Sunday 8 February 2009

Kebelakangnya Bahasa

Yuss terdengar ada ura2 sebuah saluran TV tempatan, yang sekarang ini menggunakan sepenuhnya Bahasa Malaysia, akan menyelitkan program tempatan dalam Bahasa Inggeris.

Kita di Malaysia, daripada berpuluh-puluh saluran TV, hanya ada dua sahaja saluran informasi yang menggunakan Bahasa Malaysia secara keseluruhan. Dua sahaja. Ini adalah daripada pengamatan rambang Yuss. Tetapi yang satu ini, berkemungkinan besar, akan menyelitkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam program tempatan mereka.

Semua ini masih belum disah dan disiarkan lagi. Yuss akan menunggu dengan penuh minat. Adakah Yuss akan terus menjadi penonton setia saluran ini lagi atau tidak? Yuss hanya akan menjawab selepas ia tersiar.

Sebelum itu, biar Yuss akui akan kelemahan penggunaan perkataan dan tatabahasa penulisan Yuss di sini yang masih kurang tepat dalam konteks bahasanya yang betul. Tapi sekurang-kurangnya, Yuss mahu menulis dalam Bahasa Malaysia, dan dari semasa ke semasa, penambahbaikan kepada proses bahasa Yuss juga berjalan serentak. Moga-moga.

Berbalik kepada isu ini, Yuss mahu menegur mereka di sebalik perjalanan media2 ini agar faham akan matlamat menyatupadukan masyarakat Malaysia melalui pembudayaan Bahasa Malaysia.

Yuss pernah mengulas tentang isu ini dalam posting 'Gerakan untuk Bahasa' dan 'PPSMI'.

Masih ada lagi mentaliti kita bahawa idea Bahasa Kesefahaman semua orang ialah Bahasa Inggeris. Dalam konteks Malaysia, atau media di Malaysia khususnya, isu ini sepatutnya tidak timbul lagi. Bahasa Malaysia ialah jawapannya.

Jika alasan bahawa mereka perlu menyampaikan matlamat rancangan/program TV masing2 secara menyeluruh atau kepada SETIAP SEORANG dalam Malaysia, katakan, adakah alasan menginggeriskan sesetengah program mereka menjadi punca matlamat tersebut akan tercapai?

Adakah mereka menerima anggapan bahawa masih wujud bangsa Malaysia yang tidak tahu dan tidak fasih berbahasa Malaysia? Adakah mereka mengiyakan pendapat ini? Jika ya, mengapa mesti 'kekalkan' rakyat yang tidak fasih ini berada dalam dunia mereka tersendiri dan tidak memaksa mereka 'keluar' menerima sifat Bangsa Malaysia yang sebenar?

Tidak malukah kita mengiyakan pendapat adanya rakyat Malaysia yang tidak fasih dan tidak tahu Bahasa Malaysia?

Adakah mereka di belakang media2 ini juga beranggapan bahawa mereka perlu mengikut arus globalisasi di mana Bahasa Inggeris ialah matlamat bagi mencapai tujuan ini? Adakah dengan berbahasa Inggeris, akan tercapaikah matlamat mengantarabangsakan saluran TV mereka?

Tidak sedarkah mereka saluran mereka ialah saluran TEMPATAN? Kalau tempatan, untuk siapakah penontonnya? Bukankah rakyat Malaysia?

Atau jika alasan mereka, program2 tertentu 'mungkin' untuk disampaikan kepada golongan ekspatriat yang berada di Malaysia, katakan, adakah kelompok ini dianggap terlalu penting sehingga sanggup menggadaikan satu ruang masa dalam program harian di saluran TV ini? Bagaimana pula dengan saluran2 antarabangsa lain yang sepatutnya menjadi rujukan golongan kecil ini? Kalau golongan kecil ini mahukan informasi tempatan, banyak lagi saluran lain yang boleh ditonton dan di baca di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Bukan mencampur-adukkan program tempatan dalam bahasa asing hanya atas sebab2 bodoh. Yuss tidak mahu ruang masa yang ada dalam saluran TV tersebut tergadai hanya untuk memenuhi satu kelompok kecil masyarakat sahaja. Jika orang luar ini mahu faham isu tempatan secara menyeluruh, fahami budaya dan bahasa tempatan.

Berbalik kepada isu rakyat tempatan, adakah mereka di belakang media ini beranggapan bahawa mereka dapat melakukan capaian kepada sesetengah golongan 'bandar' yang mungkin tidak tahu berbahasa Malaysia? Ini hanya sekadar contoh.

Kalau kita tahu adanya rakyat Malaysia tidak fasih dan tidak tahu berbahasa Malaysia, tanggungjawab sosial medialah yang sepatutnya mendidik rakyat ini menjadi satu Bangsa Malaysia yang betul.

Jika mahukan program Bahasa Inggeris tempatan, lakukan secara total. Maksudnya? Ciptakan satu saluran baru yang sama konsepnya tetapi menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Buat apa campur-adukkan bahasa dalam satu saluran? Kalau tidak, kenapa diciptakan saluran yang asalnya berbahasa Malaysia?

Ini soal intergriti ke arah penyatupaduan kita semua. Yuss melihat pada mula kewujudan saluran TV ini, yang sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia, amat baik sekali. Saluran TV ini juga mendapat maklumbalas positif rakyat yang dahagakan maklumat kerana kepercayaan kepada penyampaian maklumat yang diberikan.

Tak pernah terpikirkah oleh mereka, bahawa adanya manusia yang tak fasih Bahasa Malaysia pun akhirnya belajar untuk menerima maklumat yang disampaikan dalam saluran ini. Buktinya, berlaku proses terjemahan pihak tertentu ke dalam Bahasa Inggeris dalam laman2 web dan blog apabila merujuk kepada saluran TV ini. Ini menunjukkan mereka memahami pemikiran dalam Bahasa Malaysia dengan baik walaupun kebanyakan daripada mereka menulis dalam Bahasa Inggeris.

Ini telah menjadikan saluran ini dijadikan tanda aras mendapatkan maklumat tempatan yang seimbang dan boleh dipercayai.

Jika mereka betul2 bersiaran dalam campuran bahasa, tidak ada bezanya lagi saluran ini dengan saluran2 TV tempatan yang lain. Bercampur aduk sana sini.

Tidak sedarkah mereka bahawa apabila saluran ini menggunakan satu bahasa sahaja, mereka sebenarnya menjadi pilihan? Katakan, jika TV lain sedang bersiaran bahasa lain, yang tak difahami oleh sesetengah penontonnya, mereka akan terus bertukar kepada saluran ini? Kerana mereka tahu, tidak kira di masa bila sekalipun dalam sehari, siarannya akan pasti dalam Bahasa Malaysia. Semua orang akan faham. Semua rakyat akan faham.

Dan contoh yang ringkas pengasingan kita dalam masyarakat ialah, apabila yang Melayu tengok berita Bahasa Malaysia, yang India tengok berita Bahasa Tamil, yang Cina tengok berita Bahasa Mandarin, yang 'bijak pandai' hanya tengok berita dalam Bahasa Inggeris. Sampai bilalah agaknya kita nak bersatu? Sedih betul!

Oh lupa Yuss nak katakan di sini, adakah kemungkinan penggunaan Bahasa Inggeris dalam saluran TV ini akibat daripada tekanan atau kemahuan pihak penaja? Adakah kita tunduk kepada penaja sehingga sanggup menggadaikan bahasa sendiri? Sedihnya jika betul ini yang Yuss dengar.

Yuss mengkritik bersebab.

3 comments:

Anonymous said...

Ini bukan soal anti bahasa lain. Sebagai rakyat Malaysia kenapa bahasa Malaysia tidak menjadi keutamaan. Di mana semangat kebangsaan mereka ini. Atau sebenarnya mereka ini antikebangsaan.

Tidak perlu sampai adakan akta mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di media. Ini bukannya pembaharuan tetapi sebaliknya merupakan persoalan sikap dan pemikiran.

Anonymous said...

saya sependapat dengan tahapsedar.

saya juga bersetuju dengan penulis blog ini berkaitan tanggungjawab sosial media mencorakkan pemikiran rakyat.

terima kasih. agak-agaknya saluran TV yang dimaksudkan ialah ASTRO AWANI.

kalau salah, mintak maaflah.

Yuss said...

Terima kasih atas komen2 yang diberikan.

Yuss rasa terlalu kecil dan lemah untuk melawan arus tekanan pemikiran membelakangkan bahasa. Tidak terkata apa lagi.

Hanya sekadar mampu melihat sahaja. =(