Tuesday 16 September 2008

Media dan Politik - Asas Agama Bangsa

Hari ini kita menyambut sambutan Hari Malaysia. Selamat Hari Malaysia. Tapi ia tidak diraikan dengan keadaan sepatutnya. Tidak mengapa, kita tinggalkan dahulu isu ini dan akan diulas kemudian hari di samping banyaknya peristiwa yang melibatkan Anwar dan Paklah akibat daripada dogma kerajaan lompat.

Tapi isu yang paling yang menarik perhatian Yuss ialah kekacauan yang cuba digambarkan dalam parti Pas. Media-media kita seperti cuba melaporkan telah berlaku keretakan dalam Pas akibat daripada peristiwa kerajaan lompat ini. Atau lebih jelas lagi, antara Nik Aziz, Hadi Awang dan Mustafa Ali selaku Pesuruhjaya Tinggi Pas Terengganu.

Ia berlaku apabila Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak mungkin mampu menubuhkan kerajaan 'baru' kerana parlimen tidak bersidang untuk undi tidak percaya dan secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang. Kenyataan ini telah disimpulkan melalui artikel dalam Malaysiakini dan Harakahdaily. Di samping itu, beliau juga cuba menguatkan gembar-gembur kepada idea kerjasama antara Pas dan UMNO atas nama kepentingan MELAYU dan Islam. Mungkin.

Di samping itu, dalam Utusan Malaysia pula, mereka cuba menggambarkan kenyataan Hadi Awang sebagai anti-PR yang terlebih Islamik. Antara petikannya ialah :

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, kerajaan yang digembar- gemburkan oleh Anwar esok belum menunjukkan apa- apa yang nyata sehinggalah ke hari ini.

''Janganlah hendak jadi Mat Jenin. Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi.

Benar, berita yang disampaikan mungkin tidak tepat atau sekadar satu manipulasi atau propaganda pihak tertentu. Tak kira benar atau tidak, tapi ianya telah tertulis dan diterbitkan. Dan inilah corak dan suasana yang cuba digambarkan dalam negara kita. Adakah ini yang digambarkan satu profesionalisme dalam bidang kewartawanan, dari sudut mempengaruhi pemikiran, Yuss tak mahu ulas. Kita juga perlu ingat, kesemua media-media perdana ini masih menggambarkan pandangan umum masyarakat Melayu di Malaysia.

Apakah yang cuba Yuss sampaikan?

Agama-Bangsa dari sudut politik
Yuss melihat adanya cubaan membawa parti Pas itu sebagai satu parti berasaskan kaum. Prasangka ini telah ditimbulkan oleh Mustafa Ali sendiri. Beliau dilihat cuba membawa Pas dalam konsep bangsa, dan bukan sekadar agama. Atau dicampur-adukkan maksud kedua-duanya. Beliau masih melihat Melayu itu Islam. Beliau mungkin masih melihat Pas itu sebagai satu parti untuk Melayu sahaja. Jika inilah yang cuba digambarkan, bermakna mereka telah cuba mengangkat parti mereka atas nama kaum. Atas nam 'perpaduan Melayu'. Ini satu kesilapan. Ini satu penafsiran yang jahil. Kerana itu Yuss melihat ianya sebagai satu permainan politik yang tidak sihat. Jika inilah yang cuba digambarkan, betapa malangnyalah masa depan Pas. Sekali lagi Yuss katakan, Islam dan Melayu itu lain.

Dan apa yang dilaporkan tentang kenyataan Hadi Awang pula, Yuss masih 'beranggapan' apa yang dimaksudkan oleh Hadi ialah pemimpin tertinggi kerajaan baru nanti mestilah seorang Islam. Dan dalam masa yang sama, jika pula Hadi bermaksud untuk menafsirkan pandangan bahawa kerajaan Islam itu ialah kerajaan atas nama undang-undang Islam, sekali lagi Yuss katakan, ia masih belum boleh diterima di bumi Malaysia hari ini. Ini satu idea atau pemikiran sempit untuk hari ini. Tapi satu pemikiran yang luas untuk masa depan. Mungkin untuk jangka masa panjang.

Dan bidasan Nik Aziz terhadap Mustafa Ali adalah mungkin disebabkan salah faham dalam penafsiran mereka dalam perjuangan Islam. Dan secara peribadi, Yuss masih mempercayai Nik Aziz dalam hal penafsiran apa itu agama dan apa itu bangsa. Beliau jelas tahu dan arif membezakan antara kedua-duanya ini walaupun dalam konteks perlembagaan negara.

Dan janganlah kita terlupa kepada asas pembentukan Pakatan Rakyat yang turut sama2 dianggotai oleh Pas. Ia terbina untuk rakyat Malaysia. Ideologi PR ialah Malaysia yang dibersihkan dahulu dari undang-undang dan prinsip-prinsip yang salah yang menganggu rakyat dan pemikiran rakyat. Atas nama rakyat. Yang telah dipersetujui sesama mereka terlebih dahulu sebelum ini selepas pilihanraya umum yang lalu. Itu arah tuju mereka sekarang. Jangan pula kita campur-adukkan dengan perkara yang lain.

Agama-Bangsa dari sudut media
Media kita terutamanya sekali yang Berbahasa Malaysia masih terus-terusan menggambarkan Melayu dan Islam itu satu benda yang sama dari sudut politiknya. Inilah satu perkara yang menganggu pemikiran rakyat. Untuk kepentingan parti tertentu semata2. Sekali lagi, janganlah kita terlalu hanya mahu melihat isu kepada sudut perlembagaan sahaja. Jika kita bertuan dan berkepalakan perlembagaan sahaja, tanpa mahu melihat dari sudut agama yang sebenar, ia juga satu kesilapan yang mengelirukan.

Yuss akui, walaupun media-media berbahasa Malaysia kita adalah yang paling dominan, tetapi jenis dan jumlah bilangan media dalam bahasa ini masih sedikit dan tidak meluas berbanding media berbahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Media dalam Bahasa Malaysia juga masih dianggap tidak bersikap sejagat. Tidak cuba untuk melangkaui setiap seorang rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Lebih memberatkan sifat dan cerita2 orang Melayu sahaja. Atau dalam konteks 'kemelayuan' itu sendiri dan kepentingan kaumnya itu sahaja. Ini boleh dilihat terutamanya sekali dalam dunia politik. Mereka lupa Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan. Bahasa untuk seluruh warga Malaysia. Semua bangsa menggunakannya. Bukan bahasa untuk satu kaum tertentu sahaja.

Dan dari segi penyampaian berita dan maklumat, jika media2 ini menyentuh isu Melayu dalam politik, topiknya akan hanya tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Dan jika menyentuh isu tentang Islam dalam politik, topiknya juga hanya ditumpukan kepada orang Melayu sahaja. Inilah masalahnya bila kita mempengaruhi dan mendidik masyarakat bahawa Melayu itu Islam dalam politik. Kenapalah mereka tidak mahu menyekalikan idea untuk melihat Islam itu universal dalam dunia politik? Atau dalam isu pentadbiran dan hubungan masyarakat. Dan jiwa universal Islam ini selalunya hanya disampaikan dalam media masing2 dalam segmen2 agama sahaja. Tidak disekalikan idea asas ini atau konsep ini di dalam politik. (Segmen agama ialah segmen yang dikhususkan untuk huraian berkaitan agama sahaja dalam konteks sejarah, ibadah dan amalannya).

Inilah yang cuba disampaikan oleh media2 kita. Tak kiralah media cetak atau elektronik. Termasuklah internet. Walaupun niat mereka baik, tetapi salahtafsir beginilah yang menganggu pemikiran rakyat. Yuss berharap etika kewartawanan yang mahu menyentuh isu agama dalam politik perlu tahu kepada perbezaan ini. Apa itu agama. Apa itu bangsa atau kaum. Huraikan dengan sebaik mungkin. Kesilapan kecil inilah yang menghantui hidup kita. Menghantui politik kita.

Janganlah kita campur-adukkan perkara ini.

Islam itu agama. Melayu itu bangsa.

Walaupun ciri-ciri Melayu dalam perlembagaan kata mereka Islam, tapi Islam itu bukan Melayu.

Yuss beragama Islam. Yuss asalnya Melayu. Yuss bangsa Malaysia.

1 comment:

Anonymous said...

Tetapi, secara tradisinya di Malaysia, tidak kira dari aspek politik mahupun dari aspek sosio-logik, Melayu dan Islam tidak akan dapat dipisahkan.

Ini satu masalah, ya, tetapi apa penyelesaiannya?

Lebih-lebih lagi apabila media perdana dan institusi politik negara bertungkus-lumus cuba merebut perhatian kelompok orang yang, pada realitinya, memegang kuasa menentukan corak pemerintahan dan pelan pentadbiran negara.

Kelompok yang dimaksudkan?

Melayu... yang Islam.