Wednesday 24 December 2008

PPSMI

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Itulah PPSMI.

Gapena atau Gabungan Persatuan Penulis Nasional ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran jika PPSMI ini diteruskan. Itulah berita yang sedikit hangat mengenai isu ini.

Dimanakah sudut pandang Yuss terhadap perkara ini?

Pertamanya, Yuss secara sedar, amat menyokong langkah mengembalikan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah. Termasuklah matapelajaran Sains dan Matermatik. Bagi Yuss, pemilihan Bahasa Malaysia adalah alasan paling mudah untuk melihat ianya menjadi bahasa penyatupaduan berasaskan kepada perlembagaan negara.

Keduanya, ramai yang melihat penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah menjadikan Bahasa Inggeris ini sebagai bahasa penyatupaduan melangkaui Bahasa Malaysia. Kerana kewujudannya telah diselarikan penggunaannya di dalam kelas Sains dan kelas Matematik tak kiralah di sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Tidak ada lagi perbezaan bahasa. Tidak ada lagi Bahasa Cina untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil. Kita telah menanamkan di dalam minda secara di bawah sedar, mengakui bahawa Bahasa Inggeris ialah bahasa yang menyatupadukan kita semua dalam Malaysia melalui sistem ini. Bukan Bahasa Malaysia. Inilah realitinya.

Dan ramai yang menyokong PPSMI pula menganggap, usia perlaksanaanya baru masuk 6 tahun. Berilah peluang untuk ia membuahkan hasil. Yuss hairan, adakah sistem pendidikan negara suatu eksperimentasi? Kerana jika ia dieksperimenkan, bermakna ia bukan bertaraf dasar. Kerana dasar terwujud selepas ia dikaji dan diselidiki sedalam-dalamnya sebelum ianya layak diangkat menjadi suatu 'dasar' yang boleh digunakan. Dan adakah juga ianya mungkin bercanggah dengan dasar sedia ada? Kita jangan lupa kepada dasar pendidikan negara sekarang yang perlu dipegang iaitu perkara yang mengikut perlembagaan negara terutamanya fasal 152 yang mengiktiraf Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dan ramai juga antara kita yang menyokong PPSMI ini menggunakan alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa perdagangan. Atau alasan Bahasa Inggeris ialah bahasa internet. 'Alasan2' ini digunakan bagi alasan kita perlu melatih bangsa kita mudah mengharungi cabaran dunia luar dari peringkat rendah lagi.

Adakah program PPSMI ini sahaja jalan penyelesaiannya? Tdak ada cara lain lagi dah? Bagi Yuss, ia hanyalah alasan lemah untuk menenggelamkan bahasa sendiri yang sepatutnya berada di tingkat teratas sekali. Kerana apa? Kerana Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan!

Cuba kita fikirkan sejenak, bahasa apakah jumlah penuturnya adalah yang teramai di dunia? Berapakah kadar atau peratusan perbezaan antara bahasa teramai ini dengan kedua teramai? Carilah sendiri. Tak perlulah Yuss masukkan data-datanya di sini. Semuanya terbentang luas maklumat dalam dunia maya ini.

Cuba kita tanyakan juga, bahasa apakah yang menguasai kepenggunaannya atau majoritinya yang melibatkan jumlah negara2 di dunia ini? Cubalah cari sendiri. Anda pasti terkejut.

Cuba kita soalkan lagi, bagaimanakah rupa bentuk demografi, geografi dan suku kumpulan bahasa yang kuat dan jitu antara kawasan-kawasan atau benua dalam dunia ini? Antara kawasan Pasifik dan Atlantik contohnya. Atau antara benua seperti di Amerika Selatan contohnya. Atau Afrika. Anda lihatlah sendiri jawapannya.

Cuba kita tanyakan kembali dalam diri masing-masing, di manakah kedudukan bahasa masing2 dalam 10 negara paling maju di dunia ini? Dari segi jumlah pengguna sekurang-kurangnya.

Atau jika tidak sekalipun, cuba lihat jumlah pengguna bahasa dalam 5 negara Majlis Keselamatan dalam PBB. Di manakah kedudukan bahasa yang konon-kononnya kita anggap sebagai bahasa kesatuan dunia ini.

Berbalik kepada isu ini, Yuss cuma hendak kita berfikir, adakah sesuatu yang mustahil melihat majoriti buku-buku yang dijual di kedai buku bertulisan Bahasa Malaysia? Adakah suatu fantasi melihat buku-buku dalam Bahasa Malaysia paling dominan dalam perpustakaan2 kita? Boleh atau tidak? Atau harapan tinggal harapan? Adakah proses penterjemahan sesuatu yang berat? 50 tahun merdeka, umurnya sudah cukup matang bagi sebuah negara untuk berfikir.

Yuss ingin bertanya lagi, adakah sesuatu yang masuk akal atau tidak apabila kita melihat di negara China, majoriti buku2nya tak kiralah ilmiah atau majalah sekalipun, bahasa utamanya adalah bahasa Cina? Mereka ke angkasa lepas dengan teknologi dalam bahasa apa?

Masuk akal atau tidak di negara jiran kita, Thailand, majoriti buku2 jualan mereka bertulisan Thai? Itu contoh paling dekat dengan kita.

Masuk akal atau tidak di Malaysia perkara yang sama boleh berlaku?

Jatidiri atau Kemaluan? Pilihlah sendiri.

Jika penguasaan bahasa kedua amat penting bagi sistem pendidikan kita, adakah satu kesalahan untuk kita mengangkat bahasa lain selain Bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan kedua pelajar kita?

Adakah faktor sejarah penjajahan menjadikan Bahasa Inggeris pilihan utama kita? Apakah pendidikan Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, Bahasa Russia, Bahasa Perancis, Bahasa Sepanyol, Bahasa Jepun di anggap tidak sama penting dari segi keluasan dan kekukuhan penggunaanya di muka bumi ini? Atau dari segi ilmu dan teknologi sekalipun (jika itulah paksi hidup kemajuan impian pemerintah kita).

Bagi Yuss, PPSMI ialah satu kepincangan. Jika benar pengajarannya perlu dalam Bahasa Inggeris, kertas jawapan pelajar juga perlu sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Bahasa2 lain sepatutnya tidak dibenarkan digunakan untuk menjawab. Tetapi pelajar2 ini dibenarkan untuk menjawab soalan dalam bahasa pilihan mereka, Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Atau mungkin juga bahasa pilihan masing2 di sekolah jenis kebangsaan mereka. Inikah konsep yang boleh diterima akal?

Jika alasan kebolehan dan daya intelektual pelajar adalah berbeza dalam penguasaan bahasa kedua mereka menyebabkan kita membenarkan pelajar2 ini membuat pilihan bahasa dalam menjawab, bukankah ia satu kesalahan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar?

Jika kebebasan dibenarkan untuk menjawab kertas soalan dalam bahasa pilihan masing-masing, adakah satu kesalahan juga kepada pelajar2 yang mengikuti kelas bahasa2 lain di sekolah seperti Bahasa Perancis, Sepanyol, Mandarin dan sebagainya menulis jawapan dalam bahasa pilihan mereka ini? Jika mereka berkebolehan, salahkah kita membenarkan mereka? Jika sudah terang lagi bersuluh kita membelakangkan perlembagaan, apa salahnya kita benarkan pelajar2 ini menjawab dalam bahasa apa sekalipun yang telah diiktiraf.

Dan adakah jika desakan yang dibuat GAPENA ini yang dibuat secara terbuka ditiru oleh Dong Jiao Zong, adakah kita menganggap mereka tidak patriotik dan mengagungkan Bahasa Cina?

Adakah akan ada antara kita yang akan berfikiran, sekurang-kurangnya dengan PPSMI, semua sekolah dalam Malaysia mengajar dalam satu bahasa dan kita akan bersatu padu? Adakah kita lupa apakah rupa sebenar bahasa penyatupaduan yang perlu kita guna dan agungkan sebagai bangsa Malaysia? Bukankah jatidirinya itu terletak pada Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan?

Disinilah menunjukkan betapa lemahnya kita menjalankan suatu dasar. Bercanggah sana sini. Pincang dan lemah. Kita tidak ada jatidiri. Kementerian yang terlibat tidak ada kata putus. Mengiyakan pun tidak. Menafikan pun tidak. Kerana apa? Kerana kita semua tahu, jika usul ini berjaya di bawa ke mahkamah, mereka yang didakwa memang akan tewas. Tewas kerana mata kasar rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana ketinggian perlembagaan negara akan dipegang dan dipertahankan. Itu sebablah mereka yang mungkin didakwa ini bersikap diam diri dan tidak mengulas terlalu lantang.

Yuss tidak berdiam diri.

7 comments:

Abgbent said...

Dalam karier akademik khususnya di Malaysia, penilaian seseorang ahli akademik diambil kira salah satunya berdasarkan jumlah terbitan di dalam jurnal-jurnal antarabangsa. Kesemua jurnal antarabangsa yang mempunyai HIGH IMPACT FACTOR adalah dalam bahasa Inggeris. Salahkah kalau mereka dilatih sejak dari awal agar berkemahiran di dalam hal ini?

Istilah baru di dalam ilmu sains dan matematik sentiasa muncul dan agak malang bagi negara ini kerana terlalu lemah di dalam menterjemahkan istilah-istilah baru itu yang menyebabkan lembabnya kaedah penyampaian ilmu dan cara mudah mengatasinya ialah dengan mengguna pakai istilah asalnya. Kalau adapun istilah yang diterjemahkan amat pelik bunyinya. "mouse" komputer jadi "tetikus" pula jadinya.

Lagi menyedihkan ialah terdapat pentadbir kerajaan yang kurang berkemahiran bahasa inggeris. Sungguh sedih melihat keadaan itu terutama semasa menghadiri mesyuarat. IDEA ada tetapi HILANG kerana tidak dapat dimuntahkan disebabkan kelemahan bahasa. Seumpama IDEA datang dan pergi tanpa IDEA...

Anonymous said...

Kepada Abgbent,

menarik sungguh pandangan saudara mengenai apa yang cuba dicanangkan oleh penulis blog ini. Ada kala saya mengangguk, ada juga yang saya menggeleng.

Saya setuju dengan apa yang saudara katakan tentang penerbitan jurnal antarabangsa. Ya, memang benar kebanyakan jurnal berHIF diterbitkan di dalam bahasa inggeris tetapi itu sama sekali tidak bererti penulisan asalnya juga di dalam bahasa yang sama. Apa gunanya interpreter? Bukan mudah bagi seseorang itu untuk berfikir di dalam bahasa keduanya. Mungkin saudara kurang mengetahui tetapi di UK sekali pun, ramai sarjana-sarjana dan bakal pemegang PhD yang mendepankan hasil nukilan mereka di dalam bahasa asal dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Itu realitinya.

Di dalam perenggan kedua, saudara bercakap tentang istilah baru dari arena Sains dan Matematik. Apa salahnya dengan 'tetikus'? Ya, ia mungkin sedikit pelik tetapi kalau dah biasa digunakan, lambat laun biasalah bunyinya. Adakah kita di Malaysia akan memilih jalan yang sama seperti Indonesia yang 'mengindonkan' perkataan-perkataan inggeris? Buruk banget!

Di dalam perenggan ketiga pula, saudara menyatakan kekesalan saudara tentang pentadbir negara yang kurang fasih berbahasa inggeris. Berikut ialah senarai ketua-ketua negara yang tidak fasih berbahasa inggeris:

Dimitry Medvedev, Presiden Rusia.
Vladimir Putin, PM Rusia.
Angela Merkel, Chancellor Jerman.
Taro Aso, PM Jepun.
Hugo Chavez, Presiden Venezuela.
Silvio Berlusconi, PM Itali.
Jose LR Zapatero, PM Sepanyol.
Wen Jiabao, PM China.

Ok, saya mengaku. Saya tidak pasti jika mereka TIDAK TAHU berbahasa inggeris atau TIDAK MAHU. Yang SAYA TAHU, sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan yang saban hari melihat dan mendengar kata-kata mereka untuk diterjemahkan ke BM, jarang sekali, yang amat, saya mendengar mereka bercakap bahasa selain bahasa ibunda mereka. Mengapa? Kenapa ia tidak perlu! Jika ke mesyuarat, penterjemah dibayar AS$200 sejam untuk bahasa popular dan AS$300 sejam untuk bahasa 'niche', melainkan khidmat penterjemah peribadi digunakan. Pemimpin negara kita tidak perlu membuktikan yang mereka fasih berbahasa inggeris untuk tampil berkaliber. Saya rasa lebih baik mereka menyampaikan hujah-hujah bernas di dalam bahasa melayu dan diterjemahkan melalui interpreter buat santapan pendengar lain daripada CUBA untuk berbunyi pandai menggunakan bahasa inggeris dan kemudian.... hancur.

Jangan fikir saya tidak menyokong atau menyukai bahasa inggeris.

Quite the contrary, English is my first language as it is the language that I grew up with, when my grandparents knew no malay, lest their choice was to speak to me solely in English. I think, speak, count and dream in English.

Namun, pada saya, pemikiran yang cuba saya bentuk di sini ialah kita TIDAK PERLU bergantung kepada bahasa inggeris untuk maju. Ia satu kelebihan tetapi kadang kala, jika kita terasa seperti buah IDEA dapat terbentuk dengan lebih berkesan di dalam bahasa melayu, maka bahasa melayu lah yang patut kita gunapakai.

Kalau tak bahasa melayu, bahasa apa pun boleh. En francais? En espanol? Kong Hokkien? Pu Tong Hwa? Phut Thai nakha? Tetapi jangan jadikan alasan jika kita tiada bahasa Ingegris, maka lesaplah harapan untuk kita maju.

Yuss said...

Terima kasih atas komen2 yang diberikan. Ada yang kenal, ada yang tak kenal. =)

Apa-apapun, pokoknya, perkara paling penting sekali ialah PENTERJEMAHAN. Itulah jawapan terbaik yang perlu ada. Terbaru, Yuss sendiri tersenyum melihat majalah Cosmopolitan Indonesia. Tajuknya Inggeris, isinya? Bahasa Indonesia.

Hendak seribu daya. Tak hendak? =)

Salam.

Anonymous said...

Fungsi terjemahan inilah yang agak jarang dilihat dalam konteks yang luas. Khususnya masyarakat awam.

Persepsi kepada yang tidak berbahasa Inggeris lalu dianggap tidak menguasai bahasa itu adalah sekadar persepsi.

Kerana ada bangsa yang tahu 'nilai bahasa' tetap menggunakan bahasa bangsanya walaupun dia tahu bahasa lain, dan sanggup menggunakan penterjemah.

Masalahnya di negara kita, kesedaran ini yang masih belum mengakar. Maruah dan martabat sekadar di bibir dan bukannya dengan penghayatan.

Dalam hal ini, tidak timbul soal taasub atau tidak. Ini yang perlu difahami. Biarlah kerja-kerja terjemahan diberikan kepada ahlinya, profesionnya. Satu kerjaya yang perlu kita hormati.

Abgbent said...

Kepada Astroboy.

Saya rasa saudara tidak memahami apa yang saya utarakan di dalam post itu. TOLONG BACA BAIK-BAIK! sebelum bertindak. Saya lebih suka tidak mengulas jawapan saudara di dalam hal ini kerana saya pasti ianya akan menuntut masa saya.

Masa dan keadaan tidak mengizinkan saya untuk berbicara lebih lanjut dengan saudara pada ketika ini. Namun, suka saya menasihatkan agar befikir dahulu sebelum menterjemahkan pandangan orang lain dari perspektif diri kita sendiri.

Bak kata empunya blog, IDEA datang dan pergi tanpa IDEA. Ini pula IDEA saya, gunakan Akal untuk berfikir dan bertafakur sebentar untuk menghisab diri sendiri.

Anonymous said...

Kepada Abgbent,

Ha ha...

typical.

Tetapi....

Buah cempedak diluar pagar....

=)

Terima kasih.

Abgbent said...

Ler... Perasan pula si Astroboy ni. Ada beberapa hujah balas saya;

1. Kalau awak dibandingkan dengan Tun Dr. Mahathir, boleh saya katakan umpama langit dan bumi. atau mungkin tidak dapat dibuat perbandingan pun.

2. Kalau pun saya ini penyokong fanatik PPSMI atau mungkin di atas pagar, saya rasa hujah awak itu tidak pun mengubah pendirian saya, terlalu lemah, hanya berbentuk menzahirkan tridak puashati. Sila rujuk kembali;

1. Bukan mudah bagi seseorang itu untuk berfikir di dalam bahasa keduanya.

*Prasangka awak yang bersifat negatif, Entahlah darimana awak belajar pemikiran ini*

2. Mungkin saudara kurang mengetahui tetapi di UK sekali pun,

*Sekali lagi sifat buruk sangka awak, mungkin dah jadi sifat semulajadi awak kot*

3. ramai sarjana-sarjana dan bakal pemegang PhD yang mendepankan hasil nukilan mereka di dalam bahasa asal dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Itu realitinya.

*Berapa peratus yang berlaku sedemikian, buktikan, bukannya main cakap-cakap jer, macam budak sekolah yang tidak mahu kalah*


4. Apa salahnya dengan 'tetikus'? Ya, ia mungkin sedikit pelik tetapi kalau dah biasa digunakan, lambat laun biasalah bunyinyaYa, ia mungkin sedikit pelik tetapi kalau dah biasa digunakan, lambat laun biasalah bunyinya.

*Inikah kualiti yang awak mahu. ermm... Moga saya dijauhkan sifat sebegini rupa, Cepat betul berpuas hati dengan hasil kerja yang tidak bersungguh-sungguh*

5. Berikut ialah senarai ketua-ketua negara yang tidak fasih berbahasa inggeris:

*Ok, contohilah mereka, tapi saya tak mahu, buruk sungguh pemimpin sebegitu pada saya, kalau awak rasa sesuai, teruskanlah*


6. sepanjang kerjaya saya sebagai seorang wartawan yang saban hari melihat dan mendengar kata-kata mereka untuk diterjemahkan ke BM,

*Iyerlah tu, angkat bakul nampak!)* Hujah yang terlalu lemah untuk dizahirkan*

7. jarang sekali, yang amat, saya mendengar mereka bercakap bahasa selain bahasa ibunda mereka. Mengapa? Kenapa ia tidak perlu! Jika ke mesyuarat, penterjemah dibayar AS$200 sejam

*TAyat pun tak betul. Tahupun awak ada nilai komersialnya*

8. Saya rasa lebih baik mereka menyampaikan hujah-hujah bernas di dalam bahasa melayu dan diterjemahkan melalui interpreter buat santapan pendengar lain

*Lagi buruk keadaan itu pada saya, tapi kan awak suka ala kadar sahaja, saya pun tidak heran*

9. daripada CUBA untuk berbunyi pandai menggunakan bahasa inggeris dan kemudian.... hancur.

*Lagi sekali, tahu pun awak yer..*

10. Jangan fikir saya tidak menyokong atau menyukai bahasa inggeris.
Quite the contrary, English is my first language as it is the language that I grew up with, when my grandparents knew no malay, lest their c

*Lagi sekali angkat bakul sendiri. Takkanlah awak saja yang nak pandai berbahasa inggeris. anak-anak dan Keluargaku dikampung pun mahu juga belajar bahasa inggeris.*

11. Namun, pada saya, pemikiran yang cuba saya bentuk di sini ialah kita TIDAK PERLU bergantung kepada bahasa inggeris untuk maju.

*Pemikiran siapa yang awak nak bentuk, barangkali pemikiran awak yang memang belum terbentuk. Siapa kata kemajuan bergantung pada bahasa inggeris. Itupun saya tidak heran kerana memang sifat berprasangka awak yang tebal*

12. Tetapi jangan jadikan alasan jika kita tiada bahasa Ingegris, maka lesaplah harapan untuk kita maju.

*Siapa yang kata begitu, sekali lagi prasangka awak*

Sebagai penutup, suka saya sambung pantun awak yang tak habis itu, mungkin sebab kemerengan awak sendiri sampai tak pandai nak sambung pantun itu,

BUAH CEMPEDAK DILUAR PAGAR,
JANGAN DIJOLOK DENGAN BESI,
KALAU AWAK BARU BELAJAR,
JANGAN SUKA ANGKAT BAKUL SENDIRI