Agak lama Yuss tidak menulis di sini. Banyak perkara yang timbul dan Yuss masih belum teringin nak menulis. Tapi, baru2 ini selepas isu UiTM timbul dan perlu dibuka 10% untuk bukan bumiputera oleh Tan Sri Khalid, Menteri Besar Selangor, ia betul2 membuka mata Yuss untuk menulis semula. Sekali lagi, isu bangsa telah dimainkan dengan amat teruk sekali oleh media perdana kita. Lebih 5000 pelajar UiTM membuat perarakan bantahan di pejabat MB. Jelas, isu bangsa dan agama adalah ibarat duri dalam daging untuk masyarakat kita. Ia telah dipolitik dengan teruk sekali. Isu hanya timbul selepas Kahlid membuat kenyataan tersebut. Tiba2 sahaja bantahan yang amat dahsyat seluruh UiTM. Ibarat Khalid menjolok sarang tebuan. Mungkin hanya sebab Khalid pembangkang, segala kata-katanya dianggap memakan diri sendiri. Tapi, bagaimana pula jika kenyataan di atas dikeluarkan oleh Paklah? Adakah double standard akan berlaku? Khalid mengulas semula dengan berkata ia hanyalah pandangan peribadi dan sekadar cadangan sahaja. Kenapa dibesarkan sebegitu rupa. Seingat Yuss, UiTM memang pun sebelum ini telah membuka pintunya sedikit untuk bukan bumiputera. Yuss mungkin silap. Tapi, jika isu ini timbul, kenapa isu MRSM dan Matrikulasi dahulu yang memberi sedikit kuota untuk bukan bumiputera menyertainya tidak ditentang secara habis-habisan seperti sekarang? Sebab yang merancang adalah orang kerajaan sendiri, jadi tidak mengapa? Yuss pelik dan sedih. Kenyataan Naib Canselor UiTM seperti dibawah benar2 membuatkan Yuss kecewa dan malu :
""UiTM adalah satu-satunya institusi terakhir bagi orang Melayu untuk mengubah nasib mereka menerusi pendidikan dan tidak ada sebab mengapa ada pihak cuba mencampuri atau mengacau pentadbirannya selama ini"
Apakah UiTM itu sesuatu yang sangat berharga? Kenapakah sifat bangsa diletakkan teratas mengatasi segala-galanya atas nama HAK dalam perlembagaan? Hak Melayu dan Islam tidak akan berubah dalam perlembagaan negara. Itu kita kena faham. Tapi cara perlaksanaan atau maksudnya boleh menimbulkan keraguan dan ketidakselesaan. Dan ia harus berpandukan kepada perbincangan yang sihat. Kenapa kita tidak mahu meletakkan diri kita dalam diri bangsa2 lain di Malaysia ini? Bayangkan jika hanya Orang Asli sahaja boleh masuk universiti itu, Cina sahaja untuk universiti ini dan India sahaja yang lagi satu. Apakah perasaan kita orang Melayu? Kalau ada yang marah dan tak puas hati, macam tu lah perasaan bukan bumiputera sekarang dengan isu UiTM ini. Dan yang lebih pelik lagi, maksud UNIVERSITI itu sendiri adalah universal dan bebas. Bukan atas dasar bangsa. Jika isu ketuanan Melayu dikaitkan dengan UNIVERSITI, betapa malangnya lah kita. Yang pertama seumpamanya di dunia ini.
Yuss tidak pernah bersetuju dengan kewujudan UiTM. Ia adalah suatu institusi yang tidak masuk akal. Penakut. Dan lemah. Penakut kerana dibina untuk tujuan jaminan Melayu masuk Universiti. Penakut kerana tidak mahu bersaing dengan bangsa lain. Penakut kerana Melayu suka mencari satu benda palsu untuk keyakinan diri sendiri. Jika dulu tarafnya sebagai Institut Yuss boleh terima tapi bukan sebagai Universiti.
Walaupun jelas isu ini dipolitikkan, tapi sebagai seorang manusia biasa, Yuss amat sedih kerana Bangsa dan Agama adalah dua perkara yang menjadi api dalam sekam masyarakat kita. Yuss ulangi kenyataan ini kerana ia amat mudah dimainkan oleh pihak2 tertentu untuk kepentingan politik masing2. Yuss rasa kita semua bertanggungjawab memperjelaskan isu ini kepada semua dengan lebih terbuka. Maksudnya? Kita kena faham 2 soal pokok di sini. Isu hak dan perlaksanaaan hak.
Isu hak tak akan berubah. Ia termaktub dalam perlembagaan negara kita. Ia menjadi asas pembentukan negara Malaysia. Ia telah tertulis dan menjadi rujukan penting buat kita mencorakkan negara. Ini kena jelas.
Isu kedua, perlaksanaan hak. Inilah yang perlu kita bincang, perlu kita diskusi, perlu kita katakan secara terbuka. Bukan tertutup. Tak kiralah dalam konteks apa pun sekali pun. Bukan dengan menutup pintu rundingan dan perbincangan. Dan sebagai contoh UiTM ini, perbincangan mengenainya ibarat ditutup dengan seribu kunci oleh pemimpin politik kita. Paklah yang mengulas isu ini kata tiada kuota untuk bukan bumiputera. Naib Canselor UiTM pula seperti petikannya di atas telah menggunakan perkataan HAK dalam perlembagaan tanpa ada perbincangan susulan yang sihat mengenainya. Tamat. Dan kini, isu ini ibarat tergantung tak bertali. Inikah yang kita mahukan? Inikah dinamakan perlaksanaan hak yang adil dan tepat? Yuss rasa agak kecewa. Dan ditambah lagi, NC ini menjelaskan tentang isu hak orang Melayu. Tapi UiTM dibuka untuk Bumiputera. Apakah beliau patut menggunakan perkataan Melayu atau Bumiputera?
Bagi Yuss, banyak kelemahan yang ada pada UiTM sebagai universiti. Itu pandangan peribadi. Yuss anggap ia sebagai lambakan mereka yang tidak layak untuk ke universiti. Juga tempat persaingan sesama bangsa yang sangat lemah dan dangkal. Ada yang berkata, MCA pun ada universiti mereka sendiri. MIC juga begitu. Buat apa bukak UiTM untuk mereka? Tapi kita kena ingat, mereka tak meletakkan syarat melarang pelajar bumiputera memasukinya. Dan jika parti2 politik ini ada universiti mereka sendiri sekalipun, inikah yang kita inginkan? Semakin memisahkan dan menjarakkan sifat bangsa antara satu sama lain di kalangan kita? Sudah jelas lagi bersuluh, 50 tahun yang lepas sejak merdeka adalah satu kesilapan. Kesilapan besar kerana mengasingkan bangsa dengan jarak amat jauh sekali. Kita telah bergerak secara songsang dan salah. Yang sepatutnya berlaku adalah pembinaan BANGSA MALAYSIA. Bukan Melayu Malaysia, Cina Malaysia atau India Malaysia. Sepatutnya 50 tahun akan datang ini kita perlu tekankan ke arah itu. Bagaimanakah mungkin ia terjadi? Adakah dengan meninggalkan sifat bangsa dan kaum yang asal dalam diri kita? Itu idea bodoh namanya. Mungkin asas yang paling penting ialah dengan menanam keyakinan bahawa kita bangsa Malaysia dahulu dalam sesuatu perkara. Meletakkan bangsa Malaysia nombor satu dahulu. Kemudian barulah melihat bangsa asal kita untuk jika terpaksa. Sepatutnya ada garis panduan ke arah itu.
Jelas bagi Yuss, Yuss melihat Melayu lah yang paling suka bermain dengan isu bangsa. Orang yang asyik mempertahankan sesuatu perkara tanpa mahu berbincang dan terbuka adalah mungkin kerana ada rasa insecure dalam diri mereka. Mereka yang tidak yakin kepada diri sendiri. Yuss memang salahkan Melayu dalam hal ini. Kerana kebodohan mereka meletakkan sifat bangsa mengatasi agama. Inilah yang memalukan. Kita bukan superior. Bukan terhebat dari orang lain.
Agak menarik untuk melihat maksud perkataan2 dibawah.
Melayu itu Islam.
Melayu itu Bumiputera.
Bumiputera bukan semestinya Melayu dan Islam.
Bukan Melayu tapi Islam adalah Bumiputera atau Bukan Bumiputera?
Jika kita lihat dalam konteks maksud 3 perkataan di atas, jelas sekali Melayu berada dalam ranking teratas. Kemudian barulah Islam. Kemudian barulah Bumiputera. Islam ibarat pengikat dalam pool atau kelompok maksud BUMIPUTERA itu sendiri. Kita semakin terasing.
Yuss BANGSA MALAYSIA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Mungkin cara menilai perjuangan itu sebenarnya yang berbeza...
Saya sebagai bekas pelajar ITM faham maksud beberapa hujah saudara.
Namun isu ini mungkin lebih kompleks daripada hanya satu cadangan pemimpin politik dan satu kritikan balas seorang NC.
Yang pasti kebenaran dan keadilan itu biasanya bergantung daripada sudut pandang insan itu sendiri.
Mereka yang memikirkan seberapa banyak sudut pandang dan akhirnya mengolahkan cadangan / idea / saranan tanpa kepentingan diri atau kumpulan sendiri itulah yang sukar dicari kini.
Post a Comment