Amat menarik untuk Yuss lihat isu Ketuanan Melayu secara kasar. Secara kasar kerana Yuss sendiri tidak memahami maksud jelas apakah itu 'Ketuanan'. Yang Yuss faham secara terawang ialah ianya datang daripada kata dasar 'tuan'. Tapi maksud dan huraiannya mungkin berbeza sama sekali.
Isu ini timbul apabila Chua Soi Lek dilaporkan berkata beliau menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi menerima kepimpinan Melayu. Menolak Ketuanan Melayu bukan bermakna mencabar hak2 istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Itu kata beliau.
Selepas sahaja isu ini berbangkit, pelbagai pihak mengeluarkan pendapat yang mengecam dan mengutuk pendapat ini. Ada yang berkata, terdapat juga orang2 Melayu itu sendiri yang menolak konsep Ketuanan Melayu. Maka, bagi Yuss, ia sesuatu yang boleh dipersoalkan jika wujudnya rasa sangsi dalam diri orang Melayu itu sendiri.
Secara ringkas, istilah konsep ini berkemungkinan besar bermula pada permulaan alaf ini. Dengan menggunakan alasan 'pemberian' kewarganegaraan kepada bukan Melayu di zaman pra merdeka. Dalam pada itu, pada awal dekad selepas merdeka, istilah lain mungkin digunakan seperti ultra Melayu yang mungkin membawa maksud dan huraian yang sama seperti konsep Ketuanan Melayu ini. Perbetulkan Yuss jika salah mentafsir.
Dan bagi pihak Pas pula secara khususnya, sokongan terhadap konsep Ketuanan Melayu itu tetap wujud dalam pandangan mereka tetapi mungkin dalam istilah yang lain, Ketuanan Islam. Yang mengikut perlembagaan, mendefinisikan Melayu itu Islam.
Apa yang Yuss boleh lihat? Seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini, kita masih keliru dan bercampur-aduk pemikirannya dalam melihat maksud satu2 perkataan dalam perlembagaan. Kita ibarat masih keliru untuk mengangkat yang mana satu lebih tinggi tarafnya atau adakah ianya berjalan seiringan. Antara Melayu dan Islam.
Jika alasan negara ini tercipta atas dasar kesepakatan antara kaum, maka Melayu itu teratas dalam definisi perkataan Melayu itu sendiri. Apabila Melayu itu ditakrifkan semula yang mereka itu Islam, bertutur Bahasa Melayu dan mengikut adat Melayu, maka kita telah mengangkat taraf Islam itu sekali. Ia mungkin kelihatan seperti agama menyusuli sifat bangsa dalam konteks perlembagaan negara kita. Mungkin seperti diibaratkan sifat agama seinci kebelakang membontoti sifat bangsa.
Atau adakah ia sebaliknya? Disinilah yang mewujudkan rasa sangsi dalam diri kita, yang manakah lebih berkuasa dalam takrifan ini? Islam atau Melayu. Inilah juga yang mencetuskan rasa kurang senang sesetengah warganya apabila Malaysia cuba atau memang diangkat sebagai sebuah negara Islam dalam definisinya, isu yang pernah dibangkitkan suatu masa dahulu.
Yuss sebenarnya masih keliru dengan pemilihan perkataan bagi mencapai maksud dan tujuan mereka. Apakah kita patut pertahankan Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam? Atau kedua-duanya sekali. Adakah sama 'jiwa' kita antara kedua-dua ini? Adakah ianya wajib, sunat, harus atau makhruh untuk mempertahankannya? Yang mana lebih penting. Islam atau Melayu? Jika diberi satu pilihan antara kedua-dua ini, mana pilihan kita?
Ramai yang berkata, Melayu dan Islam itu saling berkaitan. Bersangkut-paut. Mungkin betul. Tetapi, pernahkah kita tefikir, dengan menggunakan perkataan Melayu, kita sebenarnya berselindung di sebalik 'ketakutan' mempertahankan Islam? Dalam konteks penciptaan negara bernama Malaysia melalui perlembagaannya. Kerana kita orang Melayu masih sangsi dengan kehormatan agama Islam itu sendiri?
Dan adakah juga, sifat bangsa itu yang lebih jelas beza fizikalnya melalui warna kulit dan lubang hidungnya memudahkan ia digunapakai untuk 'mengasingkan' kita semua antara satu sama lain? Adakah Melayu sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri? Kerana jika benar Islam itu lebih tinggi dan menyeluruh, sifat berbangsa2 itu sendiri akan pudar dan hilang dalam diri kita. Bukan?
Dalam masa yang sama, adakah satu kesalahan apabila kita mengangkat diri kita lebih superior daripada bangsa yang lain? Atas nama hak dan keistimewaannya? Dari segi bangsa. Mungkin ya.
Atau betulkah kita menganggap diri kita mungkin mendapat pahala bila mengangkat nama Islam itu sendiri? Dari segi agama. Mungkin juga ya.
Mana satu pilihan kita, Melayu atau Islam? Inilah kepincangan diri Yuss apabila melihat dua perkataan ini dan apabila kedua-duanya cuba berjalan seiringan. Apakah Cina Muslim atau India Muslim tidak punya hak yang sama di sisi tuhanNya yang memang jelas sama dan Satu?
Adakah kita tidak dianggap terlalu berdosa dari sudut agamanya apabila berbicara tentang bangsa secara superior atas nama survival? Atas nama kelangsungan? Kerana isu bangsa mungkin tidak kisah untuk didebatkan. Tidak terlalu 'berdosa'. Boleh diputar-carikan maksud dalam ruang lingkup yang bebas. Tetapi, jika berbicara soal agama, kita dianggap terlalu berhati2 dalam melempiaskan pendapat dan berdosa jika tersalah tafsir. Terlalu sensitif dan keras. Jawapan kepada persoalan ini ialah ilmu, sama ada kita sudah bersedia atau belum untuk berbicara tentangnya secara berhemah di masa hadapan.
Berbalik kepada isu ketuanan ini yang luas maksudnya ini, apakah pilihan kita dalam konteks penggunaan bahasa yang betul? Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera atau hak-hak istimewa orang Islam dan Bumiputera? Yang mana satu pilihan kita? Adakah benar kita, orang Melayu, takut untuk mempertahankan Islam apabila hanya cuba mengangkat sifat bangsa sahaja dalam kebanyakan isu yang berkaitan? Adakah ini satu kebenaran? Kerana Islam ialah ideologi, maka agak sukar untuk kita mendefinisikan secara khusus tentangnya jika dibandingkan dengan sifat bangsa. Mungkin.
Selain daripada itu, persoalkan dalam diri masing2, yang mana satukah boleh kita lihat sebagai suatu konsep ketuanan yang palsu atau suatu konsep ketuanan yang jelas? Atau konsep ketuanan ke belakang dengan memandang sejarah semata2 atau konsep ketuanan ke hadapan yang memandang keterbukaan? Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam?
Seperti kesimpulan Yuss dalam artikel2 lama yang lepas, impian Yuss untuk melihat wujudnya Bangsa Malaysia yang SATU akan tetap kekal dalam diri Yuss. Cukup-cukuplah kita bercerita tentang Melayu itu, Cina ini, India itu, Kadazan ini, atau Orang Asli itu.
Tidak pelikkah kita, bila keluar sahaja ke luar negara, kita dengan bangganya mengangkat diri, memperkenalkan diri sebagai Bangsa Malaysia. Tetapi apabila masuk saje ke Malaysia, jejak saja kaki ke bumi sendiri, akulah Melayu, akulah Cina, akulah India akulah bangsa itu ini.
Maknanya, kewujudan Bangsa Malaysia itu bukan sesuatu yang mustahil. Kerana jatidirinya sudah ada. Ia boleh berlaku. Cuma yang tinggal ialah kesanggupan dalam diri kita.
Dalam masa yang sama juga, Yuss terpikir, adakah konsep Ketuanan Malaysia sesuatu yang pelik untuk kita ungkap pada masa hadapan? Mungkin untuk tempoh seratus tahun yang akan datang. Atau mungkin tak perlu pun untuk kita fikirkan. Kerana Yuss melihat tidak perlunya kewujudan istilah2 jenis ini.
Tapi sekurang-kurangnya dalam waktu ini, apalah salahnya kita cari istilah ketuanan dengan niat atau nawaitu yang betul dalam mencari jiwa ketuanan itu sendiri kalau betul mahu ingin sangat2 menggunakannya. Ketuanan jenis apa?
Bagi Yuss, mungkin lebih baik juga jika kita hentikan sahaja dulu istilah ketuanan itu sendiri. Kerana konsep ini pun wujud tak sampai sedekad yang lalu. Lebih baik kita fokuskan kepada penyatudapuan antara semua kaum untuk menjadi satu Bangsa Malaysia yang menghormati perlembagaan sedia ada.
Yuss tidak bertuankan sesiapa. Hanya bertuhankan Tuhan yang Satu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Isu akan terus didebat selagi orang Melayu tidak menjadi sebuah kaum berdaya saing..
Cabaran untuk membentuk Bangsa Malaysia tidak akan tercapai jika kita tidak memahami dan menghayati selebih mendalam akan sejarah..
Sebagai contoh kita lihat bangsa Amerika dan Jepun, mereka maju disebabkan penghayatan mereka terhadap sejarah bangsa dan negara dimana negara mereka dibentuk menggunakan darah nenek moyang mereka..
Tidakkah kita perlu mencontohi sikap mereka?
Politik? Orang Melayu tidak perlu leka dengan janji-janji manis politik termasuk orang melayu sendiri..kerana mereka juga mempunyai agenda tersendiri, " Ada udang sebalik batu ".
PHD yang ada didalam pemikiran orang melayu perlu dihapuskan sama sekali bagi menjadikan orang melayu sebuah kaum yang berdaya saing dan maju..
Post a Comment