Tuesday, 31 March 2009

Talentime

Yuss agak skeptikal semasa mula-mula hendak menonton filem terbaru Yasmin Ahmad ini. Pelbagai tafsiran sendiri dilakukan sebelum menontonnya. Seperti menghukum sebelum melihat.

10 minit pertama menonton filem ini membuatkan Yuss melakukan pelbagai andaian negatif terhadap Yasmin. Yuss mempersoalkan kenapakah pelakon2 yang sama digunakan dalam setiap filem arahan beliau?

Yuss menganggap Yasmin tidak versatil dalam pemilihan para pelakonnya, terutamanya yang memegang watak pelakon tambahan. Walaupun watak2 utama kebanyakannya adalah muka2 baru, tetapi percayalah, mereka pasti akan dikitarsemulakan oleh Yasmin dalam filem2 berikutnya nanti.

Yuss juga telah menghukum tajuk cerita dan konsepnya yang dianggap terlalu ringan. Kerana Yasmin seperti tidak dapat lari daripada stereotaip konsep filem yang sentiasa berunsur kepada alam persekolahan, alam cinta monyet yang suci dan dosa yang dibenarkan, dan alam 'innocent' terhadap dunia.

Tetapi, masuk sahaja setengah jam berikutnya, Yuss mula menyukai filem Telentime ini. Walaupun ringan ceritanya (seperti filem2 beliau sebelumnya), tetapi keberatan penceritaannya ialah terletak kepada kejujuran Yasmin menghukum sifat stereotaip orang Malaysia terhadap unsur agama dan kaumnya. Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum, menangis, dan ketawa terhadap kehebatan karya Yasmin yang cuba menyedarkan penontonnya.

Bagi Yuss, filem Yasmin ini dianggap sarat dengan idea dan matlamat tersirat yang menyatukan kita semua sebagai Bangsa Malaysia. Dan percaya atau tidak, Talentime ini juga Yuss anggap sebagai filem berbahasa Tamil pertama Malaysia.

Maafkan Yuss jika ianya bukan Bahasa Tamil kerana Yuss tidak tahu bahasa apakah keluarga Mahesh gunakan sepanjang filem ini. Mungkin Malayalam, mungkin Telugu atau lain2.

Yasmin berjaya meletakkan mindanya dalam filem ini mengenai penerimaan masyarakat kaum India kepada budaya Islam versi Malaysia. Ini ialah realiti. Kita tidak boleh menolak ke tepi budaya penanaman minda jenis ini di dalam komuniti mereka.

Yasmin cuba merubah pandangan golongan muda India terhadap penerimaan mereka kepada kepelbagaian agama lain yang bertoleransi. Dan ini juga ialah realiti sebenar masyarakat muda mereka hari ini yang terbuka ke arah satu perubahan yang baik. Ketajaman Yasmin terhadap kematian abang Mahesh betul2 membuatkan mata Yuss terbuka luas dan melihatnya sebagai kesalahan diri kita sendiri.

Yasmin juga cuba menyatukan pandangan stereotaip orang Cina ke atas orang Melayu. Bahawa Melayu, sama ada berjaya atau tidak, pasti dan wajib menerima bantuan secukupnya daripada pemerintah. Kecemburuan mereka kepada hak istimewa ekonomi orang Melayu masih dianggap sebagai duri dalam daging kepada orang Cina. Seperti tidak adil dan berat sebelah.

Tetapi Yasmin berjaya mendidik dan merubah persepsi ini melalui filemnya ini. Kejayaan seseorang itu sepatutnya dilihat atas usaha dan kehendak dirinya sendiri dan bukan kepada bantuan dan peluang yang terbuka semata2.

Ini juga ialah realiti hidup orang Malaysia hari ini. Yuss sendiri sudah acapkali menerima realiti minda seperti ini di mana2 sahaja. Banyak kenalan2 Yuss berbangsa Cina masih merasakan perbezaan seperti ini. Mereka merasa tersisih.

Yuss tidak marahkan mereka. Tetapi Yuss sentiasa menjelaskan kepada mereka bahawa pendidikan Yuss sama seperti mereka. Mereka mendapat peluang sama rata seperti Yuss.

Tetapi jika betul lah Yuss mendapat tempat di universiti tempatan dulu atas nama kaum Melayu, betapa sedihnyalah Yuss terhadap diri sendiri. Tetapi Yuss sentiasa yakin bahawa peluang yang Yuss perolehi dahulu ialah kerana usaha Yuss sendiri.

Yuss juga tidak pernah meminta apa2 daripada pemerintah. Dan realitinya, pelajaran Yuss dulu pun atas nama pinjaman atau hutang yang kena dibayar balik.

Yuss yang Melayu ini pun masih berhutang dengan kerajaannya!


Selain itu, Yuss juga tidak terhutang budi apa2 pun dengan pemerintahnya. Yuss juga tidak merasa sedikit pun keistimewaan ekonomi yang sepatutnya Yuss rasakan sebagai orang Melayu. Kerana Yuss tidak terluak pun hendak mendapatkannya. Kerana usaha sendiri itu lebih berkat.

Berbalik kepada filem Talentime ini, Yasmin juga telah menjentik minda orang Melayu tentang Islam. Watak Mei Ling yang rupa-rupanya seorang Muslim diharap dapat mendidik masyarakat bahawa masuk Islam tidak semestinya masuk Melayu.

Mei Ling yang Islam telah mengekalkan nama Cinanya. Tidak ditukar kepada nama2 umum Melayu atau Arab. Salah atau tidak beliau terus kekal bernama seperti itu, itu hak peribadinya. Dan salah atau tidak beliau terus masak dan makan makanan Cina seperti Dim Sum dan makan pakai chopstick, itu juga hak kepada pengekalan budayanya sendiri. Tetapi niat keislamannya terus kekal dan bersatu.

Adakah Mei Ling jadi Melayu kerana Islam? Terbuktilah Islam yang sebenar ialah Islam yang bersifat universal dan tidak terikat kepada satu2 kaum sahaja seperti amalannya di Malaysia.

Dan adakah idea2 seperti ini masih dianggap sebagai satu dosa kepada nilai pluralisme perkauman dalam sesuatu agama di Malaysia? Adakah kesatuan kepercayaan atas nama agama seperti ini masih dianggap salah dan bertentangan dengan budaya Melayu Malaysia? Adakah kesatuan minda seperti ini juga boleh mencemarkan hak2 istimewa orang Melayu, seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak2 tertentu sekarang ini? Kita sendiri boleh memikirkannya.

Apa2 pun, Yuss ucapkan tahniah atas usaha berani Yasmin ini. Filem akhirnya berjaya digunakan sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Medium untuk merubah persepsi masyarakat. Dan akhirnya nanti, boleh menjadi satu warisan penting kepada negara.

Yasmin beruntung kerana ideanya boleh disampaikan melalui filem. Orang yang tak berduit macam Yuss ni, menulis blog percuma macam ini pun sudah cukup baik untuk bersama2 berkongsi idea.

Yuss suka makan Dim Sum.

P/S Bilalah agaknya dapat menonton filem Yasmin, Muallaf yang diharamkan di Malaysia. Hmmm...

Photo by Google

Saturday, 28 March 2009

Selamatkan Bumi

Jadilah sebahagian daripada komuniti yang bertanggungjawab. Selamatkan bumi sebelum terlambat.



Yuss menyokong usaha kesedaran pencegahan pemanasan global.

Thursday, 26 March 2009

Terbelah Dua

Sebelum ini, kita pernah mendengar tentang perbezaan pendapat yang ketara antara Nik Aziz (selaku Mursydul Am Pas), dengan Presiden partinya, Hadi Awang dalam isu kerajaan campuran.

Ramai yang melihat inilah bibit2 perpecahan kepada dua kelompok di dalam Pas. Walaupun Nik Aziz kelihatan sangat tegas dengan pendiriannya melalui fakta2 yang dikeluarkan berdasarkan kepada keputusan yang telah dibuat dalam musyawarah parti tersebut sebelum ini, tetapi Hadi Awang masih belum lagi memberikan respon terkesan untuk menjelaskan kepada umum apakah yang dimaksudkan oleh beliau mengenai idea kepada kerajaan campurannya itu.

Bagi Yuss, ini ialah masalah dalaman Pas. Dan adakah UMNO juga mempunyai masalah dalaman seperti itu? Kalau sudah namanya sebuah organisasi politik yang besar, mesti ada perbezaan pendapat dan idea di dalamnya, bukan?

Melalui Perhimpunan Agong UMNO kali ini, kita boleh melihat dengan jelas perbezaan pendapat di kalangan perwakilan UMNO. Idea2 kepada transformasi UMNO dilihat tidak sehaluan melalui perwakilan dan pemimpin2 tertentunya yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Seperti tidak bersatu. Kalau seorang kata A, yang seorang lagi akan kata Z.

Dan perbezaan2 pendapat seperti ini boleh dilihat dengan jelas melalui peristiwa malam tadi, di mana ramai yang tidak senang dengan kemenangan Khairy.

Apabila beliau menang, dikatanya rasuah. Kalau beliau kalah, penyebabnya juga mungkin kerana rasuah. Padahal parti UMNO itu sendiri membenarkan Khairy bertanding. Rasuahkah parti politik itu kerana membenarkan perasuah bertanding di dalamnya?

Dan hari ini juga, Mukhriz, salah seorang calon yang tewas, telah bertegas dengan berkata, akar umbi Pemuda UMNO sebenarnya masih memihak kepada diri beliau. Wujud semacam rasa tidak puas hati yang ketara melalui keputusan undi para perwakilan semalam.

Mukhriz juga turut menunjukkan bibit2 rasa tidak sehaluan dengan ucapan terakhir Paklah sebagai Presiden parti mengenai isu 'orde lama'. Bibit2 perbezaan seperti inilah yang menunjukkan bahawa berlaku ketidaksepakatan pendapat dalam UMNO itu sendiri. Seperti ada Team Najib (yang dibayangi Mahathir) dan keduanya, Team Paklah.

Kita jangan salah ertikan maksud perbezaan pendapat seperti ini sebagai lambang demokrasi. Ia bukanlah cermin demokrasi sebenar. Intipati demokrasi yang sebenar ialah mereka yang sanggup menerima keputusan yang telah dibuat. Bukannya dengan terus mempertahankan kemenangan diri dengan pelbagai alasan (termasuklah alasan rasuah) dan seperti menafikan hak menang orang lain.

Selain daripada itu, isu kebebasan media internet yang disekat daripada membuat liputan perhimpunan kali ini juga mendapat reaksi yang berbeza2 daripada para perwakilan UMNO. Khairy ialah antara mereka yang lantang menyuarakan bantahan kenapakah perlunya sekatan media seperti ini diwujudkan semula.

Ramai yang melihat cara cengkaman kuasa yang tidak mesra rakyat seperti ini, mungkin telah dijalankan oleh Team Najib. Seperti kembali kepada cara dan zaman Mahathir dahulu. Inikah 'orde lama' yang dimaksudkan oleh Paklah, kita sendiri boleh menilainya.

Disamping itu, adakah isu sekatan media seperti ini ialah sebahagian daripada 'intipati' sebenar perubahan yang dilaung-laungkan oleh UMNO sebelum ini? Seperti kembali kepada zaman tekan menekan dan sekat menyekat. Kalau begitulah niatnya, ianya amat malang sekali kepada masa depan UMNO.

Atau adakah ianya juga boleh dilihat sebagai satu usaha berterusan Team Najib untuk menutup semua pintu perubahan yang pernah diberikan oleh Team Paklah melalui kebebasan medianya itu?

Mungkin berlaku satu penciptaan mentaliti kepada rakyat bahawa zaman 'bebas' media telah berlalu seperti berlalu perginya pemerintahan Paklah. Dan zaman Najib pula kenalah ikut cara Najib.


Dalam masa yang sama, kita sendiri boleh mengaitkan bukti2 kemalangan nasib kepada dua akhbar pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan yang telah digantung 3 bulan serta merta baru2 ini. Ianya seperti mengambil jalan berundur ke belakang kepada kebebasan yang pernah dicipta dan diizinkan oleh pemerintahan Paklah sebelum ini.

Betapa malangnya masa depan UMNO jika cara seperti ini berterusan...

Walau apa pun, seperti posting Yuss yang terakhir sebelum ini, Yuss masih berpendirian bahawa kemenangan Khairy sebenarnya telah memberikan sedikit harapan kepada UMNO yang ianya tidak dikuasai oleh satu pihak sahaja iaitu Team Najib. Itulah demokrasi kecil yang telah berlaku dalam parti tersebut.

Walaupun kecil majoriti undi yang dimenangi Khairy dan ramai yang mempertikaikan kemenangannya (atas alasan rasuah), tapi kita juga perlu ingat bahawa demokrasi ciptaan UMNO ialah tindakan terpilih mereka melalui Lembaga Disiplinnya.
Salahkan UMNO itu sendiri terlebih dahulu sebelum mengkambing-hitamkan individu2 tertentu di dalamnya.

Dan dalam masa yang sama juga, Perhimpunan UMNO kali ini telah membuktikan kepada kita semua bahawa semua parti politik mempunyai masalah masing2. Tak kiralah parti2 dalam BN atau dalam PR. Sama ada Pas, UMNO, PKR, DAP, MIC atau sesiapa sahaja.

Tetapi, kita juga perlu ingat, yang membezakan UMNO dengan parti2 lain ialah, perhimpunan perwakilan mereka telah dimedia-massakan 24 jam secara langsung di depan mata kita. Mahu tidak mahu, orang biasa seperti Yuss berhak membuat penilaiannya sendiri terhadap survival UMNO.

Yuss juga selalu bertanya kepada diri sendiri, adakah perpecahan dalam UMNO seperti ini mencerminkan wajah sebenar perpecahan orang Melayu? Hmmm...

Melayu oh UMNO oh Melayu... Hadiah terbaik untuk mereka ialah sebuah cermin yang besar!

Yuss termangu.

Wednesday, 25 March 2009

Tahniah Khairy Jamaluddin

Jari-jari Yuss terasa amat gatal sejak dua hari yang lepas untuk menulis mengenai Perhimpunan Agong UMNO. Tetapi Yuss hentikan niat tersebut kerana tidak mahu terlibat dalam politik dalaman UMNO. Kerana Yuss bukan orang UMNO. Politik dalam UMNO ialah hak orang UMNO.

Tetapi kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO hari ini sudah tidak mampu lagi menghalang Yuss daripada menulis tentang Perhimpunan Agong tersebut. Atau lebih tepat lagi melihat kepada kemungkinan adanya transformasi atau perubahan dalam UMNO itu sendiri. Tahniah buat Khairy Jamaluddin.

Sebenarnya, sejak menonton debat dalam program Hujah di TV9 beberapa minggu yang lalu, Yuss telah pun membuat keputusan peribadi memilih siapakah calon pilihan Yuss untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru. Dengan alasan dan pandangan peribadi Yuss sebagai orang luar. Dengan harapan Yuss sebagai orang luar.

Kemudiannya, dalam forum internet yang Yuss selalu sertai, semua pihak memilih dan menyokong sama ada Mukhriz atau Khir Toyo yang akan menang melalui penilaian mereka terhadap program debat tersebut.

Daripada 50 lebih individu yang berforum secara aktif, hanya Yuss seorang sahaja yang memilih Khairy. Dan semua pihak menyerang Yuss. Semua orang kata Yuss bodoh dan tak tahu politik dalaman UMNO. Kali ini Yuss pula tersenyum kepada anda!

Yuss tolak ketepi hubungan anak menantu dengan Paklah. Yuss tolak ke tepi hal2 politik wang dalam UMNO. Yuss tolak ketepi hal2 kelompok team itu team ini dalam UMNO. Yuss tolak ketepi andaian dan spekulasi pihak2 tertentu dalam dan luar UMNO mengenai UMNO.

Yuss hanya memandang dan melihat kepada insan bernama Khairy Jamaluddin, bukan faktor sekelilingnya. Apakah pemikiran dan harapan yang boleh diberikan Khairy, itulah kunci utama pilihan Yuss.


Walaupun populariti Khairy jatuh merudum selepas pilihanraya umum yang lepas, beliau masih ada karisma yang boleh dipertahankan.

Yuss sendiri pun pernah menganggap politik Khairy akan terpadam dengan pemergian Paklah. Tapi Yuss terpikir semula, benarkah semuanya salah mereka di tingkat 4? Kenapakah kita suka meletakkan kelemahan atau kesalahan kita ke atas bahu orang lain dan bukannya diri sendiri?

Alasan kenapa Yuss memilih Khairy dahulu cukup mudah. Daripada ketiga2 calon yang berdebat di TV9 itu dahulu, hanya Khairy seorang yang ada matlamat masa depan yang jelas. Visi yang menjangkau masa puluhan tahun akan datang. Visi umum yang dikongsi bersama oleh semua generasi muda hari ini.

Bukannya visi untuk politik hari ini atau 2-3 tahun mendatang sahaja. Bukan juga visi untuk memenangkan parti sehingga pilihanraya umum akan datang sahaja. Dan yang terbaru, bukan juga visi untuk kemenangan 3 pilihanraya kecil (2 Bukit 1 Batang) semata2.

Bukan visi2 jangka pendek seperti ini yang Yuss lihat.


Khairy telah membuktikan bahawa visi muda beliau hari ini ialah visi memandang bangsa lain sebagai sahabat. Sama rata. Demi negara. Untuk negara. Tidak terlalu memberatkan hal2 Melayu sebagai subjek utama semata2.

Dan adanya juga intipati ucapan beliau pada malam ini dilihat amat kena dengan jiwa muda hari ini.

Antara isi ucapan beliau selepas diumumkan menang sebentar tadi ialah, kalau bangsa lain boleh hormat bangsa Melayu, beliau sendiri meminta supaya bangsanya juga menghormati bangsa lain.

Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum. Memikirkan orang lain sebelum diri sendiri ialah contoh pemimpin yang baik. Tidak seperti kebanyakan perwakilan2 lain yang terlalu taksub dan berlebih-lebih dalam melihat konsep Melayu sebagai kunci segala-galanya.

Inilah transformasi pemikiran baru dalam UMNO yang sangat2 diperlukan sekarang. Khairy berjaya membuktikannya melalui kemenangan hari ini.

Sekali lagi Yuss simpulkan, kemenangan Khairy hari ini telah mewujudkan satu persepsi baru kepada angin perubahan sebenar dalam UMNO yang diinginkan rakyat. Moga-moga.

Tahniah Khairy Jamaluddin.

Yuss tersenyum puas.

Monday, 23 March 2009

Dua Filem Nusantara

Disebabkan isu Bahasa Malaysia masih hangat dibincangkan ketika ini, Yuss ingin berkongsi sedikit isu tentang jatidiri orang Malaysia ketika berbahasa. Kali ini dalam bentuk media filem hari ini.

Yuss pernah mengaitkan isu malunya kita berbahasa Malaysia dan mentaliti kita terhadap taraf Bahasa Malaysia dalam posting 'Mahathir dan PPSMInya'.

Cuba kita lihat dan tonton kedua-dua filem yang sedang hangat ditayangkan di pawagam ketika ini, Sayang You Can Dance dan Saus Kacang.

Sayang You Can Dance ialah filem Malaysia. Antara pelakonnya ialah seorang pelakon Indonesia, Samuel Rizal, yang melakonkan watak orang tempatan tetapi masih kuat loghat Indonesianya di dalam filem ini.

Dalam wataknya itu, diciptakan alasan bahawa ibunya (yang meninggal dunia ketika beliau masih kecil) ialah seorang yang berbangsa Indonesia. Disebabkan itulah beliau masih kekal berbahasa Indonesia sehingga dewasa walaupun telah dibesarkan di bumi Malaysia. Dan kita jangan lupa, bapanya yang membesarkannya ialah seorang rakyat tempatan. Pelik atau tidak?


Saus Kacang pula ialah filem Indonesia. Dan salah seorang pelakonnya ialah seorang pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair, yang melakonkan watak orang Malaysia.

Tetapi, atas sebab apa entah, wataknya dalam filem itu menggunakan loghat Bahasa Indonesia. Bicaranya tak ubah seperti orang sana. Padahal watak yang dipegang ialah sebagai rakyat Malaysia. Lagi kita pelik atau tidak?


Yuss membuat perbandingan ini hanyalah sebagai satu contoh betapa lemahnya jatidiri kita orang Malaysia. Filem2 inilah contoh terdekat yang boleh menunjukkan mentaliti dan wajah sebenar orang kita. Terlalu mudah untuk berubah dalam nilai kebahasaannya sendiri dan tak malu langsung.

Itu baru dalam filem. Dan realitinya di dunia luar? Kita sendiri boleh berfikir, bukan?


Dan ini belum lagi kalau Yuss hendak kaitkan dengan tajuk filem 'Sayang You Can Dance'. Walaupun ia hanyalah sekadar tajuk, tapi... Hmmmm... Entahlah...

Yuss... Awak Boleh Menari! =)

Photos by Google

Sunday, 22 March 2009

10 Tahun Sebelum Merdeka

Melihat video ini beerti melihat kepada sudut pandang sejarah yang berbeza daripada apa yang kita selalu baca dan faham. Terutama sekali kepada idea propaganda yang selalu dicanangkan oleh UMNO di media massa kita hari ini.
Jangan kita menidakkan sejarah yang lain.




Video di atas terbahagi kepada 4 bahagian. Total masa seluruh dokumentari ialah lebih kurang 35 minit 22 saat.

Dokumentari oleh Fahmi Reza.
Laman web yang berkait di http://komas.org


Saturday, 21 March 2009

Agenda Melayu Itu Ini

Semakin hampirnya Perhimpunan Agong UMNO, semakin bertambah banyak cerita tentang isu perpaduan Melayu.

Yuss akui Melayu hendaklah sentiasa bersatu. Tetapi Yuss juga mengakui Melayu juga mestilah menjiwai rasa bangsa Malaysia yang sebenar. Bersatu dengan kaum yang lain itu lebih penting daripada memikirkan kaumnya sendiri sahaja.

Forum2 ilmiah berkaitan orang Melayu semakin bercambah di merata2 tempat ketika ini. Semuanya dimedia-massakan. Seminar Agenda Melayu lah... Perhimpunan Pribumi Perkasa lah.... Semuanya berjalan dalam masa yang dekat antara satu sama lain. Termasuklah Perhimpunan Agong UMNO.

Sehinggakan Perhimpunan Pribumi Perkasa sanggup menaja satu slot penting di dalam program Astro Awani di saluran 501. Sebagai satu contoh.

Inilah satu bentuk penyampaian propaganda. Kerana ia melibatkan satu pihak sahaja, yakni satu kaum, di saluran percuma Astro di mana semua komuniti bangsa Malaysia boleh menontonnya. Itu belum lagi tengok berita di RTM, di BernamaTV, atau TV3.


Yuss sentiasa bertanya kepada diri sendiri, inikah agenda utama negara? Agenda Melayu? Adakah ia sebenarnya untuk survival negara, untuk bangsa atau untuk survival parti2 tertentu?

Cuba letakkan diri kita dalam diri orang lain. Katakan kita menjadi orang bukan Melayu atau pribumi, seperti orang Cina, India, Serani atau Punjabi. Apakah perasaan mereka? Salahkah kita merasa apa yang mereka rasa? Salahkah mereka merasa terasing di dalam komuniti negaranya sendiri, dalam konteks keMalaysiaan?

Kenapa seperti dipisahkan matlamat penyatupaduan antara kaum ini dan tidak mencari satu agenda bersama yang lebih menyeluruh? Kenapa terlalu menitikberatkan agenda Melayu sebagai agenda nasional?

Dalam masa yang sama, kalau betul Pribumi Melayu mahu menunjukkan mereka bersatu padu, buktikan kepada semua pihak bahawa Orang Asli juga sebahagian daripada PRIBUMI Malaysia? Sanggup?

Yuss pernah menulis isu Orang Asli di dalam posting 'Orang Asli'.

Kenapa memilih siapa yang patut jadi pribumi dan siapa yang bukan?

Selain daripada itu, kita selalu berkata Melayu itu Islam. Bukankah mata Allah memandang semua bangsa sama rata? Cuba tengok musim haji di Mekah. Hitam, putih, coklat, kuning, semuanya sama sahaja.

Persoalannya sekarang ini ialah sama ada melayu itu lebih tinggi dari Islam atau Islam lebih tinggi dari Melayu?

Kalau Yuss kata Yuss Islam tapi tak mengaku Melayu, Yuss ini apa?

Bukanlah niat hendak mencetuskan provokasi, tetapi Yuss tak nak yang lain rasa seperti terasing di bumi sendiri h
anya kerana beza wajah dan rupa.

Cuba kita pikir-pikirkan...

Kita ada komuniti India Muslim. Kita juga ada komuniti Cina Muslim. Ada antara mereka terus mengekalkan nama India dan Cina mereka. Ada antara mereka terus mengekalkan adat dan budaya India dan Cina. Melayukah mereka kerana Islam?

Yuss bangsa Malaysia.