Thursday 9 July 2009

Kotak Rokok


Semenjak kotak-kotak rokok di Malaysia meletakkan gambar menggerunkan seperti di atas, Yuss tersenyum. Baru sekarang kita mahu buat. Malaysia selalu lambat sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Kali pertama Yuss terlihat kotak-kotak rokok ini dijual kedai serbaneka 24 jam, Yuss sendiri pun terkejut. Macamanalah agaknya perasaan para perokok kita.

Dalam satu kejadian, semasa Yuss hendak membayar barang di kaunter, ada seorang Cina yang berdiri lama di hadapan kaunter. Keadaan beliau nampak macam mabuk. Waktu itu sekitar jam 2am. Beliau menatap kotak rokok yang dihulurkan kepadanya untuk dibeli dengan begitu lama.

Yuss menunggu sahaja di belakang sehingga beliau membayar. Tetapi beliau masih tidak mahu membayar. Beliau seperti tidak puas hati dan minta kotak lain. Penjual itu capai kotak-kotak rokok yang lain dan masih ada gambar-gambar yang menggerunkan itu. Beliau masih tidak boleh membuat keputusan. Digarunya kepala. Ditanya penjual sama ada menjual rokok tanpa gambar seperti itu.

Yuss hanya tersenyum. Hendak tergelak pun ada. Tak sangka, dalam keadaan separuh sedar itu beliau masih ada perasaan bersalah untuk merokok!

Akhirnya penjual memanggil giliran Yuss untuk membayar dan membiarkan si Cina itu ke tepi dan berfikir sendiri sebelum membeli rokoknya.

Selain itu, Yuss juga ada seorang rakan yang telah berhenti merokok. Semuanya gara-gara gambar gerun di kotak rokok yang di beli. Beliau yang telah merokok lebih 4 tahun sanggup berhenti begitu sahaja selepas peraturan baru yang mewajibkan gambar gerun itu terpampang di kotak rokoknya.

Ada sesetengah pihak berkata, gambar gerun di kotak rokok Malaysia adalah yang paling menakutkan jika dibandingkan dengan Singapura atau di UK.

Yuss bangga dengan usaha kuat pihak berkuasa yang cuba menyedarkan rakyat tentang bahaya merokok. Kementerian Kesihatan contohnya. Tahniah diucapkan. Dua peristiwa yang berlaku di depan mata Yuss ini membuktikan gambar-gambar tersebut memberi kesan mendalam kepada perokok.

Ada juga rakan-rakan Yuss yang masih terus menjadi perokok tegar terpaksa menukar bekas menyimpan rokok kerana mungkin malu membawa kotak rokok itu sendiri. Itu pilihan masing-masing. Lambat atau cepat untuk berubah dan sedar adalah hak individu.

Apa-apa pun, Yuss berasa bangga kerana akhirnya Malaysia mampu berubah. Kempen Tak Nak yang dijalankan sebelum ini dilihat terlalu lemah dan mendatar. Tapi dengan kehadiran gambar-gambar seperti ini akhirnya telah membuka minda kebanyakan daripada kita untuk sedar.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada mereka yang telah berhenti merokok. Yang tak merokok, hisaplah benda lain. Yang halal sahaja. Hehe...

Yuss tak merokok. ;)

Photo by Google

No comments: