Tuesday 19 May 2009

Kisah Dua Melayu

Yuss tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita. Semuanya terjadi akibat daripada peristiwa politik yang terjadi di Perak. Satu dunia tahu apa yang berlaku di negeri ini, jadi tak payahlah Yuss usik isi kandungannya lagi.

Yuss lebih tertarik kepada impak yang dibawa oleh tragedi politik Perak ini. Ianya berlaku kepada dua kenalan Yuss.

Kenalan pertama Yuss agak kurang berminat dengan politik. Tapi, disebabkan oleh kes politik Perak, beliau mula terusik dengan dunia politik tempatan. Semuanya gara2 permainan media tentang kisah 'penderhakaan terhadap Sultan'.

Kisah menderhaka ini menarik minat beliau kerana ianya dikatakan mencabar sifat keMelayuannya. Lalu, atas dasar kesedaran, beliau secara tiba2 mengaku telah menyertai UMNO. UMNO ketika itu sedang sibuk melakukan perhimpunan Agongnya. Satu acara yang digembar-gemburkan, juga secara meluas di media2 harian kita.

Beliau mula terusik untuk mempertahankan Melayu. Demi mempertahankan Rajanya. Maka UMNO ialah satu-satunya pilihan beliau.

Yuss tidak mempersoalkan pilihan yang beliau buat. Itu hak masing2. Tetapi yang membuatkan Yuss rasa tercalit perasaan geramnya ialah apabila beliau mempersoalkan kewarganegaraan bangsa2 lain di bumi Malaysia ini. Pendatanglah. Apalah.

Yuss akui beliau terlalu mentah memahami semua ini. Yuss sendiri sehingga kini masih belajar untuk memahaminya.

Namun begitu, Yuss terus bertanya secara terus, adakah beliau Melayu? Tanpa sesaat berfikir, beliau terus menjawab ya.

Yuss bertanya lagi jika emaknya dulu asalnya Melayu? Beliau tidak menjawab terus seperti soalan pertama tadi.

Setelah berfikir sedikit, beliau memberi alasan terbaiknya bahawa emaknya Melayu dan masuk Islam selepas mengahwini bapanya yang memang asal Melayu. Sebelum berkahwin, ibunya seorang Buddha berbangsa Cina. Secara automatiknya, Melayulah diri emak beliau disebabkan peristiwa keislaman itu.

Setelah beberapa lama, akhirnya beliau mengakui dirinya berdarah campuran Melayu dan Cina. Yuss terus bertanyakan lagi soalan yang agak berat, siapakah yang berhak ke atas dirinya untuk memilih Melayu sebagai pilihan dominan bangsanya? Adakah ibubapanya, komunitinya, atau corak pemerintahan negaranya yang membuatkan beliau memilih Melayu sebagai pilihan hidupnya?

Jika beliau lebih fasih berbahasa Mandarin berbanding Bahasa Melayu, tetapi beragama Islam dan hidup mengikut adat Melayu, adakah beliau Melayu?

Sehingga ke hari ini beliau masih belum dapat menjawab persoalan2 yang Yuss kemukakan. Sehingga ke hari ini juga Yuss malas hendak bertanya balik meminta jawapan.

Kisah Melayu yang kedua juga berkisar kepada tona politik yang sama yang tercetus selepas isu politik negeri Perak. Kisah tentang penderhakaan. Kisah tentang orang Melayu yang dicabar.

Akibatnya, sejak kehangatan isu2 tersebut, beliau selalu sahaja memerli Yuss dengan isu Melayu kerana beranggapan Yuss sudah tidak Melayu lagi.

Mungkin beliau merasakan Yuss tidak mahu mempertahankan keMelayuan sendiri seperti dirinya. Beliau yang menceburi bidang perniagaan telah memilih Melayu sebagai pelaburnya sahaja. Dan Melayu sahaja sebagai pembelinya. Alasannya kerana hendak bantu Melayu. Seboleh-bolehnya semuanya kena Melayu. Apa gilakah Yuss hendak jadi seperti itu?

Beliau berkata, dirinya bukanlah cemburu dengan bangsa Cina dalam hal perniagaan, tetapi memilih alasan untuk membakar semangatnya menjadi lebih berjaya dari bangsa2 Cina di Malaysia yang lain. Dalam hati Yuss, alasan tetap alasan untuk mencipta alasan tanpa alasan yang munsabah.

Tetapi baru2 ini, setelah agak lama tidak berbual dengannya kerana kesibukan masing2, secara seronoknya beliau telah bercerita tentang perjalanannya ke negara China. Hong Kong pun ditinjaunya.

Tanpa menunggu panjang, Yuss terus bertanya, pergi ke sana buat apa? Katanya pergi jalan2 sambil tengok barang untuk buat bisnes. Katanya hendak cari pembekal kain untuk bisnes pakaian bila balik nanti. Katanya lagi, murah kalau beli secara pukal dari sana.

Soalan sinis Yuss, kenapa pergi berjalan ke negara orang Cina? Kenapa cari peluang perniagaan dengan orang Cina? Apa bezanya Cina Malaysia dan Cina China?

Entahlah apa reaksi dalam hati beliau, Yuss malas hendak ambil tahu. Ternganga atau tidak mulut beliau, Yuss peduli apa. Inilah jenis2 manusia hipokrit yang termakan dek permainan politik perkauman di Malaysia.

Persoalan2 kecil seperti ini tidak siapa yang dapat menjawabnya apabila mereka khayal dengan sogokan hidup hariannya yang penuh rasis.

Yuss malas lagi hendak berdebat, atau hendak menolong mencari jawapan untuk mereka. Berfikirlah sendiri jika mampu. Tuhan dah bagikan akal dan minda, gunakanlah sebaik mungkin.

Nampak gayanya, Yuss terpaksa menerima konsep 1Malaysia anjuran PM kita, Najib Razak. Marilah kita kembali kepada pembinaan bangsa yang betul untuk negara bernama Malaysia.

Jangan biarkan 1Malaysia gagal hanya kerana perbezaan politik kita hari ini. Kerana jika gagal 1Malaysia, bermakna kita telah mencipta kegagalan dalam masyarakatnya. Politik menjadi kayu pengukurnya dalam isu kesatupaduan ini.

Kecualilah kegagalan 1Malaysia disebabkan perubahan lanskap politik negara dan digantikan oleh konsep2 lain yang sama sepertinya, mungkin seperti Anak Bangsa Malaysia atau perpaduan nasiona atau apa sahaja, namun sifat idea bangsa Malaysia itu sendiri harus terus ditanamkan.

Yuss pilih Malaysia dahulu. Melayu kemudian.

No comments: