Wednesday 17 September 2008

Bulan Lompat V

Tajuk Bulan Lompat ini telah masuk ke bahagian kelimanya. Yuss masih tersenyum bila melihat bagaimana ianya terjadi dan berkembang bermula dari bahagian pertama dahulu. Yuss terasa seperti mendidik diri sendiri dengan ilmu yang baru. Sedikit demi sedikit. Dan jalan ceritanya juga sehingga kini masih belum berkesudahan lagi. Apa yang pasti, bila dibaca kembali, Yuss dapat melihat bagaimana transition atau anjakkan idea2 tersebut bergerak secara terbuka dan akhirnya mendidik diri sendiri.

OK, apa yang Yuss boleh lihat kali ini? Tarikh 16 September semalam telah berlalu pergi. Orang biasa seperti Yuss juga mengakui yang pada mula-mulanya dahulu Yuss seperti termakan dengan kata-kata bahawa kerajaan 'baru' akan terbentuk pada hari tersebut. Tapi, selepas itu, Yuss telah berandaian ianya tidak akan berlaku. Dan ia terbukti. Apa yang sebenarnya berlaku ialah hari 16 September ialah hari bermulanya 'gerakan' menggerakkan kempen ke arah kerajaan 'baru'. Permulaan perlaksanaan ke arah pembentukan sesuatu yang 'baru'. Yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. Satu titik permulaan melaksanakannya. Apa yang pasti, orang biasa seperti Yuss masih berasa agak sedih dengan PR apabila Anwar tidak mahu memberikan penjelasan awal kepada rakyat biasa. Inilah yang dikatakan menganggu jiwa rakyat. Hanya berkata tarikhnya mungkin dianjakkan. Benar, yang beliau tidak menafikan ia akan terjadi, tapi beliau juga mengiyakan pendapat umum apabila menyebut ianya akan 'ditunda' atau dianjakkan ke tarikh baru. Inilah yang membuatkan rakyat berspekulasi. Akan 'terbentuk' dan akan 'dilaksana' ialah dua perkara berbeza. Jadi, bukan salah rakyat biasa seperti Yuss yang pada mula-mulanya meletakkan tarikh 16 September ialah hari ianya terbentuk kerana penafsiran perkataan itu sendiri sangat luas.

Dalam masa yang sama, pada hari ini, draf atau kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat sempena Hari Malaysia pada tahun ini akhirnya telah menyekalikan sambutan itu dengan matlamat mereka sempena Malaysia Baru yang cuba dibentuk dalam masa terdekat ini. Ia sebenarnya boleh diterima akal dan ianya logik. Antaranya ialah pindaan atau penambahbaikan terhadap undang2 yang sedia ada untuk kebaikan rakyat. Penghapusan atau pindaan terhadap akta2 tertentu seperti ISA, AUKU dan Cetak yang telah ditentang sejak sekian lama ini menunjukkan mereka seperti mengikut suara rakyat. Satu manifesto yang nyata. Itu petanda baik. Bagi Yuss, ia bukanlah angan-angan. Ia lebih merupakan satu impian. Kerana angan-angan ialah sesuatu yang tak masuk akal untuk berlaku. Tetapi impian ialah satu realiti yang boleh dan mungkin berlaku.

Selain itu, jaminan bahawa akan ada pilihanraya umum selepas 6 bulan atau setahun tarikh kerajaan 'baru' terbentuk menguatkan tanggapan Yuss bahawa PR telah meletakkan rakyat terlebih dahulu. Ini janji mereka yang akan Yuss pegang dan lihat nanti. Yang pasti, jika ianya satu janji kosong, ia hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat di masa hadapan. Dan bagi Yuss, perkara janji seperti ini sebenarnya kelihatan seperti sesuatu yang realistik dan boleh diterima.

Dan jika sebelum ini Yuss berpendapat, bahawa melompatkan parti2 di dalam BN masuk ke dalam PR itu sesuatu yang boleh diterima dan masuk akal, dan melompat dari satu parti ke parti lain pula adalah suatu perbuatan yang tidak diterima dan beretika, Yuss sebenarnya telah lupa untuk kembali kepada perlembagaan. Dari segi undang2 yang ada. Yuss akui Yuss silap di sini. Terbaru, setelah Yuss melihat dan membaca perlembagaan persekutuan 48(6) atas cadangan seorang rakan, akhirnya Yuss dapat menerimanya dengan betul.

Perkara 48(6) tidak membenarkan mana2 ahli parlimen yang meletakkan jawatan untuk memegang jawatan tersebut dalam tempoh 5 tahun. Dan apakah langkah terbaik yang membolehkan mereka ini bertukar parti politik jika fahaman dan ideologi mereka telah berubah dan berbeza dari parti yang asal? Jawapan kepada cara meletakkan jawatan dan mengadakan semula pilihanraya kecil adalah sesuatu yang mustahil jika melihat kepada undang2 yang disebutkan di atas. Maka, jalan terakhir dan terbaik yang mereka boleh buat ialah dengan melompat parti. Kerana hak mereka untuk memilih parti perjuangan mereka tetap sama seperti rakyat biasa yang lain. Sebagai seorang individu. Atas nama hak asasi untuk memilih. Prasangka ianya tidak logik dan beretika sebelum ini akhirnya telah Yuss tolak ke tepi.

Dan sekarang ianya terserah kepada Anwar dan Paklah untuk cari jalan penyelesaian bersama. Anwar memberi masa 2 minggu kepada Paklah untuk sama2 mencari jalan perundingan. Kita perlu ingat, ianya kini tidak melibatkan rakyat lagi. Ia melibatkan ahli2 politik ini sahaja. Desas-desus yang menggusarkan rakyat sebelum ini sebenarnya telah pun terjawab. Dan rakyat biasa hanya mampu melihat siapakah yang mahu mengalah dan siapa yang tak mahu mengalah dalam 'perebutan' ini. Mereka perlu diingatkan supaya tidak mengheret rakyat ke dalam kancah politik mereka ketika ini. Rakyat biasa sepatutnya hanya melihat sahaja. Rakyat biasa sepatutnya tidak masuk campur. Disamping itu, janganlah pula bila salah seorang daripada mereka yang berunding ini tidak berpuas hati, sentimen ke atas rakyat akan dibangkit dan digunakan. Jangan huru-harakan rakyat. Berundinglah dengan cara yang baik.

Dan segala keputusan yang diambil nanti akan diserahkan ke tangan Yang di-Pertuan Agong. Terserah kepada baginda membuat keputusan akhir. Baginda ialah kuasa tertinggi yang menentukan keputusan ini. Walaupun segala tindakan baginda mungkin memerlukan nasihat Perdana Menteri, tetapi kes kali ini melibatkan Perdana Menteri sendiri. Oleh itu, kebijakkan Agong membuat keputusan menjadi kunci kita melihat Malaysia yang aman dan damai. Walaupun jika Agong mahu membubarkan Parlimen sekalipun selepas ini, kerajaan 'baru' telah dianggap sebagai caretaker government menjelang pilihanraya yang baru nanti.

Yuss meletakkan harapan yang tinggi kepada Agong. Baginda seorang yang dilihat sederhana dan bijak dalam membuat keputusan. Segalanya di tangan baginda.

Dan apakah impak terbesar dari propaganda 16 September ini? Kita lupa akan kewujudan Hari Malaysia. Telah dikaburi dengan suasana politik semasa.

SELAMAT HARI MALAYSIA.

Yuss belum meyimpulkan lagi. Ianya masih panjang.

No comments: