Wednesday 21 January 2009

Nyawa Popular Obama

Sebentar tadi, Presiden Barack H. Obama baru sahaja mengangkat sumpah menjadi Presiden terbaru ke-44 Amerika Syarikat.

Tahniah? Selamat sejahtera? Semoga berjaya? Atau apa?

Harapan.

Itulah satu perkataan yang diletakkan oleh semua orang ke atas beliau. Tak kiralah rakyat Amerika sendiri atau dunia amnya. Bagi golongan yang skeptikal, mereka melihat tidak banyak perubahan kepada dasar atau matlamat yang boleh terbentuk dengan sekelip mata di bawah kerajaan baru beliau ini. Yang Islam tetap melihat beliau tidak akan berganjak daripada proses 'memelihara' negara Israel. Golongan ekonomi pula melihat satu tugasan berat perlu dipikul oleh beliau.

Dan apa pula yang boleh Yuss lihat?

Yuss bersikap pragmatik. Bagi Yuss, Obama ialah faktor peribadi. Faktor populariti. Penilaian terhadap 'diri' beliau sebagai Presiden kulit hitam, tentang sejarah keluarganya, dan dasarnya terhadap janji2 perubahan yang penuh retorik menjadikan siapa itu Obama.

Beliau bermain dengan satu permainan tentang warna kulit dan agama. Beliau dilihat menjadi pemangkin ke arah perubahan melalui perkara2 ini. Yakni perubahan kepada intergrasi terhadap kedua2 perkara ini. Beliau melihat tidak ada lagi bangsa kulit putih Amerika, kulit hitam Amerika, Latin Amerika, Asian Amerika, tetapi bangsa Amerika. Amerika Syarikat juga bukan lagi dilabel sebagai negara Kristian. Tetapi juga untuk Islam, Yahudi dan Hindu.

Disinilah berlakunya pandangan skeptikal Yuss apabila melihat Obama bermain dengan latar belakang warna kulit dan agamanya. Ia dicorakkan lagi dengan paparan media terhadap beliau. Strategi yang dilihat cuba mengangkat yang terbaik sahaja mengenai beliau dari segi kesamarataan jenis ini. Ia sangat jelas dalam ulasan media2 dunia terhadap beliau.

Wajah kesamarataan ini sebenarnya dibina melalui populariti. Budaya populariti betul2 membentuk siapakah itu Obama. Mengangkat nama Obama itu sendiri. Beliau boleh dikatakan berjaya, tetapi beliau juga perlu ingat, proses mengekalkan populariti itu lebih penting dan sangat berbahaya.

Kerana populariti boleh memakan diri. Populariti boleh membunuh. Kerana jika Obama betul2 terbina atas asas ini untuk sekian lama, pastinya, serangan peribadi juga mudah untuk berlaku ke atas beliau di masa akan datang. Jika kesilapan kecil berlaku, karier dan masa depan juga boleh musnah. Itu sifat populariti. Sangat bahaya jika tersilap langkah.

Selain daripada itu, Yuss juga melihat terlalu banyaknya permainan warna ras kulit atau bangsa dalam Amerika Syarikat akhir2 ini. Warga kulit hitam diibaratkan meraikan 'kemenangan' dan 'kebebasan' yang diimpikan selama ini. Konsert, rancangan TV, ulasan suratkhabar kebanyakannya melihat kepada unsur ini. Meraikan kemenangan dengan cara ini sebenarnya mencerminkan betapa terpisahnya sifat2 bangsa di AS ini. Dan ia juga berbahaya di masa hadapan jika proses merayakan kemenangan ini dengan cara tersebut berterusan. Kerana apa?

Kerana penciptaan 'kemenangan' kulit hitam ini boleh menimbulkan rasa tidak senang bukan sahaja kepada kulit putihnya, tetapi yang lain2 juga, Latin, Asia, Arab, yang bukan berkulit hitam Afrika. Akan berlaku satu pemberontakan atau kekacauan teruk di masa hadapan jika konflik seperti ini timbul. Kerana unsur warna kulit Presiden akan digunapakai untuk meraih sokongan tidak kiralah yang positif atau negatif. Disinilah sifat populariti akan memainkan peranan yang memakan diri sendiri. Warga kulit hitam mungkin akan menggunakan faktor Obama ini untuk dijadikan kayu pengukur untuk mereka bertindak. Terutamanya bagi golongan kelas rendah dan menengah.

Ini semua boleh terjadi atau berlaku jika asas keraian, atau nawaitu sesuatu perkara yang mendalam boleh disalahertikan secara besar-besaran.

Namun begitu, satu perkara yang boleh mengekalkan Obama terus subur dan diterima adalah intergriti dan kekentalannya. Beliau teruji dengan pelbagai perkara termasuklah perlantikan Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara yang tidak disenangi sesetengah pihak. Tetapi keputusan2 yang beliau lakukan ini masih kekal 'baik' untuk didebatkan. Kerana fasa 'harapan' ini masih menyubur dalam diri kita semua.

Begitu juga dengan 'kekuatan' Obama yang tercipta oleh tindakan Israel baru-baru ini. Israel menyerang dan membunuh rakyat Palestin 3 minggu sebelum perlantikan beliau. Dan menamatkannya betul2 sebelum beliau mengangkat sumpah hari ini. Israel sendiri dilihat seperti 'tunduk' kepada Presiden baru ini. Jika Bush boleh diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya oleh Israel, harapan sebenarnya masih tetap wujud di bawah Obama.

Memang benar dasar Amerika tidak akan berubah secara total di Timur Tengah (terutamanya di Palestin dan Israel) seperti yang dikatakan oleh beliau, tetapi faktor kemanusiaan, faktor individu dalam diri Obama adalah penentu kepada perancangan masa depan yang lebih baik. Kerana kata2 beliau, tindakan beliau mencerminkan dasar sebenar negara tersebut tanpa perlu berlandaskan di atas kertas semata-mata.

Sebagai orang Islam, Yuss masih tetap meletakkan harapan untuk melihat sejauh mana Obama mencorakkan dasar sedia ada yang perlu dikekalkan ini. Jika nyawa dan masa depan bangsa Palestin tidak terhapus sekurang-kurangnya, itu sudah cukup untuk melihat adanya hati bernama manusia dalam diri seorang Presiden AS dalam alaf ini.

Selain itu, proses populariti Presiden baru ini sebenarnya adalah satu perancangan mengembalikan pengaruh AS itu sendiri. Bush telah menjarakkan AS dengan dunia luar. Kerana Bush telah menjadikan perang sebagai agenda utamanya. Dan menjadi seorang boneka Israel Zionis yang amat jelas. Mereka sendiri sedar dengan peminggiran dunia yang berterusan kepada AS seperti ini amat2 merugikan.

Maka, Obama ialah ciptaan mereka untuk menuju ke arah Amerikanisasi semula. Mengembalikan keyakinan. 'Harapan' adalah kata asas terpenting memainkan perasaan penduduk AS dan dunia. Kerana mereka sedar, 'harapan' ialah kata penyedap untuk seluruh umat manusia yang kini dilanda ekonomi global yang semakin teruk dan kesilapan2 lain seperti Perang di Asia Barat. Boleh juga dianggap yang Obama dicipta sebagai 'pengubat' kepada 'sengsara' dunia hari ini (ekonomi dan politik).

Adakah benar Obama akan diangkat sebagai HERO dunia? Kita tunggu dan lihat. Kerana pada peringkat permulaan ini, penciptaan Obama yang hebat telah menjadi kenyataan atas nama 'harapan' ini. Mereka berjaya mencipta permainan perasaan yang manusia memerlukan penyelamat. Dan adakah kita akan terikut dengan polar permainan politik jenis ini? Kita tunggu dan lihat.

Jauh dalam sudut hati Yuss, kita semua terutamanya di Malaysia pastinya akan mengikut rentak dunia mengangkat Obama. Jika ini terjadi, apakah impaknya ke atas diri kita?

Contoh terdekat ialah proses boikot barangan AS sekarang ini. Jika nama Obama itu sendiri mampu berdiri sendiri untuk membersihkan, mengaburi mata dengan 'keindahan' AS, adakah termampu kuasa dalam diri kita sendiri untuk terus memboikot? Semuanya akan berlaku dan terjadi tanpa kita sedari...

Siapakah Obama bagi Yuss?

Obama ialah Hollywood.

Yuss tonton Hollywood.

1 comment:

Anonymous said...

i like ur comment

got point. but we wait n c la.