Wednesday 18 March 2009

UMNO dan Kemelayuannya

Sejak kebelakangan ini, isu2 orang Melayu telah menjadi satu topik perbincangan luas tak kiralah di mana2 pun. Yuss menganggap kebangkitan isu Melayu ini ialah perang saraf besar-besaran pihak2 tertentu untuk mencari sokongan.

UMNO dilihat sedang cuba membawa mentaliti kepada seluruh rakyat bahawa mereka ialah satu-satunya parti yang membela orang Melayu. Secara halusnya, mereka berusaha secara kuat untuk membentuk minda masyarakat bahawa kedominan Melayu amat penting kepada survival masa depan negara bernama Malaysia.

Adakah usaha ini masih dianggap relevan dalam konteks 52 tahun kita merdeka atau mereka perlu berubah? Adakah usaha UMNO ini dianggap berjalan undur ke belakang atau tidak mengikut norma kehendak rakyat hari ini?

Bagi Yuss, secara jelas, UMNO sedang bermati-matian melakukan perang saraf memainkan isu mempertahankan kuasa Melayu. Adakah ia sebenarnya untuk survival bangsa atau untuk parti?

Battle UMNO sekarang ini ialah battle kepada orang Melayu khususnya. Adakah masih relevan lagi pandangan kemelayuan seperti ini kepada orang Melayu?

Dan dalam masa yang sama, UMNO juga kelihatan lupa kepada rakyat. Mereka lupa kepada masyarakat. Mereka lupa kepada undi yang diterima di tempat masing2. Mereka terlalu menitik beratkan isu keutuhan dan struktur kepimpinan parti atas nama UMNO semata2. Survival kepada nama UMNO.

Adakah mereka terlupa siapakah sebenarnya diri seorang ahli parlimen/Dun? Adakah kawasan mereka itu terdiri daripada orang Melayu sahaja? Tidak ada bangsa lain lagikah di kawasan mereka? Adakah mereka hanya mahu menjadi pembela orang Melayu sahaja di kawasan masing2?

Kenapakah bila bertemu masyarakat setempat, mereka mahu jadi pembela kepada semua kaum, tetapi bila masuk pejabat parti, mereka kembali jadi pembela satu kaum sahaja?

Adakah tiket nama BN semasa undi dahulu hanyalah sekadar lambang dacing yang kosong? Kerana jika kosong di kedua2 belah pemberatnya pun, dacingnya itu masih tetap nampak seimbang.

Disamping itu, segala serangan kepada pihak lawan yang dilakukan oleh UMNO memilih PKR sebagai mangsanya. Kes lompat parti di Perak, kes Elizabeth Wong, kes Bukit Selambau semuanya ini melibatkan orang2 PKR. UMNO cuba membentuk pemikiran orang Melayu bahawa PKR bukan parti orang Melayu seperti mereka.

Dan nilai pluralisme dalam politik Malaysia masih dianggap satu dosa besar oleh UMNO. Inilah gambaran yang cuba diberikan oleh mereka kepada parti PKR. Tetapi bukti pilihanraya umum lepas menunjukkan rakyat sanggup melakukan 'dosa' ini sebagai pilihan hidup mereka hari ini. Sejarah baru mungkin mahu cuba diciptakan oleh rakyatnya sendiri dalam segenap hal termasuklah politik.

Dalam masa yang sama, UMNO juga kelihatan tidak mahu menyerang Pas secara keras seperti yang mereka lakukan kepada DAP dan PKR. Mereka mahu melihat Pas ialah kawan dan bukan lawan. Kawan atas nama sesama kaum.

Tetapi adakah UMNO sedar atau buat2 tak nampak, bahawa Pas ialah parti berasaskan agama bukan kaum? Dominannya Melayu dalam parti Pas tidak bermakna ianya parti pembela Melayu. Pas sendiri secara terbuka menerima kaum apa saja dalam parti mereka asalkan mereka beragama Islam. Adakah konsep Islam dan Melayu cuba disamatarafkan dalam idea politik orang UMNO? Adakah wujud kesamarataan taraf maksud antara apa itu Melayu dan apa itu Islam di dalam berpolitik?

Selain daripada itu, UMNO juga mungkin telah menjadikan DAP sebagai kambing-hitam dalam isu kemelayuan. Isu2 intitusi raja2 Melayu, isu Karpal Singh, telah digunakan untuk membentuk pemikiran rakyatnya melalui agenda bahawa hal Melayu tidak boleh disentuh langsung.

Tidakkah kita sedar bahawa hal2 berkaitan keistimewaan dan kedudukan Melayu tidak boleh diubah sesuka hati oleh sesiapapun kerana ianya telah termaktub dalam perlembagaan dan perlu dipertahankan setiap masa?

Adakah UMNO juga cuba membentuk mentaliti rakyat bahawa jika DAP dapat memerintah negara secara satu parti, segala perlembagaan sedia ada ini akan diubah sewenang-wenangnya di masa hadapan? Adakah ini sebabnya UMNO menanamkan mentaliti kepada rakyat bahawa hanya UMNO ialah kerajaan dan kerajaan itu UMNO?

Kita semua sedar bahawa realiti satu parti sahaja yang memerintah tidak akan wujud kerana persepakatan antara parti2lah yang membentuk apa itu kerajaan dalam Malaysia hari ini atau di masa depan. Tak kiralah melalui BN atau PR atau lain2.

Orang Melayu juga sedar bahawa idealisme kepada nilai pluralisme kebangsaan tetap boleh dipegang dan dikembangkan dengan syarat hak istimewa dan kedudukan institusi beraja terus dipertahankan.

DAP sendiri amat komited kepada syarat ini. Semua parti2 politik di Malaysia juga perlu hormat kepada syarat ini. Jika tidak, pastinya parti mereka akan diharamkan daripada berjalan kerana menghina perlembagaan. Tak kira apapun ideologi politik masing2 di Malaysia, nasionalis, sosialis atau apa2 pun, selagi hormat kepada perlembagaan sedia ada, selagi itu mereka dibenarkan bertanding dan diterima masyarakat.

Bagi DAP, inilah cabaran terbesar mereka menongkah arus merubah persepsi masyarakat apa itu DAP terutamanya kepada orang Melayu.

Namun begitu, Yuss juga tertarik untuk bertanya, adakah kita menganggap DAP ialah parti dominan kaum Cina (seperti mentaliti umum sekarang ini), dan oleh yang demikian kita menganggap kaum2 lain yang menyertainya sebagai boneka orang Cina? Adakah Karpal Singh itu boneka Cina? Bukankah sesiapa pun boleh menyertai parti DAP asalkan mereka orang Malaysia?

Dan persepsi kepada PKR juga begitu. Adakah kaum2 lain yang menyertai PKR menganggap diri mereka sebagai boneka orang Melayu? Sebabnya mungkin melihat Melayu ialah kaum paling dominan dalam PKR.

Dan dalam masa yang sama juga, adakah salah untuk melihat MCA, MIC, Gerakan dan parti2 lain dalam BN sebagai boneka UMNO? Kerana UMNO ialah parti paling dominan dalam BN. Adakah orang UMNO akan melenting jika pendapat ini menjadi tajuk umum untuk dibincangkan?

Inilah idea politik sempit apabila isu berasaskan perkauman seperti ini dicanang-canangkan oleh pihak2 tertentu.

Seperti satu permainan anak patung boneka yang selalu dimainkan oleh budak2 kecik. Khayal dimainkan mengikut kehendak dan keseronokan diri sendiri. Sampai lupa kepada orang sekelilingnya.

Yuss juga berharap UMNO dapat melihat semua ini secara jujur. Dan sama ada agenda ini ialah antara pembaharuan yang ingin dilakukan dalam perhimpunan Agongnya nanti, kita tunggu dan lihat.

UMNO itu sendiri maksudnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Tapi akronim itu asalnya singkatan daripada Bahasa Inggeris. Perkembar ialah kata Bahasa Malaysia.


Melayu apa yang pakai Bahasa Inggeris? Melayu yang malu jadi Melayu ke? Katanya pembela Melayu...

Orang Malaysia pun pakai Bahasa Malaysia. =)


Takut pada bayang2 sendiri atau kabur pada jatidiri sendiri? =P

Yuss sendiri sentiasa mempersoalkan tentang kemelayuan diri Yuss. Adakah kaum mengatasi segala-galanya? Adakah kaum mendominasi segala-galanya? Adakah kaum jaminan segala-galanya? Adakah kaum asas segala-galanya?

Yuss Melayu yang tidak Melayu.

1 comment:

Anonymous said...

umno sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri