Thursday 16 April 2009

1Malaysia atau 1Melayu?

Dekat seminggu Yuss pergi bercuti, seminggu jugalah banyak peristiwa menarik yang Yuss tertinggal di dalam negara.

Sama ada kes MIC yang kecewa dengan kedudukan wakil mereka di dalam kabinet, atau kes Muhyiddin yang dibesar-besarkan dalam akhbar2 berbahasa Cina, atau yang terbaru hari ini, kes perletakan jawatan ADUN Penanti, Fairus Khairuddin dari PKR.

Yuss agak keliru mengenai isu2 hangat ini. Ia tidak mencerminkan wajah sebenar apakah itu Satu Malaysia atau One Malaysia seperti yang dicanang-canangkan oleh PM kita, Najib Razak.

Percanggahan kesepekatan 1Malaysia ini seperti menjerat diri BN itu sendiri. Kerana apa?

Kerana Yuss selalu bertanyakan soalan2 berikut berdasarkan kepada kes2 di atas ke dalam diri Yuss...

Kenapakah MIC seperti mewakilkan diri mereka sebagai untuk kaum India sahaja dalam isu wakil kabinet kerajaan kita dan bukan atas semangat keMalaysiaan?

Dan kenapakah kenyataan Muhyiddin dilihat menyalahkan kaum2 lain seperti Cina dan India selepas kekalahan pilihanraya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang yang lepas?

Kenapakah isu2 berasaskan kaum seperti ini masih dimainkan secara hangat dalam arena politik tempatan kita? Adakah 1Malaysia ialah Satu Pembohongan?

Adakah 1Malaysia ialah satu ideologi songsang ciptaan BN? Atau lebih tepat lagi kepada UMNO khususnya? Bagaimanakah perasaan mereka yang berada di dalam UMNO yang memperjuangkan isu2 Melayu secara radikal untuk cuba menerima konsep 1Malaysia ini?

Adakah UMNO akan melihat 1Malaysia ini mencabar Ketuanan Melayu mereka? Sama seperti yang pernah dilaungkan oleh perjuangan DAP melalui Malaysian Malaysianya dan PKR melalui Anak Bangsa Malaysianya? Adakah orang UMNO akan cuba mengangkat isu ini secara ekstrem seperti sebelum ini dan menukar idealisme 1Malaysia kepada 1Melayu?

Kenapakah percanggahan2 idea ini berlaku dan dilihat tidak sehaluan dalam asas perjuangan parti masing2 seperti UMNO dan yang terbaru, MIC? Adakah idea2 keMelayuan dalam Perhimpunan Agong yang lepas dilihat tidak kena dan tidak tepat dengan falsafah 1Malaysia ini?

Yuss terpikir, adakah 1Malaysia ialah satu janji kosong? Janji kosong kerana asasnya tidak sama dengan apa yang disuarakan oleh pemimpin tertinggi UMNO dalam perhimpunan Agong mereka.

Yuss terus keliru dengan pendekatan yang cuba diambil oleh pentadbiran baru yang diketuai Najib ini. Yuss akui usia pemerintahannya masih belum layak untuk dinilai dan dianalisa buat masa sekarang tetapi kecelaruan seperti ini telah membuatkan jatidiri Yuss terganggu.

Adakah salah menyamakan 1Malaysia dengan Malaysian Malaysia? Apakah perbezaannya dari segi kesamarataan ini? Adakah 1Malaysia melanggar hukum perlembagaannya dari segi hak istimewa orang Melayu?

Adakah Malaysian Malaysia juga melanggar hukum perlembagaan mengenai hak istimewa ini? Adakah konsep Anak Bangsa Malaysia laungan PKR juga melanggar hukum ciptaan manusia mengenai hak istimewa ini?

Bukankah perlembagaan itu sesuatu yang suci dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh suatu pihak? Selagi kita hormat kepada perlembagaan, selagi itulah kita akan hormat kepada negara.

Adakah kita takut DAP mungkin akan memerintah secara sendirian dan mengubah perlembagaan negara? Adakah PKR juga nanti akan memerintah bersendirian? Dan dalam masa yang sama, pernahkah kita terpikir, bahawa UMNO boleh dan telah memerintah bersendirian tanpa gabungan dengan parti2 lain?

Semuanya perlu bekerjasama tanpa berlebih dan berkurang dengan yang lain2.

Dan adakah 1Malaysia dicipta atas nama fabrikasi yang indah semata2 tetapi kehendak perjuangan tetap sama seperti sebelum ini? Kalau beginilah kehendaknya, ini bermakna ideologi ini ialah satu penipuan kepada rakyat. Menipu itu hukumnya sendiri ialah dosa.

Seperti biasa, politik diasaskan kepada suatu harapan. 1Malaysia ialah contoh terbaru pengharapan politik kita hari ini. Tetapi harapan yang bagaimana yang boleh disandarkan kepada rakyat, rakyat sendirilah yang akan menilainya.

Tempoh 6 bulan untuk membuat penilaian semula pentadbiran Najib seperti yang dijanjikan oleh beliau bukanlah tempoh yang panjang. Ianya singkat dan beliau juga perlu ingat, rakyat hari ini ialah rakyat yang tidak mudah lupa.

Kita sendiri boleh melihat momentum PRU12 Mac tahun lepas yang tetap kekal untuk tempoh setahun lebih melalui bukti pilihanraya kecil 2 bukit 1 batang minggu lepas.

Jika BN betul2 ikhlas berubah ke arah konsep 1Malaysia, ubahlah dasar parti masing2 dan benarkan kaum2 lain menyertainya. UMNO untuk semua kaum. MIC untuk semua kaum. MCA untuk semua kaum. Atau tukarkan nama kaum dalam parti masing2 kepada konsep yang lebih universal. Itulah baru dinamakan ikhlas untuk berubah.

Atau jika tidak pun, melalui pendaftaran BN sebagai parti. Kerana jika BN yakin dengan konsep 1Malaysianya, daftarkan saja BN sebagai satu entiti parti. Sanggup?

Jika betul2 sanggup, mungkin selepas ini nanti nama2 seperti UMNO, MIC dan MCA atau kumpulan2 kaum tertentu yang lain akan didaftarkan sebagai satu badan bertindak sebagai kumpulan pelobi yang berada di luar kerajaan. Tujuan mereka ialah cuba untuk memenangkan parti2 yang bertanding yang dilobi oleh mereka. Sama seperti politik di AS.

Bukankah indah jika ini boleh berlaku? Bukankah indah jika politik dibersihkan daripada asas perbezaan wajah kaum yang kuat? Bukankah ini sebenarnya impian 1Malaysia?

Telah lama perkauman menjadi duri dalam daging politik Malaysia. Kita marah kalau negara Malaysia digelar negara perkauman. Kita marah kalau isu politik orang Melayu diperkotak-katikkan. Kenapa kita tidak marah kepada asas pembinaan negara yang membeza-bezakan bangsa di dalamnya dari segi politik?

Kenapa kita tidak marah kepada isu perkauman yang dimainkan secara ekstrem oleh pihak2 tertentu di dalam dunia politik tempatan? Kenapa kalau kaum lain cakap pasal isu perkauman, kita akan melenting, tapi kalau kita sendiri yang cakap, oh, ianya tidak mengapa?

1Malaysia masih lagi berupa Satu Impian. Ia bukan realiti. Ia masih fantasi.

Jika 1Malaysia tercipta untuk perpaduan, adakah perpaduan itu nanti akan cuba dibentuk atas nama perpaduan kehormatan Malaysia atau kehormatan Melayu? Yang mana satukah pilihan orang Melayu UMNO khususnya, dan orang Melayu yang suka berpolitik, amnya?

Janganlah bila dalam UMNO cakap lain, bila dalam BN cakap lain, bila dalam kerajaan Malaysia cakap lain, bila dalam PBB pun cakap lain. Macam lidah bercabang empat. Empat? Kenapa empat? C4? Mongol?

Yuss Anak Bangsa Malaysia.

No comments: