Monday, 15 September 2008
Orang Asli
Isu Orang Asli sering dipinggirkan. Dimanakah kedudukan Orang Asli dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini?
Isu Orang Asli ini timbul apabila berita tentang kumpulan2 tertentu melibatkan mereka ini cuba untuk berarak di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyampaikan memorandum kedudukan Orang Asli di Malaysia. Walaupun pada mulanya mereka dibenarkan berarak menuju ke Istana Negara, namun telah dihalang oleh pihak berkuasa di saat-saat akhir.
Cerita dan kisah Orang Asli sebenarnya seperti dianaktirikan. Seperti tidak menarik untuk dikupas. Tidak ada isu 'hangat' tentang mereka cuba dilaporkan. Kita sendiri selalu menganggap mereka tidak penting dan suara mereka hanyalah suara kecil yang datang dari 'hutan'. Yuss amat sedih dengan pandangan ini. Dan juga sedih apabila melihat kedudukan mereka sebenarnya seperti tidak wujud di atas muka bumi ini. Tak kira di dalam atau di luar negara. Dimanakah kesilapannya?
Marilah kita sama2 tak kira kaum, terutamanya golongan Melayu tertentu yang tak habis-habis bercerita nak mempertahankan hak-hak Melayu mereka, berfikir sejenak apa yang telah kita lakukan kepada golongan Orang Asli ini. Yuss akui Yuss ada menitiskan air mata ketika menulis ini. Yuss malu dengan diri Yuss sebagai seorang yang berdarah 'Melayu'. Ini mungkin kelihatan seperti Yuss cuba memprovokasikan keadaan, tapi percayalah, niat sebenarnya ialah supaya kita sedar dimanakah kita meletakkan diri kita hari ini. Adakah kita dilihat menindas kepada yang lemah? Mari kita lihat isu ini secara terbuka dan ikhlas.
Yuss anggap, hak Orang Asli sebagai warganegara Malaysia seperti dicampak ke tepi dan dianaktirikan. Apa yang mereka tuntut hanyalah kesamarataan sebagai warganegara yang sah dari segi keistimewaan dalam perlembagaan dan peluang membuat keputusan dasar negara. Dimanakah kedudukan mereka telah kita letakkan?
Mereka juga menuntut hak mereka sebagai kaum peribumi atau indigenous atau orang asal diiktiraf. Sejajar dengan Deklarasi Hak Kaum Peribumi Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya mahu kedudukan mereka didengar dan diterima.
Tapi apakah benar kedudukan hak mereka ini di luar Malaysia tidak diiktiraf? Jawapannya mungkin ya. Kenapa Yuss berkata demikian? Kerana mereka telah dikategorikan sebagai Melayu yang tidak mahu memilih kemajuan (ketika zaman awal negara Malaysia) atau "the backward cousins who chose to remain in the forest". Ini adalah antara petikan yang telah diambil daripada majalah Off The Edge (keluaran Ogos '08) dalam artikel Change Lifestyle - Minority Report berkenaan isu Orang Asli.
Disamping itu, hak istimewa mereka juga tidak diiktiraf di Malaysia apabila perkataan Melayu itu sendiri telah ditafsirkan semula dalam perlembagaan negara, iaitu Melayu itu ialah mereka yang fasih bertutur bahasa Melayu, mengikut adat Melayu dan beragama Islam. Namun begitu, ketiga-tiga sifat ini tidak dipraktikkan oleh kaum Orang Asli. Oleh itu, mereka tidak mendapat hak yang sama rata seperti orang Melayu yang lain. Begitu juga hak sebagai seorang Bumiputera kerana pindaan semula perlembagaan tersebut telah meminggirkan taraf Orang Asli ini apabila ciri Melayu sebelumnya itu diubah dan dipinda. Yuss amat sedih mengenangkan nasib mereka. Kita telah menidakkan kedudukan mereka sebagai seorang manusia yang asli! Jika tidak asli, jangan kita panggil mereka Orang Asli!
Inilah hak-hak yang ingin dituntut oleh masyarakat yang kita selalu pandang sepi ini. Salahkah mereka memilih perjalanan hidup mereka untuk terus tinggal di dalam hutan? Salahkah mereka untuk terus hidup berpindah randah? Salahkah mereka jika tidak mahu mengikut kemodenan manusia? Salahkah mereka mempercayai kepercayaan mereka? Kenapa hak mereka mempercayai agama mereka seperti kita sekat? Terhadap kepercayaan agama mereka yang meletakkan tanah dan hutan itu sesuatu yang bersakti. Dan kerana mereka tidak berpelajaran, tidak moden, bermakna mereka bodoh? Sengal? Bukan manusia? Kita terlupa mereka itu manusia yang ada hak atas nama kemanusiaan.
Kerana kita berpelajaran, kerana kita moden, kita dianggap berkuasa ke atas mereka yang tidak sama kemajuannya dengan kita? Siapa hak kita untuk menggunakan perasaan ini? Siapa kita nak menentukan nasib hidup orang lain?
Mereka tidak pernah minta lebih daripada kita. Tidak malukah kita? Persoalan ini Yuss lebih tujukan kepada pejuang-pejuang Melayu khususnya. Yang masih terus ingin memainkan isu bangsa di dalam Malaysia moden hari ini. Atau yang Cina dan India sekalipun.
Perbetulkan dahulu apa itu Melayu, apa itu Cina, apa itu India, apa itu Kadazan, apa itu Iban, apa itu Orang Asli dan apa itu Orang Malaysia sebenar. Kita semakin pincang. Hentikanlah isu kontrak sosial yang terbina 50 tahun yang lepas. Kembalilah kepada hari ini dan masa depan. Kenapa kita masih mahu dan terus memisah dan menjarakkan kedudukan antara kaum kita? Kenapa kita masih takut dan tidak mahu kembali kepada ideologi penciptaan Bangsa Malaysia? Dimana silap dan susahnya untuk kita percaya kepada ideologi ini? Hanya kerana warna kulit kita tidak sama, saiz lubang hidungnya tak sama, adakah kita mahu terus terasing? Mengasing dan diasingkan?
Yuss harap mereka sedar dan bijak berfikir tentang perkara ini. Tak kiralah rakyat biasa atau ahli politik. Kembali kepada hala tuju yang satu.
Ideologi pembinaan Bangsa Malaysia ini menjadi bertambah kuat untuk Yuss pegang selepas ini. Untuk Yuss sebarkan. Biarlah Yuss ulang berkali-kali sampailah Yuss mati. Isu bangsa amat-amat merosakkan negara.
Benar, banyak isu undang-undang yang perlu diambil perhatian ketika ini bagi membetulkan keadaan yang semakin kusut masai ini. Tapi orang biasa seperti Yuss akan cuba untuk menggunakan tenaga dan usaha Yuss yang masih ada bagi memastikan ia betul-betul tercapai dan terlaksana suatu hari nanti.
Dan ingin juga Yuss tambah sedikit di sini bila ada antara kita akan cuba mengaitkan isu bangsa ini dengan kedudukan sistem beraja di negara kita. Yuss tidak mahu kita keliru. Biarlah sistem Raja-Raja Melayu Islam terus berada dalam kedudukan negara. Kedudukan mereka perlu kita pertahankan ataupun sebenarnya, ditambahbaikkan lagi. Ia satu ciri unik negara kita. Mereka terasing dalam kedudukan sosial mereka tersendiri. Ia suatu pentadbiran atau satu kedudukan institusi yang terpisah. Dan kedudukan mereka sebenarnya perlu kita angkat lebih jauh lagi dari sudut atau unsur kedaulatan agama Islam. Dan bukan lagi atas sifat bangsa iaitu Melayu sahaja. Kerana mereka jugalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Marilah kita ambil contoh Raja Muda Perak yang berkahwin dengan seorang yang berkacukan darah raja Melayu dan Inggeris. Itu satu contoh betapa indahnya Islam yang tidak mengenal bangsa dan budaya.
Sekali lagi Yuss minta, hentikanlah isu perkauman. Dalam keadaan negara yang semakin kelam kabut di dunia politik terutamanya sekali, kita boleh dan mampu sedar dan mahu sedar yang semuanya berpunca atas kesalahan diri kita sendiri.
Yuss dan Orang Asli tidak berbeza. Satu rupa. =)
Photos by Google.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Satu artikel terkesan dan memberi maksud yang mendalam. Anda seorang yang bijak berfikir. Terima kasih.
Post a Comment