Monday 8 September 2008

Bulan Lompat II

Kisah bulan lompat masih menjadi teka-teki kita semua. Akibat daripada pemerhatian banyak sumber, Yuss menganggap ia hanyalah satu retorik politik. Yuss anggap ia sesuatu yang tidak masuk akal. Sesuatu yang menganggu pemikiran rakyat. Sampai ke hari ini, Pakatan Rakyat terutamanya sekali PKR pimpinan Anwar Ibrahim masih bermain sikap tunggu dan lihat.

Ia kurang 8 hari sebelum ia mungkin terlaksana. Dan Yuss anggap, jika ia terjadi sekalipun, impaknya sangat besar untuk perubahan sesingkat ini. Kurang 8 hari ini, PKR gagal meyakinkan rakyat. Kurang 8 hari ini, PKR gagal mendedahkan perancangan mereka. Dan kurang 8 hari ini, PKR gagal mempengaruhi rakyat dari segi pemikirannya.

Seperti yang Yuss katakan sebelum ini, PKR perlu meyakinkan rakyat terlebih dahulu. Bukan bermain sesama ahli politik. Dan masa kurang 8 hari ini Yuss anggap ia terlalu pendek dan tidak munasabah untuk menerangkan segala-galanya kepada rakyat seluruh negara. Bukan seorang dua manusia, tetapi 25 juta rakyat Malaysia. Tidak terdengar satu pun kata2 perancangan atau keterangan yang boleh rakyat lihat dan tafsirkan untuk masa depan mereka. Rakyat tidak dapat berbincang sesama mereka, tidak dapat berdebat secara sihat sesama mereka. Ia betul2 dilihat memakan diri sendiri. Dan kalau ada pun, hanya bertaraf 'khabar angin'. Tidak disahkan. Dan walaupun mereka akan bertindak mulai esok, katakan, Yuss anggap ianya telah terlambat. Inilah yang menjadi punca rakyat melihat politik itu kotor. Politik itu politik. Sama sahaja.

PKR sepatutnya menggunakan semua saluran maklumat yang ada untuk menyampaikan hasrat mereka kepada rakyat. Tak kiralah internet atau akhbar mereka sekalipun. Tapi tidak terlihat satu pun maklumat yang dilihat terbuka untuk rakyat biasa menilainya. Yuss sebenarnya kecewa dengan cara permainan politik seperti ini. Tetap sama seperti kepimpinan sekarang. Tetap sama. Wajah Malaysia Baru sebenarnya masih tidak menyerapi sedalam-dalamnya dalam jiwa PKR.

Sebagai seorang rakyat biasa, seperti yang Yuss katakan sebelum ini, PKR bersama2 parti2 lain dalam PR perlu memperkukuhkan dahulu agenda dan masa depan PR. Perlu meletakkan PR itu sebagai BN. Bukan sekadar draf atau kerjasama bersama dalam prinsip asas sahaja. Perlu disekalikan asas perjuangan mereka. Yakinkan rakyat dahulu. Sampai sekarang ia masih tidak kelihatan. Masih kabur. Masih samar-samar. Adakah dengan menunggu kemasukan parti2 dari Sabah dan Sarawak, barulah ia akan didedahkan? Kenapa tak boleh dedahkan sekarang? Jika ia betul dan baik, ia bukan masalah bagi rakyat untuk menerimanya tak kiralah samada ada atau tidak parti dari kedua2 negeri ini. Benar, kuasa parti2 dalam gabungan perikatan ini perlu seimbang dalam seluruh negara dan bukan di Semenanjung sahaja, tetapi jika asasnya betul dan baik, ia bukan satu masalah untuk mendedahkannya dahulu.

Inilah masalahnya sekarang. Gagal mendedahkan kepada rakyat. Jika didedahkan mulai esok sekalipun, masanya terlalu pendek. Masa yang pendek untuk rakyat biasa berfikir, telan dan telaah. Yuss tolak ketepi asas politik berdasarkan pilihanraya. Yuss mahukan idea menyakinkan rakyat.

Mungkin ini sebenarnya satu proses transformasi pembentukan dua gabungan parti politik yang seimbang dalam negara kita. Mungkin juga proses ini memakan masa yang lama dan rapi untuk memastikan ia tepat dan elok. Benar ideologi masing2 terlalu berbeza dalam PR. Rasanya, perkara paling penting ialah mengenepikan dahulu matlamat asal masing2 tapi mencari matlamat bersama yang diterima semua. PR sebenarnya ada masa 4-5 tahun untuk merancang perkara ini bersama2. Bukan mencari jalan penyelasaian dalam keadaan terdesak seperti sekarang yang menunggu tarikh 16 September ini.

Kerana bila kita lihat mentaliti masyarakat sekarang, kita ada BN dengan lambang dacingnya di atas kertas undi semasa pilihanraya. Bukan lambang UMNO, bukan lambang MCA atau lambang parti2 lain dalam BN. Dari segi pengiklanan 'wajah' mereka, mereka telah berjaya. Inilah yang perlu dilakukan oleh PR dahulu.

Yuss minta sangat2 PKR buat itu dahulu. Kita masih jauh ke arah Malaysia Baru yang direncanakan oleh PKR. Masih terlalu jauh. Yuss anggap 16 September ialah satu masalah. Tak kiralah terjadi atau tidak. Ia satu masalah besar terutamanya sekali jika ia terjadi. Masalah buat PKR atau PR keseluruhannya. Memakan diri sendiri. Mereka bergerak terlalu cepat hanya berdasarkan sentimen rakyat. Sentimen rakyat digunakan untuk bermain sesama ahli politik. Mereka bukan menggunakan sentimen ini untuk kembali kepada rakyat. Inilah yang sangat menyedihkan.

Apa yang Yuss ulaskan hanyalah bersandarkan pemikiran rakyat biasa. Bukan sebagai seorang yang mempercayai parti2 politik tertentu atau pakar2 atau penganilisa2 politik yang percaya ianya mungkin terjadi dengan maklumat2 yang mereka ada. Mungkin mereka2 ini telah diyakinkan. Dari sudut undang2nya. Dari sudut prinsipnya. Tapi bagi rakyat kebanyakannya TIDAK. Itu dari sudut moralnya, kepada masyarakat. Itu perlu mereka sedar.

Yuss harap mereka sedar. Yuss juga ingin sedar.

No comments: