Monday 1 September 2008

Melayu Islam II

[Posting Asal]
Hari ini, satu Ramadhan menyambut kita. Selamat Menyambut Bulan Ramadhan buat semua umat Islam.

Kali ini, dalam bulan yang baik dan mulia ini, Yuss ingin berbicara sekali lagi mengenai isu Melayu dan Islam rentetan daripada artikel sebelum ini, 'Melayu Islam'. Apakah adaptasi terbaik dalam penilaian sejarah secara kasar tentang isu ini? Sejarah secara kasar dalam erti kata bagaimana kita melihat diri kita sebagai seorang Melayu dan Islam. Dalam konteks perlembagaan dan undang2nya.

Yuss merasakan tak salah langsung untuk kita berbicara tentang perlembagaan terutamanya perkara 152 dan 153 yang menyentuh tentang hak dan keistimewaan Melayu dan Islam. Secara baik dan secara terbuka. Kerana pada hari semalam, berita2 dan ulasan2 dari Utusan Malaysia terutamanya, banyak menyentuh tentang isu perlembagaan tentang hak Melayu dan Islam sempena Hari Kemerdekaan. Berbicara dan berbincang mengenai isu perlembagaan ini bukanlah bermakna menghina atau memutarbelitkan fakta. Jika "Forum Sambutan Merdeka - Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152 dan 153" anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang disertai oleh 3 orang pakar boleh dijalankan dan dibincangkan, apalah salahnya kita, orang biasa menyentuh mengenai isu ini. Pandangan dari orang biasa. Idea orang biasa. Kehendak orang biasa untuk berfikir dan mengolah idea. Bukan penafian yang dituntut, tapi penafsiran. Jika ketiga2 pakar ini boleh membuat tafsiran sendiri dengan kepandaian mereka, kita orang biasa juga berhak untuk menafsirkan pandangan masing2 dan kebijakkan kita. Kerana seperti yang Yuss pernah tulis sebelum ini, di sebalik undang2 akan ada keadilan, tapi akan adakah juga keadilan disebalik undang2? Itu falsafah yang Yuss pegang.

Bukan isu hak yang patut dipertahankan, kerana ia akan dilihat sebagai sentimen. Bukan juga isu bagaimana ia digunakan untuk sesuatu perkara atau tujuan, kerana ia akan juga dilihat sebagai sentimen. Dan ini bukan salah orang biasa, atau rakyat biasa apabila dua perkara ini berbangkit, kerana yang kerap kali terjadi dan dibangkitkan adalah datangnya dari orang2 politik. Inilah masalah dan puncanya. Tak kiralah dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Ini rumusan terbaik yang Yuss boleh berikan. Sama seperti pandangan dan kesimpulan oleh pakar2 dalam forum tersebut.

Dan Yuss sebagai orang biasa, tidak dapat tidak, merasakan bahawa terdapat kesilapan kecil dalam penafsiran Melayu itu Islam dalam perlembagaan kita. Yuss tak mahu ulang perkara ini kerana Yuss telas ulas sebelum ini dalam artikel 'Melayu Islam'. Yuss merasakan, bukan PENAFIAN sejarah yang menyebabkan kegawatan dan keghairahan masyarakat kita mengenai isu ini berbangkit, tetapi PENAFSIRAN tentangnya yang menganggu jatidiri mereka. Inilah yang menjadi persoalan pokok dan perdebatan banyak pihak.

Yuss merasakan jika kita memisahkan maksud Melayu dan Islam sebagai dua entiti yang berbeza, isu ini tidak akan berbangkit atau dipersoalkan seperti sekarang. Kerana bagi Yuss, Yuss tetap berpendapat sebagai seorang Islam, sifat Melayu itu perlu berada nombor dua. Kerana dalam Islam ada pelbagai bangsa. Dan Tuhan ciptakan manusia berbangsa2. Dan dalam masa yang sama, jika kita seorang Islam yang betul, kita akan dapat merasakan bahawa agama Islam sebenar akan dapat berkembang lebih jauh lagi. Kerana jika kita lihat kepada perlembagaan dan undang2, bile seseorang itu masuk Islam, ia mungkin akan membawa pengertian akan MASUK Melayu. Ini mungkin membantutkan hasrat penilaian Islam sebenar yang patut kita utamakan. Fundamental asas dalam Islam tentang sifat berbangsa perlu diselarikan dalam menghuraikannya secara lebih dalam dan tepat lagi.

Yuss juga berpendapat, perdebatan hangat isu ini adalah disebabkan oleh perkara ini. Kerana kita telah mengangkat BANGSA itu sama tinggi dengan AGAMA. Mungkin juga pandangan umum bagi seorang Melayu dan Islam, kita tak dianggap salah dan tidak berdosa untuk berbicara dan berdebat tentang isu bangsa, tapi kalau sebut pasal agama, kita akan melenting, tidak rasional dan dianggap berdosa. Hanya perlu dijawab dan diserahkan kepada ulama dan pakar2 agama sahaja. Itu mungkin sterotaipnya. Itu mungkin punca sebabnya. Bagi Yuss, walaupun kita tak punya ilmu agama yang lengkap, tapi berasaskan kepada asas logik dan asas ilmu fundamental Islam sudah cukup untuk kita tafsirkan dan gunakan dalam kehidupan seharian kita. Termasuk dalam isu hak dalam perlembagaan ini.

Selain itu, Yuss juga berhak untuk menafsirkan pandangan Suruhanjaya Reid mengenai perlembagaan seperti yang dilontarkan oleh seorang dalam forum yang Yuss sertai dan antara tulisannya ialah :

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan.

Yuss juga mengakui pernah membaca tentangnya secara rambang dalam buku2 sejarah. Yuss tak dapat mengingati buku apa, maka ia akan menyebabkan hujah Yuss tidak cukup kuat untuk menyokongnya. Tapi, berdasarkan kepercayaan Yuss, ia memang ada tertulis dalam sejarah kita. Dan jika benar dan tepat, adakah ini yang menyebabkan orang Melayu terutamanya, sebagai contoh, menggunakan isu sentimen yang mereka masih belum berjaya dan maju sampai sekarang sebagai sebab? Belum menguasai kuota 30% kek ekonomi negara? Adakah kerana ia masih belum mencapai hasrat mereka, maka mereka akan terus bermain dengan isu ini untuk kepentingan peribadi atau pihak2 tertentu dalam perjuangan mereka? Adakah alasan ini cukup kuat atau sebenarnya rapuh? Rapuh dalam erti kata melambatkan lagi mereka untuk sedar dan maju? Mungkin. Atau, adakah mereka akan menggunakan isu seperti petikan di atas sampai bila2? Bukankah sepatutnya perlu ada masa dan waktu yang ditetapkan untuk ia dilaksanakan? Mungkin kajian atau review setiap 15 tahun ini masih berjalan sampai sekarang, tapi inikah pegangan yang perlu dipegang sampai bila2? Sampai bila tempoh 15 tahun ini akan digunakan? Alasan di atas alasan di atas alasan. Mungkin juga ini penyebabnya.

Dalam masa yang sama, bagi mereka yang tetap menggunakan pandangan mempertahankan isu hak ini atas nama perlembagaan, Yuss merasakan mereka tahu perlembagaan kita boleh dipinda bila2 masa mengikut keadaan. Kerana bukti angka 42 kali ia dipinda dalam tempoh 48 tahun mungkin merisaukan mereka. Apa jaminan jumlah pindaan setinggi itu tidak dipinda dan berlaku lagi dalam masa terdekat ini atau di masa hadapan? Kerana jika kita lihat sejarah Amerika Syarikat yang lebih panjang dan kompleks, sekitar 200 tahun lebih, pindaan dalam perlembagaan mereka cuma berlaku kurang dari 4 kali. Ini jika kita ingin membuat perbandingan. Dan ini juga jika kita ingin lihat bahawa maksud asal perlembagaan telah dicairkan. Walaupun ia mungkin membawa maksud seperti telah lari sedikit dari maksud yang asal, ia tetap perlembagaan kita. Tetap kita pegang dan gunapakai. Oleh itu, rasa hormat terhadapnya juga tetap perlu dipertahankan.

Dan bila kita kaitkan dengan pandangan Yuss dalam artikel sebelum ini, 'Budaya Merdeka Malaysia' bahawa sambutan Merdeka kita lebih kepada satu bentuk retorik, Yuss mengatakan ia ada kena mengena dengan isu ini. Melayu dan Islam. Isu memainkan sentimen2 terhadap dua perkara ini, berdasarkan kepada sejarah semata. Tak kiralah dibawah sedar atau pun tidak. Mungkin.

Yuss memerhati. Yuss cuba memahami.

[Terbaru]
Ini adalah keterangan tambahan yang Yuss perolehi dari internet. Agak menarik untuk dikongsi bersama dalam blog ini. Seperti biasa, ianya datang daripada seorang penulis dalam forum yang Yuss sertai. Antara petikannya adalah seperti di bawah :

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa "...apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan."

Bagaimanapun, dia menambah bahawa "Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.

Inilah konsep yang sering kali dilupakan oleh ramai pembela kontrak sosial hari ini.


Dari mana datangnya maklumat ini Yuss tak boleh nak dipastikan. Tapi Yuss agak bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan. Mungkin ia datangnya daripada laporan2 atau kajian2 pihak tertentu. Agak valid pandangan yang disampaikan. Mungkin betul. Mungkin tidak. Yuss tak boleh mengesahkannya.

Tapi, apa yang menariknya? Yuss agak teruja dengan keterangan di perenggan terakhir yang disampaikan Tunku itu. Sangat membuka mata Yuss.

Kita telah sedia maklum bahawa persetujuan antara kaum atau kontrak sosial ini sebelum merdeka telah mencorakkan kemerdekaan kita. Tapi dalam masa yang sama, secara analoginya, ia bukanlah memberi gambaran yang ianya telah MENGINDAHKAN Malaysia pada hari ini. Sekadar MEMBERSIHKANNYA sahaja. Walaupun ada kesinambungan di antara kedua2nya. Dan idea Tunku ini telah MENGINDAHKAN kembali Malaysia hari ini melalui kenyataan terakhirnya itu yang telah kita abaikan selama ini. Kitalah, rakyat Malaysia sekarang, yang bertanggungjawab membantu bertindak MENGINDAHKAN Malaysia kembali.

Apa yang Yuss maksudkan? Dalam pandangan Tunku dalam perenggan terakhir itu, kelihatan beliau amat cerdik dan amat bijak sekali. Memandang jauh ke depan melangkaui masa hidupnya. Ini mungkin tafsiran Yuss terhadap pendapat Tunku yang sangat cemerlang itu. Dan ia kelihatan sangat signifikan untuk diaplikasikan dengan situasi rakyat Malaysia sekarang.

Kerajaan kita dari hari pertama memerintah dahulu sampailah sekarang (51 tahun lamanya), mereka telah BERJAYA membentuk mentaliti masyarakat Cina dan India di Malaysia bahawa mereka ANAK MALAYSIA, atau RAKYAT MALAYSIA. Ia satu KEJAYAAN yang amat dibanggakan. Benar bukan? Dan Yuss merasakan inilah sentimen yang berlaku dalam jiwa anak-anak muda sekarang terutama sekali yang BUKAN Melayu atau BUKAN Bumiputera. Mereka menganggap Malaysia adalah tanah tumpah darah mereka. Betul atau tidak? Yuss yakin Yuss tidak silap. Tak mungkin generasi muda ini menganggap negara China dan negara India ialah tanah asal mereka. Mustahil.

Oleh itu, Yuss merasakan sudah tiba masanya kita MENYATUPADUKAN jiwa Malaysia yang SATU dalam setiap insan yang lahir di bumi Malaysia tak kira Melayu atau bukan Melayu.

Selain itu, dalam ulasan Yuss di dalam artikel asal di atas mengenai perkara membezakan Melayu dan Islam, dari sudut politiknya, ini mungkin apa yang diingini oleh Pas. Mungkin ini dalam jiwa perjuangan Islamnya. Konsep negara Islamnya. Ini juga yang mungkin meresahkan DAP kerana mungkin akan akan dianggap mengangkat Islam itu jauh lebih tinggi lagi dan menjarakkan masyarakat. Tapi bagi Yuss, mereka boleh berbincang dan cari kata sepakat. Cukup sekadar memisahkan maksud perkataan2 ini dahulu. Pas perlu bijak memilih masa dan keadaan. DAP juga dengan cara yang sama. Bermuafakat.

Yuss terus mengolah. Salah atau tak ianya sekadar idea. Dari sebuah sentimen. =)

No comments: