Saturday, 13 September 2008

Indahnya Suara Alam

Hari ini negara dikejutkan dengan penangkapan individu2 tertentu atas alasan menganggu keselamatan dalam negara. Ia telah terjadi. Ia telah pun berlaku. Yuss masih sedih dengan apa yang berlaku. Sedih atas nama kemanusiaan. Yuss juga tidak lupa yang ianya juga terbentuk atas undang-undang ciptaan manusia.

Undang-undang (law).
Keadilan (justice).
Hak asasi manusia (human rights).

Ketiga-tiga ini punya maksud yang berbeza. Tapi mereka saling berkaitan antara satu sama lain. Dan umumnya melihat ia dari sudut yang sama. Menuju ke arah kebaikan manusia. Membataskan manusia dalam tingkahlaku mereka. Dan akhirnya akan meletakkan manusia di atas landasan matlamat mencapai tamadun terbaik mereka. Dan bagaimana pula dengan prinsip yang Yuss pegang selama ini bahawa disebalik undang2 akan ada keadilan, tetapi akan adakah keadilan disebalik undang2? Ini lebih kepada kepercayaan terhadap diri sendiri atas nama hak kemanusiaan dengan undang2 yang sedia ada.

Sedar atau tidak, manusia bergerak mengikut perubahan masa dan zaman. Ia berubah. Evolusi dan revolusi. Lambat atau cepat. Begitu juga dengan undang-undang. Undang2 ciptaan manusia bergerak mengikut perubahan manusia di dalamnya. Ia tidak terhenti dan kekal begitu selamanya. Ia dipinda. Atas nama kebaikan manusia itu sendiri. Dalam masa mereka. Dalam zaman mereka. Bersebab dan tersebab bila ia tergubal.

Bukti banyaknya pindaan dalam undang-undang negara dari semasa ke semasa adalah kerana kita bersedia dan mahu kekal dalam cabaran hari ini dan masa depan. Itu proses yang kita boleh lihat dengan mata kasar. Proses yang boleh dilihat di Parlimen. Proses yang dibuat oleh pembuat dasar. Untuk mengawal tingkah laku manusia.

Dan bagaimanakah pula dengan undang-undang yang satu ini? Adakah ia terlaksana kita atas nama menyentuh aspek kawalan pemikiran? Adakah ia sesuatu yang masih logik untuk dipakai pada hari ini? Apakah kelayakan penafsiran undang-undang tertentu ini untuk mengiya atau menidakkan perbuatan pemikiran mereka yang terlibat ini? Masih relevan dan wujud lagikah pemikiran subversif dalam masyarakat hari ini? Kerana ia dulunya tercipta dan tergubal untuk menghalang pemikiran subversif ini. Siapa pula hari ini yang berhak mengawal undang-undang jenis ini? Aplikasi jenis apakah pendekatan yang mereka gunakan?

Dan bagi rakyat biasa atau mereka yang tak mahu sentuh langsung tentang undang2 ini, mereka sebenarnya takut. Mereka sebenarnya terbelenggu walaupun untuk menyebut perkataan itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan kongkongan minda. Yang terselaput dengan rasa takut dan tidak pasti. Tidak tahu samada mereka boleh untuk bersuara tentangnya ataupun tidak. Atau berfikir sekalipun tentangnya.

Jika pemikiran politik boleh kita kaitkan untuk tidak memandang kepada sejarah semata-mata, undang-undang manusa juga, sepatutnya, tidak melihat kepada sejarah semata2. Ia boleh dipinda. Ia boleh diperbaiki. Ia tak kekal sama selama-lamanya.

Yuss berharap pengamal undang-undang dan pengamal politik, atau lebih tepat lagi, badan legislatif dan badan eksekutif, boleh kembali kepada rakyat sekali lagi. Kepada orang biasa. Kerana ia untuk mereka rakyat biasa. Bukan untuk kepentingan golongan2 atasan sahaja. Kerana rakyat telah bersuara. Mereka telah membantah. Mereka telah bersatu dalam satu kelompok pemikiran yang besar dan semakin bertambah besar. Jika ditinjau dan diselidik, pastinya jawapan penolakan undang2 ini satu realiti.

Kerana rakyat sudah terlalu ramai yang terpelajar. Kerana sesama mereka sendiri pun telah terpecah lubang pemikiran yang tertutup. Mereka sedar dan terbuka sesama mereka. Mereka mahukan perubahan ini. Dan bukan setakat perubahan dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Tetapi lebih menyeluruh, termasuklah undang-undang yang mencabar pemikiran mereka ini.

Bagi Yuss, undang-undang yang menyekat keterbukaan pemikiran akan melembabkan penciptaan tamadun. Undang-undang yang menganggu cabaran pemikiran akan melemahkan lagi tamadun yang cuba dicipta. Seperti yang pernah Yuss baca dalam tulisan George Weinberg tentang teori asas dalam psychotherapy, kesimpulan terbaik yang boleh Yuss berikan ialah:

Bila kita sekat hak kebebasan kita untuk bersuara, bermakna kita telah menghalang minda manusia untuk berfikir. Dan menjadikan manusia itu bersifat penentang.

Dan bila kita benarkan konsep minda kita bergerak bebas untuk berfikir, bebas untuk menjelajah secara liar, dari situlah akan datangnya idea baru, konsep baru. Untuk kita terima dan adapatasi.

Begitulah jawapan terbaik bagaimana manusia itu terevolusi.

Menjadi dan mencipta masyarakat dan tamadun sempurna adalah sesuatu yang mustahil. Tetapi mencari dan menuju ke arah kesempurnaan itu dalam masyarakat dan tamadun adalah realiti dan boleh terjadi.

Undang-undang itu Indah.
Undang-undang itu Suara.
Itu Undang-undang Alam.

Yuss di bawah undang-undang.

No comments: