Sunday, 30 November 2008

Hubung Kaum

Yuss tertarik dengan pandangan bahawa antara sebab utama sifat perhubungan antara kaum di dalam Malaysia semakin terpisah pada masa kini adalah akibat daripada dasar perindustrian negara. Benar atau tidak atau satu kemungkinan?

Yuss gelarkan tahun 1980-an sebagai waktu bermulanya Revolusi Minda Perindustrian Malaysia. Dasar negara yang meletakkan perindustrian sebagai pemangkin ekonomi negara meninggalkan kesan mendalam dalam sikap perhubungan kaum antara kita semua.

Kerajaan telah menanamkan mentaliti atau pengisian minda ke seluruh masyarakat Malaysia bahawa industri, sains dan teknologi itu adalah yang teratas dalam menjadikan kita maju. Bagi Yuss, cara propaganda meletakkan pasak kebendaan, mesin dan robot telah menjadikan kita tidak berjiwa.

Industri kereta, pembuatan kereta, menghasilkan kereta, membuat enjin kereta, itulah kepentingan negara. Itulah yang perlu diberi perhatian. Itulah khazanah negara. Pengeluaran cip, pengeluaran jentera dan semuanya yang berkaitan dianggap kejayaan negara. Atas nama pemindahan teknologi. Yang menjamin kemajuan. Yang menjamin kekayaan.

Yuss merasakan semua ini telah membelakangkan nilai perhubungan kaum. Menjadikan kita bersifat individualistik di peringkat nasional. Peringkat kenegaraan. Kita dikaburi oleh minda perindustrian ini dan lupa akan asas2 hidup penting dalam perlembagaan negara terutamanya perubahan dan kesan ke atas perbezaan hubungan antara kita semua. Isu perkauman dianggap sebagai isu politik semata dan kuasa penentu hubungan ini diserahkan bulat2 kepada pengamal2 politik ini sahaja. Dan dalam masa yang sama, rakyat pula dimainkan dan dikaburi dengan isu penciptaan kemajuan dalam dunia industri.

Kita lupa, atau sekurang-kurangnya Yuss lupa, kita hidup berpaksikan kebendaan. Mesin, robot, itulah tanda aras kehidupan kita. Dunia sains diangkat setinggi langit, dijunjung sebagai yang terbaik merubah hidup manusia Malaysia.

Dan bagi penghuni Malaysia yang beragama Islam, agama sahajalah unsur kerohanian atau jiwa yang tinggal untuk digunapakai dalam diri seharian sebagai benteng terakhir menjadi manusia berjiwa. Dan selebihnya? Tiada.

Kenapa Yuss berkata demikian? Cuba tanyakan dalam diri setiap anak muda dalam lingkungan umur Yuss, apakah mereka diberikan pilihan tepat dalam hidup mereka di sekolah? Sains atau Sastera? Pilih satu.

Mentaliti guru, sekolah, ibu bapa, pemimpin politik, semuanya meletakkan Sains itu lebih atas dari Sastera. Buktinya ialah apa yang telah terjadi kepada diri Yuss sebelum ini. Sebagai contoh, mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, akan secara terus dan automatiknya perlu menyambung pelajaran dalam aliran Sains. Mereka yang lemah, yang gagal, aliran Sastera menjadi tempat buangan mereka. Itu realiti yang Yuss alami di zaman persekolahan dahulu. Tidak ada pilihan. Terasing. Tidak didedahkan sebaik mungkin pilihan yang mungkin mereka ada.

Perkara ini terjadi tidak kiralah di kampung mahupun bandar. Walaupun bukan semua secara total, tetapi majoritinya, penduduk Malaysia sebaya Yuss dahulu memilih perjalanan kemindaan jenis ini.

Adakah benar Sains dan Sastera tidak berjalan seiringan? Adakah benar Sains perlu ke hadapan mengatasi Sastera?

Bagi Yuss, buktinya agak jelas pada hari ini. Impak atau kesan kita meninggalkan Sastera samalah seperti kita meninggalkan jiwa.

Dalam masa yang sama, kita pula selalu membuat perbandingan jiwa hubungan kaum zaman semasa dan selepas merdeka dahulu amat berbeza dengan hari ini. Benar kita pernah melalui zaman perit 1969 dan selalunya cuba dikaitkan dengan peristiwa hari ini. Bagi Yuss, 1969 terjadi akibat daripada sebab dan pilihan mereka pada waktu tersebut. Faktor ianya berlaku bagi Yuss perlu diselidiki mengikut masa dan sejarahnya. Bukan kepada pendekatan ulangan dan ugutan yang ianya mungkin akan berlaku lagi. Lagi dan lagi.

Pada hari ini, Yuss merasakan, Sastera adalah amat penting sekali bagi menemukan kembali jiwa hubungan antara kita semua. Kita perlu kembali dan mengangkat Sastera sebagai satu kepentingan nasional. Bukan lagi atas nama warisan, penulisan kreatif, tarian tradisional dan persembahan puisi semata. Kerana sebahagian besar minda Malaysia hari ini sebenarnya melihat Sastera itu satu dunia yang penuh kebosanan dan lembap. Fokus mereka ke arah Sastera mengecil dan satu arah.

Bagi Yuss, Sastera ialah sejagat dan bebas. Mereka yang terlibat di dalamnya pula akan lebih mudah kita pandang sebagai bersifat keMalaysiaan. Dan mudah menyatukan kita. Bukan lagi intergrasi kaum atas nama kejayaan membina bangunan tertinggi dunia, kuih terpanjang di dunia, sup ekor terbanyak di dunia, menyeberang Selat Inggeris, mendaki puncak tertinggi di dunia, mengelilingi dunia dan macam2 lagilah. Benar ia membakar semangat kepada kita semua. Tapi jika diberi antara semangat dan jiwa, Yuss pilih jiwa. Kerana semangat sekadar bersifat sementara. Jiwa pula kekal dan sebati dalam diri kita.

Kita perlu melihat kepada pencapaian 'Sastera' atau budaya terkini di Malaysia melalui cara yang berbeza dan lebih luas. Alleycats contohnya. Lagu2 mereka penuh glamer dalam dunia hiburan Bahasa Malaysia. Tapi kita tidak anggap mereka Melayu. Kita masih terima mereka. Cara penerimaan kita terhadap mereka sama tarafnya dengan Siti Nurhaliza, katakan. Secara keseluruhan atau dalam konteks keMalaysiaan. Bukan maksud Yuss mengatakan Siti tidak punya peminat bukan Melayu dalam negara. Ada. Tapi pandangan kita, penerimaan kita terhadap Alleycats dan Siti agak berbeza. Betul atau tidak? Kita mungkin menganggap Alleycats punya jiwa Malaysia dalam muzik dan jiwa mereka, sedangkan Siti pula muzik dan jiwanya lebih cenderung sifat kemelayuannya.

Dan bagi Yuss, hubungan kita yang semakin terpisah hari ini hanyalah terlindung oleh fabrikasi indah ciptaan pemerintah. Kosong jiwa. Itulah yang terjadi dalam 'jiwa' era 80-an dan 90-an. Dan penghujung dekad ini pula Yuss melihat kita menuju ke arah perubahan dan mahukan penyatupaduan.

Walaupun Yuss melihat kita mungkin terpisah hari ini, tapi gelora dan perbincangan terbuka hari ini mengenai isu perhubungan kaum sebenarnya terjadi akibat daripada keterbukaan pemerintah itu sendiri. Contohnya, era pemerintahan Paklah yang dianggap bermulanya keterbukaan dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Walaupun pendapat2 itu ada yang pedas dan hangit. Dan ada yang disoal dan ditangkap. Inilah pencetus gelora.

Walapun geloranya kelihatan berpanjangan, tapi ia sebenarnya baik. Kerana kita semua bijak berbincang dan cuba mencari jawapan dalam kebebasan ini. Gelora ini Yuss anggap sebagai satu FASA mencari jiwa semula. Fasa yang membentuk jatidiri Malaysia hari ini dan masa depan.

Dan jiwa itu bagi Yuss adalah kembali kepada Sastera. Bagaimana kita menilai baik buruk orang lain dengan perasaan. Bukan lagi Ya Tidak Ya Tidak seperti dalam dunia Sains yang perlukan jawapan tepat.

Perlu diingat, Yuss bukan menyalahkan Sains. Ia amat baik sekali. Tapi perlu seiringan... sekali lagi Yuss ulang, perlu seiringan dengan Sastera. Mentaliti mengasingkan Sains dan Sastera menghasilkan apa yang kita ada pada hari ini.

Yuss bekas pelajar Sains dan Seni.

Thursday, 27 November 2008

Yoga, Kongres PKR dan Mahathir

Hampir sebulan Yuss tidak mengemaskinikan blog ini. Kesihatan Yuss terganggu dengan amat teruk sekali. Ini pun belum sembuh sepenuhnya.

Pelbagai peristiwa dan kisah menarik berlaku dalam tempoh masa Yuss tidak menulis ini.

Yoga
Yuss masih berasa hairan kenapalah banyak pihak yang mempertikaikan jawapan atau fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ini. Apa lagi yang nak didebatkan? Apa lagi yang tak puas hati? Benda dah jelas depan mata pun masih berdegil. Kalau tak dikeluarkan fatwa pun bising. Dah dikeluarkan pun bising. Benar sungguh istilah bahawa setiap mahkluk bernama manusia tak pernah puas.

Yuss berasa hairan dengan laporan berita di akhbar, TV dan sebagainya yang cuba mencari jawapan mereka sendiri dengan isu ini selepas ia diumumkan. Bagi Yuss, itu bukanlah caranya. Tapi menghuraikan secara baik setiap satu perkataan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa tersebut.

Amalan yoga itu haram. Senaman yoga pula tidak digalakkan. Tidak digalakkan bukan bermaksud ia haram. Hanya sekadar satu peringatan bahawa kita jangan tersesat atau terbabas. Mudah. Itu sahaja.

Bukan sukar pun maksud dia. Yang kita semua nak berbelit2 mempertikaikan jawapan Majlis Fatwa ini kenapa pula? Dikaitkan itu ini bagi mengiyakan perbuatan masing2.

Hanya olahan 'tidak digalakkan' itu cuba digambarkan sebagai ianya suatu larangan. Suatu yang salah dan haram. Hai.... makan petai dan jering tu pun tidak digalakkan Yuss rasa. Tak bising pun. Bersanding, menepung tawar, merenjis tu pun sebenarnya tidak digalakkan. Bukannya haram. Tidak digalakkan. Masih tak faham2 lagikah manusia nih?

Dan hari ini juga PM kita Paklah akhirnya bersuara dengan cara yang paling cemerlang selaku Perdana Menteri Malaysia. Kenyataan yang beliau keluarkan mengenai Yoga ini amat2 Yuss nantikan. Akhirnya beliau bersuara dengan amat baik sekali. Jarang melihat Paklah menggunakan peranannya sebagai PM dengan sebaik ini. Antara petikan beliau dalam Malaysiakini dalam artikel bertajuk "PM: Yoga tanpa unsur pemujaan boleh diteruskan" :

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan," katanya kepada Bernama apabila dihubungi di ibu negara hari ini.

Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.


Kedangkalan manusia yang tak mahu faham perkataan, tak mahu berfikir inilah yang menyusahkan negara. Inilah mentaliti masyarakat Malaysia. Sedih Yuss melihatnya.

Kongres PKR
Yuss menanti dengan penuh minat apakah dan bagaimanakah isu 16 September ini akan dibangkitkan dalam Kongres PKR peringkat nasional yang akan bermula esok. Orang2 PKR bertanggungjawab sepenuhnya menjelaskan kegagalan mereka melaksanakan tarikh tersebut. Kita tunggu dan lihat.

Bagi Yuss, jika ditanya kepada rakyat pada waktu ini, pastinya peratusan sokongan kepada PKR jatuh merudum. Dan jawapan yang akan diberikan dalam kongres esok menentukan hala tuju PKR di depan mata rakyat. Masih boleh diterima ataupun tidak.

Yuss juga merasakan, jika betul 16 September ini gagal, buktikan pula keupayaan mereka menguruskan negeri Selangor. Bagaimanakah kekayaan dan kemewahan negeri Selangor ini dapat mereka urus dan tadbirkan sebaik mungkin sepanjang tempoh 5 tahun ini. Kita tunggu dan lihat.

Mahathir
Yuss telah menulis sekurang-kurangnya 4 kali mengenai beliau dalam tempoh setahun yang lepas. Tapi satu pun Yuss tidak poskan di dalam blog ini. Dan semuanya Yuss telah padamkan. Apa yang Yuss ingat, apa yang ditulis adalah kritikan2 Yuss terhadap beliau. Sebab utama kenapa Yuss padam dan tidak mahu poskan di sini adalah kerana Yuss anggap era dan zaman beliau telah tamat. Tak perlulah Yuss angkat orang lama ini.

Tapi nampaknya kepedasan mulut Mahathir akhir2 ini betul2 mencabar ketidakselesaan Yuss sekali lagi. Kebanyakan daripada kita masih menganggap Mahathirlah patut memperbetulkan keadaan sekarang. Diangkat dan dipuja setinggi langit. Kata-katanya sentiasa dinantikan oleh semua pihak. Wirawan negara. Kebijakan beliau tiada tandingan. Kehadiran beliau di mana2 sahaja dinanti-nantikan. Beliaulah yang terhebat dan beliaulah yang teragung. Kata-katanya perlu didengar dan diolah sebaik mungkin. Kerana pengaruh beliau masih terlalu kuat.

Yang terbaru ialah kemahuan beliau untuk mendedahkan nama2 mereka yang rasuah dalam pemilihan UMNO akan datang. Beliau punya bukti. Beliau tak takut. Beliaulah ibarat pemegang kunci terbesar pendedahan ini. Beliau melihat beliaulah yang berkuasa.

Satu saja yang boleh Yuss katakan mengenai Mahathir Mohamad. Gila Kuasa.

Pastinya ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan Yuss. Kerana penyokong2 Mahathir ramai. Tapi yang menyokong tu janganlah pulak sampai memuja. Itu yang mereka perlu ingat selalu. Ingat tu!

Bagi Yuss, Mahathir ialah seorang yang pandai menutup kelemahan sendiri. Sebagai contoh, beliau sendiri mengakui semasa zaman beliau menjadi PM, politik wang turut berlaku. Tapi tidak terbuka seperti sekarang. Maka? Oleh itu? Apa maksud beliau ini?

Dimaafkan? Tidak terbuka tidak mengapa? Tiada bukti? Kata2 beliau itu bukan bahan buktikah? Tuduhan2 beliau ini bukan juga satu buktikah? Tidak perlu menyiasat rasuah zaman beliau? Pengakuan beliau ini dicampak ketepi. Dan zaman orang lain pula semuanya salah. Tak betul. Beliau sahajalah yang bersih dan hebat. Ini yang betul2 menaikkan rasa amarah Yuss.

Itu sebab sebelum ni Yuss tak mahu poskan apa sahaja yang berkaitan Mahathir. Akan Yuss biarkan sahaja berlalu pergi. Dipadam dan biarlah kekal dalam lipatan sejarah. Tak mahu diulas.

Tapi beliau tetap beranggapan beliaulah yang berkuasa. Bila dibangkitkan mengenai isu2 lama dan minta penejelasan, alasan terbaik beliau ialah.... dah LUPA. Tak ingat. Banyak sangat peristiwa yang berlaku katanya.

Satu saja yang Yuss boleh katakan di sini. Melayu tidak mudah lupa. Mahathirlah yang mudah lupa. Tamat.

Malas nak cerita lagi mengenai beliau. Era dan zaman beliau dah lepas. Duduk diam2.

Yuss masih sakit. Minda Yuss masih pedih.

Friday, 31 October 2008

Baginda Yang Di-Pertuan Bebas


Hari ini, mahkamah telah pun membuat keputusan.

Hari ini, yang membunuh telah tersabit kesalahan mereka.

Hari ini, yang dianggap bersubahat telah terlepas dari hukumannya.

Hari ini, bermulalah konspirasi baru kenapa yang dianggap bersubahat terlepas tangan.

Hari ini, kita tetap tidak tahu bagaimanakah rupa kedua-dua pembunuh2 ini.

Hari ini, ramailah yang akan mempertikaikan sistem kehakiman negara. Tak percaya? Tengok sajalah nanti.

Hari ini, kita akan terus berspekulasi dan terus memburuk-burukkan orang lain.

Hari ini, Yuss dapat merasakan semuanya tidak puas hati kerana manusia itu sendiri tak pernah puas.

Dan hari ini juga, Yuss telah berpegang kepada prinsip...

"Semua yang baik itu datang dari Tuhan. Yang buruk itu pulak datangnya dari hati manusia yang busuk." =)

Yang pergi tetap pergi. Yang masih hidup? Tuhan tu memerhati.

Yuss tak terkejut.

Photo by Google

Thursday, 30 October 2008

Hukuman Yoga


Ramai yang terkejut dan berasa janggal apabila isu yoga ditimbulkan oleh media kita hari ini. Persoalan yang timbul di kalangan kita semua termasuklah Yuss sendiri ialah, benarkah yoga boleh memesongkan akidah umat Islam?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Othman Mustapha menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini. Antara petikan dari Utusan Malaysia ialah:

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Adul Shukor Husin.

Beliau menambah, isu berhubung hukum senaman yoga itu ada dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Kelantan, baru-baru ini.

“Keputusan mengenainya sudah ada tetapi Dr. Abdul Shukor belum umum lagi,’’ katanya.


Yuss masih lagi berteka-teki dengan jawapan yang akan dikeluarkan oleh Majlis Fatwa ini. Apa yang pasti, melalui telaan dan pembacaan ringkas Yuss di dada internet ini, yoga adalah satu kategori senaman bagi mengurangkan stres dan membantu melambatkan proses penuaan.

Yuss tidak pernah mengamalkan yoga. Maka, Yuss tidak dapat memberikan jawapan terbaik adakah benar amalan ini memesongkan akidah. Dari segi bacaan mantera dan ritualnya.

Mungkin yoga ini banyak pembahagiannya. Namun, yang telah dikomersilkan atau dimodenkan sekarang ini mungkin hanya melibatkan unsur2 kesihatan dan senaman sahaja. Walaupun akar umbi yoga itu sendiri berasal daripada ritual dan amalan dalam agama Hindu.

Mungkin juga yoga pada hari ini telah meninggalkan semua amalan2 mantera dan ritual tersebut. Di manakah kesilapan yang mungkin ada dan kekal dalam yoga ini? Yuss akan menanti dengan penuh minat jawapan Majlis Fatwa ini.

Sebagai orang biasa sekarang ini, Yuss mungkin berpendapat yoga tidak akan diharamkan. Sekadar peringatan bahawa perbuatan2 tertentu mungkin boleh memesongkan akidah kita dalam aspek2 kecil tertentu.

Mungkin dari segi lipatan dan pergerakan tubuh badan yang boleh mendedahkan struktur seksi kepada pemerhati dan orang sekelilingnya. Mungkin.

Atau mungkin juga dari segi bacaan ritual untuk mengosongkan minda kita bagi mencapai kedudukan atau pergerakan tubuh badan kita dalam yoga. Sehingga ada yang menganggap ianya satu meditasi. Mungkin. Kerana perbuatan mengosongkan minda dan melupakan Tuhan dan Nabinya di larang oleh umat Islam walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun untuk sesaat dan seketika. Mungkin.

Kerana iman dan kedudukan kita akan tergugat jika kita melupakan Tuhan dan Nabinya. Dan memudahkan syaitan dan sahabat andai mereka menguasai minda kita yang kosong. Mungkin.

Yuss dah mula mengarut. Hahaha... Kita tunggu jelah.

Entahlah. Yuss bukan pakar. Tapi Yuss tak sabar menunggu jawapan Majlis sebesar ini. Jawapan mereka mungkin kukuh bagi mengiyakan keputusan mereka.

Yuss Yoga.

Photos by Google

Tuesday, 28 October 2008

Di mana Sharlinie?


Sudah nak masuk 10 bulan adik Sharlinie hilang.

Ke manalah agaknya diri adik kecil ni berada...

Tak tahulah kenapa hari ini tiba2 Yuss asyik terpikirkan adik Sharlinie sorang ni. Sepanjang hari ni Yuss tak habis2 membaca dan mencari cerita pasal si adik kecil kita ni. Mungkin sebab Yuss berfikiran bahawa kisah Sharlinie ni seperti dah hilang dari ingatan kita semua.

Yuss sendiri tak ade adik. Tapi perasaan dan fikiran tentang dimanakah beliau berada sekarang ni betul2 menyentuh perasaan sedih Yuss.

Di penghujung Syawal ni, Yuss nak ucapkan Selamat Hari Raya buat adik Sharlinie.

Bila Sharlinie dah kita semua jumpa nanti, Yuss janji nak bagi duit raya kat adik kita sorang ni. Tak kiralah bila masanya sekalipun.

Dan Yuss juga berharap kita semua tidak terlupa tentang kisah yang satu ini. Yuss berharap kisahnya akan terus kekal dan segar dalam ingatan kita semua.

Yuss berharap. =(

Photo by Utusan Online

Monday, 27 October 2008

Deepavali


Buat semua penganut Hindu, Yuss ucapkan Salam Deepavali.

Semoga adanya cahaya menerangi kegelapan yang menyelubungi hidup kita.

Semoga adanya cahaya indah yang berkekalan.

Moga-moga.

Yuss

Photo by Google.

Friday, 24 October 2008

Terpilih dan Memilih

Sebagai seorang rakyat biasa yang membaca, menonton dan mendengar media2 kita berkaitan dengan dunia politik tempatan, Yuss teringin untuk memilih mereka yang berada dalam UMNO, jikalah diberi peluang. Tapi Yuss sedar, kuasa memilih ini adalah kuasa ahli2 UMNO. Bukan kuasa rakyat biasa lagi.

Dalam UMNO, kita akan memilih mereka yang terpilih. Mereka yang dipilih melalui persaingan memenuhi kuota layak bertanding. Jawapan kepada cara memenuhkan kuota yang besar ini ialah melalui politik wang. Tiada siapa yang akan menafikan fakta ini. Suara2 orang besar tertentu dalam UMNO yang meluahkan rasa tidak puas hati ini jelas adanya satu perubahan yang diingini oleh orang UMNO sendiri. Tapi kesudahannya mungkin masih jauh.

Lambang perbezaan pendapat ini dalam UMNO membuktikan wujudnya rasa 'demokrasi' dalam parti tersebut tetapi sejauh manakah 'demokrasi' ini betul2 didemokrasikan? Bagi Yuss, selagi tak terhapus kuota yang tinggi itu, selagi itulah rakyat akan melihat demokrasi dalam UMNO terus pincang. Bagi Yuss, cukuplah sekadar kuota 5 atau 10 yang diperlukan sebagai bukti calon2 yang betul2 ingin bertanding. Itupun sudah cukup besar. Bukannya jumlah yang sangat besar yang mungkin mengikut nisbah jumlah kawasan dan cawangan atau jumlah ahli UMNO itu sendiri. Dan jika terlebih ramai pun calon selepas ini bila jumlah kuota diminimumkan, itu lambang demokrasi sebenar.

Selain itu, satu perkara yang membezakan MCA, Gerakan dan UMNO ialah, MCA dan Gerakan cepat bertindak dari segi tarikh dan waktu pemilihan dalaman mereka. Walaupun pucuk pimpinan dilihat hanya berubah 'sedikit', tetapi ia sebenarnya berjaya menutupi kelemahan mereka melalui perhimpunan yang dijalankan secepat mungkin itu. Mereka telah membuktikan bahawa perhimpunan pemilihan ini perlu segar, cepat dan tepat dari segi masa dan waktu. Inilah yang rakyat ingin lihat. Pantas bertindak. Dan selepas itu? Sambung semula bekerja. Tak payah lagi sibuk memikirkan masalah dalaman parti.

Tetapi lain pula dengan UMNO. Mereka masih melengah-lengahkan keadaan atas alasan mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Tetapi, kelambatan proses pemilihan inilah sebenarnya punca segala penyakit. Pelbagai alasan digunakan bagi 'membenarkan' isu penangguhan pemilihan mereka. Alasan peralihan kuasa, alasan penangguhan mesyuarat, alasan ekonomi, alasan politik wang, alasan perebutan kuasa, dan macam2 lagi betul2 terbina atas nama alasan sahaja.

Rakyat sebenarnya akan melihat UMNO hanya mahu bermain politik. Isu2 nasional lain yang lebih penting seperti seperti dikaburi oleh isu sensasi politik dalaman UMNO ini. Dan pemilihan UMNO seperti memberi gambaran bahawa ia diibaratkan sebagai pemilihan rakyat. Sebab apa? Berita2 utama mengenainya mendominasi media2 harian kita. Tak kiralah media yang pro atau anti kerajaan hari ini. Segalanya didedahkan, didiskusikan depan rakyat melaluinya.

Yuss masih hairan kenapa isu pemilihan dalam UMNO ini menjadi satu isu besar dan menjadi tajuk2 berita utama media kita? Bukankah analisa memilih dan mengundi ini hak ahli2 UMNO sahaja? Bukannya hak rakyat keseluruhan. Inilah cuba digambarkan. Menggambarkan bahawa isu pemilihan UMNO ini ialah isu nasional!

Ini mungkin salah satu cara untuk cuba membuktikan mereka sebenarnya mengamalkan demokrasi dalam UMNO. Dengan mendedahkan calon2 itu ini di depan rakyat melalui media. Atas nama jumlah kuota yang diperlukan dan berlawan satu sama lain dan siapa dulu yang mampu mengisi kuota masing2. Satu jenis kebebasan pendedahan yang cuba disongsangkan dengan keterbukaan yang diingini oleh rakyat. Pendedahan yang keterlaluan seperti ini sebenarnya akan memakan diri sendiri. Sebabnya? Rakyat tidak memilih. Dan jika pemilihan tidak memihak kepada sentimen rakyat, maka UMNO akan terus ditolak ketepi.

Inilah yang perlu diperbetulkan kembali. Meletakkan yang mana satu keutamaan untuk menjenamakan diri masing2 sebagai ahli2 politik. Atau apa itu UMNO sendiri. Apakah UMNO itu betul2 dominan dan ianya kerajaan sehingga seperti menidakkan pandangan parti2 lain tak kira kawan dan lawan? Inilah yang mengelirukan kita dan dalam diri mereka. Meletakkan diri UMNO sebagai ketua segala hal atau tuan segala-galanya. Penjenamaan jenis inilah yang semakin menjauhkan UMNO dari orang biasa. Sifat ketuanan Melayu seperti dicampuraduk dan disalahtafsirkan menjadikannya ia ketuanan UMNO. Kesalahfahaman mentaliti sebeginilah yang menjarakkan kita semua yang berbilang kaum.

Dan jika ditanya Yuss siapakah pemimpin2 dalam UMNO yang Yuss ingin lihat menerajui UMNO melalui 'penghayatan' media2 kita hari ini, Yuss hanya boleh menamakan dua orang sahaja setakat ini.

Mereka berdua ini ialah Ku Li dan Anuar Musa. Walaupun sehingga kini Ku Li masih belum mendapat sebarang pencalonan dan Anuar Musa pula telah menarik diri daripada bertanding.

Yuss memilih mereka berdua atas nama karisma dan kebijakkan mereka menjawab soalan2, susun atur perkataan, dan pengolahan minda mereka yang tersusun dan ada jiwa. Walaupun kadang2 tidak bersetuju dengan idea dan pemikiran mereka berdua, tetapi Yuss melihat jawapan2 yang diberikan oleh mereka berdua ini sangat merangsang minda Yuss untuk berfikir dan mencari jawapan sendiri. Akhirnya, Yuss menganggap mereka berdua sangat boleh mempengaruhi. Itu yang Yuss rasakan sebagai seorang rakyat biasa yang 'muda'. 'Muda' kerana Yuss menolak faktor sejarah kedua-dua mereka ini dan asal-usul kenegerian mereka. Dan hanya melihat kepada isu dan perkara hari ini sahaja.

Ini mungkin sentimen Yuss hari ini. Atau ketika ini. Dan masih ada masa yang lama lagi untuk mereka2 ini dipilih dan bertanding. Itu belum lagi menunggu hari pemilihan yang ditangguhkan dan menjadikan masa berkempen terlalu panjang. Dan belum lagi menunggu itu dan ini. UMNO memang sukakan kita menunggu dan menunggu dan menunggu. Mungkin mereka nak menunggu supaya kita semua reda dan lupakan perkara dan isu lama. Dan akhirnya mereka akan memilih ketika suasana dan persekitaran yang mungkin berbeza dengan mentaliti isu2 hari ini.

Kerana stigma Melayu mudah lupa mungkin menjadi pegangan mereka untuk 'melupakan' rakyat tentang kesilapan lepas.

Yuss terpilih.