Sunday 12 July 2009

Wacana Ilmiah

Yuss tertarik untuk menulis mengenai wacana ilmiah antara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO selepas cadangan kerajaan perpaduan ditolak bulat-bulat oleh kepimpinan tertinggi Pas.

Wacana boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan kaedah. Sama ada debat terbuka, perbincangan tertutup atau apa sahaja demi kepentingan rakyat Malaysia adalah amat-amat dialu-alukan.

Namun begitu, Yuss merasa agak kurang selesa dengan harapan orang-orang UMNO untuk melihat kesatupaduan antara mereka dan Pas adalah demi untuk kepentingan orang Melayu. Mereka mahu melihat orang Melayu bersatu semula dan tidak dilihat berpecah belah.

Inilah yang menarik perhatian Yuss. Bagi Yuss, jika UMNO benar-benar jujur untuk melihat kesatupaduan orang Melayu, ahli-ahli PKR yang Melayu juga perlu disekalikan. Kenapakah orang Melayu PKR perlu diasingkan? Jika Pas dan UMNO bersatu, ini belum bermakna 100% orang Melayu bersatu kerana ada sebahagian besar Melayu lagi yang menyokong PKR.

Begitu juga dengan sebilangan kecil Melayu yang menyokong dan mewakili DAP. Jika kesedaran tentang survival Melayu itu terlalu penting untuk Melayu, maka lebih baik sekalikan semua wakil-wakil Melayu dalam parti-parti pembangkang ini.

Kenapa UMNO memilih Pas sahaja? Apa istimewanya Pas kepada mereka? Dan selain itu, Yuss agak teruja dengan kesanggupan dan kesungguhan UMNO yang mahu bermuzakarah dengan Pas. Kalau tak percaya, tanyalah si Khairy Jamaluddin.

Ini adalah salah satu ciri terdesak kerana pengetahuan tentang penolakan rakyat terhadap UMNO kini disedari ahli-ahlinya. Sebelum ini, mereka kelihatan sombong mempertahankan pembentukan kerajaan persekutuan walaupun kurang majoriti 2/3nya.

Bagi Yuss, Pas bukanlah parti untuk orang Melayu sahaja. Pas ialah parti untuk semua kaum. Dengan syarat mereka beragama Islam. Cina Islam. India Muslim. Tak kiralah kaum apa sekalipun, sekiranya manusia itu Islam, mereka layak untuk menyertai dan mewakili Pas. Inilah yang membezakan Pas dengan UMNO.

Jika wacana ilmiah ini benar-benar terjadi, bagaimanakah reaksi wakil UMNO jika Pas menghantar 3 orang wakil, satu Melayu, satu Cina dan satu India? Adakah UMNO boleh menerimanya dengan alasan untuk perpaduan Melayu?

Secara terbuka, Yuss melihat wacana ilmiah ini lebih kepada penembusan kekuatan Pas ke dalam UMNO secara jitu. Mereka terus menusuk dan mendesak UMNO untuk berwacana. Dan akhirnya UMNO seperti menerima konsepnya walaupun aktiviti fizikalnya belum terjadi lagi.

Selain itu, Yuss juga melihat penolakan Najib tidak mahu berdebat dengan Nik Aziz sebagai satu kerugian. Dan ianya juga boleh dilihat sebagai tindakan talam dua muka UMNO kerana ada yang berkata elok berdebat dan ada yang tidak dari dalam UMNO itu sendiri. Mahu atau tak mahu? Itulah persoalan politik UMNO.

Parti-parti lain seperti DAP dan PKR sepatutnya tidak perlu risau dalam wacana seperti ini. Walaupun mungkin mereka tidak dijemput, katakan, mereka punya ruang untuk berwacana dengan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Mungkin DAP-MCA boleh duduk bersama mencari titik permulaan ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang betul. Atau PKR-Gerakan. Semuanya berkemungkinan.

Tidak salah untuk duduk semeja. Bersetuju atau tidak keputusan yang diambil, itu belakang kira. Yang penting, usaha ke arah kesefahaman itu sudah ada, walaupun langkah lembut UMNO kali ini yang sanggup berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan parti lawan yang boleh dianggap sebagai satu ciri kelemahan parti UMNO yang kononnya terlalu kuat dan berkuasa.

Tapi, satu perkara yang merisaukan Yuss ialah, jika wacana ilmiah seperti ini gagal terlaksana, UMNO dan BN mungkin menggunakan isu ini untuk kepentingan mereka. Mereka mungkin akan menunjukkan taring sebenar mereka seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

UMNO cuba mencari kekuatannya melalui perbincangan ilmu seperti ini. UMNO mungkin juga cuba meraih simpati dengan cara seperti ini. UMNO juga mungkin mahu melemahkan kekuatan Pas secara halus dan memusnahkan Pakatan Rakyat. Niat di hati siapalah yang tahu.

Begitu juga dengan Pas. Begitu juga dengan seluruh parti-parti politik di Malaysia. Permainan politik tetap politik. Kita hanya perlu tunggu dan lihat.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak salah untuk kita melihat Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional duduk semeja. Tidak salah untuk melihat orang Islam dan bukan Islam berpakat-pakat demi untuk kepentingan negara.

Rasanya, cadangan untuk duduk semeja ini pernah disuarakan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini tetapi ditolak oleh BN. Rasanya Anwar Ibrahim juga pernah menyatakan perkara yang sama. Nampaknya, kejujuran untuk perbincangan bersama seperti ini kebanyakan ideanya datang dari Pakatan Rakyat itu sendiri. Hanya kini baru terbuka sedikit hati UMNO untuk menerimanya walaupun dengan Pas sahaja.

Yang lebih penting lagi, tidak salah untuk membersihkan apa yang dikatakan sebagai politik kotor. Yang kebiasaannya dilakukan oleh satu-satunya parti gabungan itu. Penerimaan rakyat hari ini sangat berbeza daripada zaman sebelumnya. Rakyat melihat politik hari ini tidak sama dengan politik 10 tahun yang lepas. Mereka semakin bijak membuat penilaian tersendiri.

Apa yang boleh dilakukan orang rakyat biasa sekarang ini ialah tunggu dan lihat.

Yuss berharap.

No comments: