Friday, 19 September 2008

Bulan Lompat VI

Sejak dua hari lepas, Yuss melihat suasana politik tanahair kita semakin bertambah menarik untuk dilihat. Semakin SENSASI. Sensasi dalam erti kata penuh glamer dan popular. Kenapa?

Yuss selalu mengulangi pendirian asas ini dalam politik sebelum ini, iaitu, tinggalkan sentimen peribadi, sentimen perkauman, dan sentimen agama. Tapi kali ini, Yuss melihat Paklah atau UMNO atau mungkin BN telah cuba memainkan isu serangan peribadi sekali lagi. Kenapa ianya masih terjadi? Mungkin ianya kelihatan bercelaru tetapi sebenarnya boleh diperbetulkan. Dimanakah anggapan salah kepada kecelaruan ini? Mari kita lihat secara baik.

Paklah dalam kenyataan medianya ada menyebut bahawa Anwar adalah ancaman kepada negara dari segi politik dan ekonomi. Ini adalah satu contoh kelemahan kenyataan yang dikeluarkan. Kita cuba diberikan gambaran bahawa Anwar ialah ancaman kepada kita semua sebagai rakyat. Yuss melihat kenyataan yang dikeluarkan ini sangat lemah kerana ianya hanya akan menimbulkan spekulasi. Walaupun Paklah berkata Anwar berbohong bila mendakwa tiadanya pelaburan FDI dalam negara, ia lebih bersifat luahan peribadi. Kerana ia pandangan peribadi seseorang. Dan bukankah Paklah sepatutnya hanya perlu menjawab sahaja segala tuduhan atau kenyataan ini? Kenapa pula perlunya memberi gambaran bahawa Anwar ialah satu ancaman? Bukankah ini akan lebih menyebabkan kita terfikir bahawa Paklah, secara tersiratnya, telah mengakui kekuatan dan kehebatan nama Anwar Ibrahim? Atas nama pengaruh manusia bernama Anwar Ibrahim? Ini akhirnya telah menunjukkan kelemahan diri Paklah sendiri selepas mengakui kekuatan orang lain, terutamanya pihak lawan. Ini satu strategi politik yang memakan diri sendiri.

Selain itu, Yuss juga agak pelik apabila melihat kerajaan sekarang yang diketuai oleh Paklah tidak mahu duduk berunding dengan Anwar Ibrahim. Alasan yang diberikan Paklah ialah cukup dengan melihat perangai Anwar sahaja. Beliau berkata, Anwar mungkin sebenarnya ingin menggunakan helah untuk berjumpa, tetapi sebenarnya ingin menawan dan menyerbu bilik Perdana Menteri. Ini juga sekali lagi dianggap satu serangan peribadi. Atas nama perangai orang lain. Yang cuba dispekulasikan. Bukan isi rundingan atau permuafakatan yang cuba ditimbulkan dalam kenyataan media mereka. Yuss melihat jawapan yang diberikan tidak rasional. Ia juga bukan satu kesalahan kalau Paklah sendiri sudah membuat keputusan sebelum rundingan dijalankan dan diputuskan bersama. Tapi bukankah lebih baik berjumpa sahaja terlebih dahulu atas nama rundingan? Bermusyawarah. Bukankah lebih molek jika mengambil pendekatan itu? Yuss lebih melihat kenyataan yang dikeluarkan tidak lebih dari satu gaya angkuh dan cuba menidakkan pendapat orang lain. Yuss sedih melihat cara ini digunakan. Adakah Anwar itu bukan seorang 'manusia' sampai tak boleh bertemu dan di ajak berunding? Manusia yang bijak dan terbuka ialah manusia yang sanggup mendengar suara sesiapa sahaja tanpa menutup pintu rundingan. Tak kiralah kawan mahupun lawan. Kalau Saiful Bukhari sebagai rakyat biasa boleh dengan mudah sahaja dapat berjumpa dan duduk bersembang dengan Najib, takkanlah Anwar Ibrahim tidak boleh. Saiful pergi pun nak mengadu nasib peribadinya sahaja. Bukan perkara hal ehwal eknomi dan pentadbiran negara. Tambahan lagi, Anwar telah menggunakan cara yang betul iaitu melalui surat dan mengikut protokol. Pun masih tidak boleh diterima. Yuss masih berasa agak pelik. Hairan.

Inilah masalahnya bila isu peribadi orang lain cuba mengaburi mata kita. Inilah yang dikatakan cuba menganggu pemikiran rakyat apabila rakyat melihat politik itu kotor dan menikam belakang. Janganlah hanya bermain politik sahaja, tapi fikirkanlah kepentingan2 bersama bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenyataan2 media yang dikeluarkan oleh orang2 kuat kerajaan kita seperti lebih banyak memberi gambaran bahawa Anwarlah punca segala masalah. Anwarlah yang beria2 ingin menjadi Perdana Menteri. Bagi Yuss, tidak terkeluar pun kenyataan dari mulut Anwar sendiri untuk beliau mengakui dirinya bakal menjadi Perdana Menteri. Hanya dari pihak kerajaan sahaja. Sekali lagi, semua ini adalah satu bentuk serangan peribadi. Dalam kepala rakyat telah ditanamkan pemikiran bahawa Pembangkang itu hanyalah Anwar. Rakyat dan orang biasa sebenarnya seperti terpengaruh dengan dakwaan ini. Kita lupa untuk melihat kembali bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar ialah atas nama wakil Pakatan Rakyat. Atau selaku Ketua Pembangkang. Bukan atas nama Anwar Ibrahim lagi. PR sendiri pun belum mengeluarkan kenyataan siapakah yang bakal memimpin kerajaan 'baru' ini. Kenapa pula kita terus-terusan menganggap Anwarlah Perdana Menterinya? Keputusan terakhir sebenarnya terletak di tangan Majlis Tertinggi PR, yang akhirnya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita telah dikelirukan bahawa kerajaan 'baru' ini ialah kerajaan Anwar Ibrahim semata-mata.

Dan kita juga selalu menganggap bahawa kerajaan 'lompat' ini adalah tidak demokratik dan tidak beretika serta tidak mengikut mandat rakyat. Dimanakah silapnya?

Bagi Yuss, pada kali ini, Yuss berpendapat bahawa mandat rakyat atau pilihanraya hanyalah sebahagian daripada demokrasi. Dan rakyat pula seperti dikelirukan bahawa demokrasi itu ialah pilihanraya semata2. Kita sebenarnya telah terlupa yang pilihanraya hanyalah SEBAHAGIAN daripada demokrasi sahaja, buka keseluruhan maksud demokrasi itu sendiri. Atau lebih tepat lagi, pilihanraya hanyalah salah satu SIFAT demokrasi.

Dan apakah proses demokrasi yang berikutnya selepas pilhanraya? Ianya ditentukan oleh ahli2 parlimen untuk memilih siapakah ketua mereka yang mengetuai kerajaan. Atau jawatan2 dalam urus tadbir negara. Melalui perikatan parti2 masing2. Ini juga salah satu SIFAT demokrasi.

Kita juga selalu dikelirukan bahawa proses memilih Perdana Menteri atau ahli kabinetnya sebenarnya dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Kita lupa bahawa rakyat hanya memilih calon2 bagi kawasan masing2. Bukan memilih Perdana Menteri atau kabinetnya. Keputusan memilih Perdana Menteri dan kabinetnya sebenarnya ditentukan oleh ahli2 Parlimen yang telah dipilih oleh kita. Ia bukan melibatkan rakyat lagi selepas pilihanraya umum tersebut. Itu sebab kita ada Parlimen yang mempunyai Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk membuat keputusan ini. Dan ianya dibuat atas nama rakyat. Bukan oleh rakyat lagi, tapi untuk rakyat. Ini bermakna proses demokrasi ini telah masuk ke satu peringkat atau level yang lain lagi dan tidak melibatkan rakyat lagi dalam proses tersebut. Kita seperti dikelirukan dengan idea sempit 'kerajaan itu rakyat' atau 'rakyat itu kerajaan' yang cuba dihubung-kaitkan dengan isu ini.

Dalam perlembagaan sendiri pun telah 'membenarkan' ahli parlimen untuk menentukan parti masing2 jika bertukar fahaman atau ideologi mereka seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini. Itulah sebabnya Yuss merasakan rakyat perlu faham akan hal ini terlebih dahulu. Kita perlu faham bahawa proses 16 September ini bukanlah proses semula rakyat, tetapi proses ahli2 parlimen itu sendiri. Itu sebab Yuss menyuruh kita memerhatikan sahaja tindakan ahli2 politik ini. Jangan libatkan rakyat lagi. Jangan naikkan sentimen di kalangan rakyat lagi. Jika melibatkan peruntukan atau hal berkaitan ahli2 parlimen sahaja, selesaikanlah sesama mereka.

Inilah sepatutnya subjek yang patut diangkat, diajar dan didebatkan bersama2 rakyat akibat daripada peristiwa kerajaan 'lompat' ini. Mendidik rakyat. Menjadikan rakyat lebih terbuka dan memahami jiwa perlembagaan sebenar dengan undang2 yang ada. Bukan hal atau isu peribadi lagi yang patut diangkat. Kerana ini hanya akan dilihat seperti cuba menutupi mata seluruh masyarakat kepada hal pokok atau hal sebenar.

Politik itu bersih jika ahli2 politik ini mahu dan tahu bahawa proses sentimen2 seperti peribadi, agama, dan kaum yang cuba dibentukkan adalah tidak baik untuk dimainkan kepada rakyat. Kerana ia hanya akan mengundang spekulasi dan akhirnya menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Dan boleh mencetuskan huru-hara.

Tapi Yuss yakin seluruh rakyat tahu dan bijak untuk menilai semua ini. Janganlah pula kita terlalu mudah untuk terpengaruh dengan apa yang disampaikan dalam bentuk politik seperti ini. Penilaian yang baik dan tidak mengikut membuta tuli adalah jalan terbaik menenangkan keadaan.

Yuss ada peribadi. Yuss ada agama. Yuss satu kaum.

No comments: