Friday 24 October 2008

Terpilih dan Memilih

Sebagai seorang rakyat biasa yang membaca, menonton dan mendengar media2 kita berkaitan dengan dunia politik tempatan, Yuss teringin untuk memilih mereka yang berada dalam UMNO, jikalah diberi peluang. Tapi Yuss sedar, kuasa memilih ini adalah kuasa ahli2 UMNO. Bukan kuasa rakyat biasa lagi.

Dalam UMNO, kita akan memilih mereka yang terpilih. Mereka yang dipilih melalui persaingan memenuhi kuota layak bertanding. Jawapan kepada cara memenuhkan kuota yang besar ini ialah melalui politik wang. Tiada siapa yang akan menafikan fakta ini. Suara2 orang besar tertentu dalam UMNO yang meluahkan rasa tidak puas hati ini jelas adanya satu perubahan yang diingini oleh orang UMNO sendiri. Tapi kesudahannya mungkin masih jauh.

Lambang perbezaan pendapat ini dalam UMNO membuktikan wujudnya rasa 'demokrasi' dalam parti tersebut tetapi sejauh manakah 'demokrasi' ini betul2 didemokrasikan? Bagi Yuss, selagi tak terhapus kuota yang tinggi itu, selagi itulah rakyat akan melihat demokrasi dalam UMNO terus pincang. Bagi Yuss, cukuplah sekadar kuota 5 atau 10 yang diperlukan sebagai bukti calon2 yang betul2 ingin bertanding. Itupun sudah cukup besar. Bukannya jumlah yang sangat besar yang mungkin mengikut nisbah jumlah kawasan dan cawangan atau jumlah ahli UMNO itu sendiri. Dan jika terlebih ramai pun calon selepas ini bila jumlah kuota diminimumkan, itu lambang demokrasi sebenar.

Selain itu, satu perkara yang membezakan MCA, Gerakan dan UMNO ialah, MCA dan Gerakan cepat bertindak dari segi tarikh dan waktu pemilihan dalaman mereka. Walaupun pucuk pimpinan dilihat hanya berubah 'sedikit', tetapi ia sebenarnya berjaya menutupi kelemahan mereka melalui perhimpunan yang dijalankan secepat mungkin itu. Mereka telah membuktikan bahawa perhimpunan pemilihan ini perlu segar, cepat dan tepat dari segi masa dan waktu. Inilah yang rakyat ingin lihat. Pantas bertindak. Dan selepas itu? Sambung semula bekerja. Tak payah lagi sibuk memikirkan masalah dalaman parti.

Tetapi lain pula dengan UMNO. Mereka masih melengah-lengahkan keadaan atas alasan mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Tetapi, kelambatan proses pemilihan inilah sebenarnya punca segala penyakit. Pelbagai alasan digunakan bagi 'membenarkan' isu penangguhan pemilihan mereka. Alasan peralihan kuasa, alasan penangguhan mesyuarat, alasan ekonomi, alasan politik wang, alasan perebutan kuasa, dan macam2 lagi betul2 terbina atas nama alasan sahaja.

Rakyat sebenarnya akan melihat UMNO hanya mahu bermain politik. Isu2 nasional lain yang lebih penting seperti seperti dikaburi oleh isu sensasi politik dalaman UMNO ini. Dan pemilihan UMNO seperti memberi gambaran bahawa ia diibaratkan sebagai pemilihan rakyat. Sebab apa? Berita2 utama mengenainya mendominasi media2 harian kita. Tak kiralah media yang pro atau anti kerajaan hari ini. Segalanya didedahkan, didiskusikan depan rakyat melaluinya.

Yuss masih hairan kenapa isu pemilihan dalam UMNO ini menjadi satu isu besar dan menjadi tajuk2 berita utama media kita? Bukankah analisa memilih dan mengundi ini hak ahli2 UMNO sahaja? Bukannya hak rakyat keseluruhan. Inilah cuba digambarkan. Menggambarkan bahawa isu pemilihan UMNO ini ialah isu nasional!

Ini mungkin salah satu cara untuk cuba membuktikan mereka sebenarnya mengamalkan demokrasi dalam UMNO. Dengan mendedahkan calon2 itu ini di depan rakyat melalui media. Atas nama jumlah kuota yang diperlukan dan berlawan satu sama lain dan siapa dulu yang mampu mengisi kuota masing2. Satu jenis kebebasan pendedahan yang cuba disongsangkan dengan keterbukaan yang diingini oleh rakyat. Pendedahan yang keterlaluan seperti ini sebenarnya akan memakan diri sendiri. Sebabnya? Rakyat tidak memilih. Dan jika pemilihan tidak memihak kepada sentimen rakyat, maka UMNO akan terus ditolak ketepi.

Inilah yang perlu diperbetulkan kembali. Meletakkan yang mana satu keutamaan untuk menjenamakan diri masing2 sebagai ahli2 politik. Atau apa itu UMNO sendiri. Apakah UMNO itu betul2 dominan dan ianya kerajaan sehingga seperti menidakkan pandangan parti2 lain tak kira kawan dan lawan? Inilah yang mengelirukan kita dan dalam diri mereka. Meletakkan diri UMNO sebagai ketua segala hal atau tuan segala-galanya. Penjenamaan jenis inilah yang semakin menjauhkan UMNO dari orang biasa. Sifat ketuanan Melayu seperti dicampuraduk dan disalahtafsirkan menjadikannya ia ketuanan UMNO. Kesalahfahaman mentaliti sebeginilah yang menjarakkan kita semua yang berbilang kaum.

Dan jika ditanya Yuss siapakah pemimpin2 dalam UMNO yang Yuss ingin lihat menerajui UMNO melalui 'penghayatan' media2 kita hari ini, Yuss hanya boleh menamakan dua orang sahaja setakat ini.

Mereka berdua ini ialah Ku Li dan Anuar Musa. Walaupun sehingga kini Ku Li masih belum mendapat sebarang pencalonan dan Anuar Musa pula telah menarik diri daripada bertanding.

Yuss memilih mereka berdua atas nama karisma dan kebijakkan mereka menjawab soalan2, susun atur perkataan, dan pengolahan minda mereka yang tersusun dan ada jiwa. Walaupun kadang2 tidak bersetuju dengan idea dan pemikiran mereka berdua, tetapi Yuss melihat jawapan2 yang diberikan oleh mereka berdua ini sangat merangsang minda Yuss untuk berfikir dan mencari jawapan sendiri. Akhirnya, Yuss menganggap mereka berdua sangat boleh mempengaruhi. Itu yang Yuss rasakan sebagai seorang rakyat biasa yang 'muda'. 'Muda' kerana Yuss menolak faktor sejarah kedua-dua mereka ini dan asal-usul kenegerian mereka. Dan hanya melihat kepada isu dan perkara hari ini sahaja.

Ini mungkin sentimen Yuss hari ini. Atau ketika ini. Dan masih ada masa yang lama lagi untuk mereka2 ini dipilih dan bertanding. Itu belum lagi menunggu hari pemilihan yang ditangguhkan dan menjadikan masa berkempen terlalu panjang. Dan belum lagi menunggu itu dan ini. UMNO memang sukakan kita menunggu dan menunggu dan menunggu. Mungkin mereka nak menunggu supaya kita semua reda dan lupakan perkara dan isu lama. Dan akhirnya mereka akan memilih ketika suasana dan persekitaran yang mungkin berbeza dengan mentaliti isu2 hari ini.

Kerana stigma Melayu mudah lupa mungkin menjadi pegangan mereka untuk 'melupakan' rakyat tentang kesilapan lepas.

Yuss terpilih.

No comments: