Thursday, 29 January 2009

Gerakan untuk Bahasa

Yuss rasa terpanggil untuk menulis berkaitan dengan artikel dalam Harakahdaily semalam berkenaan dengan pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang akan diadakan di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada pukul 3.00 petang Sabtu ini (31 Januari 2009).

Penulisan hari ini adalah susulan daripada artikel Yuss sebelumnya (P.P.S.M.I) yang mendapat komen2 memberangsangkan daripada beberapa pihak. Di sini, Yuss tak mahu lagi mengulas sebarang kaitan terus tentang PPSMI atau sistem pelajaran negara atau yang berkaitan dengannya lagi kerana sudah ditulis sebelum ini. Tumpuan Yuss kini lebih terarah kepada isu membudayakan Bahasa Malaysia.

Sebagai seorang yang sayangkan bahasanya, Yuss menganggap pelancaran ini adalah suatu titik permulaan yang baik ke arah kesedaran berbahasa. Yuss berharap ianya tidak akan dijadikan medan untuk berpolitik, tetapi lebih kepada penumpuan yang betul, ke arah PEMBETULAN 'sistem bahasa' negara kita.

Apakah yang merangsangkan Yuss dengan kewujudan GMP ini?

Sebagai seorang yang bangga menjadi bangsa Malaysia, Bahasa Malaysia ialah tutur-bicaranya. Jika selama ini kita MUNGKIN atau MASIH memandang Bahasa Malaysia sebagai untuk orang Melayu sahaja, apalah salahnya jika kita yang betul2 fasih berbahasa Malaysia (tak kiralah orang Melayu umumnya atau lain2 kaum), membudayakan semula Bahasa Malaysia sebagai penghubung antara kita semua tak kira bangsa.

Tidak salah kan kalau kita MULAKAN semua tutur bicara kita dengan sesiapa pun termasuklah orang luar dengan Bahasa Malaysia? Inilah iltizam Yuss untuk melihat Bahasa Malaysia betul2 dijadikan budaya kita semua tak kira kaum. Kita sudah terlalu asing dalam bumi sendiri sehinggakan adanya orang2 Malaysia sendiri yang malu, kurang fasih, tidak tahu atau tidak mahu berbahasa Malaysia.

Inilah yang perlu kita betulkan dahulu. Bahasa utamanya.

Dan bahasa keduanya pula, atau bahasa2 pilihan lain bangsa Malaysia masih bebas untuk digunapakai, diajar dan dikembangkan. Tetapi jatidiri utamanya itu, yakni Bahasa Malaysia, perlu kita tanam betul2 dalam diri kita semua.

Dalam masa yang sama juga, Yuss masih menyalahkan media2 elektronik terutamanya TV, yang mengasingkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam rancangan2 yang bukan Bahasa Malaysia. Iklan-iklannya jelas mengasingkan penggunaan ini untuk tujuan penarik kepada golongan atau kaum2 tertentu sahaja.

Katakan, ketika sesuatu program2 TV itu berbahasa Cina, umumnya, kebanyakan iklan juga akan dialih-bahasakan ke dalam Bahasa Cina. Adakah ini satu keperluan? Bukankah kebanyakan penontonnya itu walaupun daripada kaum Cina tetapi berbangsa Malaysia ? Mustahil jika mereka tidak faham langsung iklan dalam Bahasa Malaysia. Inilah kesilapan kita meletakkan Bahasa Malaysia dalam budaya masyarakatnya. Tidak kuat. 51 tahun merdeka, sepatutnya tidak ada sesiapapun yang tidak boleh fasih berbahasa Malaysia.

Hal yang sama turut terjadi dengan iklan2 dalam Bahasa Inggeris yang sungguh meluas penggunaannya di depan mata kita.

Yuss bukan menyalahkan penonton, tetapi mereka yang berada di belakang media2 ini yang bertanggungjawab membentuk pemikiran dan sosial masyarakat.

Biarlah berlambak dan penuh sekalipun program2 atau rancangan2 dari luar (dari Hong Kong, India, Taiwan atau mana2 sekalipun), tetapi dalam masa yang sama, proses sarikata perlu sentiasa bergerak pantas. Namun begitu, perkara sebaliknya yang berlaku. Hanya rancangan terpilih sahaja yang akan disarikatakan. Media sebenarnya dilihat seperti tidak lengkap menyampaikan apa yang perlu disampaikan.

Ibarat langit sudah terbuka luas untuk kita semua, tapi panasnya tidak sampai sama rata. Atau lebih jelasnya lagi, lambakan cerita dunia luar ini sudah cukup banyak masuk ke nagara kita, tapi maksud ceritanya, maksud penyampaiannya, tidak sampai sama rata ke atas kita semua rakyat Malaysia. Hanya yang terpilih sahaja. Inilah yang mengecewakan Yuss.

Namun begitu, dalam masa yang sama, Yuss tidak bersetuju dengan adanya cadangan sesetengah pihak supaya semua program ini dialihbahasakan ke dalam bahasa kita. Seperti di sesetengah negara jiran.

Ia tidak menyihatkan. Kerana bagi Yuss, kita perlu mendedahkan 'dunia luar' dalam kaca mata dunia luar itu sendiri. Cukuplah sekadar disarikatakan.

Inilah semua contoh2 ringkas betapa dangkalnya kita meletakkan kedudukan Bahasa Malaysia. Tak berat kalau Yuss katakan hilang maruah pada bahasanya.

Sekali lagi Yuss ingin ingatkan kepada diri sendiri, jika tiada aral yang melintang, Yuss akan cuba menuju ke SOGO pada hari Sabtu ini. Jika sesuatu perkara itu ada niat yang baik, apa salahnya diusahakan, bukan?

Pilihan terletak dalam diri masing2. Jika betul2 sayangkan bangsa Malaysia, pilihlah jadi BANGSA MALAYSIA sebenar.

Yuss suka Bahasa Malaysia.

No comments: