Thursday 11 September 2008

Perihal Sebiji Rambutan

Minda seorang manusia bernama Yuss masih belum terhenti untuk berfikir tentang agama dan bangsa. Ia masih kekal berpusing mencari hala tuju dimanakah mungkin kesilapan yang menyebabkan kita semakin terasing dalam dunia sendiri. Bukan konteks Malaysia lagi yang ingin dilihat, tapi lebih universal dan jauh terbebas.

Yuss dibesarkan di bumi Malaysia dengan sistem pendidikannya yang sama digunakan oleh kebanyakan masyarakat dalam masanya. Asas paling penting dalam agama Islam yang Yuss pegang ialah Islam itu cara hidup. Islam itu kehidupan. Itu yang patut dilihat oleh seorang manusia bila menerima Islam sebagai agamanya. Diselarikan dengan kalimah dua syahadah sebagai bukti akujanji dia seorang Islam. Itu yang Yuss pelajari dan pegang sehinggalah ke hari ini. ‘Salah’, ‘dosa besar dan kecil’, ‘silap’ dan ‘mungkar’ tetap berjalan sepanjang masa dan tetap terjadi sama seperti manusia yang lain. Ia bukan salah agama, tetapi salah manusia. Walaupun dalamnya ilmu, ceteknya ilmu, atau bijak orangnya, bodoh orangnya, beliau tetap Islam. Itu jelas. Itu ideologinya. Kerana jawapan terakhir ialah di tangan Tuhan. Hukum Tuhan.

Kita semua tahu di dunia Barat, Islam diibaratkan bertembung dengan ‘tamadun’ mereka. Itu yang mereka bawa. Itu yang cuba mereka pegang. Tapi kita semua sedar, ia bukan salah Islam, tapi salah manusia di Barat dan manusia yang beragama Islam itu sendiri keseluruhannya. Itu propaganda. Sampai kita di bumi Malaysia sendiri ada yang termakan, terfikir, dan tersedar yang ia menganggu jatidiri mereka. Tak kiralah yang Muslim atau bukan.

Yuss meletakkan diri sebagai seorang Muslim yang sangat cetek ilmu agamanya. Tapi Yuss juga meletakkan jatidiri Islam Yuss tak berbelah-bagi. Bukan mengikut membuta tuli, bukan juga berdegil dengan panduan yang ada. Tapi keyakinan terhadap fundamental atau asas agama Islam itu sendiri. Yuss tak mahu gunakan perkataan ‘akidah’, ‘iman’, ‘ibadah’, ‘amal’ kerana kebanyakan daripada kita terbiasa menggunakannya tapi maksud dan firasatnya mungkin terganggu. Mungkin akan kelihatan Yuss penganut yang liberal, penganut yang lemah, penganut hadhari, penganut sederhana, atau apa-apa saja. Biarlah. Yang Yuss tahu, Islam hanya satu. Biar bercabang ilmu agama Islam itu sendiri, Yuss tetap hanya berpegang kepada al-Quran dan sunnah-Nya dalam golongan wal-jamaah. Dan biarpun bercabang tafsiran aliran agamanya dalam Islam, tetapi sifat mentafsirnya itu sendiri masih terus dan tetap berjalan sehingga tamatnya riwayat akhir bumi ini. Kerana agama Islam itu sendiri mencabar mindanya, sama seperti mencabarnya minda dalam Sains dan Teknologi. Tapi terlandas.

Jiwa Muslim mungkin tidak sama dengan yang bukan Muslim. Tetapi konsepnya sama. Ke arah kebaikan. Tujuannya sama. Dan jika kita kaitkan dengan isu kenegaraan, adakah patut kita binanya atas nama agama? Adakah ia sama seperti apa yang dirasai bila isu bangsa dibangkitkan dalam konteks kenegaraan ini? Kemanakah hala tujunya? Kita semua akui dari segi pemikiran biasanya, sifat bangsa akan memecahbelahkan manusia. Menghancurkan negara. Cukuplah bukti peperangan era moden menjadi saksi. Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Perang Bosnia, atau yang terbaru ini Perang Russia-Georgia. Walaupun punca peperangan ini akan ada seribu satu macam bila dikaji, tapi semuanya akan tetap berbalik kepada perkara yang sama, iaitu isu bangsa. Siapa terkuat, siapa menguasai. Siapa menindas, siapa tertindas.

Itu sebab bila minda pemikir barat seperti Samuel Huntington mengaitkan pertembungan era baru antara tamadun Barat dan Islam, ia diterima ramai. Beliau cuba mengangkat pertembungan dua ideologi. Sama seperti beliau melihat pertembungan ideologi2 terdahulu seperti Sosialis, Komunis, Kapitalis dan sebagainya yang menyebabkan perang. Tapi kita perlu sedar, ideologi-ideologi terdahulu ini terbina dan digunapakai oleh malaun-malaun ini untuk survival bangsa dan negaranya. Walaupun ideologi-ideologi ini berkembang merentas negara bangsa yang lain, tetapi aplikasi mereka adalah untuk survival bangsa masing2. Untuk kepentingan sendiri.

Itu sebab Yuss melihat ia tidak sama bila dikaitkan ideologi2 ini dengan Islam. Walaupun Islam boleh kita kategorikan sebagai sebuah fahaman, tetapi konteks atau pemikirannya tidak sama. Benar yang ia juga merentas negara bangsa, tetapi ia tidak digunakan untuk kepentingan bangsa. Kerana semua bangsa dilihat sama taraf dan tidak berbeza. Walaupun dengan bukan Muslim, taraf layanan dan hak mereka adalah sama rata. Sebagai manusia. Walaupun akan ada perbezaan dari segi perlaksanaan undang-undang antara Muslim dan bukan, tetapi sebahagian besarnya hanya terpakai untuk penganut Islam itu sahaja.

Yuss melihat kebanyakan dari pejuang2 Islam ini, mereka ingin menegakkan Islam ini atas nama Islam. Semuanya atas nama Islam. Islam dijenamakan. Islam itu Islam ini. Dan Islam terbina bila ia terhukum. Terhukum bila undang-undang Islam itu didirikan. Mereka lebih melihat kepada sudut ini. Atas nama agama. Bank Islam. Undang-undang Islam. Sekolah Islam. Negara Islam. Itu sebagai contohnya. Mereka gagal melihat atau membawa Islam dari sudut yang lebih sejagat. Yang lebih universal. Akibat daripada perkara inilah yang menyebabkan Islam itu terasing. Tidak disekalikan jiwanya dengan bukan Muslim. Inilah yang menyebabkan Islam semakin dijauhi. Semakin terpinggir. Semakin ditakuti. Mungkin ramai yang tidak bersetuju, tapi percayalah, ia salah satu sebab utama. Mereka lupa membawa konsep dan cara pendekatan Islam yang luas.

Apa yang Yuss maksudkan. Yuss bukan berkata gugurkan perkataan Islam dalam setiap apa yang kita buat, tetapi pendekatannya. Kerana konsep dan ideanya berlandaskan Islam itu telah betul dan sah. Tapi kita telah meletakkan Islam satu jenama yang dijauhi. Kita telah terlupa atau tersilap bila menakrifkan bahawa setiap perbuatan itu perlu dilakukan atas nama Allah atau umumnya, Islam. Tersilap dalam erti kata, NIAT. Niat itu adalah antara diri manusia dan Tuhan. Bukan bertulis dan perlu dihebahkan satu dunia yang ada benda Islam itu, benda Islam ini. Semuanya dijenamakan. Benar, ia bertujuan mengingatkan kepada yang Muslim. Tapi itu pemikiran sempit. Kita terbiasa mendengar Islam is a way of life. Islam itu cara kehidupan. Tapi interpretasi kita tentang cara kehidupan itu sendiri terlalu jumud dan satu tuju. Sebagai contoh perkataan Undang-Undang Islam itu, sebenarnya mungkin ada perkataan yang lebih tepat lagi dalam Islam, yang terbahagi dalam banyak cabangnya. Tapi disebabkan ingin memudahkan pemahaman kita, perkataan Undang-Undang Islam digunakan. Itu sebab kita perlu letakkan asas pembawaan konsep itu dengan penggunaan perkataan yang betul.

Proses penerangan, proses penyampaian Islam itu sendiri ialah satu proses evolusi. Bukan revolusi. Bukan terjah dan menukar begitu sahaja sekelip mata tanpa ada adjustment terbaik dalam kehidupan manusia. Tak kiralah kepada yang Muslim atau bukan. Inilah yang perlu dilihat semula oleh kita. Mencari titik permulaan yang betul. Walaupun niatnya betul pada pandangan mata kasar kita, tapi di sisi Tuhan, adakah ia tepat? Tepat dari segi masa depan dan survival manusia? Masih terlalu banyak lagi perlu dilakukan.

Bila melihat pendakwah2 di Malaysia terutama sekali yang muda2, Yuss masih sangsi apa tujuan mereka? Walaupun niatnya betul dan baik. Adakah ia cukup untuk menyakinkan Muslim yang cetek ilmu agama dan yang bukan Muslim? Masih terlalu jauh lagi. Benar hidayah itu hadiah terbaik dari Tuhan, tapi keyakinan pendakwah2 ini juga Yuss tak akan pandang sepi. Setiap perkara bermula dengan tangan kosong. Begitu juga Malaysia.

Yuss suka umpamakan penyampaian Islam ini seperti sebiji buah rambutan. Ada kulit, ada isi dan ada biji. Yang tak faham Islam, yang cetek Islam, atau yang bukan Islam, mungkin melihat Islam dari luarannya sahaja, atau pada kulit. Yang berdakwah, yang berjuang atas nama Islam, mungkin telah melihat pengisian dan luaran itu, yakni pada isi dan kulit. Tapi tak ramai daripada kita mahu melihat kepada bijinya. Tak boleh dimakan sesedap si isi, tak cantik seperti si kulit. Tapi biji inilah benih sesuatu yang baru. Untuk melihat masa depan. Untuk survival masa depan.

Dimanakah Yuss dalam sebiji rambutan itu? Yuss telah lihat kulitnya yang merah dan cantik. Dan Yuss juga telah mengunyah satu gigitan pada isinya yang manis dan masak. Masih jauh lagi sebelum habis. Masih terlalu banyak lagi isinya. Tapi, dari gigitan pertama tadi itu juga, Yuss telah ternampak bijinya.

Yuss suka makan rambutan.

No comments: