Friday, 26 September 2008

Eid


Salam Eid.

Minta maaf luar dan dalam.

Teringin makan bahulu. =)












Yuss

Photo by Google.

Friday, 19 September 2008

Bulan Lompat VI

Sejak dua hari lepas, Yuss melihat suasana politik tanahair kita semakin bertambah menarik untuk dilihat. Semakin SENSASI. Sensasi dalam erti kata penuh glamer dan popular. Kenapa?

Yuss selalu mengulangi pendirian asas ini dalam politik sebelum ini, iaitu, tinggalkan sentimen peribadi, sentimen perkauman, dan sentimen agama. Tapi kali ini, Yuss melihat Paklah atau UMNO atau mungkin BN telah cuba memainkan isu serangan peribadi sekali lagi. Kenapa ianya masih terjadi? Mungkin ianya kelihatan bercelaru tetapi sebenarnya boleh diperbetulkan. Dimanakah anggapan salah kepada kecelaruan ini? Mari kita lihat secara baik.

Paklah dalam kenyataan medianya ada menyebut bahawa Anwar adalah ancaman kepada negara dari segi politik dan ekonomi. Ini adalah satu contoh kelemahan kenyataan yang dikeluarkan. Kita cuba diberikan gambaran bahawa Anwar ialah ancaman kepada kita semua sebagai rakyat. Yuss melihat kenyataan yang dikeluarkan ini sangat lemah kerana ianya hanya akan menimbulkan spekulasi. Walaupun Paklah berkata Anwar berbohong bila mendakwa tiadanya pelaburan FDI dalam negara, ia lebih bersifat luahan peribadi. Kerana ia pandangan peribadi seseorang. Dan bukankah Paklah sepatutnya hanya perlu menjawab sahaja segala tuduhan atau kenyataan ini? Kenapa pula perlunya memberi gambaran bahawa Anwar ialah satu ancaman? Bukankah ini akan lebih menyebabkan kita terfikir bahawa Paklah, secara tersiratnya, telah mengakui kekuatan dan kehebatan nama Anwar Ibrahim? Atas nama pengaruh manusia bernama Anwar Ibrahim? Ini akhirnya telah menunjukkan kelemahan diri Paklah sendiri selepas mengakui kekuatan orang lain, terutamanya pihak lawan. Ini satu strategi politik yang memakan diri sendiri.

Selain itu, Yuss juga agak pelik apabila melihat kerajaan sekarang yang diketuai oleh Paklah tidak mahu duduk berunding dengan Anwar Ibrahim. Alasan yang diberikan Paklah ialah cukup dengan melihat perangai Anwar sahaja. Beliau berkata, Anwar mungkin sebenarnya ingin menggunakan helah untuk berjumpa, tetapi sebenarnya ingin menawan dan menyerbu bilik Perdana Menteri. Ini juga sekali lagi dianggap satu serangan peribadi. Atas nama perangai orang lain. Yang cuba dispekulasikan. Bukan isi rundingan atau permuafakatan yang cuba ditimbulkan dalam kenyataan media mereka. Yuss melihat jawapan yang diberikan tidak rasional. Ia juga bukan satu kesalahan kalau Paklah sendiri sudah membuat keputusan sebelum rundingan dijalankan dan diputuskan bersama. Tapi bukankah lebih baik berjumpa sahaja terlebih dahulu atas nama rundingan? Bermusyawarah. Bukankah lebih molek jika mengambil pendekatan itu? Yuss lebih melihat kenyataan yang dikeluarkan tidak lebih dari satu gaya angkuh dan cuba menidakkan pendapat orang lain. Yuss sedih melihat cara ini digunakan. Adakah Anwar itu bukan seorang 'manusia' sampai tak boleh bertemu dan di ajak berunding? Manusia yang bijak dan terbuka ialah manusia yang sanggup mendengar suara sesiapa sahaja tanpa menutup pintu rundingan. Tak kiralah kawan mahupun lawan. Kalau Saiful Bukhari sebagai rakyat biasa boleh dengan mudah sahaja dapat berjumpa dan duduk bersembang dengan Najib, takkanlah Anwar Ibrahim tidak boleh. Saiful pergi pun nak mengadu nasib peribadinya sahaja. Bukan perkara hal ehwal eknomi dan pentadbiran negara. Tambahan lagi, Anwar telah menggunakan cara yang betul iaitu melalui surat dan mengikut protokol. Pun masih tidak boleh diterima. Yuss masih berasa agak pelik. Hairan.

Inilah masalahnya bila isu peribadi orang lain cuba mengaburi mata kita. Inilah yang dikatakan cuba menganggu pemikiran rakyat apabila rakyat melihat politik itu kotor dan menikam belakang. Janganlah hanya bermain politik sahaja, tapi fikirkanlah kepentingan2 bersama bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Kenyataan2 media yang dikeluarkan oleh orang2 kuat kerajaan kita seperti lebih banyak memberi gambaran bahawa Anwarlah punca segala masalah. Anwarlah yang beria2 ingin menjadi Perdana Menteri. Bagi Yuss, tidak terkeluar pun kenyataan dari mulut Anwar sendiri untuk beliau mengakui dirinya bakal menjadi Perdana Menteri. Hanya dari pihak kerajaan sahaja. Sekali lagi, semua ini adalah satu bentuk serangan peribadi. Dalam kepala rakyat telah ditanamkan pemikiran bahawa Pembangkang itu hanyalah Anwar. Rakyat dan orang biasa sebenarnya seperti terpengaruh dengan dakwaan ini. Kita lupa untuk melihat kembali bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar ialah atas nama wakil Pakatan Rakyat. Atau selaku Ketua Pembangkang. Bukan atas nama Anwar Ibrahim lagi. PR sendiri pun belum mengeluarkan kenyataan siapakah yang bakal memimpin kerajaan 'baru' ini. Kenapa pula kita terus-terusan menganggap Anwarlah Perdana Menterinya? Keputusan terakhir sebenarnya terletak di tangan Majlis Tertinggi PR, yang akhirnya akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita telah dikelirukan bahawa kerajaan 'baru' ini ialah kerajaan Anwar Ibrahim semata-mata.

Dan kita juga selalu menganggap bahawa kerajaan 'lompat' ini adalah tidak demokratik dan tidak beretika serta tidak mengikut mandat rakyat. Dimanakah silapnya?

Bagi Yuss, pada kali ini, Yuss berpendapat bahawa mandat rakyat atau pilihanraya hanyalah sebahagian daripada demokrasi. Dan rakyat pula seperti dikelirukan bahawa demokrasi itu ialah pilihanraya semata2. Kita sebenarnya telah terlupa yang pilihanraya hanyalah SEBAHAGIAN daripada demokrasi sahaja, buka keseluruhan maksud demokrasi itu sendiri. Atau lebih tepat lagi, pilihanraya hanyalah salah satu SIFAT demokrasi.

Dan apakah proses demokrasi yang berikutnya selepas pilhanraya? Ianya ditentukan oleh ahli2 parlimen untuk memilih siapakah ketua mereka yang mengetuai kerajaan. Atau jawatan2 dalam urus tadbir negara. Melalui perikatan parti2 masing2. Ini juga salah satu SIFAT demokrasi.

Kita juga selalu dikelirukan bahawa proses memilih Perdana Menteri atau ahli kabinetnya sebenarnya dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Kita lupa bahawa rakyat hanya memilih calon2 bagi kawasan masing2. Bukan memilih Perdana Menteri atau kabinetnya. Keputusan memilih Perdana Menteri dan kabinetnya sebenarnya ditentukan oleh ahli2 Parlimen yang telah dipilih oleh kita. Ia bukan melibatkan rakyat lagi selepas pilihanraya umum tersebut. Itu sebab kita ada Parlimen yang mempunyai Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk membuat keputusan ini. Dan ianya dibuat atas nama rakyat. Bukan oleh rakyat lagi, tapi untuk rakyat. Ini bermakna proses demokrasi ini telah masuk ke satu peringkat atau level yang lain lagi dan tidak melibatkan rakyat lagi dalam proses tersebut. Kita seperti dikelirukan dengan idea sempit 'kerajaan itu rakyat' atau 'rakyat itu kerajaan' yang cuba dihubung-kaitkan dengan isu ini.

Dalam perlembagaan sendiri pun telah 'membenarkan' ahli parlimen untuk menentukan parti masing2 jika bertukar fahaman atau ideologi mereka seperti yang pernah Yuss tulis sebelum ini. Itulah sebabnya Yuss merasakan rakyat perlu faham akan hal ini terlebih dahulu. Kita perlu faham bahawa proses 16 September ini bukanlah proses semula rakyat, tetapi proses ahli2 parlimen itu sendiri. Itu sebab Yuss menyuruh kita memerhatikan sahaja tindakan ahli2 politik ini. Jangan libatkan rakyat lagi. Jangan naikkan sentimen di kalangan rakyat lagi. Jika melibatkan peruntukan atau hal berkaitan ahli2 parlimen sahaja, selesaikanlah sesama mereka.

Inilah sepatutnya subjek yang patut diangkat, diajar dan didebatkan bersama2 rakyat akibat daripada peristiwa kerajaan 'lompat' ini. Mendidik rakyat. Menjadikan rakyat lebih terbuka dan memahami jiwa perlembagaan sebenar dengan undang2 yang ada. Bukan hal atau isu peribadi lagi yang patut diangkat. Kerana ini hanya akan dilihat seperti cuba menutupi mata seluruh masyarakat kepada hal pokok atau hal sebenar.

Politik itu bersih jika ahli2 politik ini mahu dan tahu bahawa proses sentimen2 seperti peribadi, agama, dan kaum yang cuba dibentukkan adalah tidak baik untuk dimainkan kepada rakyat. Kerana ia hanya akan mengundang spekulasi dan akhirnya menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Dan boleh mencetuskan huru-hara.

Tapi Yuss yakin seluruh rakyat tahu dan bijak untuk menilai semua ini. Janganlah pula kita terlalu mudah untuk terpengaruh dengan apa yang disampaikan dalam bentuk politik seperti ini. Penilaian yang baik dan tidak mengikut membuta tuli adalah jalan terbaik menenangkan keadaan.

Yuss ada peribadi. Yuss ada agama. Yuss satu kaum.

Wednesday, 17 September 2008

Bulan Lompat V

Tajuk Bulan Lompat ini telah masuk ke bahagian kelimanya. Yuss masih tersenyum bila melihat bagaimana ianya terjadi dan berkembang bermula dari bahagian pertama dahulu. Yuss terasa seperti mendidik diri sendiri dengan ilmu yang baru. Sedikit demi sedikit. Dan jalan ceritanya juga sehingga kini masih belum berkesudahan lagi. Apa yang pasti, bila dibaca kembali, Yuss dapat melihat bagaimana transition atau anjakkan idea2 tersebut bergerak secara terbuka dan akhirnya mendidik diri sendiri.

OK, apa yang Yuss boleh lihat kali ini? Tarikh 16 September semalam telah berlalu pergi. Orang biasa seperti Yuss juga mengakui yang pada mula-mulanya dahulu Yuss seperti termakan dengan kata-kata bahawa kerajaan 'baru' akan terbentuk pada hari tersebut. Tapi, selepas itu, Yuss telah berandaian ianya tidak akan berlaku. Dan ia terbukti. Apa yang sebenarnya berlaku ialah hari 16 September ialah hari bermulanya 'gerakan' menggerakkan kempen ke arah kerajaan 'baru'. Permulaan perlaksanaan ke arah pembentukan sesuatu yang 'baru'. Yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Satu titik permulaan melaksanakannya. Apa yang pasti, orang biasa seperti Yuss masih berasa agak sedih dengan PR apabila Anwar tidak mahu memberikan penjelasan awal kepada rakyat biasa. Inilah yang dikatakan menganggu jiwa rakyat. Hanya berkata tarikhnya mungkin dianjakkan. Benar, yang beliau tidak menafikan ia akan terjadi, tapi beliau juga mengiyakan pendapat umum apabila menyebut ianya akan 'ditunda' atau dianjakkan ke tarikh baru. Inilah yang membuatkan rakyat berspekulasi. Akan 'terbentuk' dan akan 'dilaksana' ialah dua perkara berbeza. Jadi, bukan salah rakyat biasa seperti Yuss yang pada mula-mulanya meletakkan tarikh 16 September ialah hari ianya terbentuk kerana penafsiran perkataan itu sendiri sangat luas.

Dalam masa yang sama, pada hari ini, draf atau kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat sempena Hari Malaysia pada tahun ini akhirnya telah menyekalikan sambutan itu dengan matlamat mereka sempena Malaysia Baru yang cuba dibentuk dalam masa terdekat ini. Ia sebenarnya boleh diterima akal dan ianya logik. Antaranya ialah pindaan atau penambahbaikan terhadap undang2 yang sedia ada untuk kebaikan rakyat. Penghapusan atau pindaan terhadap akta2 tertentu seperti ISA, AUKU dan Cetak yang telah ditentang sejak sekian lama ini menunjukkan mereka seperti mengikut suara rakyat. Satu manifesto yang nyata. Itu petanda baik. Bagi Yuss, ia bukanlah angan-angan. Ia lebih merupakan satu impian. Kerana angan-angan ialah sesuatu yang tak masuk akal untuk berlaku. Tetapi impian ialah satu realiti yang boleh dan mungkin berlaku.

Selain itu, jaminan bahawa akan ada pilihanraya umum selepas 6 bulan atau setahun tarikh kerajaan 'baru' terbentuk menguatkan tanggapan Yuss bahawa PR telah meletakkan rakyat terlebih dahulu. Ini janji mereka yang akan Yuss pegang dan lihat nanti. Yang pasti, jika ianya satu janji kosong, ia hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat di masa hadapan. Dan bagi Yuss, perkara janji seperti ini sebenarnya kelihatan seperti sesuatu yang realistik dan boleh diterima.

Dan jika sebelum ini Yuss berpendapat, bahawa melompatkan parti2 di dalam BN masuk ke dalam PR itu sesuatu yang boleh diterima dan masuk akal, dan melompat dari satu parti ke parti lain pula adalah suatu perbuatan yang tidak diterima dan beretika, Yuss sebenarnya telah lupa untuk kembali kepada perlembagaan. Dari segi undang2 yang ada. Yuss akui Yuss silap di sini. Terbaru, setelah Yuss melihat dan membaca perlembagaan persekutuan 48(6) atas cadangan seorang rakan, akhirnya Yuss dapat menerimanya dengan betul.

Perkara 48(6) tidak membenarkan mana2 ahli parlimen yang meletakkan jawatan untuk memegang jawatan tersebut dalam tempoh 5 tahun. Dan apakah langkah terbaik yang membolehkan mereka ini bertukar parti politik jika fahaman dan ideologi mereka telah berubah dan berbeza dari parti yang asal? Jawapan kepada cara meletakkan jawatan dan mengadakan semula pilihanraya kecil adalah sesuatu yang mustahil jika melihat kepada undang2 yang disebutkan di atas. Maka, jalan terakhir dan terbaik yang mereka boleh buat ialah dengan melompat parti. Kerana hak mereka untuk memilih parti perjuangan mereka tetap sama seperti rakyat biasa yang lain. Sebagai seorang individu. Atas nama hak asasi untuk memilih. Prasangka ianya tidak logik dan beretika sebelum ini akhirnya telah Yuss tolak ke tepi.

Dan sekarang ianya terserah kepada Anwar dan Paklah untuk cari jalan penyelesaian bersama. Anwar memberi masa 2 minggu kepada Paklah untuk sama2 mencari jalan perundingan. Kita perlu ingat, ianya kini tidak melibatkan rakyat lagi. Ia melibatkan ahli2 politik ini sahaja. Desas-desus yang menggusarkan rakyat sebelum ini sebenarnya telah pun terjawab. Dan rakyat biasa hanya mampu melihat siapakah yang mahu mengalah dan siapa yang tak mahu mengalah dalam 'perebutan' ini. Mereka perlu diingatkan supaya tidak mengheret rakyat ke dalam kancah politik mereka ketika ini. Rakyat biasa sepatutnya hanya melihat sahaja. Rakyat biasa sepatutnya tidak masuk campur. Disamping itu, janganlah pula bila salah seorang daripada mereka yang berunding ini tidak berpuas hati, sentimen ke atas rakyat akan dibangkit dan digunakan. Jangan huru-harakan rakyat. Berundinglah dengan cara yang baik.

Dan segala keputusan yang diambil nanti akan diserahkan ke tangan Yang di-Pertuan Agong. Terserah kepada baginda membuat keputusan akhir. Baginda ialah kuasa tertinggi yang menentukan keputusan ini. Walaupun segala tindakan baginda mungkin memerlukan nasihat Perdana Menteri, tetapi kes kali ini melibatkan Perdana Menteri sendiri. Oleh itu, kebijakkan Agong membuat keputusan menjadi kunci kita melihat Malaysia yang aman dan damai. Walaupun jika Agong mahu membubarkan Parlimen sekalipun selepas ini, kerajaan 'baru' telah dianggap sebagai caretaker government menjelang pilihanraya yang baru nanti.

Yuss meletakkan harapan yang tinggi kepada Agong. Baginda seorang yang dilihat sederhana dan bijak dalam membuat keputusan. Segalanya di tangan baginda.

Dan apakah impak terbesar dari propaganda 16 September ini? Kita lupa akan kewujudan Hari Malaysia. Telah dikaburi dengan suasana politik semasa.

SELAMAT HARI MALAYSIA.

Yuss belum meyimpulkan lagi. Ianya masih panjang.

Tuesday, 16 September 2008

Media dan Politik - Asas Agama Bangsa

Hari ini kita menyambut sambutan Hari Malaysia. Selamat Hari Malaysia. Tapi ia tidak diraikan dengan keadaan sepatutnya. Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu isu ini dan akan diulas kemudian hari di samping banyaknya peristiwa yang melibatkan Anwar dan Paklah akibat daripada dogma kerajaan lompat.

Tapi isu yang paling yang menarik perhatian Yuss ialah kekacauan yang cuba digambarkan dalam parti Pas. Media-media kita seperti cuba melaporkan telah berlaku keretakan dalam Pas akibat daripada peristiwa kerajaan lompat ini. Atau lebih jelas lagi, antara Nik Aziz, Hadi Awang dan Mustafa Ali selaku Pesuruhjaya Tinggi Pas Terengganu.

Ia berlaku apabila Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak mungkin mampu menubuhkan kerajaan 'baru' kerana parlimen tidak bersidang untuk undi tidak percaya dan secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang. Kenyataan ini telah disimpulkan melalui artikel dalam Malaysiakini dan Harakahdaily. Di samping itu, beliau juga cuba menguatkan gembar-gembur kepada idea kerjasama antara Pas dan UMNO atas nama kepentingan MELAYU dan Islam. Mungkin.

Di samping itu, dalam Utusan Malaysia pula, mereka cuba menggambarkan kenyataan Hadi Awang sebagai anti-PR yang terlebih Islamik. Antara petikannya ialah :

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.

''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi.

Benar, berita yang disampaikan mungkin tidak tepat atau sekadar satu manipulasi atau propaganda pihak tertentu. Tak kira benar atau tidak, tapi ianya telah tertulis dan diterbitkan. Dan inilah corak dan suasana yang cuba digambarkan dalam negara kita. Adakah ini yang digambarkan satu profesionalisme dalam bidang kewartawanan, dari sudut mempengaruhi pemikiran, Yuss tak mahu ulas. Kita juga perlu ingat, kesemua media-media perdana ini masih menggambarkan pandangan umum masyarakat Melayu di Malaysia.

Apakah yang cuba Yuss sampaikan?

Agama-Bangsa dari sudut politik
Yuss melihat adanya cubaan membawa parti Pas itu sebagai satu parti berasaskan kaum. Prasangka ini telah ditimbulkan oleh Mustafa Ali sendiri. Beliau dilihat cuba membawa Pas dalam konsep bangsa, dan bukan sekadar agama. Atau dicampur-adukkan maksud kedua-duanya. Beliau masih melihat Melayu itu Islam. Beliau mungkin masih melihat Pas itu sebagai satu parti untuk Melayu sahaja. Jika inilah yang cuba digambarkan, bermakna mereka telah cuba mengangkat parti mereka atas nama kaum. Atas nam 'perpaduan Melayu'. Ini satu kesilapan. Ini satu penafsiran yang jahil. Kerana itu Yuss melihat ianya sebagai satu permainan politik yang tidak sihat. Jika inilah yang cuba digambarkan, betapa malangnyalah masa depan Pas. Sekali lagi Yuss katakan, Islam dan Melayu itu lain.

Dan apa yang dilaporkan tentang kenyataan Hadi Awang pula, Yuss masih 'beranggapan' apa yang dimaksudkan oleh Hadi ialah pemimpin tertinggi kerajaan baru nanti mestilah seorang Islam. Dan dalam masa yang sama, jika pula Hadi bermaksud untuk menafsirkan pandangan bahawa kerajaan Islam itu ialah kerajaan atas nama undang-undang Islam, sekali lagi Yuss katakan, ia masih belum boleh diterima di bumi Malaysia hari ini. Ini satu idea atau pemikiran sempit untuk hari ini. Tapi satu pemikiran yang luas untuk masa depan. Mungkin untuk jangka masa panjang.

Dan bidasan Nik Aziz terhadap Mustafa Ali adalah mungkin disebabkan salah faham dalam penafsiran mereka dalam perjuangan Islam. Dan secara peribadi, Yuss masih mempercayai Nik Aziz dalam hal penafsiran apa itu agama dan apa itu bangsa. Beliau jelas tahu dan arif membezakan antara kedua-duanya ini walaupun dalam konteks perlembagaan negara.

Dan janganlah kita terlupa kepada asas pembentukan Pakatan Rakyat yang turut sama2 dianggotai oleh Pas. Ia terbina untuk rakyat Malaysia. Ideologi PR ialah Malaysia yang dibersihkan dahulu dari undang-undang dan prinsip-prinsip yang salah yang menganggu rakyat dan pemikiran rakyat. Atas nama rakyat. Yang telah dipersetujui sesama mereka terlebih dahulu sebelum ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Itu arah tuju mereka sekarang. Jangan pula kita campur-adukkan dengan perkara yang lain.

Agama-Bangsa dari sudut media
Media kita terutamanya sekali yang Berbahasa Malaysia masih terus-terusan menggambarkan Melayu dan Islam itu satu benda yang sama dari sudut politiknya. Inilah satu perkara yang menganggu pemikiran rakyat. Untuk kepentingan parti tertentu semata2. Sekali lagi, janganlah kita terlalu hanya mahu melihat isu kepada sudut perlembagaan sahaja. Jika kita bertuan dan berkepalakan perlembagaan sahaja, tanpa mahu melihat dari sudut agama yang sebenar, ia juga satu kesilapan yang mengelirukan.

Yuss akui, walaupun media-media berbahasa Malaysia kita adalah yang paling dominan, tetapi jenis dan jumlah bilangan media dalam bahasa ini masih sedikit dan tidak meluas berbanding media berbahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Media dalam Bahasa Malaysia juga masih dianggap tidak bersikap sejagat. Tidak cuba untuk melangkaui setiap seorang rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Lebih memberatkan sifat dan cerita2 orang Melayu sahaja. Atau dalam konteks 'kemelayuan' itu sendiri dan kepentingan kaumnya itu sahaja. Ini boleh dilihat terutamanya sekali dalam dunia politik. Mereka lupa Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa untuk seluruh warga Malaysia. Semua bangsa menggunakannya. Bukan bahasa untuk satu kaum tertentu sahaja.

Dan dari segi penyampaian berita dan maklumat, jika media2 ini menyentuh isu Melayu dalam politik, topiknya akan hanya tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Dan jika menyentuh isu tentang Islam dalam politik, topiknya juga hanya ditumpukan kepada orang Melayu sahaja. Inilah masalahnya bila kita mempengaruhi dan mendidik masyarakat bahawa Melayu itu Islam dalam politik. Kenapalah mereka tidak mahu menyekalikan idea untuk melihat Islam itu universal dalam dunia politik? Atau dalam isu pentadbiran dan hubungan masyarakat. Dan jiwa universal Islam ini selalunya hanya disampaikan dalam media masing2 dalam segmen2 agama sahaja. Tidak disekalikan idea asas ini atau konsep ini di dalam politik. (Segmen agama ialah segmen yang dikhususkan untuk huraian berkaitan agama sahaja dalam konteks sejarah, ibadah dan amalannya).

Inilah yang cuba disampaikan oleh media2 kita. Tak kiralah media cetak atau elektronik. Termasuklah internet. Walaupun niat mereka baik, tetapi salahtafsir beginilah yang menganggu pemikiran rakyat. Yuss berharap etika kewartawanan yang mahu menyentuh isu agama dalam politik perlu tahu kepada perbezaan ini. Apa itu agama. Apa itu bangsa atau kaum. Huraikan dengan sebaik mungkin. Kesilapan kecil inilah yang menghantui hidup kita. Menghantui politik kita.

Janganlah kita campur-adukkan perkara ini.

Islam itu agama. Melayu itu bangsa.

Walaupun ciri-ciri Melayu dalam perlembagaan kata mereka Islam, tapi Islam itu bukan Melayu.

Yuss beragama Islam. Yuss asalnya Melayu. Yuss bangsa Malaysia.

Monday, 15 September 2008

Orang Asli


Isu Orang Asli sering dipinggirkan. Dimanakah kedudukan Orang Asli dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini?

Isu Orang Asli ini timbul apabila berita tentang kumpulan2 tertentu melibatkan mereka ini cuba untuk berarak di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyampaikan memorandum kedudukan Orang Asli di Malaysia. Walaupun pada mulanya mereka dibenarkan berarak menuju ke Istana Negara, namun telah dihalang oleh pihak berkuasa di saat-saat akhir.

Cerita dan kisah Orang Asli sebenarnya seperti dianaktirikan. Seperti tidak menarik untuk dikupas. Tidak ada isu 'hangat' tentang mereka cuba dilaporkan. Kita sendiri selalu menganggap mereka tidak penting dan suara mereka hanyalah suara kecil yang datang dari 'hutan'. Yuss amat sedih dengan pandangan ini. Dan juga sedih apabila melihat kedudukan mereka sebenarnya seperti tidak wujud di atas muka bumi ini. Tak kira di dalam atau di luar negara. Dimanakah kesilapannya?

Marilah kita sama2 tak kira kaum, terutamanya golongan Melayu tertentu yang tak habis-habis bercerita nak mempertahankan hak-hak Melayu mereka, berfikir sejenak apa yang telah kita lakukan kepada golongan Orang Asli ini. Yuss akui Yuss ada menitiskan air mata ketika menulis ini. Yuss malu dengan diri Yuss sebagai seorang yang berdarah 'Melayu'. Ini mungkin kelihatan seperti Yuss cuba memprovokasikan keadaan, tapi percayalah, niat sebenarnya ialah supaya kita sedar dimanakah kita meletakkan diri kita hari ini. Adakah kita dilihat menindas kepada yang lemah? Mari kita lihat isu ini secara terbuka dan ikhlas.

Yuss anggap, hak Orang Asli sebagai warganegara Malaysia seperti dicampak ke tepi dan dianaktirikan. Apa yang mereka tuntut hanyalah kesamarataan sebagai warganegara yang sah dari segi keistimewaan dalam perlembagaan dan peluang membuat keputusan dasar negara. Dimanakah kedudukan mereka telah kita letakkan?

Mereka juga menuntut hak mereka sebagai kaum peribumi atau indigenous atau orang asal diiktiraf. Sejajar dengan Deklarasi Hak Kaum Peribumi Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka hanya mahu kedudukan mereka didengar dan diterima.

Tapi apakah benar kedudukan hak mereka ini di luar Malaysia tidak diiktiraf? Jawapannya mungkin ya. Kenapa Yuss berkata demikian? Kerana mereka telah dikategorikan sebagai Melayu yang tidak mahu memilih kemajuan (ketika zaman awal negara Malaysia) atau "the backward cousins who chose to remain in the forest". Ini adalah antara petikan yang telah diambil daripada majalah Off The Edge (keluaran Ogos '08) dalam artikel Change Lifestyle - Minority Report berkenaan isu Orang Asli.

Disamping itu, hak istimewa mereka juga tidak diiktiraf di Malaysia apabila perkataan Melayu itu sendiri telah ditafsirkan semula dalam perlembagaan negara, iaitu Melayu itu ialah mereka yang fasih bertutur bahasa Melayu, mengikut adat Melayu dan beragama Islam. Namun begitu, ketiga-tiga sifat ini tidak dipraktikkan oleh kaum Orang Asli. Oleh itu, mereka tidak mendapat hak yang sama rata seperti orang Melayu yang lain. Begitu juga hak sebagai seorang Bumiputera kerana pindaan semula perlembagaan tersebut telah meminggirkan taraf Orang Asli ini apabila ciri Melayu sebelumnya itu diubah dan dipinda. Yuss amat sedih mengenangkan nasib mereka. Kita telah menidakkan kedudukan mereka sebagai seorang manusia yang asli! Jika tidak asli, jangan kita panggil mereka Orang Asli!

Inilah hak-hak yang ingin dituntut oleh masyarakat yang kita selalu pandang sepi ini. Salahkah mereka memilih perjalanan hidup mereka untuk terus tinggal di dalam hutan? Salahkah mereka untuk terus hidup berpindah randah? Salahkah mereka jika tidak mahu mengikut kemodenan manusia? Salahkah mereka mempercayai kepercayaan mereka? Kenapa hak mereka mempercayai agama mereka seperti kita sekat? Terhadap kepercayaan agama mereka yang meletakkan tanah dan hutan itu sesuatu yang bersakti. Dan kerana mereka tidak berpelajaran, tidak moden, bermakna mereka bodoh? Sengal? Bukan manusia? Kita terlupa mereka itu manusia yang ada hak atas nama kemanusiaan.

Kerana kita berpelajaran, kerana kita moden, kita dianggap berkuasa ke atas mereka yang tidak sama kemajuannya dengan kita? Siapa hak kita untuk menggunakan perasaan ini? Siapa kita nak menentukan nasib hidup orang lain?

Mereka tidak pernah minta lebih daripada kita. Tidak malukah kita? Persoalan ini Yuss lebih tujukan kepada pejuang-pejuang Melayu khususnya. Yang masih terus ingin memainkan isu bangsa di dalam Malaysia moden hari ini. Atau yang Cina dan India sekalipun.

Perbetulkan dahulu apa itu Melayu, apa itu Cina, apa itu India, apa itu Kadazan, apa itu Iban, apa itu Orang Asli dan apa itu Orang Malaysia sebenar. Kita semakin pincang. Hentikanlah isu kontrak sosial yang terbina 50 tahun yang lepas. Kembalilah kepada hari ini dan masa depan. Kenapa kita masih mahu dan terus memisah dan menjarakkan kedudukan antara kaum kita? Kenapa kita masih takut dan tidak mahu kembali kepada ideologi penciptaan Bangsa Malaysia? Dimana silap dan susahnya untuk kita percaya kepada ideologi ini? Hanya kerana warna kulit kita tidak sama, saiz lubang hidungnya tak sama, adakah kita mahu terus terasing? Mengasing dan diasingkan?

Yuss harap mereka sedar dan bijak berfikir tentang perkara ini. Tak kiralah rakyat biasa atau ahli politik. Kembali kepada hala tuju yang satu.

Ideologi pembinaan Bangsa Malaysia ini menjadi bertambah kuat untuk Yuss pegang selepas ini. Untuk Yuss sebarkan. Biarlah Yuss ulang berkali-kali sampailah Yuss mati. Isu bangsa amat-amat merosakkan negara.

Benar, banyak isu undang-undang yang perlu diambil perhatian ketika ini bagi membetulkan keadaan yang semakin kusut masai ini. Tapi orang biasa seperti Yuss akan cuba untuk menggunakan tenaga dan usaha Yuss yang masih ada bagi memastikan ia betul-betul tercapai dan terlaksana suatu hari nanti.

Dan ingin juga Yuss tambah sedikit di sini bila ada antara kita akan cuba mengaitkan isu bangsa ini dengan kedudukan sistem beraja di negara kita. Yuss tidak mahu kita keliru. Biarlah sistem Raja-Raja Melayu Islam terus berada dalam kedudukan negara. Kedudukan mereka perlu kita pertahankan ataupun sebenarnya, ditambahbaikkan lagi. Ia satu ciri unik negara kita. Mereka terasing dalam kedudukan sosial mereka tersendiri. Ia suatu pentadbiran atau satu kedudukan institusi yang terpisah. Dan kedudukan mereka sebenarnya perlu kita angkat lebih jauh lagi dari sudut atau unsur kedaulatan agama Islam. Dan bukan lagi atas sifat bangsa iaitu Melayu sahaja. Kerana mereka jugalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Marilah kita ambil contoh Raja Muda Perak yang berkahwin dengan seorang yang berkacukan darah raja Melayu dan Inggeris. Itu satu contoh betapa indahnya Islam yang tidak mengenal bangsa dan budaya.

Sekali lagi Yuss minta, hentikanlah isu perkauman. Dalam keadaan negara yang semakin kelam kabut di dunia politik terutamanya sekali, kita boleh dan mampu sedar dan mahu sedar yang semuanya berpunca atas kesalahan diri kita sendiri.

Yuss dan Orang Asli tidak berbeza. Satu rupa. =)

Photos by Google.

Bulan Lompat IV

Kali ini Yuss cuba untuk melihat apakah implikasi besar dari peristiwa2 hangat yang berlaku disebalik tarikh 16 September ini. Apakah kesimpulan 'sementara' yang boleh dibuat?

2 Parti/2 Perikatan
Akibat daripada kisah hari lompat ini, Yuss melihat kita semakin menuju ke arah sistem 2 parti. Atau lebih tepat lagi, sistem 2 parti perikatan. Kedua-duanya perlu nampak kukuh dan seimbang dalam komponen2 masing2 yang mencerminkan jiwa Malaysia yang sebenar dari segi pecahan kaum dan agama. Jika PR berjaya membawa masuk komponen2 parti dari Sabah dan Sarawak, ini bermakna, PR lebih mencerminkan jiwa parti perikatan Malaysia yang sebenar. Bukan lagi dilihat terikat di Semenanjung sahaja. Dalam masa yang sama, janganlah pula kita berharap BN akan berkecai dan hilang. Yuss mahu melihat kedua-duanya seimbang dan saling memerhatikan antara satu sama lain. Kerana, jika kedua2nya kuat dan masing2 punya kelebihan tersendiri, pastinya rakyat boleh memilih dengan mudah dan lebih berhemah. Inilah Malaysia Baru yang sebenar. Mungkin.

Agama dan Bangsa
Akibat daripada peristiwa tangkapan ISA baru2 ini yang dikaitkan dengan 16 September, Yuss melihat rakyat cuba dikelirukan sekali lagi tentang isu bangsa dan agama. Sesetengah pemain2 politik ini mungkin cuba mengangkat isu perkauman melalui agama. Mengaitkan agama dan kaum. Menggunakan isu Islam oleh Raja Petra dan Teresa Kok yang ditahan bagi mengiyakan perbuatan isu agama bagi melindungi isu kaum. Kononnya ia akan dilihat lebih sejagat dan lebih mempengaruhi orang Melayu terutamanya. Berselindung di sebalik agama Islam. Mereka cuba mengaitkan antara agama dan bangsa adalah satu perkara yang sama. Yang tak boleh dipisahkan. Kita perlu sedar, agama itu lain, bangsa itu lain. Mereka pastinya akan mengaitkan perkara ini melalui isu ini dengan perlembagaan bila ia menakrifkan sifat Melayu salah satunya ialah beragama Islam. Yuss berharap, kita tidak termakan dengan permainan pemikiran seperti ini. Sangat bahaya dan akan memakan diri sendiri.

Undang-undang
Mengenai isu Teresa Kok di bawah ISA, Yuss telah terbaca petisyen yang dikeluarkan oleh penduduk di Damansara mengenai isu azan tersebut. Kenapa Yuss katakan ia isu azan? Sebabnya pihak yang menangkap beliau masih belum mengeluarkan kenyataan penuh kenapa beliau ditangkap dan menyebabkan Yuss terus berspekulasi. Isu yang dibangkitkan oleh petisyen tersebut ialah penggunaan pembesar suara bagi kuliah atau ceramah agama pada waktu subuh dan malam sahaja. Tidak menyentuh langsung tentang isu azan. Dan pandangan ini juga turut dikongsi bersama oleh Imam masjid berkenaan. Benar atau tidak, Wallahualam. Tetapi kebanyakan laporan polis yang telah dibuat lebih kepada surat petisyen dan surat bantahan imam ini yang dikeluarkan. Disamping keterangan media Teresa Kok yang menafikannya sendiri di hadapan media2 perdana kita. Kita sepatutnya menyerahkan semuanya ini kepada pihak polis untuk menyelidik dan bertindak atas nama mahkamah terlebih dahulu.

Jika masih disiasat, kenapa beliau terus ditahan di bawah ISA? Yuss terpaksa ulang sekali lagi di sini. Yang mencetuskan khabar angin dan spekulasi ialah Khir Toyo. Kenyataan beliau terang2 dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Dan juga laman blog beliau. Jika Khir Toyo yang mencetuskannya, kenapa beliau tidak ditahan sama? Jika ditahan, barulah rakyat akan faham dan bersangka adil bila kedua-duanya diberi peluang sama rata di bawah akta yang sama. Tidak nampak berat sebelah dan akan nampak adil.

Yuss berani untuk memperkatakan tentang tahanan2 ISA ini kerana mereka tidak dibicarakan. Mereka dibiarkan tergantung tak bertali. Akta ini membenarkan rakyat untuk mendefinisikan apa sahaja yang terjadi ke atas pihak yang tertangkap ini. Akta ini membenarkan kita untuk terus berspekulasi dan berandaian kerana ianya tak diadili. Lainlah jika kes mereka telah dan akan dibawa ke mahkamah, Yuss akan diam dan melihat sahaja. Yuss akan patuhi keputusan mahkamah selepas itu. Selagi mereka ditahan di bawah ISA ini, Yuss berhak untuk terus berspekulasi dan berandaian. Sama seperti andaian2 pihak2 yang menangkap tahanan2 ini. Perlu diingat juga, apa yang Yuss tulis ini adalah semasa mereka di dalam tahanan, bukan selepas atau sebelum mereka berada di bawah akta ini. Pada prinsipnya, Yuss rasa Yuss tidak bersalah. Jika jatidiri Yuss mengkritik akta ini, adakah bermakna Yuss tidak patuh pada undang2? Perlu kita ingat, mengkritik bukan bermakna menolak dan menghina kedaultan undang2, tetapi lebih kepada teguran terhadap perlaksanaannya yang dilihat terbabas dan terlalu bebas.

Inilah yang memungkinkan perlunya akta ini dimansuhkan atau dipinda. Digunakan untuk mereka yang betul2 terlibat menganggu ketenteraman negara sahaja. Dikhususkan. Seperti keterangan yang dikeluarkan oleh Zaid Ibrahim, pakar undang2 dan orang kuat UMNO, dalam artikel di Malaysiakini bahawa:

Bernama memetik Zaid sebagai berkata, penggunaan ISA hendaklah dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa.

"Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu," katanya.

Dalam kepala Yuss, Yuss berasa amat hairan bila penafsiran undang2 ini yang dilihat terlalu hanya mahu memihak kepada satu pihak sahaja. Tidak mahu menggunakannya dalam penggunaan yang lebih tepat, dan lebih seimbang. Seimbang bermakna orang yang dituduh dan orang yang menuduh.

Seperti yang Yuss katakan sebelum ini, kita ada seribu satu undang2 yang telah dipinda kerana ingin mengikut peredaran masa dan zaman. Bagi kebaikan hari ini dan masa depan. Tetapi, kenapakah undang2 yang satu ini kita tak mahu usik, pinda dan ubah langsung, atau kalau tidak pun, diperbaiki lagi? Inilah yang menyedihkan.

Parti agama dan parti bangsa
Yuss masih beranggapan parti2 berasaskan kaum dan agama masih relevan untuk kita pada hari ini. Ini kerana, ia telah menjadi darah daging Malaysia untuk lebih 50 tahun. Perubahannya akan memakan masa yang agak panjang lagi selepas ini. Bukan sesingkat sebulan dua atau setahun dua. Kehilangan atau pertukaran nama parti2 politik ini akan menyebabkan kita menjadi kacau bilau. Kerana, bila ia telah sebati untuk tempoh 50 tahun lamanya, itu bermakna masih ada satu lagi generasi yang belum 'hilang', yang telah terbiasa dengan sifat2 ini. Tapi generasi ini juga perlu menerima arus perubahan baru ini. Sanggup menerima KONSEP baru ini. Kerana ada jiwa 'muda' yang telah bersedia ke arah kesatupaduan jenis baru ini. Satu matlamat. Matlamatnya itu ialah MALAYSIA. Jiwa Malaysia. Bangsa Malaysia. Sifat Malaysia.

Kesimpulan terbaik yang Yuss boleh simpulkan daripada kesan akibat peristiwa bulan lompat ini ialah jawapan kepada keempat-empat perkara di atas. Yuss mungkin telah bersedia menyahut cabaran baru ini. Walaupun ianya masih kelihatan agak 'pelik', tapi realistik.

Yuss merenung.

Saturday, 13 September 2008

Bulan Lompat III

Semakin jelas keadaan politik mula bergoyang. Semakin jelas permainan politik tambah bercelaru.

Apa yang Yuss jangkakan sebelum ini semuanya semakin menjadi realiti. Isu perkauman cuba dan telah dibangkitkan. Itu satu. Selain itu, tarikh 16 September juga semakin tak menjadi kenyataan pada hari tersebut, walaupun ada ura2 suara yang ianya mungkin akan tetap terjadi. PKR atau Anwar berkata, tarikhnya mungkin dianjakkan. Pas pula berkata ia mungkin tak berlaku atas alasan parlimen tidak bersidang. Andaian Yuss berhari2 sebelum semua kenyataan2 ini dikeluarkan telah mengiyakan apa yang mungkin dan telah berlaku ini.

Apa yang Yuss lihat seperti sebelum ini, tarikh 16 September adalah tarikh yang dipropagandakan. Menjadikannya satu batu loncatan bagi membenarkan tindakan mereka.Tak kiralah dianjakkan kedepan atau dipercepatkan. Ianya dilihat berjaya mengaburi mata BN. Dan BN akhirnya bertindak. Bertindak dengan alasan yang sangat-sangat 'logik'. Iaitu dengan menghantar ahli2 BN tertentu ini untuk pergi ke Taiwan atas nama lawatan sambil belajar. Rakyat atau orang biasa yang tak pergi sekolah pun boleh berfikir secara logiknya kenapalah mereka pergi ke sana. Yang Islam pula melihat, dimanalah hormatnya bulan Ramadhan. Kalau sidang parlimen boleh ditangguhkan bagi menghormati bulan yang mulia, takkanlah lawatan sambil belajar ini dilihat teramat penting dan seperti dipaksa apabila pasport mereka yang pergi perlu dikumpulkan bagi memastikan mereka benar-benar pergi. Prosedur yang kelihatan agak pelik. Mungkin sudah terbiasa kot prosedur ini. Wallahualam. Sekadar pelik sahaja. Bukan menafikan.

Dan yang terbaru, 3 orang ditahan di bawah ISA dalam masa satu hari. Atas alasan keselamatan awam dalam negara. Apakah justifikasi mereka untuk bertindak sebegini, Yuss masih kabur. Jika atas alasan membangkitkan isu perkauman, Yuss mungkin pasti. Walaupun isu Raja Petra tentang menghina Islam telah cuba diangkat dengan tinggi dan mengaburi pandangan mata kasar kita terhadap 2 orang yang lain ini, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng, tapi orang biasa kebanyakkan sebenarnya telah tersedar bahawa kes dua individu ini (Teresa dan Hoon Cheng) lebih kuat dari Raja Petra itu sendiri. Rakyat biasa yang sedar akan menyimpulkan alasan yang ketiga-tiganya adalah atas dasar nama perkauman, bukan agama. Inilah yang mungkin cuba di didik dalam minda masyarakat selepas ini dalam tempoh masa terdekat ini. Kita tunggu dan lihat. Kerana ia cuba mengelirukan rakyat sekali lagi bahawa, agama dan bangsa, atau Melayu dan Islam, adalah perkara yang sama. Ini perlu diperjelaskan lebih mendalam lagi selepas ini bagi mengelakkan konflik yang semakin teruk.

Walaupun Hoon Cheng telah dibebaskan hari ini, beliau masih tertakluk di bawah akta tersebut. Walaupun singkat tempoh tahanannya, beliau tetap pernah ditahan di bawah akta tersebut. Inilah yang mengelirukan. Dan mencalarkan nama. Inilah yang menganggu pemikiran rakyat.

Yuss telah mengkategorikan tindakan tahanan semalam sebagai faktor politik. Bagi PR, mereka melihat ia satu tindakan terdesak BN. BN pula dilihat cuba mengiyakan pandangan ini atas nama keselamatan sahaja. Tapi dalam masa yang sama, Yuss lihat BN gagal menyakinkan rakyat yang tindakan mereka itu sah dari segi pemikiran rakyat bila menggunakan undang2 ini terhadap ahli politik, wartawan dan penulis blog. Ia sebenarnya semakin memakan diri sendiri BN dengan lebih teruk lagi. Apa yang Yuss maksudkan? Dari berita di Astro Awani yang ditonton tadi berkaitan dengan isu ini, Yuss berasa agak hairan dan pelik dengan jawapan yang diberikan oleh Hamid Albar selaku Menteri Dalam Negeri. Jawapan tentang Ahmad Ismail yang telah diajukan oleh wartawan kepadanya. Beliau berkata, Ahmad telah dihukum oleh UMNO dan digantung selama 3 tahun. Ahmad juga telah diadukan kesnya ke mahkamah oleh pihak2 tertentu. Dan ia juga masih disiasat. Inilah alasan yang beliau berikan.

Yuss hairan bila melihat jawapan tersebut. Adakah parti UMNO itu undang2? Kerana dengan menggunakan alasan menggugurkan seseorang dari parti UMNO, adakah ini bermakna beliau telah dihukum oleh undang2 negara? Sangat hairan. Sangat pelik. Jika alasan penyokong2 Ahmad memijak dan mengoyak gambar Koh Tsu Koon, bukankah ia juga boleh dianggap satu isu perkauman? Lagi hairan dan pelik. Tersiar di media2 perdana kita. Inilah masalahnya bila mereka yang berada di atas melihat parti ITU kerajaan dan kerajaan ITU parti.

Sekali lagi, apakah justifikasi ISA itu sendiri? Siapakah yang berhak dan mengawal tanggungjawab mempraktikkan akta ini?

Sebagai rakyat biasa yang boleh berfikir, jika alasan Ahmad telah dihukum oleh UMNO dan akan diadili di mahkamah, kenapakah tahanan2 ISA terbaru ini tidak diberikan peluang yang sama sifatnya? Sebagai contohnya jika Teresa Kok dianggap bersalah, benarkan pula DAP untuk mengadili beliau terlebih dahulu. Kemudian diadili di mahkamah. Cara yang sama yang dilalui oleh Ahmad. Prosedur dan peluang yang sama diberikan. Begitu juga dengan Hoon Cheng. Kenapa terus menggunakan undang2 ISA ini? Itu sebab orang biasa seperti Yuss melihat adanya double standard terhadap penggunaan akta ini. Berlaku ketidakadilan terhadap cara perlaksanaannya. Ia seperti berat sebelah dan dikenakan ke atas satu pihak sahaja. Adil jika kedua2 belah pihak ditangkap serentak dan ditahan di bawah akta yang sama. Baru rakyat akan dapat menilai dengan baik, adil dan sempurna. Logik bukan? Kerana akta itu masih wujud dan terus dipakai.

Dan bagi Teresa sekali lagi, jika penahanannya atas nama khabar angin tentang laungan azan, Khir Toyo jugalah patut sama dihukum kerana menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat dalam keterangan beliau dalam akhbar Utusan Malaysia berkenaan perkara yang sama. Jelas, undang2 ini lebih banyak menganggu pemikiran rakyat kerana tidak ada alasan kukuh yang mengiyakan perbuatan tertangkapnya mereka2 ini. Atas nama spekulasi. Lebih kepada khabar angin yang kononnya menganggu ketenteraman awam, walaupun telah dinafikan seperti yang dilakukan oleh Teresa. Jika telah dinafikan, kenapa tak mahu dibawa dan dihukum di mahkamah dahulu? Buktikan sebelum dihukum. Ini sangat2 membingungkan. Kerana bila menggunakan akta ISA ini, mereka boleh membiarkannya tergantung tak bertali. Tanpa alasan. Tanpa bukti. Tanpa dihakimi. Dan membiarkan spekulasi merebak. Dan menjadi bertambah bahaya.

Rakyat biasa juga dapat melihat semua ini dengan pemikiran yang adil. BN, atau UMNO terutamanya sekali perlu kembali kepada rakyat. Bukan isu samada mereka masih relevan lagi ataupun tidak, tapi isu samada mereka sanggup berubah atau pun tidak dalam tindakan mereka. Adakah tindakan2 mereka akan dilihat menggunakan taktik yang sama dalam lipatan sejarah yang berlaku sebelum ini dengan undang2 yang sedia ada, ataupun mereka sanggup berubah bersama2 rakyat hari ini dan lebih realistik?

Berbalik kepada isu 16 September atau isu kerajaan lompat ini, Yuss melihat jawapan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat adalah valid dari pemikiran rakyat. Bukan untuk satu pihak sahaja. Tapi lebih menyeluruh. Mereka telah memberi jaminan untuk mempertahankan perlembagaan dan undang2 yang ada. Dan juga hak2 yg termaktub dalam perkara tersebut. Tapi, apa yang lebih menyakinkan Yuss lagi ialah keikhlasan jawapan mereka bahawa akan ada pilihanraya umum dari 6 bulan hingga setahun selepas mereka mengambil alih kerajaan 'baru' secara lompat ini. Maksudnya mereka ingin mengembalikan keyakinan rakyat dan biarlah rakyat yang menentukan semula politik negara. Itu jaminan mereka. Kembalikan atas nama kehendak rakyat. Kerana mereka sedar, politik terlompat ini walaupun sah, tapi keyakinan rakyat dari sudut pemikiran dan jatidiri mereka akan terganggu. Ini bermakna, mereka sanggup kembali kepada rakyat. Semuanya berbalik kepada rakyat.

Yuss seperti dilihat lebih terarah kepada PR kali ini. Mungkin ya untuk masa dan detik sekarang. Atas nama sentimen semasa. Tapi ianya akan berubah. Jika BN sanggup berubah dan kembali kepada rakyat dengan matlamat yang lebih menyeluruh, Yuss tidak akan teragak2 untuk kembali kepada mereka. Itupun jika BN masih lagi wujud suatu hari nanti. Yuss masih mahu berfikir secara rasional dan tak berpihak. Hanya berfikir untuk yang terbaik buat diri sendiri dan masa depan negara. Jika PR silap, akan tetap ditegur dan dikritik. Jika BN silap, mereka juga ditegur dan dikritik. Yang mana mahu mendengar suara rakyat. Dan menjadi rakyat.

Kerana rakyat melihat.

Yuss waras.