sendiri.

Yuss tahu Melayu itu bukan setakat beza kulit dan lubang hidungnya, tapi yang lebih penting lagi, adat dan budayanya Melayu. Kalau adat dan budaya Melayu itu elok, apa kata kongsikan bersama dengan bangsa lain dan jadikannya antara ciri2 bangsa Malaysia? Tak ke lebih molek kalau macam tu?

Selagi kita bercerita tentang perbezaan warna ras dan beza rupa kita, selagi itulah kita terpisah. Bercerita tentang bangsa seperti ini bolehlah diibaratkan seperti persoalan antara ayam dan telur. Yang mana keluar dulu? Telur ke ayam? Ayam ke telur? Sampai kiamatlah kita tak sudah2 pertahankan jawapan masing2.

Daripada dok sibuk bercerita sejarah 500 tahun yang lampau, apa kata kita tengok sejarah 53 tahun ni pun dah cukup elok. Nama dia bukan ke Malaysia? Yang nak dicipta ialah BANGSA MALAYSIA. Tak nak 53 tahun dulu pun takpa. Ambik tarikh 16 September 1963 tu pun cukup untuk kita mulakan suatu cerita kerana tarikh tu lah bermulanya nama negara Malaysia.

Yuss suka jadi Bangsa Malaysia yang makan telur ayam. =)


Photo by Google.

Wednesday, 3 December 2008

Ketuanan Melayu

Amat menarik untuk Yuss lihat isu Ketuanan Melayu secara kasar. Secara kasar kerana Yuss sendiri tidak memahami maksud jelas apakah itu 'Ketuanan'. Yang Yuss faham secara terawang ialah ianya datang daripada kata dasar 'tuan'. Tapi maksud dan huraiannya mungkin berbeza sama sekali.

Isu ini timbul apabila Chua Soi Lek dilaporkan berkata beliau menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi menerima kepimpinan Melayu. Menolak Ketuanan Melayu bukan bermakna mencabar hak2 istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Itu kata beliau.

Selepas sahaja isu ini berbangkit, pelbagai pihak mengeluarkan pendapat yang mengecam dan mengutuk pendapat ini. Ada yang berkata, terdapat juga orang2 Melayu itu sendiri yang menolak konsep Ketuanan Melayu. Maka, bagi Yuss, ia sesuatu yang boleh dipersoalkan jika wujudnya rasa sangsi dalam diri orang Melayu itu sendiri.

Secara ringkas, istilah konsep ini berkemungkinan besar bermula pada permulaan alaf ini. Dengan menggunakan alasan 'pemberian' kewarganegaraan kepada bukan Melayu di zaman pra merdeka. Dalam pada itu, pada awal dekad selepas merdeka, istilah lain mungkin digunakan seperti ultra Melayu yang mungkin membawa maksud dan huraian yang sama seperti konsep Ketuanan Melayu ini. Perbetulkan Yuss jika salah mentafsir.

Dan bagi pihak Pas pula secara khususnya, sokongan terhadap konsep Ketuanan Melayu itu tetap wujud dalam pandangan mereka tetapi mungkin dalam istilah yang lain, Ketuanan Islam. Yang mengikut perlembagaan, mendefinisikan Melayu itu Islam.

Apa yang Yuss boleh lihat? Seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini, kita masih keliru dan bercampur-aduk pemikirannya dalam melihat maksud satu2 perkataan dalam perlembagaan. Kita ibarat masih keliru untuk mengangkat yang mana satu lebih tinggi tarafnya atau adakah ianya berjalan seiringan. Antara Melayu dan Islam.

Jika alasan negara ini tercipta atas dasar kesepakatan antara kaum, maka Melayu itu teratas dalam definisi perkataan Melayu itu sendiri. Apabila Melayu itu ditakrifkan semula yang mereka itu Islam, bertutur Bahasa Melayu dan mengikut adat Melayu, maka kita telah mengangkat taraf Islam itu sekali. Ia mungkin kelihatan seperti agama menyusuli sifat bangsa dalam konteks perlembagaan negara kita. Mungkin seperti diibaratkan sifat agama seinci kebelakang membontoti sifat bangsa.

Atau adakah ia sebaliknya? Disinilah yang mewujudkan rasa sangsi dalam diri kita, yang manakah lebih berkuasa dalam takrifan ini? Islam atau Melayu. Inilah juga yang mencetuskan rasa kurang senang sesetengah warganya apabila Malaysia cuba atau memang diangkat sebagai sebuah negara Islam dalam definisinya, isu yang pernah dibangkitkan suatu masa dahulu.

Yuss sebenarnya masih keliru dengan pemilihan perkataan bagi mencapai maksud dan tujuan mereka. Apakah kita patut pertahankan Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam? Atau kedua-duanya sekali. Adakah sama 'jiwa' kita antara kedua-dua ini? Adakah ianya wajib, sunat, harus atau makhruh untuk mempertahankannya? Yang mana lebih penting. Islam atau Melayu? Jika diberi satu pilihan antara kedua-dua ini, mana pilihan kita?

Ramai yang berkata, Melayu dan Islam itu saling berkaitan. Bersangkut-paut. Mungkin betul. Tetapi, pernahkah kita tefikir, dengan menggunakan perkataan Melayu, kita sebenarnya berselindung di sebalik 'ketakutan' mempertahankan Islam? Dalam konteks penciptaan negara bernama Malaysia melalui perlembagaannya. Kerana kita orang Melayu masih sangsi dengan kehormatan agama Islam itu sendiri?

Dan adakah juga, sifat bangsa itu yang lebih jelas beza fizikalnya melalui warna kulit dan lubang hidungnya memudahkan ia digunapakai untuk 'mengasingkan' kita semua antara satu sama lain? Adakah Melayu sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri? Kerana jika benar Islam itu lebih tinggi dan menyeluruh, sifat berbangsa2 itu sendiri akan pudar dan hilang dalam diri kita. Bukan?

Dalam masa yang sama, adakah satu kesalahan apabila kita mengangkat diri kita lebih superior daripada bangsa yang lain? Atas nama hak dan keistimewaannya? Dari segi bangsa. Mungkin ya.

Atau betulkah kita menganggap diri kita mungkin mendapat pahala bila mengangkat nama Islam itu sendiri? Dari segi agama. Mungkin juga ya.

Mana satu pilihan kita, Melayu atau Islam? Inilah kepincangan diri Yuss apabila melihat dua perkataan ini dan apabila kedua-duanya cuba berjalan seiringan. Apakah Cina Muslim atau India Muslim tidak punya hak yang sama di sisi tuhanNya yang memang jelas sama dan Satu?

Adakah kita tidak dianggap terlalu berdosa dari sudut agamanya apabila berbicara tentang bangsa secara superior atas nama survival? Atas nama kelangsungan? Kerana isu bangsa mungkin tidak kisah untuk didebatkan. Tidak terlalu 'berdosa'. Boleh diputar-carikan maksud dalam ruang lingkup yang bebas. Tetapi, jika berbicara soal agama, kita dianggap terlalu berhati2 dalam melempiaskan pendapat dan berdosa jika tersalah tafsir. Terlalu sensitif dan keras. Jawapan kepada persoalan ini ialah ilmu, sama ada kita sudah bersedia atau belum untuk berbicara tentangnya secara berhemah di masa hadapan.

Berbalik kepada isu ketuanan ini yang luas maksudnya ini, apakah pilihan kita dalam konteks penggunaan bahasa yang betul? Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera atau hak-hak istimewa orang Islam dan Bumiputera? Yang mana satu pilihan kita? Adakah benar kita, orang Melayu, takut untuk mempertahankan Islam apabila hanya cuba mengangkat sifat bangsa sahaja dalam kebanyakan isu yang berkaitan? Adakah ini satu kebenaran? Kerana Islam ialah ideologi, maka agak sukar untuk kita mendefinisikan secara khusus tentangnya jika dibandingkan dengan sifat bangsa. Mungkin.

Selain daripada itu, persoalkan dalam diri masing2, yang mana satukah boleh kita lihat sebagai suatu konsep ketuanan yang palsu atau suatu konsep ketuanan yang jelas? Atau konsep ketuanan ke belakang dengan memandang sejarah semata2 atau konsep ketuanan ke hadapan yang memandang keterbukaan? Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam?

Seperti kesimpulan Yuss dalam artikel2 lama yang lepas, impian Yuss untuk melihat wujudnya Bangsa Malaysia yang SATU akan tetap kekal dalam diri Yuss. Cukup-cukuplah kita bercerita tentang Melayu itu, Cina ini, India itu, Kadazan ini, atau Orang Asli itu.

Tidak pelikkah kita, bila keluar sahaja ke luar negara, kita dengan bangganya mengangkat diri, memperkenalkan diri sebagai Bangsa Malaysia. Tetapi apabila masuk saje ke Malaysia, jejak saja kaki ke bumi sendiri, akulah Melayu, akulah Cina, akulah India akulah bangsa itu ini.

Maknanya, kewujudan Bangsa Malaysia itu bukan sesuatu yang mustahil. Kerana jatidirinya sudah ada. Ia boleh berlaku. Cuma yang tinggal ialah kesanggupan dalam diri kita.

Dalam masa yang sama juga, Yuss terpikir, adakah konsep Ketuanan Malaysia sesuatu yang pelik untuk kita ungkap pada masa hadapan? Mungkin untuk tempoh seratus tahun yang akan datang. Atau mungkin tak perlu pun untuk kita fikirkan. Kerana Yuss melihat tidak perlunya kewujudan istilah2 jenis ini.

Tapi sekurang-kurangnya dalam waktu ini, apalah salahnya kita cari istilah ketuanan dengan niat atau nawaitu yang betul dalam mencari jiwa ketuanan itu sendiri kalau betul mahu ingin sangat2 menggunakannya. Ketuanan jenis apa?

Bagi Yuss, mungkin lebih baik juga jika kita hentikan sahaja dulu istilah ketuanan itu sendiri. Kerana konsep ini pun wujud tak sampai sedekad yang lalu. Lebih baik kita fokuskan kepada penyatudapuan antara semua kaum untuk menjadi satu Bangsa Malaysia yang menghormati perlembagaan sedia ada.

Yuss tidak bertuankan sesiapa. Hanya bertuhankan Tuhan yang Satu.

Thursday, 30 October 2008

Hukuman Yoga


Ramai yang terkejut dan berasa janggal apabila isu yoga ditimbulkan oleh media kita hari ini. Persoalan yang timbul di kalangan kita semua termasuklah Yuss sendiri ialah, benarkah yoga boleh memesongkan akidah umat Islam?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Othman Mustapha menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini. Antara petikan dari Utusan Malaysia ialah:

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Adul Shukor Husin.

Beliau menambah, isu berhubung hukum senaman yoga itu ada dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Kelantan, baru-baru ini.

“Keputusan mengenainya sudah ada tetapi Dr. Abdul Shukor belum umum lagi,’’ katanya.


Yuss masih lagi berteka-teki dengan jawapan yang akan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa ini. Apa yang pasti, melalui telaan dan pembacaan ringkas Yuss di dada internet ini, yoga adalah satu kategori senaman bagi mengurangkan stres dan membantu melambatkan proses penuaan.

Yuss tidak pernah mengamalkan yoga. Maka, Yuss tidak dapat memberikan jawapan terbaik adakah benar amalan ini memesongkan akidah. Dari segi bacaan mantera dan ritualnya.

Mungkin yoga ini banyak pembahagiannya. Namun, yang telah dikomersilkan atau dimodenkan sekarang ini mungkin hanya melibatkan unsur2 kesihatan dan senaman sahaja. Walaupun akar umbi yoga itu sendiri berasal daripada ritual dan amalan dalam agama Hindu.

Mungkin juga yoga pada hari ini telah meninggalkan semua amalan2 mantera dan ritual tersebut. Di manakah kesilapan yang mungkin ada dan kekal dalam yoga ini? Yuss akan menanti dengan penuh minat jawapan Majlis Fatwa ini.

Sebagai orang biasa sekarang ini, Yuss mungkin berpendapat yoga tidak akan diharamkan. Sekadar peringatan bahawa perbuatan2 tertentu mungkin boleh memesongkan akidah kita dalam aspek2 kecil tertentu.

Mungkin dari segi lipatan dan pergerakan tubuh badan yang boleh mendedahkan struktur seksi kepada pemerhati dan orang sekelilingnya. Mungkin.

Atau mungkin juga dari segi bacaan ritual untuk mengosongkan minda kita bagi mencapai kedudukan atau pergerakan tubuh badan kita dalam yoga. Sehingga ada yang menganggap ianya satu meditasi. Mungkin. Kerana perbuatan mengosongkan minda dan melupakan Tuhan dan Nabinya di larang oleh umat Islam walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun untuk sesaat dan seketika. Mungkin.

Kerana iman dan kedudukan kita akan tergugat jika kita melupakan Tuhan dan Nabinya. Dan memudahkan syaitan dan sahabat andai mereka menguasai minda kita yang kosong. Mungkin.

Yuss dah mula mengarut. Hahaha... Kita tunggu jelah.

Entahlah. Yuss bukan pakar. Tapi Yuss tak sabar menunggu jawapan Majlis sebesar ini. Jawapan mereka mungkin kukuh bagi mengiyakan keputusan mereka.

Yuss Yoga.

Photos by Google

Tuesday, 16 September 2008

Media dan Politik - Asas Agama Bangsa

Hari ini kita menyambut sambutan Hari Malaysia. Selamat Hari Malaysia. Tapi ia tidak diraikan dengan keadaan sepatutnya. Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu isu ini dan akan diulas kemudian hari di samping banyaknya peristiwa yang melibatkan Anwar dan Paklah akibat daripada dogma kerajaan lompat.

Tapi isu yang paling yang menarik perhatian Yuss ialah kekacauan yang cuba digambarkan dalam parti Pas. Media-media kita seperti cuba melaporkan telah berlaku keretakan dalam Pas akibat daripada peristiwa kerajaan lompat ini. Atau lebih jelas lagi, antara Nik Aziz, Hadi Awang dan Mustafa Ali selaku Pesuruhjaya Tinggi Pas Terengganu.

Ia berlaku apabila Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak mungkin mampu menubuhkan kerajaan 'baru' kerana parlimen tidak bersidang untuk undi tidak percaya dan secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang. Kenyataan ini telah disimpulkan melalui artikel dalam Malaysiakini dan Harakahdaily. Di samping itu, beliau juga cuba menguatkan gembar-gembur kepada idea kerjasama antara Pas dan UMNO atas nama kepentingan MELAYU dan Islam. Mungkin.

Di samping itu, dalam Utusan Malaysia pula, mereka cuba menggambarkan kenyataan Hadi Awang sebagai anti-PR yang terlebih Islamik. Antara petikannya ialah :

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.

''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi.

Benar, berita yang disampaikan mungkin tidak tepat atau sekadar satu manipulasi atau propaganda pihak tertentu. Tak kira benar atau tidak, tapi ianya telah tertulis dan diterbitkan. Dan inilah corak dan suasana yang cuba digambarkan dalam negara kita. Adakah ini yang digambarkan satu profesionalisme dalam bidang kewartawanan, dari sudut mempengaruhi pemikiran, Yuss tak mahu ulas. Kita juga perlu ingat, kesemua media-media perdana ini masih menggambarkan pandangan umum masyarakat Melayu di Malaysia.

Apakah yang cuba Yuss sampaikan?

Agama-Bangsa dari sudut politik
Yuss melihat adanya cubaan membawa parti Pas itu sebagai satu parti berasaskan kaum. Prasangka ini telah ditimbulkan oleh Mustafa Ali sendiri. Beliau dilihat cuba membawa Pas dalam konsep bangsa, dan bukan sekadar agama. Atau dicampur-adukkan maksud kedua-duanya. Beliau masih melihat Melayu itu Islam. Beliau mungkin masih melihat Pas itu sebagai satu parti untuk Melayu sahaja. Jika inilah yang cuba digambarkan, bermakna mereka telah cuba mengangkat parti mereka atas nama kaum. Atas nam 'perpaduan Melayu'. Ini satu kesilapan. Ini satu penafsiran yang jahil. Kerana itu Yuss melihat ianya sebagai satu permainan politik yang tidak sihat. Jika inilah yang cuba digambarkan, betapa malangnyalah masa depan Pas. Sekali lagi Yuss katakan, Islam dan Melayu itu lain.

Dan apa yang dilaporkan tentang kenyataan Hadi Awang pula, Yuss masih 'beranggapan' apa yang dimaksudkan oleh Hadi ialah pemimpin tertinggi kerajaan baru nanti mestilah seorang Islam. Dan dalam masa yang sama, jika pula Hadi bermaksud untuk menafsirkan pandangan bahawa kerajaan Islam itu ialah kerajaan atas nama undang-undang Islam, sekali lagi Yuss katakan, ia masih belum boleh diterima di bumi Malaysia hari ini. Ini satu idea atau pemikiran sempit untuk hari ini. Tapi satu pemikiran yang luas untuk masa depan. Mungkin untuk jangka masa panjang.

Dan bidasan Nik Aziz terhadap Mustafa Ali adalah mungkin disebabkan salah faham dalam penafsiran mereka dalam perjuangan Islam. Dan secara peribadi, Yuss masih mempercayai Nik Aziz dalam hal penafsiran apa itu agama dan apa itu bangsa. Beliau jelas tahu dan arif membezakan antara kedua-duanya ini walaupun dalam konteks perlembagaan negara.

Dan janganlah kita terlupa kepada asas pembentukan Pakatan Rakyat yang turut sama2 dianggotai oleh Pas. Ia terbina untuk rakyat Malaysia. Ideologi PR ialah Malaysia yang dibersihkan dahulu dari undang-undang dan prinsip-prinsip yang salah yang menganggu rakyat dan pemikiran rakyat. Atas nama rakyat. Yang telah dipersetujui sesama mereka terlebih dahulu sebelum ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Itu arah tuju mereka sekarang. Jangan pula kita campur-adukkan dengan perkara yang lain.

Agama-Bangsa dari sudut media
Media kita terutamanya sekali yang Berbahasa Malaysia masih terus-terusan menggambarkan Melayu dan Islam itu satu benda yang sama dari sudut politiknya. Inilah satu perkara yang menganggu pemikiran rakyat. Untuk kepentingan parti tertentu semata2. Sekali lagi, janganlah kita terlalu hanya mahu melihat isu kepada sudut perlembagaan sahaja. Jika kita bertuan dan berkepalakan perlembagaan sahaja, tanpa mahu melihat dari sudut agama yang sebenar, ia juga satu kesilapan yang mengelirukan.

Yuss akui, walaupun media-media berbahasa Malaysia kita adalah yang paling dominan, tetapi jenis dan jumlah bilangan media dalam bahasa ini masih sedikit dan tidak meluas berbanding media berbahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Media dalam Bahasa Malaysia juga masih dianggap tidak bersikap sejagat. Tidak cuba untuk melangkaui setiap seorang rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Lebih memberatkan sifat dan cerita2 orang Melayu sahaja. Atau dalam konteks 'kemelayuan' itu sendiri dan kepentingan kaumnya itu sahaja. Ini boleh dilihat terutamanya sekali dalam dunia politik. Mereka lupa Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa untuk seluruh warga Malaysia. Semua bangsa menggunakannya. Bukan bahasa untuk satu kaum tertentu sahaja.

Dan dari segi penyampaian berita dan maklumat, jika media2 ini menyentuh isu Melayu dalam politik, topiknya akan hanya tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Dan jika menyentuh isu tentang Islam dalam politik, topiknya juga hanya ditumpukan kepada orang Melayu sahaja. Inilah masalahnya bila kita mempengaruhi dan mendidik masyarakat bahawa Melayu itu Islam dalam politik. Kenapalah mereka tidak mahu menyekalikan idea untuk melihat Islam itu universal dalam dunia politik? Atau dalam isu pentadbiran dan hubungan masyarakat. Dan jiwa universal Islam ini selalunya hanya disampaikan dalam media masing2 dalam segmen2 agama sahaja. Tidak disekalikan idea asas ini atau konsep ini di dalam politik. (Segmen agama ialah segmen yang dikhususkan untuk huraian berkaitan agama sahaja dalam konteks sejarah, ibadah dan amalannya).

Inilah yang cuba disampaikan oleh media2 kita. Tak kiralah media cetak atau elektronik. Termasuklah internet. Walaupun niat mereka baik, tetapi salahtafsir beginilah yang menganggu pemikiran rakyat. Yuss berharap etika kewartawanan yang mahu menyentuh isu agama dalam politik perlu tahu kepada perbezaan ini. Apa itu agama. Apa itu bangsa atau kaum. Huraikan dengan sebaik mungkin. Kesilapan kecil inilah yang menghantui hidup kita. Menghantui politik kita.

Janganlah kita campur-adukkan perkara ini.

Islam itu agama. Melayu itu bangsa.

Walaupun ciri-ciri Melayu dalam perlembagaan kata mereka Islam, tapi Islam itu bukan Melayu.

Yuss beragama Islam. Yuss asalnya Melayu. Yuss bangsa Malaysia.

Monday, 15 September 2008

Bulan Lompat IV

Kali ini Yuss cuba untuk melihat apakah implikasi besar dari peristiwa2 hangat yang berlaku disebalik tarikh 16 September ini. Apakah kesimpulan 'sementara' yang boleh dibuat?

2 Parti/2 Perikatan
Akibat daripada kisah hari lompat ini, Yuss melihat kita semakin menuju ke arah sistem 2 parti. Atau lebih tepat lagi, sistem 2 parti perikatan. Kedua-duanya perlu nampak kukuh dan seimbang dalam komponen2 masing2 yang mencerminkan jiwa Malaysia yang sebenar dari segi pecahan kaum dan agama. Jika PR berjaya membawa masuk komponen2 parti dari Sabah dan Sarawak, ini bermakna, PR lebih mencerminkan jiwa parti perikatan Malaysia yang sebenar. Bukan lagi dilihat terikat di Semenanjung sahaja. Dalam masa yang sama, janganlah pula kita berharap BN akan berkecai dan hilang. Yuss mahu melihat kedua-duanya seimbang dan saling memerhatikan antara satu sama lain. Kerana, jika kedua2nya kuat dan masing2 punya kelebihan tersendiri, pastinya rakyat boleh memilih dengan mudah dan lebih berhemah. Inilah Malaysia Baru yang sebenar. Mungkin.

Agama dan Bangsa
Akibat daripada peristiwa tangkapan ISA baru2 ini yang dikaitkan dengan 16 September, Yuss melihat rakyat cuba dikelirukan sekali lagi tentang isu bangsa dan agama. Sesetengah pemain2 politik ini mungkin cuba mengangkat isu perkauman melalui agama. Mengaitkan agama dan kaum. Menggunakan isu Islam oleh Raja Petra dan Teresa Kok yang ditahan bagi mengiyakan perbuatan isu agama bagi melindungi isu kaum. Kononnya ia akan dilihat lebih sejagat dan lebih mempengaruhi orang Melayu terutamanya. Berselindung di sebalik agama Islam. Mereka cuba mengaitkan antara agama dan bangsa adalah satu perkara yang sama. Yang tak boleh dipisahkan. Kita perlu sedar, agama itu lain, bangsa itu lain. Mereka pastinya akan mengaitkan perkara ini melalui isu ini dengan perlembagaan bila ia menakrifkan sifat Melayu salah satunya ialah beragama Islam. Yuss berharap, kita tidak termakan dengan permainan pemikiran seperti ini. Sangat bahaya dan akan memakan diri sendiri.

Undang-undang
Mengenai isu Teresa Kok di bawah ISA, Yuss telah terbaca petisyen yang dikeluarkan oleh penduduk di Damansara mengenai isu azan tersebut. Kenapa Yuss katakan ia isu azan? Sebabnya pihak yang menangkap beliau masih belum mengeluarkan kenyataan penuh kenapa beliau ditangkap dan menyebabkan Yuss terus berspekulasi. Isu yang dibangkitkan oleh petisyen tersebut ialah penggunaan pembesar suara bagi kuliah atau ceramah agama pada waktu subuh dan malam sahaja. Tidak menyentuh langsung tentang isu azan. Dan pandangan ini juga turut dikongsi bersama oleh Imam masjid berkenaan. Benar atau tidak, Wallahualam. Tetapi kebanyakan laporan polis yang telah dibuat lebih kepada surat petisyen dan surat bantahan imam ini yang dikeluarkan. Disamping keterangan media Teresa Kok yang menafikannya sendiri di hadapan media2 perdana kita. Kita sepatutnya menyerahkan semuanya ini kepada pihak polis untuk menyelidik dan bertindak atas nama mahkamah terlebih dahulu.

Jika masih disiasat, kenapa beliau terus ditahan di bawah ISA? Yuss terpaksa ulang sekali lagi di sini. Yang mencetuskan khabar angin dan spekulasi ialah Khir Toyo. Kenyataan beliau terang2 dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Dan juga laman blog beliau. Jika Khir Toyo yang mencetuskannya, kenapa beliau tidak ditahan sama? Jika ditahan, barulah rakyat akan faham dan bersangka adil bila kedua-duanya diberi peluang sama rata di bawah akta yang sama. Tidak nampak berat sebelah dan akan nampak adil.

Yuss berani untuk memperkatakan tentang tahanan2 ISA ini kerana mereka tidak dibicarakan. Mereka dibiarkan tergantung tak bertali. Akta ini membenarkan rakyat untuk mendefinisikan apa sahaja yang terjadi ke atas pihak yang tertangkap ini. Akta ini membenarkan kita untuk terus berspekulasi dan berandaian kerana ianya tak diadili. Lainlah jika kes mereka telah dan akan dibawa ke mahkamah, Yuss akan diam dan melihat sahaja. Yuss akan patuhi keputusan mahkamah selepas itu. Selagi mereka ditahan di bawah ISA ini, Yuss berhak untuk terus berspekulasi dan berandaian. Sama seperti andaian2 pihak2 yang menangkap tahanan2 ini. Perlu diingat juga, apa yang Yuss tulis ini adalah semasa mereka di dalam tahanan, bukan selepas atau sebelum mereka berada di bawah akta ini. Pada prinsipnya, Yuss rasa Yuss tidak bersalah. Jika jatidiri Yuss mengkritik akta ini, adakah bermakna Yuss tidak patuh pada undang2? Perlu kita ingat, mengkritik bukan bermakna menolak dan menghina kedaultan undang2, tetapi lebih kepada teguran terhadap perlaksanaannya yang dilihat terbabas dan terlalu bebas.

Inilah yang memungkinkan perlunya akta ini dimansuhkan atau dipinda. Digunakan untuk mereka yang betul2 terlibat menganggu ketenteraman negara sahaja. Dikhususkan. Seperti keterangan yang dikeluarkan oleh Zaid Ibrahim, pakar undang2 dan orang kuat UMNO, dalam artikel di Malaysiakini bahawa:

Bernama memetik Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

Dalam kepala Yuss, Yuss berasa amat hairan bila penafsiran undang2 ini yang dilihat terlalu hanya mahu memihak kepada satu pihak sahaja. Tidak mahu menggunakannya dalam penggunaan yang lebih tepat, dan lebih seimbang. Seimbang bermakna orang yang dituduh dan orang yang menuduh.

Seperti yang Yuss katakan sebelum ini, kita ada seribu satu undang2 yang telah dipinda kerana ingin mengikut peredaran masa dan zaman. Bagi kebaikan hari ini dan masa depan. Tetapi, kenapakah undang2 yang satu ini kita tak mahu usik, pinda dan ubah langsung, atau kalau tidak pun, diperbaiki lagi? Inilah yang menyedihkan.

Parti agama dan parti bangsa
Yuss masih beranggapan parti2 berasaskan kaum dan agama masih relevan untuk kita pada hari ini. Ini kerana, ia telah menjadi darah daging Malaysia untuk lebih 50 tahun. Perubahannya akan memakan masa yang agak panjang lagi selepas ini. Bukan sesingkat sebulan dua atau setahun dua. Kehilangan atau pertukaran nama parti2 politik ini akan menyebabkan kita menjadi kacau bilau. Kerana, bila ia telah sebati untuk tempoh 50 tahun lamanya, itu bermakna masih ada satu lagi generasi yang belum 'hilang', yang telah terbiasa dengan sifat2 ini. Tapi generasi ini juga perlu menerima arus perubahan baru ini. Sanggup menerima KONSEP baru ini. Kerana ada jiwa 'muda' yang telah bersedia ke arah kesatupaduan jenis baru ini. Satu matlamat. Matlamatnya itu ialah MALAYSIA. Jiwa Malaysia. Bangsa Malaysia. Sifat Malaysia.

Kesimpulan terbaik yang Yuss boleh simpulkan daripada kesan akibat peristiwa bulan lompat ini ialah jawapan kepada keempat-empat perkara di atas. Yuss mungkin telah bersedia menyahut cabaran baru ini. Walaupun ianya masih kelihatan agak 'pelik', tapi realistik.

Yuss merenung.

Thursday, 11 September 2008

Perihal Sebiji Rambutan

Minda seorang manusia bernama Yuss masih belum terhenti untuk berfikir tentang agama dan bangsa. Ia masih kekal berpusing mencari hala tuju dimanakah mungkin kesilapan yang menyebabkan kita semakin terasing dalam dunia sendiri. Bukan konteks Malaysia lagi yang ingin dilihat, tapi lebih universal dan jauh terbebas.

Yuss dibesarkan di bumi Malaysia dengan sistem pendidikannya yang sama digunakan oleh kebanyakan masyarakat dalam masanya. Asas paling penting dalam agama Islam yang Yuss pegang ialah Islam itu cara hidup. Islam itu kehidupan. Itu yang patut dilihat oleh seorang manusia bila menerima Islam sebagai agamanya. Diselarikan dengan kalimah dua syahadah sebagai bukti akujanji dia seorang Islam. Itu yang Yuss pelajari dan pegang sehinggalah ke hari ini. ‘Salah’, ‘dosa besar dan kecil’, ‘silap’ dan ‘mungkar’ tetap berjalan sepanjang masa dan tetap terjadi sama seperti manusia yang lain. Ia bukan salah agama, tetapi salah manusia. Walaupun dalamnya ilmu, ceteknya ilmu, atau bijak orangnya, bodoh orangnya, beliau tetap Islam. Itu jelas. Itu ideologinya. Kerana jawapan terakhir ialah di tangan Tuhan. Hukum Tuhan.

Kita semua tahu di dunia Barat, Islam diibaratkan bertembung dengan ‘tamadun’ mereka. Itu yang mereka bawa. Itu yang cuba mereka pegang. Tapi kita semua sedar, ia bukan salah Islam, tapi salah manusia di Barat dan manusia yang beragama Islam itu sendiri keseluruhannya. Itu propaganda. Sampai kita di bumi Malaysia sendiri ada yang termakan, terfikir, dan tersedar yang ia menganggu jatidiri mereka. Tak kiralah yang Muslim atau bukan.

Yuss meletakkan diri sebagai seorang Muslim yang sangat cetek ilmu agamanya. Tapi Yuss juga meletakkan jatidiri Islam Yuss tak berbelah-bagi. Bukan mengikut membuta tuli, bukan juga berdegil dengan panduan yang ada. Tapi keyakinan terhadap fundamental atau asas agama Islam itu sendiri. Yuss tak mahu gunakan perkataan ‘akidah’, ‘iman’, ‘ibadah’, ‘amal’ kerana kebanyakan daripada kita terbiasa menggunakannya tapi maksud dan firasatnya mungkin terganggu. Mungkin akan kelihatan Yuss penganut yang liberal, penganut yang lemah, penganut hadhari, penganut sederhana, atau apa-apa saja. Biarlah. Yang Yuss tahu, Islam hanya satu. Biar bercabang ilmu agama Islam itu sendiri, Yuss tetap hanya berpegang kepada al-Quran dan sunnah-Nya dalam golongan wal-jamaah. Dan biarpun bercabang tafsiran aliran agamanya dalam Islam, tetapi sifat mentafsirnya itu sendiri masih terus dan tetap berjalan sehingga tamatnya riwayat akhir bumi ini. Kerana agama Islam itu sendiri mencabar mindanya, sama seperti mencabarnya minda dalam Sains dan Teknologi. Tapi terlandas.

Jiwa Muslim mungkin tidak sama dengan yang bukan Muslim. Tetapi konsepnya sama. Ke arah kebaikan. Tujuannya sama. Dan jika kita kaitkan dengan isu kenegaraan, adakah patut kita binanya atas nama agama? Adakah ia sama seperti apa yang dirasai bila isu bangsa dibangkitkan dalam konteks kenegaraan ini? Kemanakah hala tujunya? Kita semua akui dari segi pemikiran biasanya, sifat bangsa akan memecahbelahkan manusia. Menghancurkan negara. Cukuplah bukti peperangan era moden menjadi saksi. Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Perang Bosnia, atau yang terbaru ini Perang Russia-Georgia. Walaupun punca peperangan ini akan ada seribu satu macam bila dikaji, tapi semuanya akan tetap berbalik kepada perkara yang sama, iaitu isu bangsa. Siapa terkuat, siapa menguasai. Siapa menindas, siapa tertindas.

Itu sebab bila minda pemikir barat seperti Samuel Huntington mengaitkan pertembungan era baru antara tamadun Barat dan Islam, ia diterima ramai. Beliau cuba mengangkat pertembungan dua ideologi. Sama seperti beliau melihat pertembungan ideologi2 terdahulu seperti Sosialis, Komunis, Kapitalis dan sebagainya yang menyebabkan perang. Tapi kita perlu sedar, ideologi-ideologi terdahulu ini terbina dan digunapakai oleh malaun-malaun ini untuk survival bangsa dan negaranya. Walaupun ideologi-ideologi ini berkembang merentas negara bangsa yang lain, tetapi aplikasi mereka adalah untuk survival bangsa masing2. Untuk kepentingan sendiri.

Itu sebab Yuss melihat ia tidak sama bila dikaitkan ideologi2 ini dengan Islam. Walaupun Islam boleh kita kategorikan sebagai sebuah fahaman, tetapi konteks atau pemikirannya tidak sama. Benar yang ia juga merentas negara bangsa, tetapi ia tidak digunakan untuk kepentingan bangsa. Kerana semua bangsa dilihat sama taraf dan tidak berbeza. Walaupun dengan bukan Muslim, taraf layanan dan hak mereka adalah sama rata. Sebagai manusia. Walaupun akan ada perbezaan dari segi perlaksanaan undang-undang antara Muslim dan bukan, tetapi sebahagian besarnya hanya terpakai untuk penganut Islam itu sahaja.

Yuss melihat kebanyakan dari pejuang2 Islam ini, mereka ingin menegakkan Islam ini atas nama Islam. Semuanya atas nama Islam. Islam dijenamakan. Islam itu Islam ini. Dan Islam terbina bila ia terhukum. Terhukum bila undang-undang Islam itu didirikan. Mereka lebih melihat kepada sudut ini. Atas nama agama. Bank Islam. Undang-undang Islam. Sekolah Islam. Negara Islam. Itu sebagai contohnya. Mereka gagal melihat atau membawa Islam dari sudut yang lebih sejagat. Yang lebih universal. Akibat daripada perkara inilah yang menyebabkan Islam itu terasing. Tidak disekalikan jiwanya dengan bukan Muslim. Inilah yang menyebabkan Islam semakin dijauhi. Semakin terpinggir. Semakin ditakuti. Mungkin ramai yang tidak bersetuju, tapi percayalah, ia salah satu sebab utama. Mereka lupa membawa konsep dan cara pendekatan Islam yang luas.

Apa yang Yuss maksudkan. Yuss bukan berkata gugurkan perkataan Islam dalam setiap apa yang kita buat, tetapi pendekatannya. Kerana konsep dan ideanya berlandaskan Islam itu telah betul dan sah. Tapi kita telah meletakkan Islam satu jenama yang dijauhi. Kita telah terlupa atau tersilap bila menakrifkan bahawa setiap perbuatan itu perlu dilakukan atas nama Allah atau umumnya, Islam. Tersilap dalam erti kata, NIAT. Niat itu adalah antara diri manusia dan Tuhan. Bukan bertulis dan perlu dihebahkan satu dunia yang ada benda Islam itu, benda Islam ini. Semuanya dijenamakan. Benar, ia bertujuan mengingatkan kepada yang Muslim. Tapi itu pemikiran sempit. Kita terbiasa mendengar Islam is a way of life. Islam itu cara kehidupan. Tapi interpretasi kita tentang cara kehidupan itu sendiri terlalu jumud dan satu tuju. Sebagai contoh perkataan Undang-Undang Islam itu, sebenarnya mungkin ada perkataan yang lebih tepat lagi dalam Islam, yang terbahagi dalam banyak cabangnya. Tapi disebabkan ingin memudahkan pemahaman kita, perkataan Undang-Undang Islam digunakan. Itu sebab kita perlu letakkan asas pembawaan konsep itu dengan penggunaan perkataan yang betul.

Proses penerangan, proses penyampaian Islam itu sendiri ialah satu proses evolusi. Bukan revolusi. Bukan terjah dan menukar begitu sahaja sekelip mata tanpa ada adjustment terbaik dalam kehidupan manusia. Tak kiralah kepada yang Muslim atau bukan. Inilah yang perlu dilihat semula oleh kita. Mencari titik permulaan yang betul. Walaupun niatnya betul pada pandangan mata kasar kita, tapi di sisi Tuhan, adakah ia tepat? Tepat dari segi masa depan dan survival manusia? Masih terlalu banyak lagi perlu dilakukan.

Bila melihat pendakwah2 di Malaysia terutama sekali yang muda2, Yuss masih sangsi apa tujuan mereka? Walaupun niatnya betul dan baik. Adakah ia cukup untuk menyakinkan Muslim yang cetek ilmu agama dan yang bukan Muslim? Masih terlalu jauh lagi. Benar hidayah itu hadiah terbaik dari Tuhan, tapi keyakinan pendakwah2 ini juga Yuss tak akan pandang sepi. Setiap perkara bermula dengan tangan kosong. Begitu juga Malaysia.

Yuss suka umpamakan penyampaian Islam ini seperti sebiji buah rambutan. Ada kulit, ada isi dan ada biji. Yang tak faham Islam, yang cetek Islam, atau yang bukan Islam, mungkin melihat Islam dari luarannya sahaja, atau pada kulit. Yang berdakwah, yang berjuang atas nama Islam, mungkin telah melihat pengisian dan luaran itu, yakni pada isi dan kulit. Tapi tak ramai daripada kita mahu melihat kepada bijinya. Tak boleh dimakan sesedap si isi, tak cantik seperti si kulit. Tapi biji inilah benih sesuatu yang baru. Untuk melihat masa depan. Untuk survival masa depan.

Dimanakah Yuss dalam sebiji rambutan itu? Yuss telah lihat kulitnya yang merah dan cantik. Dan Yuss juga telah mengunyah satu gigitan pada isinya yang manis dan masak. Masih jauh lagi sebelum habis. Masih terlalu banyak lagi isinya. Tapi, dari gigitan pertama tadi itu juga, Yuss telah ternampak bijinya.

Yuss suka makan rambutan.

Tuesday, 9 September 2008

Agama Politik

Yuss masih tertarik untuk menulis tentang isu agama walaupun kebanyakan daripada kita menganggap ia terlalu sensitif untuk dihurai dan dihujahkan. Yuss cuba untuk membawa skop perbincangan yang tidak lari dari penyimpangan maksud agama itu sendiri. Kerana sejak dua tiga hari ini, kes Raja Petra dan Malaysiatoday mendominasi ruang berita tanah air. Tentang menghina Islam. Walaupun pada pandangan peribadi Yuss, ruang blog beliau itu tidak menunjukkan kesalahan yang serius dalam 'menghina' Islam, tetapi lebih kepada komen2 pembacanya yang amat ekstrem. Tapi kita biarkan ia dahulu, kerana ia telah menjadi kes mahkamah. Kes undang2.

Seperti yang kita sedia maklum, agama, dalam konteks Islam, ia memainkan peranan yang menyeluruh dalam kehidupan seharian kita. Begitu juga dengan politik. Ia berkait-rapat dengan kehidupan seharian kita. Maknanya, agama dan politik tidak boleh dipisahkan dari kehidupan seharian kita. Ia MENYELURUH. Dari A sampai Z. Ia berjalan bersama2. Mungkin ada yang lambat dan mungkin ada yang cepat bila bergerak. Tapi haluan dan susur jalannya tetap sama.

Dalam politik, kita mungkin keliru bila melihat hanya Pas sahaja yang membawa ideologi Islam. UMNO dan PKR tidak. Jika kesalahan2 yang dilakukan oleh pemimpin2 UMNO dan PKR tidak berlandaskan Islam, kita anggap mereka bukan mengikut fahaman Islam sebenar, walaupun mereka seorang Islam. Inilah yang perlu diperbetulkan. Kita perlu sedar, agama dalam politik Malaysia sebenarnya dipegang oleh UMNO, PKR dan Pas dari konteks Islamnya. Bahkan parti2 lain seperti DAP, Gerakan, SAPP, MIC, MCA, SPP atau apa sekalipun masih berpegang kepada konsep agama kerana mereka tertakluk kepada rukunegara yang menyebut kepercayaan kepada tuhan.

Dan dalam masa yang sama, adakah agama itu hanyalah hak peribadi dan tidak patut disekalikan ke dalam politik? Adakah sebenarnya politik Islam Pas tidak melayakkan ia digelar sebuah parti politik? Ini mungkin mengelirukan kita semua. Terutamanya yang bukan Islam. Buat masa sekarang, Yuss anggap Pas masih relevan sebagai sebuah parti berasaskan KONSEP agama. Bukan atas NAMA agama, tapi KONSEP agama. Apa alasan Yuss?

Kita perlu melihat Islam dalam sudut atau konsep yang lebih besar. Bukan atas sifat perbuatan beribadah semata2 atau undang2 sahaja. Pas perlu bertindak meletakkan Islam itu dalam konsep kehidupan. Pas perlu mengembangkan idea ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Yuss ulang lagi. Pas perlu menanamkan jiwa bahawa Islam itu kehidupan dan ia bukan untuk Melayu sahaja. Pas perlu melakukan ini dahulu. Mereka perlu menanamkan keyakinan ini dahulu. Apa yang Yuss lihat, Pas masih melihat Melayu itu Islam. Jiwa Melayu mereka masih kuat dan dominan. Mereka perlu pergi jauh dari sudut perlembagaan tersebut. Melangkaui pemikiran ini. Inilah perubahan yang Pas perlu buat dahulu ke atas rakyat.

Disebabkan Pas diterajui oleh golongan ulama, maka, ia dilihat sukar untuk Pas berlembut dalam perjuangan Islamnya. Jika mereka membantah sesuatu perbuatan atas nama Islam, mereka tidak boleh mengendurkan pandangan mereka atas alasan NAMA agama ini. Inilah yang berlaku dan dilihat oleh orang ramai. Terutamanya bukan Islam. Sebagai contoh ialah bantahan konsert Avril Lavigne baru2 ini sempena Merdeka. Mereka dengan keras membantah secara terbuka melalui demonstrasi dan solat hajat semasa konsert diadakan. Ini bukan perbuatan yang boleh diterima oleh rakyat bukan Islam. Even yang Islam sendiri pun. Yuss melihat ia bersifat atas NAMA atau sentimen agama semata2. Yang perlu dilakukan ialah bantahan melalui surat sahaja. Cukup. Kerana yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang memerintah pada masa ini. Bukan rakyat. Bukan Pas. Yuss melihat perbuatan mereka ini lebih merosakkan dan memburukkan nama Islam itu sendiri. Memalukan walaupun tindakan mereka ini dibenarkan dalam agama. Inikah imej Pas ingin bawa? Bagaimana jika mereka memerintah? Akan lebih keras lagikah tindakan mereka? Bukankah ini akan menjadikannya alasan terbentuknya pemikiran Islamophobia?

Juga perbuatan mereka melarang persembahan artis perempuan di Kedah. Atas alasan aurat 'bersuara' dan melalaikan. Walaupun mereka bukan MENGHARAMKANNYA tapi MELARANG, ia masih dilihat sebagai satu UNDANG-UNDANG. Undang2 yang belum lagi menjadi undang2. Yuss masih terkejut dengan jiwa dan KONSEP Islam yang mereka bawa dan mahu ketengahkan. Yuss masih tidak dapat menerimanya dengan hati yang ikhlas. Walaupun dibenarkan oleh Jakim. Jika qariah boleh dibenarkan bertanding dalam pertandingan tilawah, bagaimana pula dengan penyanyi nasyid yang mendendangkan lagu2 berunsur dakwah? Dan jika lagu mereka tidak berunsur dakwah sekalipun, double-standard apakah yang mereka berikan kepada artis2 in hanya kerana liriknya tidak menyentuh Islam? Tidak menyentuh Islam, maka ia adalah aurat? Dan adakah artis2 lelaki pula dilihat tidak melalaikan? Kenapa dibezakan lelaki dan perempuan? Kenapakah konsep aurat disekalikan dengan unsur lalai ini?

Selain itu, jika RENTAK rap, hip hop, rock diharamkan atas alasan yang sama iaitu melalaikan, bagaimana pula lagu rap, hip hop yang berunsur dakwah seperti yang pernah disampaikan oleh Yassin, Siti Nurhaliza yang berduet dengan Too Phat contohnya? Dan jika lagu2 yang disampaikan dengan liriknya hanya berkisar tentang cinta sahaja, putus cinta, mencari cinta, tidak adakah alasan cinta itu sendiri dalam Islam? Kenapa taknak kaitkan seperti ini?

Bagaimanakah pula lirik tentang basikal, hidung, batang pokok atau apa sekalipun yang tidak ada kena mengena dengan Islam? Hanya kerana RENTAKnya, ia dilarang? Bagaimana pula kalau rentak muziknya sama seperti genre2 di atas tadi tapi tidak menggunakan alatan muzik bertali, pun akan diharamkan jugakah? Jika LIRIK pula menjadi alasan, kenapa kita tidak mahu mentafsirkan lirik2 yang TIDAK menyentuh tentang unsur2 agama ini dengan KONSEP Islam yang menyeluruh terlebih dahulu? Dalam konteks yang lebih meluas dan sejagat. Dari sudut budaya. Dari sudut tamadun. Dari sudut zaman. Yang semuanya akan kembali menjadi bentuk dalam sudut agama suatu hari nanti.

Sepatutnya, bukan larangan yang menjadi asas tindakan mereka, tetapi pengawasan semasa konsert berjalan. Tidak bolehkah mereka memandang ke arah itu dahulu? Kenapa mereka perlu melakukan tindakan drastik ini? Yuss masih terkesima. Baru 6 bulan berkuasa tapi lagaknya bagai 60 tahun berkuasa.

Pas diibaratkan mahu meletakkan Islam atas nama UNDANG2 sahaja. Jika ada undang2, semuanya akan terlaksana. Ini matlamat mereka. Dan mereka silap. Mereka perlu berubah. Mereka perlu meletakkan perubahan pemikiran rakyat dahulu sebelum melaksanakan undang2. Mereka perlu membersihkan imej mereka dan tidak dilihat melakukan sesuatu perkara atas nama SENTIMEN agama sahaja. Mereka perlu keluar dari pemikiran ini dahulu. Mereka perlu membawa imej KONSEP Islam dahulu. Undang2 akan terlaksana bila rakyat sudah paham. Bukan bila rakyat masih jahil dan tak paham, terus nak letakkan undang2. Inilah yang salah.

Walaupun bukti kerajaan Kelantan pimpinan Pas telah berjalan lancar untuk belasan tahun lamanya, ia masih tidak menyakinkan bukan Islam dari sudut budaya dan kehidupan seharian mereka. Bukan penindasan yang dimaksudkan, tetapi jiwa harian, jiwa hiburan mereka yang dilihat masih dikongkong. Dimanakah pawagam di Kota Bharu atau diseluruh bumi Kelantan? Adakah hiburan seperti ini tidak akan dipraktikkan di seluruh negara bila mereka menjadi parti yang dominan bila memerintah negara nanti? Apakah hiburan yang sebenar dalam pemikiran Pas? Dalam garis panduan mereka. Garis panduan yang membolehkan budaya dan kesenian ini berkembang. Mereka perlu bawakan konsep Islam yang boleh diterima semua dahulu. Perlahan-lahan. Sedikit-sedikit. Jangan terus tujah macam tu aje. Dengan alasan keagamaan.

Dan berbalik kepada DAP dan Pas yang dilihat duri dalam daging dalam Pakatan Rakyat, Pas perlu mengendurkan dahulu asas perjuangan negara Islam mereka. Begitu juga DAP dengan konsep sekular dan sosialis mereka. Atau impian mereka melihat bangsa Malaysia yang satu. Itu juga mungkin yang diinginkan oleh Pas. Mengendur bukan bermakna kita lemah dan mengalah, tetapi akan dilihat bijak. Ia akan dilihat sebagai satu kerjasama yang sihat. Dan ini juga bukan bermakna mereka telah menggadaikan maruah prinsip masing2, tetapi akan dilihat Islam itu boleh bekerjasama dan bersepakat. Dalam Islam sendiri pun tiada paksaan untuk kita menyampai dan menyebarkan Islam. Perlu dibuat perlahan2. Begitu juga dengan Pas dalam politik. Perlu dibuat perlahan2. Walaupun 50 tahun lagi lamanya. Janganlah terlalu mendesak. DAP juga begitu. Namapun kerjasama. Perikatan. Mengikat. Utuhkan itu dahulu.

Pas perlu melatih penyokong2 mereka meletakkan konsep Islam dahulu. Bukan undang2 Islam. Undang2 Islam akan terlaksana bila konsepnya diterima dahulu. Yuss masih kurang senang dengan cara yang Pas bawa buat masa sekarang. Terlalu satu hala tuju sahaja pada pandangan mata umum. Ke arah undang2 Islam.

Yuss juga anggap Islam yang liberal bukan bereerti ia Islam yang tak betul. Walaupun ada suara2 yang mahukan golongan ini diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, ia sebenarnya merapatkan lagi umat manusia. Apa maksudnya? Ia menggalakkan masyarakat bebas berfikir. Bebas menterjemah dari logik akal. Bukan jumud dan hanya ikut kata kata orang lain. Atau mudah dipengaruhi. Kerana akan ada umat Islam yang berpengetahuan luas dalam ilmu agama mereka yang kita gelar ulama, tapi tak semua rakyat itu mampu menjadi ulama. Yang rakyat kebanyakannya mampu terbentuk ialah dengan menjadi seorang Islam yang bebas dan liberal dalam skop agama yang betul. Dari segi pemikirannya. Liberal dari sudut berfikir. Liberal dari sudut mentafsir. Bukan liberal mengubah maksud al-Quran, hadis dan idea ulama2 terdahulu dalam aliran Sunnah wal-jamaah yang kita pegang di Malaysia.

Yang penting, asas atau fundamental Islam dari segi rukunnya patut menjadi pegangan kita semua dahulu. Macam itu jugaklah agama dalam politik. Itu asas penting dalam semua perkara tak kiralah dalam hal apa sekalipun.

Yuss penganut Islam yang suka tengok filem di pawagam. =)

Monday, 1 September 2008

Melayu Islam II

[Posting Asal]
Hari ini, satu Ramadhan menyambut kita. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan buat semua umat Islam.

Kali ini, dalam bulan yang baik dan mulia ini, Yuss ingin berbicara sekali lagi mengenai isu Melayu dan Islam rentetan daripada artikel sebelum ini, 'Melayu Islam'. Apakah adaptasi terbaik dalam penilaian sejarah secara kasar tentang isu ini? Sejarah secara kasar dalam erti kata bagaimana kita melihat diri kita sebagai seorang Melayu dan Islam. Dalam konteks perlembagaan dan undang2nya.

Yuss merasakan tak salah langsung untuk kita berbicara tentang perlembagaan terutamanya perkara 152 dan 153 yang menyentuh tentang hak dan keistimewaan Melayu dan Islam. Secara baik dan secara terbuka. Kerana pada hari semalam, berita2 dan ulasan2 dari Utusan Malaysia terutamanya, banyak menyentuh tentang isu perlembagaan tentang hak Melayu dan Islam sempena Hari Kemerdekaan. Berbicara dan berbincang mengenai isu perlembagaan ini bukanlah bermakna menghina atau memutarbelitkan fakta. Jika "Forum Sambutan Merdeka - Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152 dan 153" anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang disertai oleh 3 orang pakar boleh dijalankan dan dibincangkan, apalah salahnya kita, orang biasa menyentuh mengenai isu ini. Pandangan dari orang biasa. Idea orang biasa. Kehendak orang biasa untuk berfikir dan mengolah idea. Bukan penafian yang dituntut, tapi penafsiran. Jika ketiga2 pakar ini boleh membuat tafsiran sendiri dengan kepandaian mereka, kita orang biasa juga berhak untuk menafsirkan pandangan masing2 dan kebijakkan kita. Kerana seperti yang Yuss pernah tulis sebelum ini, di sebalik undang2 akan ada keadilan, tapi akan adakah juga keadilan disebalik undang2? Itu falsafah yang Yuss pegang.

Bukan isu hak yang patut dipertahankan, kerana ia akan dilihat sebagai sentimen. Bukan juga isu bagaimana ia digunakan untuk sesuatu perkara atau tujuan, kerana ia akan juga dilihat sebagai sentimen. Dan ini bukan salah orang biasa, atau rakyat biasa apabila dua perkara ini berbangkit, kerana yang kerap kali terjadi dan dibangkitkan adalah datangnya dari orang2 politik. Inilah masalah dan puncanya. Tak kiralah dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Ini rumusan terbaik yang Yuss boleh berikan. Sama seperti pandangan dan kesimpulan oleh pakar2 dalam forum tersebut.

Dan Yuss sebagai orang biasa, tidak dapat tidak, merasakan bahawa terdapat kesilapan kecil dalam penafsiran Melayu itu Islam dalam perlembagaan kita. Yuss tak mahu ulang perkara ini kerana Yuss telas ulas sebelum ini dalam artikel 'Melayu Islam'. Yuss merasakan, bukan PENAFIAN sejarah yang menyebabkan kegawatan dan keghairahan masyarakat kita mengenai isu ini berbangkit, tetapi PENAFSIRAN tentangnya yang menganggu jatidiri mereka. Inilah yang menjadi persoalan pokok dan perdebatan banyak pihak.

Yuss merasakan jika kita memisahkan maksud Melayu dan Islam sebagai dua entiti yang berbeza, isu ini tidak akan berbangkit atau dipersoalkan seperti sekarang. Kerana bagi Yuss, Yuss tetap berpendapat sebagai seorang Islam, sifat Melayu itu perlu berada nombor dua. Kerana dalam Islam ada pelbagai bangsa. Dan Tuhan ciptakan manusia berbangsa2. Dan dalam masa yang sama, jika kita seorang Islam yang betul, kita akan dapat merasakan bahawa agama Islam sebenar akan dapat berkembang lebih jauh lagi. Kerana jika kita lihat kepada perlembagaan dan undang2, bile seseorang itu masuk Islam, ia mungkin akan membawa pengertian akan MASUK Melayu. Ini mungkin membantutkan hasrat penilaian Islam sebenar yang patut kita utamakan. Fundamental asas dalam Islam tentang sifat berbangsa perlu diselarikan dalam menghuraikannya secara lebih dalam dan tepat lagi.

Yuss juga berpendapat, perdebatan hangat isu ini adalah disebabkan oleh perkara ini. Kerana kita telah mengangkat BANGSA itu sama tinggi dengan AGAMA. Mungkin juga pandangan umum bagi seorang Melayu dan Islam, kita tak dianggap salah dan tidak berdosa untuk berbicara dan berdebat tentang isu bangsa, tapi kalau sebut pasal agama, kita akan melenting, tidak rasional dan dianggap berdosa. Hanya perlu dijawab dan diserahkan kepada ulama dan pakar2 agama sahaja. Itu mungkin sterotaipnya. Itu mungkin punca sebabnya. Bagi Yuss, walaupun kita tak punya ilmu agama yang lengkap, tapi berasaskan kepada asas logik dan asas ilmu fundamental Islam sudah cukup untuk kita tafsirkan dan gunakan dalam kehidupan seharian kita. Termasuk dalam isu hak dalam perlembagaan ini.

Selain itu, Yuss juga berhak untuk menafsirkan pandangan Suruhanjaya Reid mengenai perlembagaan seperti yang dilontarkan oleh seorang dalam forum yang Yuss sertai dan antara tulisannya ialah :

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan.

Yuss juga mengakui pernah membaca tentangnya secara rambang dalam buku2 sejarah. Yuss tak dapat mengingati buku apa, maka ia akan menyebabkan hujah Yuss tidak cukup kuat untuk menyokongnya. Tapi, berdasarkan kepercayaan Yuss, ia memang ada tertulis dalam sejarah kita. Dan jika benar dan tepat, adakah ini yang menyebabkan orang Melayu terutamanya, sebagai contoh, menggunakan isu sentimen yang mereka masih belum berjaya dan maju sampai sekarang sebagai sebab? Belum menguasai kuota 30% kek ekonomi negara? Adakah kerana ia masih belum mencapai hasrat mereka, maka mereka akan terus bermain dengan isu ini untuk kepentingan peribadi atau pihak2 tertentu dalam perjuangan mereka? Adakah alasan ini cukup kuat atau sebenarnya rapuh? Rapuh dalam erti kata melambatkan lagi mereka untuk sedar dan maju? Mungkin. Atau, adakah mereka akan menggunakan isu seperti petikan di atas sampai bila2? Bukankah sepatutnya perlu ada masa dan waktu yang ditetapkan untuk ia dilaksanakan? Mungkin kajian atau review setiap 15 tahun ini masih berjalan sampai sekarang, tapi inikah pegangan yang perlu dipegang sampai bila2? Sampai bila tempoh 15 tahun ini akan digunakan? Alasan di atas alasan di atas alasan. Mungkin juga ini penyebabnya.

Dalam masa yang sama, bagi mereka yang tetap menggunakan pandangan mempertahankan isu hak ini atas nama perlembagaan, Yuss merasakan mereka tahu perlembagaan kita boleh dipinda bila2 masa mengikut keadaan. Kerana bukti angka 42 kali ia dipinda dalam tempoh 48 tahun mungkin merisaukan mereka. Apa jaminan jumlah pindaan setinggi itu tidak dipinda dan berlaku lagi dalam masa terdekat ini atau di masa hadapan? Kerana jika kita lihat sejarah Amerika Syarikat yang lebih panjang dan kompleks, sekitar 200 tahun lebih, pindaan dalam perlembagaan mereka cuma berlaku kurang dari 4 kali. Ini jika kita ingin membuat perbandingan. Dan ini juga jika kita ingin lihat bahawa maksud asal perlembagaan telah dicairkan. Walaupun ia mungkin membawa maksud seperti telah lari sedikit dari maksud yang asal, ia tetap perlembagaan kita. Tetap kita pegang dan gunapakai. Oleh itu, rasa hormat terhadapnya juga tetap perlu dipertahankan.

Dan bila kita kaitkan dengan pandangan Yuss dalam artikel sebelum ini, 'Budaya Merdeka Malaysia' bahawa sambutan Merdeka kita lebih kepada satu bentuk retorik, Yuss mengatakan ia ada kena mengena dengan isu ini. Melayu dan Islam. Isu memainkan sentimen2 terhadap dua perkara ini, berdasarkan kepada sejarah semata. Tak kiralah dibawah sedar atau pun tidak. Mungkin.

Yuss memerhati. Yuss cuba memahami.

[Terbaru]
Ini adalah keterangan tambahan yang Yuss perolehi dari internet. Agak menarik untuk dikongsi bersama dalam blog ini. Seperti biasa, ianya datang daripada seorang penulis dalam forum yang Yuss sertai. Antara petikannya adalah seperti di bawah :

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa "...apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan."

Bagaimanapun, dia menambah bahawa "Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.

Inilah konsep yang sering kali dilupakan oleh ramai pembela kontrak sosial hari ini.


Dari mana datangnya maklumat ini Yuss tak boleh nak dipastikan. Tapi Yuss agak bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan. Mungkin ia datangnya daripada laporan2 atau kajian2 pihak tertentu. Agak valid pandangan yang disampaikan. Mungkin betul. Mungkin tidak. Yuss tak boleh mengesahkannya.

Tapi, apa yang menariknya? Yuss agak teruja dengan keterangan di perenggan terakhir yang disampaikan Tunku itu. Sangat membuka mata Yuss.

Kita telah sedia maklum bahawa persetujuan antara kaum atau kontrak sosial ini sebelum merdeka telah mencorakkan kemerdekaan kita. Tapi dalam masa yang sama, secara analoginya, ia bukanlah memberi gambaran yang ianya telah MENGINDAHKAN Malaysia pada hari ini. Sekadar MEMBERSIHKANNYA sahaja. Walaupun ada kesinambungan di antara kedua2nya. Dan idea Tunku ini telah MENGINDAHKAN kembali Malaysia hari ini melalui kenyataan terakhirnya itu yang telah kita abaikan selama ini. Kitalah, rakyat Malaysia sekarang, yang bertanggungjawab membantu bertindak MENGINDAHKAN Malaysia kembali.

Apa yang Yuss maksudkan? Dalam pandangan Tunku dalam perenggan terakhir itu, kelihatan beliau amat cerdik dan amat bijak sekali. Memandang jauh ke depan melangkaui masa hidupnya. Ini mungkin tafsiran Yuss terhadap pendapat Tunku yang sangat cemerlang itu. Dan ia kelihatan sangat signifikan untuk diaplikasikan dengan situasi rakyat Malaysia sekarang.

Kerajaan kita dari hari pertama memerintah dahulu sampailah sekarang (51 tahun lamanya), mereka telah BERJAYA membentuk mentaliti masyarakat Cina dan India di Malaysia bahawa mereka ANAK MALAYSIA, atau RAKYAT MALAYSIA. Ia satu KEJAYAAN yang amat dibanggakan. Benar bukan? Dan Yuss merasakan inilah sentimen yang berlaku dalam jiwa anak-anak muda sekarang terutama sekali yang BUKAN Melayu atau BUKAN Bumiputera. Mereka menganggap Malaysia adalah tanah tumpah darah mereka. Betul atau tidak? Yuss yakin Yuss tidak silap. Tak mungkin generasi muda ini menganggap negara China dan negara India ialah tanah asal mereka. Mustahil.

Oleh itu, Yuss merasakan sudah tiba masanya kita MENYATUPADUKAN jiwa Malaysia yang SATU dalam setiap insan yang lahir di bumi Malaysia tak kira Melayu atau bukan Melayu.

Selain itu, dalam ulasan Yuss di dalam artikel asal di atas mengenai perkara membezakan Melayu dan Islam, dari sudut politiknya, ini mungkin apa yang diingini oleh Pas. Mungkin ini dalam jiwa perjuangan Islamnya. Konsep negara Islamnya. Ini juga yang mungkin meresahkan DAP kerana mungkin akan akan dianggap mengangkat Islam itu jauh lebih tinggi lagi dan menjarakkan masyarakat. Tapi bagi Yuss, mereka boleh berbincang dan cari kata sepakat. Cukup sekadar memisahkan maksud perkataan2 ini dahulu. Pas perlu bijak memilih masa dan keadaan. DAP juga dengan cara yang sama. Bermuafakat.

Yuss terus mengolah. Salah atau tak ianya sekadar idea. Dari sebuah sentimen. =)

Friday, 15 August 2008

Melayu Islam

Sejak isu Melayu dan Islam menjadi hangat baru2 ini, Yuss lupa untuk kembali kepada Perlembagaan Malaysia dengan jelas dan tepat. Seboleh-bolehnya Yuss tidak mahu menyentuh tentang isi perlembagaan dengan terperinci dan diperdebatkan kehendaknya. Nanti Yuss dianggap menderhaka kepada negara. Kerana Yuss bukan penderhaka. Yuss juga rakyat Malaysia yang sah. Ini antara artikel yang ada tentang pandangan umum perlembagaan kita mengenai isu ini:

Article 160 of the Constitution of Malaysia defines various terms used in the Constitution. It has an important impact on Islam in Malaysia and the Malay people due to its definition of a Malay person under clause 2.

It took effect after August 31, 1957 ("Merdeka Day" or "Independence Day") in West Malaysia, and took effect in Singapore and East Malaysia when they merged with Malaya in 1963. The article no longer applies to Singapore, as it declared independence from Malaysia in 1965; however, it does affect the legal status of Singaporean Malays when they enter Malaysia.

The article defines a Malay as a Malaysian citizen born to a Malaysian citizen who professes to be a Muslim, habitually speaks the Malay language, adheres to Malay customs, and is domiciled in Malaysia or Singapore. As a result, Malay citizens who convert out of Islam are no longer considered Malay under the law. Hence, the Bumiputra privileges afforded to Malays under Article 153 of the Constitution of Malaysia, the New Economic Policy (NEP), etc. are forfeit for such converts.

Likewise, a non-Malay Malaysian who converts to Islam can lay claim to Bumiputra privileges, provided he meets the other conditions. A higher education textbook conforming to the government Malaysian studies syllabus states: "This explains the fact that when a non-Malay embraces Islam, he is said to masuk Melayu (become a Malay). That person is automatically assumed to be fluent in the Malay language and to be living like a Malay as a result of his close association with the Malays."

It is interesting to note that a Malay from Sabah or Sarawak is listed as a Bumiputra of Sabah and Sarawak in the Constitution, separate from Malays of the Peninsular.


Jelas, sebelum ini Yuss bertanyakan soalan siapa kata Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? Yuss mempersoalkan tentangnya tapi ia sebenarnya tertulis dalam perlembagaan kita. Maknanya Islam dan Melayu itu seiringan.

Yuss tak mahu mempersoalkan perlembagaan kita. Itu prinsip yang Yuss pegang selama ini untuk tidak mempersoalkannya. Ini pegangan Yuss yang tetap tidak akan berubah.

Benar perlembagaan kita telah dipinda 42 kali dalam masa 48 tahun. Dan mungkin juga benar istilah semangat dokumen sebenar telah dicairkan seperti laporan Shad Saleem Faruqi, seorang pakar perlembagaan.

Dan sekarang, Yuss bukan mempersoalkan tentang perlembagaan. Tapi sekadar idea haruskah sifat bangsa dan agama berjalan seiringan? Adakah ia menepati asas panduan dalam agama Islam itu sendiri? Adakah ia bersesuaian dengan konsep agama Islam? Adakah kita sebenarnya melakukan kesilapan dengan mengangkat Melayu dan Islam sebagai satu perkara yang sama? Yuss cuba tanya diri sendiri kerana Yuss Melayu dan juga Islam. Adakah ia bertentangan dengan asas pegangan agama Yuss mengenai sifat berbangsa2 dalam ajaran Islam? Adakah layak untuk Melayu berada satu taraf dengan agama Islam? Adakah juga bermakna jika Islam itu agama rasmi negara, bermakna Melayu itu bangsa rasmi negara kerana kedua-duanya tidak dipisahkan? Adakah juga ini akan menganggu jati diri Yuss sebagai seorang rakyat Malaysia kerana bertanya? Yuss mungkin keliru lagi. Lagi dan lagi.

Yuss sekadar bertanya. Yuss tak boleh nak huraikan jawapan tapi hanya mampu mengeluarkan soalan2 sahaja kerana ia melibatkan undang-undang kita. Yuss tidak belajar undang-undang. Benar di sebalik undang-undang ada kebenaran. Tapi disebalik kebenaran akan adakah keadilan undang-undang?

Apa pun, Yuss bebas untuk berfikir. Bebas untuk menterjemahkan kehendak hidup Yuss. Oleh itu, Yuss tetap yakin untuk kita sama2 mewujudkan Bangsa Malaysia. Kerana, jika dah terbukti ada kecelaruan antara kita dengan sifat kaumnya sendiri atau sesama kaum atau sesama masyarakat, adalah lebih baik kita melihat semua ini dalam sudut keMalaysiaan. Biarkan dahulu perlembagaan itu. Perubahan minda dan cara berfikir rakyat Malaysia keseluruhannya untuk bersatu menjadi satu biarlah lebih realistik selepas ini. Dalam generasi Yuss. Bukan untuk tujuan Hari Kemerdekaan sahaja yang tak bawa ke mana. Jati diri Yuss untuk impikan Malaysia yang satu memang jauh tapi bukan mustahil. Jika 50 tahun onak dan duri sesama bangsa dalam Malaysia boleh bergerak walaupun kelihatan tidak seiringan, Yuss yakin 50 tahun akan datang kita mampu mengubahnya. Bukan menjadi boneka di Hari Kebangsaan yang ada Cina, Melayu dan India berarak bersama2 atau pemimpin pelbagai bangsa yang bersorak bersama2 tapi kosong pengisian erti perpaduan itu. Bukan perpaduan yang kita cari, tapi kesatupaduan. Yang betul2 realistik dalam kehidupan seharian kita. Moga-moga. Yuss bukan berkata tiada kesatupaduan pada masa ini. Ada. Tapi masih tak jelas. Masih ibaratnya seperti di atas pagar. Seperti sekeping daun kering. Sekali ditup angin sepoi, melayang jugaklah ia. Tak kiralah ke mana pun. Bukan juga bermakna Yuss mengharapkan hitam putih yang terlalu jelas dan mengikut kata hati kita, tapi sesuatu yang boleh diterima semua secara logik dan munasabah. Bukan Yuss kata apa yang hari ini tidak logik dan tidak munasabah, tapi tidak menguntungkan bagi Yuss sebagai seorang Melayu dan juga Islam.

Yuss masih terus berharap.

Petikan artikel perlembagaan daripada Wikipedia. Benar atau tidak, berkemungkinan.

Sunday, 25 March 2007

Salah Siapa?


Two days ago, sewaktu tengah supper, Yuss, my partner and our fwens Sesah and Salu secara tak sengajanya bersembanglah pasal topik ‘AGAMA’…

Semuanya bermula bile Salu (seorang Hindu and Sesah pun, hihihi…) mempersoalkan satu persoalan yang sangat menarik… Kenapa kami, Muslim, yang boleh baca al-Quran tapi tak tahu maksud isi kandungannya? Benarkah? Jika benar, dimanakah silapnya?

Bagi Yuss, ini semua kerana semasa kita kecil or bebudak dulu kita belajar baca al-Quran and khatam sampai kekadang 3-4 kali. Begitu jugak dengan sembahyang. Kita hanya tahu (bagi diri Yuss and mungkin juga kebanyakan member2 se’islam’ yang lain) membaca dengan tajwid dan dengung yang betul sewaktu sembahyang or membaca al-Quran tapi tak tahu apa maksud and tafsiran isi kandungannya.

Relevankah dengan hanya tahu membaca tapi tak tahu apa maksudnya pun? Of course tidak. Apa yang Yuss boleh katakan ibubapa yang menghantar anak2 mereka ke kelas mengaji al-Quran adalah atas alasan budaya dan masyarakat. Kita, terutama ibubapa bandar atau yang berkarier akan serahkan semuanya kepada tok guru agama mengajar anak2 kecil belajar ‘membaca’ al-Quran. And bile kite dengar anak2 kecil ni boleh membaca dengan lancarnya maka kita anggap mereka itu bijak and setelah tamat 30 juzuk, maka berjayalah mereka untuk mendapat ‘sijil’ dan bermacam2lah acara seperti ‘majlis kenduri pulut kuning’ dilakukan. Habis dijemput sekampung atau setaman berkenduri sekali. Dan bagi tugas untuk cemerlang dalam PMR or SPM bagi kertas ‘Agama Islam’ pula terletak pada tangan ustaz di sekolah dengan silibus kebangsaan. Ini secara kasarnyalah pengetahuan agama Islam rakyat Malaysia secara am.

Apa yang Yuss alami dulu bagi Yuss ade banyak salah dari betulnya. Yuss pernah bertanya pada si Ustaz kenapa perlunya kita membaca al-Quran? Dia jawab balik, “Betulkan tajwid, dengung dan sebutannya dahulu”. Ia ibarat membunuh soalan Yuss serta merta. Sebab apa? kita dah ditanamkan dalam minda bahawa jangan persoalkan apa yang di ajar oleh guru agama or ‘ustaz’ (masa kecik2 dulu lah) sebab mereka ajar ‘AGAMA’. Tak pernah dah lepas tu Yuss nak tanya balik sampaila khatam and tahu baca niat2 sembahnyang dalam bahasa Arab. Hanya disebabkan minat sendiri nak tahu apa maksud yang Yuss baca, Yuss cari sendiri melalui buku tafsiran and lain2. Ini semua atas inisiatif sendiri (walaupun taklah baca semua dan tak habis pun). Itupun sekadar membacanya sahaja. Bukankah ‘ustaz’ yang bertanggungjawab dalam hal mendidik ni? Mungkin akibat kesuntukan masa and jugak nak carik keuntungan maksima (satu kelas tu sampai 20-30 orang, kalau sorang anak murid bayar RM30-RM60 sebulan tak ke kaya tu) nilai2 yang patut di ajar tak di ajar. And bila Yuss baca al-Quran dan tafsirannya, mereka kata itu bukan mengaji al-Quran namanya. Tak dapat pahala sama macam baca al-Quran itu sendiri.

Adakah disebabkan perkara2 kecil inilah Yuss rasa kebanyakan kita tak kuat iman atau nilai diri tentang Islam? Tidak kosongkah jiwa bile membaca sesuatu yang kita sendiri taktahu maksudnya, tapi tetap dilakukan dengan alasan mendapat pahala dan sedap didengar? Kenapa pelajaran2 Sains or Sejarah kita tekan dan perincikan secara mendalam dan perlu hafal sedangkan ilmu agama adalah atas inisiatif sendiri? Double-standard apakah yang berlaku? Yuss hanya mampu menyalahkan diri sendiri.

Dan kalau kita belajar tentang agama untuk cari kebenaran melalui perbandingan dengan agama2 lain, kita akan dikatakan sesat, murtadlah dan macam2 lagik. Inilah perkara2 yang pernah Yuss ALAMI. Hanya dengan mengeluarkan statement “Yuss dah pernah baca Bible” pada kawan2, habis semua orang tahu ibarat satu Malaysia tahu dengan spekulasi mengatakan Yuss murtad (note : tambah2 masa tu tengah hangat diperkatakan mengenai kes Lina Joy). Ditambah pulak sewaktu Yuss baca Bible tu dulu masa tinggal kat UK. Betapa cetek dan mentah dan lemahnyalah mentaliti rakyat Malaysia. Sedih dan kekadang rasa terhina pun ada. Yuss pun dalam proses belajar dan nak cari kebenaran. Tang mana salahnya Bible itu and tang mana persamaannya itulah yang Yuss nak tahu. Kalau setakat tahu buat perbandingan yang dibuat oleh pakar2 agama melalui buku2 mereka tentang agama lain, apa salahnya usaha Yuss sendiri pergi baca Bible itu sendiri?

Begitu jugak halnya kalau Yuss masuk gereja atau kuil. Lagilah sesat dan kafirnya Yuss pada pandangan mereka!!!!

Yuss memerhati apa yang berlaku… Yuss mentafsiri sendiri (dengan ilmu yang ada)… dan Yuss bukannya menjiwai atau mengikuti upacara mereka. Sesatkah itu? Ya, Yuss akui jika kita melakukan sesuatu perbuatan itu berulang kali, kita berkemungkinan besar akan terikut. Tapi jika kita punya asas dan objektif yang kukuh, kita tetap akan ingat pada tiang asasnya sampai bila2.

Dan jika Yuss keluarkan statement baru ini, “Yuss lebih berminat untuk mendengar atau mempelajari Islam daripada seorang Muallaf dari orang Islam itu sendiri.”

Adakah Yuss akan dikatakan bertambah ego dan degil tentang Islam atau seperti kes2 dahulu akan dikatakan bertambah sesat? Reason or sebabnya mudah sahaja. Mungkin Yuss salah. Bagi Yuss, golongan Muallaf ini masuk Islam kerana kefahaman dan celik dan belajar dahulu tentang Islam. Mereka punya ilmu untuk belajar ‘bersebab’. Ditambah pula dengan kuasa ‘hidayah’. Pandangan mereka mungkin agak berbeza sedikit atau lebih baik lagi dari yang ‘pakar’. Dan mungkin walaupun tak setanding, tapi punya alasan yang kuat. Salahkah Yuss megeluarkan statement sebegitu? Perlu ke setiap apa yang Yuss katakan diiringi dengan penjelasan? Kalau diberi sekalipun, mereka ni tetap degil dan tak mahu terima. Sebabnya Yuss bukannya dalam kategori ‘pakar’!!!

Mungkin suatu idea datang tanpa idea…

Photo by Google.