Wednesday 1 July 2009

Even God Can't Change The Past

Hari ini adalah hari yang paling baik buat Yuss. Hari ini juga, Yuss dapat kembali seperti biasa untuk melakukan perkara harian dengan sempurna. Minda Yuss kembali berfungsi. Perasaan Yuss kembali tenang. Hati Yuss kembali segar.

Yuss sendiri hairan kemanakah menghilangnya diri 'sebenar' Yuss selama ini.

Selama ini Yuss tahu Yuss sakit. Tapi Yuss gagahkan juga buat tak tahu dan mendiamkan diri. Alasan Yuss, hendak pergi berubat selepas selesai majlis perkahwinan abang sulung Yuss nanti. Yuss suka menangguh. Tapi Tuhan itu Maha Kuasa.

Pada 15 Jun yang lepas, terdetik ianya menjadi hari paling menyeksakan buat diri Yuss. Yuss tak boleh bernafas. Badan terlalu lemah untuk berdiri dan muntah tanpa henti. Disebabkan sudah tak tertahan, Yuss kuatkan hati ingin pergi ke hospital.

Sesudah parkir kereta di PPUM sekitar jam 9pm, Yuss masih berdegil tak mahu pergi ke A&E. Yuss duduk sahaja di dalam kereta. Perangai degil masih menebal dalam diri Yuss. Yuss rasakan kononnya diri ini masih lagi kuat menunggu hingga hari esok dan pergi ke klinik biasa sahaja. Yuss buat keputusan untuk balik semula ke rumah.

Esoknya, tanpa banyak berfikir lagi, Yuss pergi sekali lagi ke PPUM. Itu pun ke klinik rawatan biasa mereka. Alasannya kerana ianya mungkin penyakit biasa dan tidak serius. Namun begitu, pegawai perubatan di situ terus menghantar Yuss ke A&E tanpa banyak cakap. Yuss terlantar di atas katil lebih kurang 9 jam. Pelbagai ujian dan sampel diambil.

Akhirnya, Yuss dimasukkan ke wad rawatan intensif selama 10 hari. Seboleh-bolehnya Yuss mahu balik kerana hujung minggunya ialah hari nikah dan resepsi perkahwinan abang Yuss.

Atas nasihat doktor, Yuss tidak dibenarkan keluar atas alasan Yuss mudah dijangkiti kuman melalui pernafasan terbuka. Mereka lebih arif. Yang pasti, Yuss sudah terlepas hari bersejarah perkahwinan abang Yuss. Sudahlah abang Yuss yang kedua kahwin dulu pun Yuss tidak dapat pergi, yang ini pun Yuss melepas. Ini sahajalah adik beradik yang Yuss ada. Terasa sedih sangat kerana semuanya terlepas. Tapi takdir Tuhan tiada siapa yang dapat melawan.

Walau apa pun, pengalaman terhebat dalam diri Yuss yang terjadi kepada diri ini ialah pada hari kedua Yuss berada di dalam wad. Yuss betul2 dapat merasakan azab dan sakitnya penyakit yang ditanggung. Yuss akui ketika itu diibaratkan Yuss sedang bertarung nyawa. Yuss rasakan nyawa Yuss sudah sampai ke penghujung. Yuss dapat rasakan seperti jasad dirinya seperti mula berpisah dengan nyawanya.

Yuss juga dapat merasakan adanya suara2 halus yang minta Yuss memohon keampunan Ilahi. Diajarnya Yuss untuk membaca surah2 al-Quran. Ianya ibarat seperti Yuss sedang berhalusinasi tetapi terlalu realiti. Sakit, pedih badan, menggeletar, berpeluh, tak selesa dan sebagainya bagaikan disekalikan ketika itu.

Apa yang Yuss minta hanyalah Tuhan memberikan peluang kedua kepada Yuss untuk membetulkan diri sendiri. Dengan izin Tuhan. Yuss mengakui segala kesalahan Yuss dan meminta diberikan masa untuk Yuss bertaubat.

Dalam proses transisi jiwa dan jasad Yuss ketika itu, Yuss menangis. Menangis kerana Yuss dapat melihat diri sendiri terlantar di atas katil. Menangis kerana terasa sakitnya dada Yuss seperti disentap secara kuat. Yuss tak boleh gambarkan kesakitan ketika itu. Terlalu berbeza seperti sakit2 lain yang pernah Yuss alami sebelum ini.

Mungkin sayangnya Tuhan kepada umatnya, Yuss seperti diberikan peluang kedua. Yuss mula tenang apabila tangan Yuss masih boleh digerakkan oleh minda Yuss. Ketika itulah Yuss sedar Yuss belum meninggalkan dunia ini lagi.

Betapa bersyukurnya Yuss walaupun badan berpeluh2 menahan sakit. Apa yang Yuss ingat, mulut Yuss tak habis2 mengucapkan syukur kepada Tuhan. Ketika Yuss sedar semula dari pengalaman itu, badan Yuss terasa amat lemah dan tidak bermaya. Hendak tekan butang panggil jururawat pun Yuss tidak larat.

Nasib baiklah ada seorang jururawat yang masuk ke bilik untuk memberikan ubat nampak keadaan Yuss. Beliau sendiri terkejut melihat banyaknya peluh dan muntah dalam bekas muntah. Yuss minta ingin berjumpa doktor. Yuss rasa beliaulah yang memaklumkannya kepada doktor.

Yuss juga teringat kedatangan doktor seawal pukul 6-7am yang sanggup datang melihat keadaan Yuss atas permintaan Yuss. Betapa dedikasinya mereka cuba membantu Yuss. Yuss masih ingat lagi doktor2 itu cuba bertanya itu ini mengenai keadaan Yuss. Tapi Yuss sekadar mematikan diri kerana terlalu tidak bermaya.

Akhirnya Yuss disediakan dengan ubat tambahan untuk melawan rasa sakit. Bermula dari hari itulah, Yuss boleh sedar semula seperti biasa walaupun pernafasan Yuss masih memerlukan bantuan oksigen.

Ianya satu pengalaman yang cukup hebat kepada diri Yuss. Satu pengalaman yang betul2 mendekatkan diri Yuss kepada Ilahi. Yuss anggap ini ialah peringatan dan peluang kedua oleh-Nya sebelum nyawa Yuss dicabut tanpa sempat bertaubat.

Alhamdulillah, Yuss kini terlalu ingin kembali ke jalan biasa yang benar dan lebih teratur. Yuss mahu perbetulkan semua yang tak betul sebelum ini.

Yuss juga amat2 berterima kasih kepada doktor2 pakar, dan doktor2 lain yang banyak membantu Yuss. Lebih kurang 6 orang doktor yang berdedikasi dan penuh rasa tanggungjawab membantu Yuss.

Yuss yang sentiasa lemah ini pun menjadi semakin positif, atau terlebih positif dengan sikap yang ditunjukkan oleh doktor2 ini. Yuss banyak kali mengucap syukur atas keprihatinan mereka membantu Yuss. Yuss tak boleh nak balas dengan wang ringgit. Yang termampu buat saat ini hanyalah doa2 yang baik buat mereka.

Begitu juga dengan jururawat2 PPUM yang sangat ramah dan sentiasa tersenyum.

Dan tidak lupa, manusia baik bernama Dino yang terlalu banyak membantu sepanjang Yuss sakit ini. Entahlah macamana hendak membalasnya. Masa, tenaga itu dan ini telah banyak beliau berikan kepada Yuss. Yuss tahu Dino seorang manusia yang terlalu baik dan bersedia membantu sesiapa sahaja.

Yuss masih lagi dalam recovery ketika ini. Ada 2 minggu lagi untuk Yuss mungkin betul2 sihat dari jangkitan kuman. Tapi rawatan lain akan tetap berterusan dan mungkin untuk sepanjang hayat Yuss bagi memastikan Yuss terus bernyawa dan tidak mudah dijangkiti penyakit dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Apa2 pun, Yuss telah bersedia untuk mendapat hidup baru yang lebih baik. Berkat doa ibubapa Yuss, opah2 Yuss dan kaum keluarga Yuss, ianya akan dijadikan peringatan untuk Yuss terus kekal menjadi manusia berguna.

Insya-Allah.

Yuss sayang Tuhan.

No comments: