Saturday 21 March 2009

Agenda Melayu Itu Ini

Semakin hampirnya Perhimpunan Agong UMNO, semakin bertambah banyak cerita tentang isu perpaduan Melayu.

Yuss akui Melayu hendaklah sentiasa bersatu. Tetapi Yuss juga mengakui Melayu juga mestilah menjiwai rasa bangsa Malaysia yang sebenar. Bersatu dengan kaum yang lain itu lebih penting daripada memikirkan kaumnya sendiri sahaja.

Forum2 ilmiah berkaitan orang Melayu semakin bercambah di merata2 tempat ketika ini. Semuanya dimedia-massakan. Seminar Agenda Melayu lah... Perhimpunan Pribumi Perkasa lah.... Semuanya berjalan dalam masa yang dekat antara satu sama lain. Termasuklah Perhimpunan Agong UMNO.

Sehinggakan Perhimpunan Pribumi Perkasa sanggup menaja satu slot penting di dalam program Astro Awani di saluran 501. Sebagai satu contoh.

Inilah satu bentuk penyampaian propaganda. Kerana ia melibatkan satu pihak sahaja, yakni satu kaum, di saluran percuma Astro di mana semua komuniti bangsa Malaysia boleh menontonnya. Itu belum lagi tengok berita di RTM, di BernamaTV, atau TV3.


Yuss sentiasa bertanya kepada diri sendiri, inikah agenda utama negara? Agenda Melayu? Adakah ia sebenarnya untuk survival negara, untuk bangsa atau untuk survival parti2 tertentu?

Cuba letakkan diri kita dalam diri orang lain. Katakan kita menjadi orang bukan Melayu atau pribumi, seperti orang Cina, India, Serani atau Punjabi. Apakah perasaan mereka? Salahkah kita merasa apa yang mereka rasa? Salahkah mereka merasa terasing di dalam komuniti negaranya sendiri, dalam konteks keMalaysiaan?

Kenapa seperti dipisahkan matlamat penyatupaduan antara kaum ini dan tidak mencari satu agenda bersama yang lebih menyeluruh? Kenapa terlalu menitikberatkan agenda Melayu sebagai agenda nasional?

Dalam masa yang sama, kalau betul Pribumi Melayu mahu menunjukkan mereka bersatu padu, buktikan kepada semua pihak bahawa Orang Asli juga sebahagian daripada PRIBUMI Malaysia? Sanggup?

Yuss pernah menulis isu Orang Asli di dalam posting 'Orang Asli'.

Kenapa memilih siapa yang patut jadi pribumi dan siapa yang bukan?

Selain daripada itu, kita selalu berkata Melayu itu Islam. Bukankah mata Allah memandang semua bangsa sama rata? Cuba tengok musim haji di Mekah. Hitam, putih, coklat, kuning, semuanya sama sahaja.

Persoalannya sekarang ini ialah sama ada melayu itu lebih tinggi dari Islam atau Islam lebih tinggi dari Melayu?

Kalau Yuss kata Yuss Islam tapi tak mengaku Melayu, Yuss ini apa?

Bukanlah niat hendak mencetuskan provokasi, tetapi Yuss tak nak yang lain rasa seperti terasing di bumi sendiri h
anya kerana beza wajah dan rupa.

Cuba kita pikir-pikirkan...

Kita ada komuniti India Muslim. Kita juga ada komuniti Cina Muslim. Ada antara mereka terus mengekalkan nama India dan Cina mereka. Ada antara mereka terus mengekalkan adat dan budaya India dan Cina. Melayukah mereka kerana Islam?

Yuss bangsa Malaysia.

No comments: