Tuesday 31 March 2009

Talentime

Yuss agak skeptikal semasa mula-mula hendak menonton filem terbaru Yasmin Ahmad ini. Pelbagai tafsiran sendiri dilakukan sebelum menontonnya. Seperti menghukum sebelum melihat.

10 minit pertama menonton filem ini membuatkan Yuss melakukan pelbagai andaian negatif terhadap Yasmin. Yuss mempersoalkan kenapakah pelakon2 yang sama digunakan dalam setiap filem arahan beliau?

Yuss menganggap Yasmin tidak versatil dalam pemilihan para pelakonnya, terutamanya yang memegang watak pelakon tambahan. Walaupun watak2 utama kebanyakannya adalah muka2 baru, tetapi percayalah, mereka pasti akan dikitarsemulakan oleh Yasmin dalam filem2 berikutnya nanti.

Yuss juga telah menghukum tajuk cerita dan konsepnya yang dianggap terlalu ringan. Kerana Yasmin seperti tidak dapat lari daripada stereotaip konsep filem yang sentiasa berunsur kepada alam persekolahan, alam cinta monyet yang suci dan dosa yang dibenarkan, dan alam 'innocent' terhadap dunia.

Tetapi, masuk sahaja setengah jam berikutnya, Yuss mula menyukai filem Telentime ini. Walaupun ringan ceritanya (seperti filem2 beliau sebelumnya), tetapi keberatan penceritaannya ialah terletak kepada kejujuran Yasmin menghukum sifat stereotaip orang Malaysia terhadap unsur agama dan kaumnya. Inilah yang membuatkan Yuss tersenyum, menangis, dan ketawa terhadap kehebatan karya Yasmin yang cuba menyedarkan penontonnya.

Bagi Yuss, filem Yasmin ini dianggap sarat dengan idea dan matlamat tersirat yang menyatukan kita semua sebagai Bangsa Malaysia. Dan percaya atau tidak, Talentime ini juga Yuss anggap sebagai filem berbahasa Tamil pertama Malaysia.

Maafkan Yuss jika ianya bukan Bahasa Tamil kerana Yuss tidak tahu bahasa apakah keluarga Mahesh gunakan sepanjang filem ini. Mungkin Malayalam, mungkin Telugu atau lain2.

Yasmin berjaya meletakkan mindanya dalam filem ini mengenai penerimaan masyarakat kaum India kepada budaya Islam versi Malaysia. Ini ialah realiti. Kita tidak boleh menolak ke tepi budaya penanaman minda jenis ini di dalam komuniti mereka.

Yasmin cuba merubah pandangan golongan muda India terhadap penerimaan mereka kepada kepelbagaian agama lain yang bertoleransi. Dan ini juga ialah realiti sebenar masyarakat muda mereka hari ini yang terbuka ke arah satu perubahan yang baik. Ketajaman Yasmin terhadap kematian abang Mahesh betul2 membuatkan mata Yuss terbuka luas dan melihatnya sebagai kesalahan diri kita sendiri.

Yasmin juga cuba menyatukan pandangan stereotaip orang Cina ke atas orang Melayu. Bahawa Melayu, sama ada berjaya atau tidak, pasti dan wajib menerima bantuan secukupnya daripada pemerintah. Kecemburuan mereka kepada hak istimewa ekonomi orang Melayu masih dianggap sebagai duri dalam daging kepada orang Cina. Seperti tidak adil dan berat sebelah.

Tetapi Yasmin berjaya mendidik dan merubah persepsi ini melalui filemnya ini. Kejayaan seseorang itu sepatutnya dilihat atas usaha dan kehendak dirinya sendiri dan bukan kepada bantuan dan peluang yang terbuka semata2.

Ini juga ialah realiti hidup orang Malaysia hari ini. Yuss sendiri sudah acapkali menerima realiti minda seperti ini di mana2 sahaja. Banyak kenalan2 Yuss berbangsa Cina masih merasakan perbezaan seperti ini. Mereka merasa tersisih.

Yuss tidak marahkan mereka. Tetapi Yuss sentiasa menjelaskan kepada mereka bahawa pendidikan Yuss sama seperti mereka. Mereka mendapat peluang sama rata seperti Yuss.

Tetapi jika betul lah Yuss mendapat tempat di universiti tempatan dulu atas nama kaum Melayu, betapa sedihnyalah Yuss terhadap diri sendiri. Tetapi Yuss sentiasa yakin bahawa peluang yang Yuss perolehi dahulu ialah kerana usaha Yuss sendiri.

Yuss juga tidak pernah meminta apa2 daripada pemerintah. Dan realitinya, pelajaran Yuss dulu pun atas nama pinjaman atau hutang yang kena dibayar balik.

Yuss yang Melayu ini pun masih berhutang dengan kerajaannya!


Selain itu, Yuss juga tidak terhutang budi apa2 pun dengan pemerintahnya. Yuss juga tidak merasa sedikit pun keistimewaan ekonomi yang sepatutnya Yuss rasakan sebagai orang Melayu. Kerana Yuss tidak terluak pun hendak mendapatkannya. Kerana usaha sendiri itu lebih berkat.

Berbalik kepada filem Talentime ini, Yasmin juga telah menjentik minda orang Melayu tentang Islam. Watak Mei Ling yang rupa-rupanya seorang Muslim diharap dapat mendidik masyarakat bahawa masuk Islam tidak semestinya masuk Melayu.

Mei Ling yang Islam telah mengekalkan nama Cinanya. Tidak ditukar kepada nama2 umum Melayu atau Arab. Salah atau tidak beliau terus kekal bernama seperti itu, itu hak peribadinya. Dan salah atau tidak beliau terus masak dan makan makanan Cina seperti Dim Sum dan makan pakai chopstick, itu juga hak kepada pengekalan budayanya sendiri. Tetapi niat keislamannya terus kekal dan bersatu.

Adakah Mei Ling jadi Melayu kerana Islam? Terbuktilah Islam yang sebenar ialah Islam yang bersifat universal dan tidak terikat kepada satu2 kaum sahaja seperti amalannya di Malaysia.

Dan adakah idea2 seperti ini masih dianggap sebagai satu dosa kepada nilai pluralisme perkauman dalam sesuatu agama di Malaysia? Adakah kesatuan kepercayaan atas nama agama seperti ini masih dianggap salah dan bertentangan dengan budaya Melayu Malaysia? Adakah kesatuan minda seperti ini juga boleh mencemarkan hak2 istimewa orang Melayu, seperti yang selalu dilaung-laungkan oleh pihak2 tertentu sekarang ini? Kita sendiri boleh memikirkannya.

Apa2 pun, Yuss ucapkan tahniah atas usaha berani Yasmin ini. Filem akhirnya berjaya digunakan sebagai medium untuk mendidik masyarakat. Medium untuk merubah persepsi masyarakat. Dan akhirnya nanti, boleh menjadi satu warisan penting kepada negara.

Yasmin beruntung kerana ideanya boleh disampaikan melalui filem. Orang yang tak berduit macam Yuss ni, menulis blog percuma macam ini pun sudah cukup baik untuk bersama2 berkongsi idea.

Yuss suka makan Dim Sum.

P/S Bilalah agaknya dapat menonton filem Yasmin, Muallaf yang diharamkan di Malaysia. Hmmm...

Photo by Google

3 comments:

Cinta Luhur said...

Terima kasih kerana pemerhatian saudara Yuss yang sangat baik kepada filem ini. Saya masih tidak berpeluang menontonnya lagi kerana berada di luar negara. Membaca artikel saudara sudah cukup membuatkan saya hendak menangis. Kita semakin pincang dalam masyarakatnya sendiri. Saudara ialah antara pemain pemikir muda yang baik. Teruskan usaha murni saudara.

Anonymous said...

nice

Dills said...

Nice write up.

You make me wanna watch the film..but dont think ada lagi kat cinema by the time im back in Malaysia. Will get the DVD copy then. (yg original of coz!)