Thursday 26 March 2009

Terbelah Dua

Sebelum ini, kita pernah mendengar tentang perbezaan pendapat yang ketara antara Nik Aziz (selaku Mursydul Am Pas), dengan Presiden partinya, Hadi Awang dalam isu kerajaan campuran.

Ramai yang melihat inilah bibit2 perpecahan kepada dua kelompok di dalam Pas. Walaupun Nik Aziz kelihatan sangat tegas dengan pendiriannya melalui fakta2 yang dikeluarkan berdasarkan kepada keputusan yang telah dibuat dalam musyawarah parti tersebut sebelum ini, tetapi Hadi Awang masih belum lagi memberikan respon terkesan untuk menjelaskan kepada umum apakah yang dimaksudkan oleh beliau mengenai idea kepada kerajaan campurannya itu.

Bagi Yuss, ini ialah masalah dalaman Pas. Dan adakah UMNO juga mempunyai masalah dalaman seperti itu? Kalau sudah namanya sebuah organisasi politik yang besar, mesti ada perbezaan pendapat dan idea di dalamnya, bukan?

Melalui Perhimpunan Agong UMNO kali ini, kita boleh melihat dengan jelas perbezaan pendapat di kalangan perwakilan UMNO. Idea2 kepada transformasi UMNO dilihat tidak sehaluan melalui perwakilan dan pemimpin2 tertentunya yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Seperti tidak bersatu. Kalau seorang kata A, yang seorang lagi akan kata Z.

Dan perbezaan2 pendapat seperti ini boleh dilihat dengan jelas melalui peristiwa malam tadi, di mana ramai yang tidak senang dengan kemenangan Khairy.

Apabila beliau menang, dikatanya rasuah. Kalau beliau kalah, penyebabnya juga mungkin kerana rasuah. Padahal parti UMNO itu sendiri membenarkan Khairy bertanding. Rasuahkah parti politik itu kerana membenarkan perasuah bertanding di dalamnya?

Dan hari ini juga, Mukhriz, salah seorang calon yang tewas, telah bertegas dengan berkata, akar umbi Pemuda UMNO sebenarnya masih memihak kepada diri beliau. Wujud semacam rasa tidak puas hati yang ketara melalui keputusan undi para perwakilan semalam.

Mukhriz juga turut menunjukkan bibit2 rasa tidak sehaluan dengan ucapan terakhir Paklah sebagai Presiden parti mengenai isu 'orde lama'. Bibit2 perbezaan seperti inilah yang menunjukkan bahawa berlaku ketidaksepakatan pendapat dalam UMNO itu sendiri. Seperti ada Team Najib (yang dibayangi Mahathir) dan keduanya, Team Paklah.

Kita jangan salah ertikan maksud perbezaan pendapat seperti ini sebagai lambang demokrasi. Ia bukanlah cermin demokrasi sebenar. Intipati demokrasi yang sebenar ialah mereka yang sanggup menerima keputusan yang telah dibuat. Bukannya dengan terus mempertahankan kemenangan diri dengan pelbagai alasan (termasuklah alasan rasuah) dan seperti menafikan hak menang orang lain.

Selain daripada itu, isu kebebasan media internet yang disekat daripada membuat liputan perhimpunan kali ini juga mendapat reaksi yang berbeza2 daripada para perwakilan UMNO. Khairy ialah antara mereka yang lantang menyuarakan bantahan kenapakah perlunya sekatan media seperti ini diwujudkan semula.

Ramai yang melihat cara cengkaman kuasa yang tidak mesra rakyat seperti ini, mungkin telah dijalankan oleh Team Najib. Seperti kembali kepada cara dan zaman Mahathir dahulu. Inikah 'orde lama' yang dimaksudkan oleh Paklah, kita sendiri boleh menilainya.

Disamping itu, adakah isu sekatan media seperti ini ialah sebahagian daripada 'intipati' sebenar perubahan yang dilaung-laungkan oleh UMNO sebelum ini? Seperti kembali kepada zaman tekan menekan dan sekat menyekat. Kalau begitulah niatnya, ianya amat malang sekali kepada masa depan UMNO.

Atau adakah ianya juga boleh dilihat sebagai satu usaha berterusan Team Najib untuk menutup semua pintu perubahan yang pernah diberikan oleh Team Paklah melalui kebebasan medianya itu?

Mungkin berlaku satu penciptaan mentaliti kepada rakyat bahawa zaman 'bebas' media telah berlalu seperti berlalu perginya pemerintahan Paklah. Dan zaman Najib pula kenalah ikut cara Najib.


Dalam masa yang sama, kita sendiri boleh mengaitkan bukti2 kemalangan nasib kepada dua akhbar pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan yang telah digantung 3 bulan serta merta baru2 ini. Ianya seperti mengambil jalan berundur ke belakang kepada kebebasan yang pernah dicipta dan diizinkan oleh pemerintahan Paklah sebelum ini.

Betapa malangnya masa depan UMNO jika cara seperti ini berterusan...

Walau apa pun, seperti posting Yuss yang terakhir sebelum ini, Yuss masih berpendirian bahawa kemenangan Khairy sebenarnya telah memberikan sedikit harapan kepada UMNO yang ianya tidak dikuasai oleh satu pihak sahaja iaitu Team Najib. Itulah demokrasi kecil yang telah berlaku dalam parti tersebut.

Walaupun kecil majoriti undi yang dimenangi Khairy dan ramai yang mempertikaikan kemenangannya (atas alasan rasuah), tapi kita juga perlu ingat bahawa demokrasi ciptaan UMNO ialah tindakan terpilih mereka melalui Lembaga Disiplinnya.
Salahkan UMNO itu sendiri terlebih dahulu sebelum mengkambing-hitamkan individu2 tertentu di dalamnya.

Dan dalam masa yang sama juga, Perhimpunan UMNO kali ini telah membuktikan kepada kita semua bahawa semua parti politik mempunyai masalah masing2. Tak kiralah parti2 dalam BN atau dalam PR. Sama ada Pas, UMNO, PKR, DAP, MIC atau sesiapa sahaja.

Tetapi, kita juga perlu ingat, yang membezakan UMNO dengan parti2 lain ialah, perhimpunan perwakilan mereka telah dimedia-massakan 24 jam secara langsung di depan mata kita. Mahu tidak mahu, orang biasa seperti Yuss berhak membuat penilaiannya sendiri terhadap survival UMNO.

Yuss juga selalu bertanya kepada diri sendiri, adakah perpecahan dalam UMNO seperti ini mencerminkan wajah sebenar perpecahan orang Melayu? Hmmm...

Melayu oh UMNO oh Melayu... Hadiah terbaik untuk mereka ialah sebuah cermin yang besar!

Yuss termangu.

No comments: